Hudud: Satu Perspektif ~ Malaysiakini

Thursday, January 08, 2009

1. Mengikut ulama Islam, mereka berbeza pendapat sama ada hudud boleh dilaksanakan ke atas bukan Islam atau tidak. Ada yang kata ia dikenakan kepada semua penduduk dan ada yang mengehadkan hanya kepada Muslim.

2. Apabila hal ini berlaku, maka tanggungjawab ini jatuh ke atas pemimpin negara, untuk mengikut pendapat yang mana satu.

3. Dalam kes di Malaysia, pemimpin yang menyokong undang-undang hudud memilih pendapat yang mengehadkan hudud ini hanya untuk orang Islam sahaja.

4. Sebenarnya hudud ini adalah sebahagian daripada undang-undang jenayah. Undang-undang jenayah ini pula adalah sebahagian daripada undang-undang yang ada.

5. Undang-undang Jenayah Islam ini dibahagikan kepaad 3 bahagian iaitu hudud, qisas dan ta'zir.

6. Dan dalam konteks yang lebih besar, undang-undang jenayah ini merangkumi Kanun Keseksaan (Penal Code) yang bersifat substantif, Kanun Prosedur Jenayah (Criminal Procedure Code) yang bersifat prosedur dan juga Evidence Act untuk pembuktian jenayah. Ia juga boleh disokong dengan undang-undang yang lain.

7. Ini menunjukkan Islam itu bukan hanya mengenai hudud, tetapi walaupun ia sebahagian daripada undang-undang Shariah maka ia merupakan satu perkara yang wajib ke atas umat Islam.

8. Dalam konteks demokrasi, sekiranya majoriti rakyat memilih PAS sebagai parti memerintah maka ia bermaksud mereka memilih untuk undang-undang Shariah dilaksanakan kerana itu adalah antara dasar perjuangan PAS. Sama ada ia adalah undang-undang jenayah, perbankan, kekeluargaan, ekonomi, dan lain-lain.

9. Hukuman hudud memang merupakan undang-undang yang keras. Malah ada yang nakal menyatakan ia tidak bertamadun.

10. Persoalannya, adakah mencuri, pecah rumah, meragut, merompak peniaga yang banyak berlaku hari ini adalah satu perbuatan yang bertamadun ?

11. Orang bukan Islam tidak perlu takut kerana mereka terlepas dari hukuman hudud.

12. Malah sebenarnya orang yang bukan penjenayah langsung tidak perlu takut kepada hukuman hudud kerana ia hanya dikenakan kepada mereka yang buat jenayah dan mereka yang baik-baik akan dilindungi.

13. Adakah salah untuk kita menghukum penjenayah yang telah terbukti dengan nyata mereka melakukan jenayah sehingga menyebabkan mangsa mereka mengalami trauma yang sangat teruk akibat dirompak, diragut dan sebagainya ?

14. Seperti mana yang telah disebutkan, hudud ini juga mempunyai prosedurnya yang lebih ketat dan syarat pembuktian yang juga lebih ketat.

15. Apabila ia lebih ketat dari undang-undang yang sedia ada, maka bukanlah mudah untuk menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah.

16. Polis dan pihak pendakwaraya perlu melakukan kerja yang lebih keras, lebih tepat dan lebih betul. Bukan lagi main hentam sahaja.

17. Sekiranya anda faham mengenai prosedur dan pembuktian hudud ini lebih ketat, sudah tentu kita tidak perlukan perjuangan IPCMC kerana proses undang-undang ini sendiri telah menjaga pihak polis agar lebih cermat dalam melakukan hukuman.

18. Persoalan lain yang selalu dibangkitkan adalah , sekiranya seorang Muslim dan seorang non-Muslim melakukan perzinaan, adalah tidak adil seorang itu sahaja yang dirotan sebagai contoh.

19. Adil atau tidak itu sila rujuk dahulu perkara # 3 & # 7.

20. Orang bukan Islam sendiri memutuskan tidak mahu hudud dilaksanakan di atas mereka. Maka apa yang boleh dilakukan ? Itu pilihan mereka sendiri di dalam negara demokrasi. Pemimpin Islam menghormati pilihan tersebut.

21. Tetapi pada masa yang sama, semua pihak perlu menghormati hak & kewajipan orang Muslim untuk diadili dengan undang-undang jenayahnya sendiri. Inilah prinsip asas dalam negara demokrasi sekiranya perkara # 8 berlaku.

22. Sebagai tambahan, sekiranya orang Muslim itu dikenakan hukuman tersebut, maka ia sebenarnya adalah tanda taubat dirinya terhadap kesalahan yang dilakukan di dunia. Maka di akhirat dia akan selamat.

23. Persoalan lain adalah isu rogol.

24. Maka adalah perlu diperhatikan sama ada isu rogol ini jatuh ke dalam undang-undang hudud atau pun tidak ?

25. Memandangkan hukuman rogol tidak dinyatakan secara jelas maka satu diskusi antara pakar-pakar perlu dilakukan untuk memastikan sama ada ia jatuh ke dalam kes hudud atau pun ta'zir.

26. Dan sekiranya ia jatuh ke dalam ta'zir, maka beban pembuktian dan prosedurnya adalah tidak seketat undang-undang hudud.

27. Tetapi harus diingat, dalam kita ingin melindungi mangsa rogol yang sebenar, kita juga perlu melindungi orang lelaki yang ingin dijadikan pak sanggup oleh sesetengah wanita.

28. Apa yang banyak berlaku sekarang, zina dibuat suka sama suka, bila sudah mengandung dan si lelaki tidak mahu bertanggungjawab maka mereka membuat laporan kes rogol. Sedangkan ia adalah kes zina.

29. Apabila kes dalam perkara # 28 berlaku tetapi disebabkan beberapa faktor, si wanita ingin mencari pak sanggup lalu cuba memerangkap lelaki yang tidak bersalah.

30. Maka dalam perkara # 28 & # 29 undang-undang juga perlu untuk melindungi pihak sebegitu.

31. Justeru, rasa takut orang bukan Islam sebenarnya sesuatu yang tidak berasas.

32. Ketakutan orang biasa yang baik-baik juga tidak berasas kerana orang tidak bersalah tidak akan dihukum. Ia hanya untuk penjenayah sahaja.

33. Tetapi cuba anda fikir lebih jauh, kalau orang baik-baik pun sudah rasa takut, bayangkan rasa takut yang Allah swt letak dalam diri penjenayah itu bagaimana rasanya. Sudah tentu mereka akan fikir 1000x untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak, meragut itu semua tadi.

34. Maka sudah tentulah kadar jenayah akan merudum kerana orang baik-baik pun dah rasa takut maka para penjenayah apatah lagi. Sudah tentu mereka yang paling kecut perut.

35. Itulah keistimewaan undang-undang Allah yang boleh meletakkan rasa takut kepada penjenayah lebih daripada mereka takut kepada teknologi tertentu seperti CCTV, DNA, CSI, M16, revolver pihak polis dan sebagainya.

2 comments:

Fadzil Mashood 12:00 pm  
This comment has been removed by the author.
ar zhar a.k.a kumb@ng 12:09 pm  

artikel Pakdi ni bagus suruh orang-orang yang tolak hudud ni baca... biar dorang tu faham apa tu sebenarnya hudud...bukan tuduh hudud ni undang-undang PAS...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP