Penghijrahan cerdik pandai perkara biasa - IBBM

Wednesday, January 28, 2009

Adakah Malaysia telah menjadikan tempat yang baik untuk bekerja ?

Teringat kepada kawan-kawan yang kini mencari makan di luar negara kerana tawaran yang lebih menarik untuk bekerja di sana.

Dari Utusan Malaysia ...

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Masalah penghijrahan cerdik pandai berlaku di mana-mana sahaja, termasuk Malaysia dan negara-negara maju, berikutan permintaan global yang tinggi ke atas tenaga mahir dan profesional, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), Dr. Mohd Kamal Khir.

Beliau berkata, penghijrahan modal insan adalah perkara biasa dan sering berlaku kerana para pekerja mempunyai pilihan untuk berkhidmat dengan syarikat di mana-mana negara yang menawarkan insentif terbaik.

''Saya rasa sesiapa pun tidak boleh menghalang seseorang individu beralih ke tempat lain, apa yang boleh kita buat ialah menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih menarik untuk bekerja dan mempunyai kerjaya.

''Salah satu langkah terbaik ialah memupuk tenaga mahir berkualiti iaitu yang terdiri daripada bakat tempatan dan juga asing, sekali gus menghasilkan prestasi bagus," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd Kamal menjelaskan, kebanyakan orang mempunyai salah anggapan bahawa tenaga kerja profesional dan pekerja asing yang mahir 'menguasai' sektor-sektor tempatan.

Tambahnya, mereka (pekerja asing) diambil kerana terdapat kekurangan tenaga tempatan mahir atau ketidakcukupan tenaga kerja profesional dalam sesuatu bidang.

Dalam pada itu, Mohd Kamal berkata, pihaknya telah menyediakan Program Meningkatkan Tenaga Mahir dalam Sektor Kewangan (FSTEP) pada September 2007 yang dipacu oleh industri perkhidmatan kewangan dengan objektif untuk melatih dan menyediakan graduan berkelayakan untuk bekerja dalam institusi perkhidmatan kewangan.

Menurutnya, masih terdapat kekurangan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan terutamanya dalam sektor perbankan Islam.

''Kami amat memerlukan kakitangan yang terlatih untuk kerja-kerja mahir supaya dapat menangani masalah kekurangan tenaga mahir memandangkan rantau Asia Barat yang kian berkembang mungkin menjadi satu ancaman.

''Sebenarnya terdapat bakat-bakat tempatan tetapi kebanyakannya telah beralih dari sektor kewangan ke sektor bukan kewangan seperti pembuatan, komunikasi dan swasta manakala yang lain masih belum digilap supaya menjadi cemerlang," katanya.

Beliau berharap dengan penekanan terhadap aspek kualiti dalam graduan yang dipilih, pihaknya pasti dapat mencapai objektif dalam membantu kekurangan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan.

Program FSTEP disasarkan kepada pelajar yang baru menerima ijazah dari institusi pengajian tempatan dan luar negara serta mereka yang bekerja dalam sektor bukan kewangan tetapi mempunyai minat untuk melanjutkan kerjaya dalam industri perkhidmatan kewangan.

Kata Mohd Kamal, setakat ini, sebanyak 90 peratus peserta FSTEP terdiri daripada graduan tempatan manakala bakinya dari universiti luar negara.

Bagaimanapun ujar beliau, graduan yang ingin menyertai program itu perlu memiliki Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) sekurang-kurangnya 3.25 dan ke atas bagi memastikan kualiti graduan dikekalkan.

''Peserta program ini akan menerima elaun biasiswa berjumlah RM2,200 sebulan dan juga perlindungan insurans dan faedah perubatan asas.

''Program setahun ini merangkumi empat teras aliran perbankan dan insurans iaitu perbankan konvensional, perbankan pelaburan, perbankan Islam serta insurans dan takaful," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya bercadang untuk mengeksport program FSTEP ke pasaran antarabangsa, Mohd Kamal berkata, mereka akan memberi tumpuan dalam negara terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

''Ini kerana, objektif utama FSTEP adalah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan perbankan dan kewangan tempatan. Sekiranya ada keperluan, kami mungkin akan menimbang untuk berbuat demikian tetapi buat masa ini, kami tidak akan terburu-buru," jelasnya.

Menurut beliau, maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperoleh dengan menghantar sebarang pertanyaan kepada enquiry@fstep.org.my ataupun melayari www.fstep.org.my di mana mereka boleh memuat turun borang permohonan.

''Pada masa yang sama, mereka boleh menghantar permohonan dengan menggunakan alamat e-mel berkenaan," katanya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP