Khairy Jamaluddin Menang !

Thursday, March 26, 2009

Sebetulnya saya tidak kisah siapa akan memimpin Pemuda UMNO pun. Saya bukan ahli parti. Lantak lah mereka nak siapa pun jadi ketua mereka. Pondan pun tidak mengapa. Ops.

Kalau ikut rasa suku kaum, mungkin saya memilih Dr Khir Toyo. Hehe. Hidup wong jowo!

Secara peribadi saya melihat Mukhriz tidak ada aura kepimpinan. Bak kata panelis-panelis UMNO yang acap kali disebut di RTM, Astro Awani ... persepsi. Ya, itulah persepsi saya.

Khairy, hmm... susah nak cakap. Mungkin terlalu banyak fitnah yang kena terhadap beliau menyebabkan susah juga nak mengadili beliau secara adil.

Tapi disebabkan Presiden baru adalah Najib Tun Razak, maka saya rasa wajar Pemuda UMNO memilih selain Mukhriz.

Tetapi sekiraya Pak Lah kekal Presiden, maka saya rasa wajar Pemuda UMNO memilih selain dari Khairy.

Itu sahaja harapan saya. Maklumlah, selalunya Ketua Pemuda akan jadi Menteri penuh. Dan bagi saya sayap pemuda mana-mana parti memerintah mestilah menjadi ejen check and balance.

Dan Pergerakan Pemuda UMNO nampaknya memilih Khairy, Khir dan Mukhriz (ikut turutan undi)

Cuma apabila saya menonton ucapan kemenangan Khairy malam tadi ...

1. Dia sedar dia bukan pilihan majoriti
2. Dia pandai bermain kata-kata
3. Dia bijak
4. Dia mempunyai "sesuatu". Maklumlah, bukan senang mahu menang apabila ditembak kiri kanan depan belakang. Orang mungkin kata kuasa politik wang, tetapi wang tak boleh memberikan kekuatan moral apabila digasak sebegitu. Bukan semua orang boleh tahan. Lebih-lebih lagi dia pun hanya layak bertanding pun last minute.

Melihat apa yang telah dia lalui, memang patut Khairy diberikan ucapan tahniah.

Adakah dia mampu dan boleh mengubah pendekatan Pemuda UMNO ? Tunggu dan lihat. Khairy ada 3 tahun untuk melakukannya sebelum dicabar (mungkin) sekali lagi selepas itu.

Read more...

PPSMI: Pendirian Saya

Wednesday, March 25, 2009

Sebenarnya, kalau nak didebatkan isu pendidikan, memang tak habis.

Contohnya, saya adalah individu yang menentang idea masuk universiti untuk ada degree dan lepas tu dapat kerja. Itu namanya kilang melahirkan pekerja. Seperti apa yang berlaku sekarang.

Menyebabkan kita ada peguam, tetapi peguam yang tidak faham keadilan. Kita ada arkitek, perancang bandar, tetapi arkitek, perancang bandar yang menghancurkan alam sekitar. Kita ada orang ekonomi, tetapi orang ekonomi yang amalkan riba. Kita melahirkan ustaz, tetapi ustaz yang tidak berani bercakap kebenaran yang pahit itu. Dan seterusnya.

Ok. Isu PPSMI.

Saya ni orang Islam. Sudah tentu pendirian saya adalah berdasarkan apa yang Allah swt dan Rasul beritahu kepada saya.

1. Para Rasul & Nabi bercakap dalam bahasa kaum mereka sendiri

"Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka" (Surah Ibrahim, ayat 4)

Kenapa agaknya Allah swt mengutuskan para rasul dari kalangan kaum mereka sendiri, dan dakwah itu akan disampaikan dalam bahasa kaum mereka sendiri ?

Nabi Musa a.s dengan bahasa Hebrew - Ibrani kuno.
Nabi Isa a.s dengan bahasa Ibrani.
Nabi Muhammad dengan bahasa Arab.

Dan berdasarkan ayat di atas, sudah tentulah jika ada Nabi yang diturunkan di benua India, akan bercakap bahasa India. Nabi yang diturunkan di benua Melayu, akan bercakap dalam bahasa Melayu.

2. Tidak berlaku penolakan terhadap bahasa lain

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(al-Hujurat : 13)

Jadi, menolak PPSMI tidak bermaksud menolak bahasa Inggeris. Itu tanggapan yang silap.

Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi dengan cara bahasa.

Malah, Nabi saw memerintahkan Setiausaha baginda, Zaid b Tsabit, mempelajari bahasa Yahudi untuk memboleh baginda menulis surat dakwah kepada ketua-ketua kaum Yahudi.

Kenapa agaknya Nabi saw tidak menulis sahaja dalam bahasa Arab ?

Kenapa agaknya Nabi meminta surat dakwah ditulis dalam bahasa Yahudi juga ?

Cukuplah 2 dalil ini sebagai pegangan saya terhadap isu PPSMI.

Maklumlah, ada pihak yang ekstrem. Pro sangat bahasa Melayu nya sampai mengeluarkan tuduhan yang bukan-bukan kepada pihak satu lagi. Pro sangat PPSMI sampai terlupa kepentingan bahasa sendiri.

Susah sangat nak bawak berbincang. Keras kepala. Degil.

Bagi saya, isu ini ada kepentingan bisnes yang perlu dipertahankan. Contract has been awarded. Bukan sebab nak memartabatkan bangsa sangat pun. Saya tau lah. Saya dah terlibat dengan tender menender ni.

Tapi ramai yang tak tahu. Mereka terperangkap dengan hujah politik. Pastu bergaduh dan berhujah macam orang bodoh.

Macam contoh mangkuk di bawah ini, kot ye pun pro PPSMI, janganlah jadi bodoh. Mana ada orang buat terjemahan bulat-bulat. Suruh lah penterjemah profesional buat kerja mereka. Bukan anda yang membangangkan diri.

Connect your joy stick into the server port, you should find little problem with the joy stick as the server has plug and play mode

Masukkan kayu ria anda ke dalam lubang pelayan, anda sepatutnya tidak mempunyai banyak masaalah dalam memasukkan kayu ria anda kerana pelayan ini mempunyai fungsi masuk dan main.
Tahu tak, pendeta Zaaba menterjemahkan triple jump kepada lompat kijang dan juga tank kepada kereta kebal ? Pendeta Zaaba tidak bodoh menterjemahkan triple jump kepada lompat tiga kali atau tank menjadi bekas.

Cuba terjemah bulat-bulat sikit tengok, nak tengok ...

Saya berasal dari Nilai. Saya sekarang tinggal di Hartamas. Isteri saya berasal dari Kota Sarang Semut. Saya bekerja sebagai seorang Qadhi di Subang Jaya. Dulu saya belajar usuluddin di Pondok Pasir Tumbuh, ambil 4 thanawi dan kemudian menyambung pelajaran pula dalam subjek syariah di Jordan. Kemudian, saya sambung lagi pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang dakwah. Setiap hari saya menghantar isteri saya dahulu yang bekerja sebagai seorang ustazah di sebuah sekolah Petaling Jaya.

Tak ke bingung kalau semua perkataan PERLU dialih bahasa ?

Mana yang tidak ada dalam perbendaharaan sesuatu bahasa tu, kita boleh pinjam. Macam amuk. Macam bank. Macam komputer. Macam basikal.

Orang Amerika, orang England bila makan nasik lemak, dia akan pesan jugak nasik lemak, bukan fat rice. Teh tarik akan pesan jugak teh tarik, bukan pull tea. Roti canai ? Capati ? Tosai ? Sambal tumis ?

"Oh, Indian people who live in Malaysia and also a Muslim, can I have fat rice and pull tea please ? Put more condiment sautee okay."

"Oh, "Mamak, nasik lemak dan teh tarik satu. Letak sambal tumis lebih ok."

Aduyai ... Puyeng aku dibuatnya.

Bagi saya, sekolah rendah dan sekolah menengah, ajarlah pelajar di Malaysia ini dalam bahasa ibunda (mother tounge) masing-masing. Bahasa kaum. Macam Allah swt dah sebut dalam surah Ibrahim di atas tu.

Masuk universiti, itu dah lain cerita. Sebab mereka dah mula buat pengkhususan. Tapi asas yang pertama telah diajar dalam bahasa yang mereka mudah faham. Takkanlah nak ada degree dalam English Literature dalam bahasa Melayu ? Dan betullah tu, nak ada Syariah degree kena pandai bahasa Arab. Baru lebih sempurna.

Nak sangat BI, lepas SPM masukkan je dalam British Council. Tak pandai jugak BI, memang tak tau lah nak cakap apa.

Macam student lepasan SPM nak ke Jepun, Rusia. Buat kejuruteraan, buat perubatan. Boleh je ambil masa 6-12 bulan belajar dulu bahasa Jepun, bahasa Rusia.

Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Nabi saw bercakap juga dalam bahasa Arab dan percakap dan perintah Nabi disebut sebagai hadis dan sunnah. Al-Quran dan al-hadis adalah sumber utama untuk memahami Islam.

Tetapi kenapa Kementerian Pendidikan tidak memerintahkan pembelajaran pendidikan Islam dalam bahasa Arab ?

Kalau ikut logik PPSMI (kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa utama sains dan matematik), patutnya begitulah, bukan begitu ?

Saya yakin dengan keupayaan Bahasa Melayu. Walaupun saya habiskan degree dalam medium Bahasa Inggeris. Pensyarah yang killer itu boleh terkejut yang saya ini dari sekolah agama sebab entah ... adakah ... ?

Walaupun saya boleh menulis, membaca dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya tetap memilih untuk menulis blog dalam Bahasa Melayu.

Khususnya blog Pakdi.my. Ebook percuma saya pasal cashflow. Sebab saya sedar kedudukan bangsa saya dalam dunia kewangan, bisnes dan pelaburan ini di tahap mana. Itu kerja fardhu kifayah saya.

Sedangkan, kalau letak iklan google adsense dalam blog topik finance, fuhhh... dah jutawan adsense tuuu ... tapi buat apa kaya sorang-sorang tapi bangsa sendiri tertinggal bukan ?

Baik tak aku ? Punyalah fikir bangsa sendiri sampai menolak peluang buat duit dari Google Inc, antara syarikat terbesar di dunia tu ?

Sebab tu aku tak jadi Menteri Pendidikan. Hahahahaha...

Read more...

Kami Bantah Krematorium Kajang

Saturday, March 21, 2009

Balik dari pejabat, terbaca 2 helaian kertas. Abang kata ada orang masukkan dalam mailbox.

Terkejut.

Krematorium Kajang. Tempat bakar mayat, tempat simpan abu. Sudah tentu Muslim tidak ada bakar mayat.

Aku tak kisah. Agama kamu, agama kamu. Agama aku, agama aku. Aku faham bab tu. Aku tak halang cara ibadat orang lain.

Klik untuk besarkan

Yang aku kisah, krematorium itu dekat dengan Kampung Sungai Sekamat. Ikut peta googlemaps yang dapat dalam mailbox tu, betul-betul belakang Taman Kasih. Bawah DUN Kajang (PKR), bawah Parlimen Hulu Langat (PAS).

Setahu aku Kampung Sungai Sekamat ni majoriti penduduk Melayu. Bila Melayu sudah tentu Islam. Bila Islam sudah tentu tak bakar mayat, tapi TANAM. Sudah tentu penduduk Kg Sg Sekamat tak guna menatang krematorium tu.

Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam betul-betul belakang rumah aku. Apa kejadahnya nak ada satu lagi kubur orang Islam di kawasan yang SANGAT dekat ?

Baca punya baca, ahli Majlis Perbadanran Kajang (MPKJ) yang terlibat adalah Sdr S.Arutchelvan atau lebih dikenali sebagai Arul.

Oh... dulu masa kes insinerator Broga Arul adalah antara yang lantang membantah. Bagus.

Tapi awat Arul yang kalah di DUN Semenyih hari tu nak bawak krematorium ke Kajang, lebih spesifik lagi Kg Sg Sekamat di mana majoriti adalah orang Muslim?

Aku dah sms no 014-3404563, no PSM Semenyih. Aku dah SMS Presiden PSM, Dr Nasir Hashim. BANTAH.

Lepas ni aku nak emel diorang. psmsemenyih@gmail.com.

Esok-esok aku nak jumpa PAS Sg Sekamat, PAS Hulu Langat, DUN Kajang Cikgu Lee, MP Hulu Langat Dr Che Rosli, ahli Majlis / MPP yang jaga kawasan Kg Sg Sekamat, aku lupa nama dia. MPKJ aku akan hubungi juga hari Isnin nanti. Sdr Nik Nazmi, SU MB Selangor pun aku ada access.

Aku harap hal ni aku tak payah ajukan kepada top gun PAS di peringkat pusat. Isu lokal, kita selesai cara lokal.

Aku dah dapat no wartawan Harakah, wartawan Sinar Harian. Kalau respon mengikut saluran yang betul, diorang sampahkan, masuk media lah. Utusan, Berita Harian confirm suka berita macam ni. Dr Khir Toyo pun suka je.

Jiran aku orang kuat UMNO. Orang masjid semua orang kuat UMNO. Aku tak mahu jumpa diorang lagi. Tapi kalau saluran Pakatan Rakyat TAK MAHU dengar BANTAHAN penduduk Kg Sg Sekamat, memang UMNO lah jalannya.

Jangan sampai ada DEMO.

BINCANG lah brader.

Orang Kg Sg Sekamat yang akan mengalami pencemaran bau, orang Semenyih dah selamat dari insinerator Broga. Yang lu ni brader nak bawah krematorium ni ke Kg Sg Sekamat apahal brader ?

BINCANG la dengan orang kampung brader.

Kawan aku yang orang kuat Taman Kasih pun tak tau apa-apa. Nampak sangat TIDAK diberitahu. TIDAK ada perbincangan dengan penduduk setempat.

BINCANG lah brader.

Ahli MPKJ tu orang PR. Takkan buat kerja tak tau maksud berbincang dengan orang setempat dalam isu-isu yang ada kesan terhadap mereka ? Dulu marah sangat dengan insinerator broga, sekarang nak tiru style diorang pulak ?

Sudah ada kuasa, cakap tak serupa bikin aaa ?

Penduduk Kg Sg Sekamat dan sekitarnya pun ada hati dan perasaan.

KAMI BANTAH KREMATORIUM KAJANG!

Read more...

Penentuan di Bukit Gantang

Friday, March 20, 2009

Parlimen Bukit Gantang bukan lah penentu masa depan kerajaan Persekutuan. Tetapi kehangatan yang berlaku di situ lebih dari biasa.

Kalau BN kalah pun, BN masih memerintah Malaysia, dan mungkin ketika itu Tok Jib telah pun menjadi PM.

Kalau PR menang pun, PR tidak boleh memerintah Malaysia dan DS Anwar tidak akan menjadi PM.

Tetapi kemenangan di Bukit Gantang akan memberikan kemenangan moral akibat krisis di Perak.

Adakah orang Melayu tercabar dengan sikap PR yang menyembah derhaka, Karpal yang didakwa menghina Sultan ?

Atau rakyat lebih melihat sebaliknya ? Coup de'tat yang berlaku di Perak adalah sesuatu yang memalukan negara ? Atau mungkin protes terhadap Tok Jib yang bakal menjadi PM ?

Read more...

PPSMI: Apabila UMNO menolak cerdik pandai Melayu

Tuesday, March 10, 2009

Sikap dan pendekatan UMNO dari dulu menyebabkan NGO Melayu yang mengkritik polisi dan dasar kerajaan dianggap sebagai penyokong pembangkang.

Entah apa yang difikirkan oleh mereka.

Menyebabkan NGO Melayu mati.

Saya fikir hal ini telah berlaku lama.

Akhirnya sikit-sikit mesti pergi kepada UMNO. Kalau bukan melalui UMNO maka itu namanya pembangkang.

Itulah nasib gerakan anti PPSMI. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Budaya kerajaan dan UMNO menyebabkan orang Melayu bergantung sepenuhnya kepada sistem parti politik. Dalam politik ini, pendekatannya adalah pendekatan perang. Semua orang adalah musuh kecuali disahkan mereka bukan musuh.

Menyebabkan kritikan terhadap DEB dituduh seperti khianat kepada orang Melayu.

Kritikan terhadap kepimpinan UMNO dikata khianat kepada bangsa Melayu.

Penolakan terhadap dasar PPSMI dikatakan penghalang kepada kejayaan orang Melayu.

Walaupun kritikan itu dibuat oleh NGO. UMNO masih mengamalkan sikap perang. UMNO itu payung. Mana-mana yang berada di luar payung, maka mereka musuh.

Apabila UMNO gagal memainkan peranan payung dengan baik, maka bila orang sudah muak dengan UMNO, maka mereka akan mencari payung yang lain, iaitu PAS.

PAS sahajalah antara organisasi Melayu-Islam yang tinggal berdiri kukuh walaupun diasak oleh UMNO. Organisasi lain tidak seampuh PAS. Cuma PAS ini adalah parti politik. Selalunya NGO yang neutral hanya mahu PAS serta sekali apabila sudah tiada jalan lain. Sebab mereka maklum, apabila mereka mula mencari PAS, habis aspirasi mereka dipijak dan dihina semahunya.

Pelik juga apabila kerajaan tidak mengiktiraf peranan pembangkang dalam sistem demokrasi.

Itulah yang berlaku dengan GMP.

Individu-individu yang tidak menerima PPSMI ini sudah tiada jalan lain selain memohon bantuan dan kerjasama PAS dalam hal ini.

PAS memang dari dulu tidak setuju dengan PPSMI. Orang bahasa dan sasterawan juga sama. Cuma baru kebelakangan ini mereka duduk semeja dan yang terbaru, sama-sama disembur air asid dan bom asap.

Kalau UMNO membiarkan NGO Melayu ini kuat, maka tidak timbul hal sebegini.

Kalau UMNO membiarkan payung lain selain UMNO adalah NGO, maka tidak timbul masalah sebegini.

Masalahnya, setelah pelbagai asakan dikenakan kepada NGO yang bebas, mereka terpaksa mengalah. Maklumlah, NGO bukan parti politik.

Sebab itu hanya PAS yang terus bertahan diasak UMNO. Sebab PAS itu wadahnya politik.

Saya sedih melihat orang melihat GMP sebagai alat PAS. Oh tidak. Media-media UMNO memainkan propaganda murah ini. Sasterawan kini sudah dipergunakan PAS. Dan sebagainya.

PAS yang merelakan ahli mereka seperti Unit Amal untuk membantu GMP dalam isu bahasa.

Sebab dalam suasana politik yang dicipta UMNO dari dulu, menyebabkan kalau tidak ke UMNO maka orang Melayu akan pergi kepada PAS.

Orang-orang kuat GMP saya lihat adalah orang akademik dan sasterawan yang ikhlas mahu memperjuangkan bahasa.

Dalam tempoh 6 tahun itu, saya tahu mereka sudah cuba bermacam-macam cara untuk menyatakan bantahan. Dan kali ini mereka sudah tidak boleh tahan lagi.

UMNO tidak mahu dengar cakap. NGO Melayu lain banyak yang hidup segan mati tak mahu. PAS sahaja yang tinggal. PAS sahaja yang masih berani secara terbuka.

Apa boleh buat ?

Apa pun saya harap kalau PAS boleh memerintah negara ini di masa hadapan, PAS akan sedar punca masalah ini. NGO Melayu mesti dibenarkan untuk mengkritik PAS. Jangan halang NGO ini berperanan seperti NGO.

NGO ini ada peranan mereka sendiri.

Jangan lihat mereka sebagai musuh.

Hari ini NGO bersama PAS kerana mereka sudah tidak boleh bersama UMNO. Tapi kalau PAS juga nanti berperangai sama macam UMNO, NGO ini juga yang akan bangkit melawan PAS.

Kepada anda yang lain, mari kita sama-sama berhenti melihat sesuatu isu hanya kepada label.

Sebab kau UMNO, kau tak mahu dengar cakap orang PAS.

Sebab kau PAS, kau tak mahu dengar cakap orang UMNO.

Sebab NGO kritik UMNO, kau kata mereka khianat Melayu.

Sebab NGO kritik PAS, kau kata mereka tak suka Islam.

Kalau mahu terbang tinggi, kita semua mesti tahu melihat kebenaran walau dari siapa pun yang bercakap itu.

Read more...

Nizar & Negeri Pasir Dua Butir

Wednesday, March 04, 2009

"Sungguh kejam Menteri Fasola. Akei takde."

"Kenapa tuanku tak lari bersembunyi?"

"Tuan Laksamana, kalau tuanku melarikan diri bersembunyi bearti negeri ini tidak berkerajaan lagi."



Nak pendekkan, terus tengok video di atas bermula pada 8:00

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP