Hadis al-Ifk Moden

Tuesday, August 19, 2008

Jenayah fitnah itu lebih dahsyat kesannya kepada masyarakat daripada jenayah membunuh.

Jika tidak, masakan Rasulullah saw pun boleh terkesan dengan isu fitnah sebegini sehingga lah Allah swt menurunkan ayat 11-20 Surah AnNur.

Fitnah yang terkena terhadap Rasulullah saw ini adalah mengenai Sayyidatina Aisyah as yang dituduh membuat perkara kotor dengan seorang Sahabat, Shafwan ibnu Mu’aththal.

Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa perang Bani Musthaliq pada bulan Syaaban tahun 5 Hijrah.

Akibat fitnah tersebut, Rasulullah saw menjadi sangat keliru sehinggalah Allah swt membersihkan diri Sayyidatina Aisyah dengan ayat tersebut.

Peristiwa ini dinamakan sebagai Hadith al-Ifk.

Perlakuan fitnah aksi liwat golongan Abdullah b Ubai moden di Permatang Pauh

Hari ini semua orang maklum Anwar Ibrahim dituduh meliwat Saiful Bukhari.

Tuduhan meliwat ini adalah tuduhan meliwat kali kedua.

Walaupun pertuduhan pertama, Anwar didapati tidak bersalah, tetapi dari sudut lain, tuduhan kedua ini adalah cukup perlu untuk menghalang Anwar dari terus aktif berpolitik.

Kaedah ini bertepatan dengan saranan Adolf Hilter yang berbunyi, "Make the lie big, make it simple, keep saying it, and eventually they will believe it."

Masakan teknik Adolf Hitler ini tidak berkesan? Jika teknik ini tidak terbukti berkesan, tidak mungkin Hitler boleh berkuasa begitu hebat pada satu masa dahulu.

Fitnah kali ini memang cukup simple.

Katakan sahaja, "Anwar meliwat Saiful."

Sama ada ia dilakukan secara suka sama suka, atau terpaksa, katakan sahaja, "Anwar meliwat Saiful."

Abdullah b Ubai moden dibelakang kes ini adalah amat bijaksana. Namun, siapakah Abdullah b Ubai yang merencana segala perancangan ini?

Tuduhan liwat kali ini dikeluarkan di saat Anwar sedang mengumumkan 16 September sebagai tarikh pertukaran kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini disedapkan pula dengan cadangan Dr Asri agar kedua-duanya bersumpah mubahalah.

Lalu Saiful bersumpah dihadapan kamera, dan bukannya di hadapan hakim, sehari sebelum penamaan calon di Permatang Pauh,

Perisanya bertambah, apabila selepas bersumpah, Saiful memberi pula keterangannya di JAWI.

Undang-undang diterbalikkan. Prinsip undang-undang diketepikan. Hakim belum mengarahkan bersumpah, tetapi sumpah laknat telah dibuat. Setelah sumpah laknat dilakukan, barulah ingin memberikan keterangan kepada JAWI.

Prinsip undang-undang menyebut, orang yang menuduh perlu membawa bukti dan yang dituduh perlu menafikan bukti-bukti tersebut.

Sama ada tuduhan Saiful itu sahih, biarlah mahkamah yang menentukan.

Namun, sehingga setakat ini, Anwar masih belum bersalah. Kerana prinsip undang-undang juga menyebut, orang yang kena tuduh belum bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

Maka selaku Muslim, saya perlu mengingatkan agar kita menolak fitnah ini. Sehinggalah pertuduhan ini dibuktikan di mahkamah.

Saya takut dengan situasi Hadis al-Ifk moden ini.

Benar, Anwar Ibrahim itu bukan maksum.

Mungkin anda ada berkata, "Janganlah disamakan Rasulullah saw dengan Anwar. Ini bukan macam Hadis al-Ifk. Ini Anwar lah. Manusia biasa."

Tetapi ayat-ayat Quran yang diturunkan adalah sebagai panduan kita semua. Selagi mana dunia ini wujud, selagi itu lah prinsip Quran dan Sunnah tetap relevan.

Ini bermaksud, peristiwa Hadis al-Ifk akan berlaku dari masa ke masa.

Saya berkewajipan mengingatkan fitnah ini wajar ditangkis, kerana apabila Saiful telah mengikut saranan Dr Asri, ramai yang telah percaya akan kebenaran sumpah laknat tersebut seterusnya membenarkan fitnah.

Maka takutlah kepada ayat Allah, Al-Anfal, 25, "Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya."

Serta hadis Nabi saw dari riwayat Muslim, "Zainab binti Jahsy R.A pernah bertanya Rasulullah S.A.W (yang bermaksud): Wahai Rasulullah S.A.W apakah kami akan binasa juga sedangkan ada di antara kami orang-orang yang masih berbuat baik (beramal soleh)? Rasulullah S.A.W menjawab: "Ya, apabila telah melata kejahatan"

Berdoalah agar sumpah laknat Saiful tidak terkena kepada masyarakat keseluruhannya

Dan peringatan dari Khalifah Umar Abdul Aziz, "Bahawa sesungguhnya Allah S.W.T tidak mengazab orang ramai dengan sebab perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang perseorangan. Tetapi kalau maksiat dilakukan terang-terangan sedangkan mereka (orang ramai) tidak mengingatkan, maka keseluruhan kaum itu berhak mendapat siksa."

Saya takut, sebab itu saya mengingatkan anda.

Laknat Allah kelak tidak turun kepada Saiful seorang, dan Abdullah b Ubai dibelakangnya sahaja.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP