Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

Wednesday, August 27, 2008

UMNO dan BN memang tahu mereka akan kalah dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lepas.

Dan fokus mereka sebenarnya adalah lebih untuk mengurangkan majoriti yang bakal Anwar dapat.

Umpamanya, pasukan bola sepak Malaysia sudah tahu akan kalah apabila melawan Chelsea tempoh hari.

Cuma persoalannya, berapa banyak gol yang akan kena.

Dan kali ini Anwar menang dengan majoriti lebih besar. Dia mendapat 31,195 undi.

Arif Shah pula 15,524 dan calon er.. Akim mendapat 92 undi.

Majoriti undi meningkat dari 13,398 menjadi 15,671. Tambahan 2273 undi. Tambahan 16 peratus.

Undi kepada UMNO/BN pula menurun dari 15,524 daripada 16,950. Pengurangan 1426 undi. Pengurangan 9 peratus.

Ini bermaksud UMNO/BN kalah besar. Kalah itu sudah pasti, majoriti Anwar bertambah dan undi kepada mereka pula makin berkurangan. Duit sudah ditabur. Janji... Hmm.. UMNO... lu pikirlah sendiri.

Ini menunjukkan taktik UMNO/BN membawa isu liwat, sumpah laknat Saiful Bukhari, tarikh mengundi hari bekerja, sumpah Altantuya, menurunkan harga minyak 15 sen, tidak membawa kesan, malah barangkali memakan diri.

Saiful bersumpah laknat, akhirnya Ramlang Porigi tampil memberikan cerita di balik tabir.

SPR umum waktu mengundi waktu hari bekerja dan kerajaan negeri Pulau Pinang umumkan cuti.

Dan pengundi Permatang Pauh telah memberikan jawapan. Ya. Mereka mahu Anwar ke Parlimen.

Selepas ini kita akan melihat gelagat Speaker Dewan Rakyat, sama ada mahu membenarkan Anwar segera mengangkat sumpah sebelum Bajet 2009 dibentangkan atau tidak.

Kalau Arif Shah yang menang, agaknya kalau boleh lepas SPR umumkan kemenangan, Parlimen dah buka.

Kini, rakyat Malaysia tertunggu-tunggu gerak politik Anwar seterusnya.

Anwar diluar Parlimen pun telah berjaya turunkan harga minyak sebanyak 15 sen, apa agaknya akan berlaku kalau beliau sudah berada dalam Parlimen?

Dan yang paling utama, 16 September 2008.

Adakah sejarah baru Malaysia akan tercipta?

Read more...

Gila Sumpah

Sunday, August 24, 2008

Kita kena faham, undang-undang ini ada undang-undang substantif dan undang-undang prosedur.

Dalam Islam, orang mencuri kena potong tangan. Tetapi bukan semua orang boleh potong tangan si pencuri tersebut. Hanya mahkamah yang boleh mengarahkan agar hukuman potong tangan tersebut dijalankan.

Substantif nya, potong tangan. Secara prosedur, mahkamah yang kena dengar kes tersebut dan mengarahkan hukuman hadd dijalankan sekiranya kes tersebut berjaya dibuktikan without any doubt.

Baru lah negara yang menjalankan undang-undang itu dilihat sebagai sebuah negara yang bersistem dan tersusun.

Madani. Hadharah. Hadhari. Ikutlah aliran politik mana yang anda suka. Yang penting perlu difahami, undang-undang Islam ini lengkap dengan prosedurnya sekali.

Bukan main hantam.

Bukan main cadang-cadang dan suruh-suruh sumpah.

Gila apa main-main sumpah.

Perdana Menteri bagi cadangan pun, Ketua Hakim tak perlu ikut pandangan tersebut. Perlu ada protokol. Perlu ada prosedur. Perlu ada pengasingan kuasa. Perlu ada cara tertentu.

Mufti bagi cadangan sumpah pun, bukan boleh terus-terus ikut. Sebab kita sudah ada mahkamah Syariah. Hakim mahkamah Syariah yang perlu keluarkan arahan. Kalau mufti ingin mencelah pun dalam sesuatu kes, beri pandangan yang dirasakan lebih sahih, maka ikutlah prosedur.

Baru nampak Islam itu agama yang teratur. Tidak cacamarba.

Mula-mula negara gempar, Saiful kata Anwar liwat dia. Sama ada suka-suka atau paksa rela, entahlah.

Lepas tu ada yang menyarankan, bersumpah mubahalah lah.

Lalu Saiful menyambut saranan tersebut diluar mahkamah. Dan Saiful pun bersumpah dengan lafaz ...

"Wallahi Wabillahi Watallahi ….Saya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada 26-6-08 iaitu pada tarikh tersebut Dato Seri Anwar IBrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta atas pengakuan ini maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat"

Ingatkan sumpah ini sampai disini sahaja ... Kemudian Najib Razak pun bersumpah juga ...

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya bersumpah bahawa saya tidak tahu dan tiada hubungan dengan wanita Mongolia. Saya tidak tahu kalau orang lain mahu bersumpah atau tidak tapi saya tahu saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ini diantara saya dengan Tuhan"

Sumpah menyumpah ini disambung pula oleh Tajol Rosli ...

"Saya tidak lakukan apa-apa mengenai tangkapan itu...dengan nama Allah. Wallahi...wabillahi...watallahi...saya tidak terbabit langsung dengan penangkapan kedua-dua Exco itu,"

Lepas ini, gamaknya semua bersumpah diluar mahkamah. Sumpah guna nama Allah sesedap oren.

Sebab itulah kalau mahu bernikah, kita perlu mencari jurunikah yang sah. Mengikut prosedur yang ditetapkan. Pendaftaran nikah mesti dibuat.

Malah, nak melafazkan cerai pun ada prosedurnya.

Bukan boleh nikah di mana-mana sahaja. Bukan boleh lafaz cerai ikut sedap.

Macam InsyaAllah nanti jadinya. Kalimah InsyAllah adalah lafaz mulia. Tetapi kini lafaz tersebut sudah jadi janji Melayu.

Adakah lafaz Wallahi, Watallahi, Walillahi kini akan menjadi mainan masyarakat?

Read more...

Hadis al-Ifk Moden

Tuesday, August 19, 2008

Jenayah fitnah itu lebih dahsyat kesannya kepada masyarakat daripada jenayah membunuh.

Jika tidak, masakan Rasulullah saw pun boleh terkesan dengan isu fitnah sebegini sehingga lah Allah swt menurunkan ayat 11-20 Surah AnNur.

Fitnah yang terkena terhadap Rasulullah saw ini adalah mengenai Sayyidatina Aisyah as yang dituduh membuat perkara kotor dengan seorang Sahabat, Shafwan ibnu Mu’aththal.

Peristiwa ini berlaku selepas peristiwa perang Bani Musthaliq pada bulan Syaaban tahun 5 Hijrah.

Akibat fitnah tersebut, Rasulullah saw menjadi sangat keliru sehinggalah Allah swt membersihkan diri Sayyidatina Aisyah dengan ayat tersebut.

Peristiwa ini dinamakan sebagai Hadith al-Ifk.

Perlakuan fitnah aksi liwat golongan Abdullah b Ubai moden di Permatang Pauh

Hari ini semua orang maklum Anwar Ibrahim dituduh meliwat Saiful Bukhari.

Tuduhan meliwat ini adalah tuduhan meliwat kali kedua.

Walaupun pertuduhan pertama, Anwar didapati tidak bersalah, tetapi dari sudut lain, tuduhan kedua ini adalah cukup perlu untuk menghalang Anwar dari terus aktif berpolitik.

Kaedah ini bertepatan dengan saranan Adolf Hilter yang berbunyi, "Make the lie big, make it simple, keep saying it, and eventually they will believe it."

Masakan teknik Adolf Hitler ini tidak berkesan? Jika teknik ini tidak terbukti berkesan, tidak mungkin Hitler boleh berkuasa begitu hebat pada satu masa dahulu.

Fitnah kali ini memang cukup simple.

Katakan sahaja, "Anwar meliwat Saiful."

Sama ada ia dilakukan secara suka sama suka, atau terpaksa, katakan sahaja, "Anwar meliwat Saiful."

Abdullah b Ubai moden dibelakang kes ini adalah amat bijaksana. Namun, siapakah Abdullah b Ubai yang merencana segala perancangan ini?

Tuduhan liwat kali ini dikeluarkan di saat Anwar sedang mengumumkan 16 September sebagai tarikh pertukaran kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini disedapkan pula dengan cadangan Dr Asri agar kedua-duanya bersumpah mubahalah.

Lalu Saiful bersumpah dihadapan kamera, dan bukannya di hadapan hakim, sehari sebelum penamaan calon di Permatang Pauh,

Perisanya bertambah, apabila selepas bersumpah, Saiful memberi pula keterangannya di JAWI.

Undang-undang diterbalikkan. Prinsip undang-undang diketepikan. Hakim belum mengarahkan bersumpah, tetapi sumpah laknat telah dibuat. Setelah sumpah laknat dilakukan, barulah ingin memberikan keterangan kepada JAWI.

Prinsip undang-undang menyebut, orang yang menuduh perlu membawa bukti dan yang dituduh perlu menafikan bukti-bukti tersebut.

Sama ada tuduhan Saiful itu sahih, biarlah mahkamah yang menentukan.

Namun, sehingga setakat ini, Anwar masih belum bersalah. Kerana prinsip undang-undang juga menyebut, orang yang kena tuduh belum bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya.

Maka selaku Muslim, saya perlu mengingatkan agar kita menolak fitnah ini. Sehinggalah pertuduhan ini dibuktikan di mahkamah.

Saya takut dengan situasi Hadis al-Ifk moden ini.

Benar, Anwar Ibrahim itu bukan maksum.

Mungkin anda ada berkata, "Janganlah disamakan Rasulullah saw dengan Anwar. Ini bukan macam Hadis al-Ifk. Ini Anwar lah. Manusia biasa."

Tetapi ayat-ayat Quran yang diturunkan adalah sebagai panduan kita semua. Selagi mana dunia ini wujud, selagi itu lah prinsip Quran dan Sunnah tetap relevan.

Ini bermaksud, peristiwa Hadis al-Ifk akan berlaku dari masa ke masa.

Saya berkewajipan mengingatkan fitnah ini wajar ditangkis, kerana apabila Saiful telah mengikut saranan Dr Asri, ramai yang telah percaya akan kebenaran sumpah laknat tersebut seterusnya membenarkan fitnah.

Maka takutlah kepada ayat Allah, Al-Anfal, 25, "Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya."

Serta hadis Nabi saw dari riwayat Muslim, "Zainab binti Jahsy R.A pernah bertanya Rasulullah S.A.W (yang bermaksud): Wahai Rasulullah S.A.W apakah kami akan binasa juga sedangkan ada di antara kami orang-orang yang masih berbuat baik (beramal soleh)? Rasulullah S.A.W menjawab: "Ya, apabila telah melata kejahatan"

Berdoalah agar sumpah laknat Saiful tidak terkena kepada masyarakat keseluruhannya

Dan peringatan dari Khalifah Umar Abdul Aziz, "Bahawa sesungguhnya Allah S.W.T tidak mengazab orang ramai dengan sebab perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang perseorangan. Tetapi kalau maksiat dilakukan terang-terangan sedangkan mereka (orang ramai) tidak mengingatkan, maka keseluruhan kaum itu berhak mendapat siksa."

Saya takut, sebab itu saya mengingatkan anda.

Laknat Allah kelak tidak turun kepada Saiful seorang, dan Abdullah b Ubai dibelakangnya sahaja.

Read more...

Kisah Adik-Beradik

Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, sebuah keluarga besar telah pergi piknik di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya raya. Ada tauke balak, ada tauke minyak, ada tauke minyak sawit, ada tauke getah, ada tauke emas dan macam-macam lagi. Namun, tidak mungkin dalam satu bakul buah itu, semuanya elok, pasti ada jugak yang busuk.

Sebenarnya kehidupan adik-beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Turki. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik-adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin itu semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mula lupa diri.

Satu hari, semasa keluarga ini berpiknik, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam. Perlakuan ini berlaku di depan khemah abang-abang yang kaya ini. Pencabulan si adik itu dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau kehidupan orang lain. Adik-adik yang lemah ini hanya mampu memandang dengan kesayuan. Tetapi si abang-abang hanya melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.

Tidak lama selepas itu pula, salah seorang adik lelaki mereka pula telah lemas dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru, bahaya.

Akhirnya, di saat adik perempuan mereka diratah dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu, dan adik lelaki pula hampir kelemasan di tengah lautan, mereka telah duduk berbincang sambil makan makanan yang mewah-mewah dan minuman yang lazat-lazat.

Tajuk persidangan kita hari ini adalah, "Cara-cara menyelamatkan adik perempuan yang dirogol dan adik lelaki yang kelemasan." Itulah kata si abang sulung selaku pengerusi majlis.

Adik-adik yang lebih muda dengan bersemangat hendak terus bergocoh dengan pendatang-pendatang haram tersebut, dan juga tanpa menghiraukan keselamatan, ingin sahaja terus menyelamatkan adik lelaki mereka yang semakin kelemasan itu. Tetapi dengan tenang si abang-abang berkata,"Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan. Cuba sikit hormat orang tua. Kita ambik jalan yang lebih berdiplomasi."

Akhirnya, si abang berjumpa dengan ketua pendatang haram tersebut.

"Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan rogol tu dulu. Kita buat gencatan nafsu."

Maka mereka pun berbincang. Sambil berbincang itu, pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berjalan sambil ditonton oleh adik-beradik yang lain.

Tentang si adik lelaki yang kelemasan, seorang dari mereka cuba mendapatkan bot penyelamat, tapi dihalang oleh abang yang lain.

"Hoi monyet...senyaplah... pengkhianat!" Getus hati si adik yang tidak puas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.

Akhirnya adik-adik berdarah muda telah diketepikan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda ada yang dikenakan akta Ikut Suka Aku, dikhatankan buat kali kedua, dirosakkan khemahnya dan pelbagai lagi. Manakala, adik-adik perempuan muda pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.

Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat kununnya tergempar pula. Kali ni mereka agak sepakat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul adik perempuan kami."

"Selamatkan adik kami yang kelemasan."

Tetapi mereka hanya memasang banner di sepanjang pantai tersebut. Dengan harapan, ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka semakin terus dicabul. Pakaian adik perempuan mereka sudah tidak ada lagi di tubuh. Adik-beradik tadi hanya terus menonton drama cabul mencabul itu dari dekat selepas bermesyuarat yang kununnya tergempar itu.

Adik lelaki mereka pula sekiranya tadi tangannya kelihatan, kini seolah-olah sudah hampir mati. Hanya menunggu malaikat maut datang mengambil nyawa. Lalu, diangkatlah lagi banner "Selamatkanlah adik kami yang kelemasan" setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang membantu.

Bila melihat banner itu tidak berkesan. Mereka bermesyuarat lagi. Dan mereka mengeluarkan banner yang baru. Yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan terus dinodai. Adik lelaki sudah semakin hanyut di tengah lautan... adik-beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan banner dengan wording yang lebih menarik....

Itulah kisah keluarga besar di satu tempat yang dirahsiakan namanya.

catatan pakdi...
+ adik perempuan itu bernama Palestin.
+ adik lelaki itu bernama Iraq
+ abang-abang itu negara Arab yang kaya raya
+ adik-adik yang senyap itu negara umat Islam yang membangun / mundur.
+ adik-adik yang berdarah muda itu gerakan-gerakan Islam
+ mesyuarat itu pula ada mesyuarat OIC
+ bapa yang mati adalah khalifah

Wallahu'alam.

[Nota: Post ini adalah post yang mempopularkan nama Pakdi dalam dunia blog. Pernah diplagiat dan diterbitkan dalam majalah yang terkenal. Pertama kali diterbitkan untuk tatapan semua pada hari Jumaat, 7 Mac 2003.]

Read more...

Sekumpulan Penyokong PKR Pukul Wartawan

Monday, August 18, 2008

Semua orang tahu, sewaktu penamaan calon, pusat pengiraan undi, dan pengumuman kemenangan calon dalam pilihanraya, kalau tidak beribu, sudah pasti beratus polis berpakaian seragam dan preman akan berada di situ.

Jadi, bukan senang nak buat kecoh. Apatah lagi kalau mahu guna kekerasan.

Tapi di Permatang Pauh Sabtu lepas, dikhabarkan ada wartawan yang dibelasah oleh sekumpulan penyokong PKR.

Sekumpulan itu maksudnya ramai. Bukan hanya seorang dua yang terlibat.

Hebat sungguh sekumpulan penyokong PKR ini, walaupun dengan kehadiran beribu-ribu polis di kawasan penamaan calon, sekumpulan penyokong PKR ini masih sempat membelasah wartawan.

Sama ada polis tidak tahu, atau gagal mengesan kejadian itu berlaku. Itu saya tidak pasti.

Apa yang pasti, beribu-ribu polis berpakaian seragam dan preman ada disitu dan sekumpulan penyokong PKR ini berjaya dengan cemerlang, gemilang dan terbilang untuk membelasah wartawan.

Anwar Ibrahim tentu bangga ada sekumpulan penyokong PKR ini. Sudah tentu kehadiran sekumpulan penyokong PKR ini amat diperlukan sekiranya Anwar Ibrahim ingin ditahan oleh pihak polis dalam salah laku kes liwat jika perlu kelak.

Bukan mudah untuk mempunyai sekumpulan penyokong PKR yang boleh membelasah wartawan beramai-ramai dengan kehadiran ribuan polis dan anggota keselamatan di sekitar.

Sekumpulan penyokong PKR ini bukan calang-calang orang. Ribuan polis yang ada disekitar pun mereka tidak takut. Malah berjaya melakukannya tanpa seorang daripada mereka pun berjaya ditangkap oleh polis.

Yang berjaya ditangkap hanyalah gambar-gambar mereka dengan aksi memukul.

Sekumpulan penyokong PKR ini dikatakan memukul wartawan tersebut kerana sedang mengambil gambar mereka. Mereka berang, marah lalu jom ramai-ramai kita pukul.

Tetapi sekumpulan penyokong PKR ini tidak pula berang dan marah kepada orang yang berjaya mengambil gambar mereka yang sedang memukul wartawan tersebut. Tidak ada tanda-tanda pun orang yang mengambil gambar mereka sedang membelasah itu tadi cuba menghalang perbuatan ganas mereka itu dirakam.

Gambar-gambar nya sungguh jelas sehingga boleh ditunjukkan di akhbar-akhbar, berita TV malah Pak Lah dan pemimpin UMNO lain pun boleh komen.

Kalau berang sangat dengan wartawan yang mengambil gambar mereka, kenapa dibiarkan orang yang mengambil gambar mereka beraksi ganas dibiarkan sihat walafiat? Diskriminasi?

Teringat pula kes bakar bendera di Batu Burok, Terengganu. Ada saja orang yang sempat mengambil gambar si pembakar bendera tersebut, dan pembakar bendera tersebut tidak pula berang aksi ganasnya dirakam dalam lensa kamera.

Kalau sudah dapat gambar dengan jelas begitu, sudah tentu polis akan ambil keterangan dulu dari orang yang berjaya menangkap gambar-gambar itu tadi.

Ikut logik akal, tiada siapa berani nak belasah orang lain secara terang-terang apabila ada ribuan polis di sekitar.

Pencuri mana yang bodoh sangat mencuri barang orang lain semasa diperhatikan polis?

Tetapi sekumpulan penyokong PKR ini sungguh berani. Sampai dia boleh agak kalau polis tahu pun, polis tidak akan berusaha menangkap dan memberkas mereka.

Susah sangat agaknya nak suruh FRU datang membelasah dan menangkap sekumpulan penyokong PKR yang buat kacau ini.

Atau buta sungguh polis-polis yang bertugas di Permatang Pauh tempoh hari. ]

Tak mungkin polis pengecut. Buat apa jadi polis kalau pengecut.

Musa Hassan perlu siasat hal ini. Bagaimana ribuan polis boleh gagal mengesan kejadian ini berlaku on the spot dan terus mengambil tindakan yang wajar?

Kalau Ahmad pukul Abu, mungkin susah nak kesan.

Tapi kalau Ahmad, Abu dan 15 orang kawan-kawan lain memukul dan membelasah, takkanlah seorang polis dari ribuan yang ada pun tidak boleh perasan?

Rakyat Malaysia dalam bahaya kalau itu halnya.

Baca: Eh, Itu SB. Ini SB. La, diorang menyamar jadi media ...

Read more...

Sumpah Saiful

Saturday, August 16, 2008

Semasa Anwar Ibrahim dibacakan pertuduhan di mahkamah tempoh hari, Anwar dituduh dibawah Seksyen 377B, Kanun Keseksaan atau lebih dikenali sebagai Penal Code.

S. 377B ini maksudnya Saiful dan Anwar keduanya berseronok-seronok dan bersukaria semasa perbuatan itu dilakukan dan kedua-duanya mesti dihukum mengikut undang-undang.

Tetapi disebabkan Saiful mengadu dahulu, maka hanya Anwar sahaja yang didakwa dibawah pertuduhan S 377B, walaupun dua-duanya suka dan rela.

Menteri kata itulah sebabnya Saiful tidak didakwa bersama Anwar.


Maka untuk membuktikan dirinnya betul, peristiwa berseronok-seronok ini memang berlaku,maka Saiful pun bersumpah di Masjid Wilayah semalam.

Wallahi Wabillahi Wattallahi. Itu sumpah Saiful.

Ikut cakap ulama katanya. Sebab itu Saiful bersumpah dengan nama Allah, di masjid, dengan Al-Quran.

Akhirnya Saiful mahu juga ikut cakap orang bijak pandai agama.

Tidak tahu pula sama ada Saiful tahu kesan baik dan buruk sumpah itu atau tidak dan dia betul-betul merujuk ulama mengenai hal ini.

Tapi masa berseronok-seronok dahulu, dia tak mahu ikut pula cakap orang bijak pandai agama agar menjauhi zina. Zina pun dilarang, liwat apatah lagi.

Sama ada dia jahil atau dia terlupa, itu Saiful sahaja yang tahu.

Mungkin dia terlupa.

Tapi kenapa dia tidak berjumpa dengan mana-mana ulama terlebih dahulu, tetapi memilih untuk berjumpa Najib Razak terlebih dahulu untuk mengadu yang dia pernah berseronok-seronok dengan Anwar.

Najib Razak itu orang bijak pandai agama kah?

Yang pelik lagi, selepas jumpa dengan Najib Razak dan mendapat bantuan biasiswa, dilaporkan pula kes ini ke mahkamah sivil, bukan mahkamah Syariah.

Sejak bila mahkamah sivil ini menggunakan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan?

Anwar pula buat laporan qazaf di mahkamah Syariah, tetapi sampai sekarang belum dengar apa pegawai Syariah telah buat dalam kes Anwar.

Dr Asri kata Anwar kena bersumpah, Saiful juga kena bersumpah.

Dan kini Saiful sudah bersumpah, tetapi Anwar belum bersumpah lagi.

Tetapi apa perlu Anwar bersumpah diluar arahan mahkamah Syariah kalau Anwar sudah melaporkan kes ini kepada JAWI? Biarlah hakim mahkamah Syariah yang mengarahkan sumpah dibuat, kalau sumpah itu ada peruntukannya berdasarkan undang-undang Syariah.

Kalau mufti ingin campur tangan, biarlah ikut prosedur yang ada. Susahlah kalau nanti kesemua 14 Mufti beri 14 pandangan berbeza dan Saiful dan Anwar kena ikut semua cakap mereka. Sedangkan kes ini sudah dilaporkan ke mahkamah Syariah.

Saiful memang suka jika Anwar tidak bersumpah. Ini menunjukkan memang berlaku peristiwa berseronok dan bersukaria itu.

Orang-orang yang berada di belakang Saiful tentulah lagi seronok. Video saiful ini boleh dijaja di Permatang Pauh.

Dr Asri itu ulama. Saiful ikut cakap ulama dan bersumpah. Anwar pula tidak mahu ikut dan tidak bersumpah.

Orang kampung bukan tahu sangat S.377B. Bukan tahu sangat urusan, dan prosedur mahkamah Syariah.

Yang penting, Dr Asri sudah suruh bersumpah dan Saiful sudah bersumpah.

Dan modal sumpah ini sangat penting untuk pilihanraya kecil Permatang Pauh nanti.

Read more...

Isu Kuota UiTM

Thursday, August 14, 2008

Sesiapa pun boleh tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim tentang kuota 10% hak bumiputera di UiTM. Itu hak masing-masing.

Cuma apa yang menarik dilihat dalam isu ini adalah wujudnya golongan Melayu yang bermuka-muka dalam mempertahankan hak orang Melayu dan Islam.

Saya tertanya-tanya juga, dulu ketika Tun Dr Mahathir menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pembelajaran Sains dan Matematik, di manakah golongan Melayu ini menyorok?

Sekiranya yang menyuarakan hasrat ini adalah individu yang bernama Najib Tun Razak, adakah golongan orang Melayu ini akan membantah secara terbuka?

Ketika kerajaan mengurangkan kuota biasiswa orang Melayu, kenapa golongan orang Melayu ini tidak muncul?

Saya hanya terdengar Ibrahim Ali sahaja yang menyuarakan isu ini secara tegas di Parlimen tempoh hari.

Seperti yang saya sebut tadi, itu adalah hak masing-masing untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Apa yang dikesalkan kenapa golongan Melayu ini tidak konsisten dengan bantahan mereka?

Kenapa bila Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyebutnya baru kelihatan wira-wira baru Melayu ini?

Ketika PAS mempertahankan Islam bermati-matian dalam isu murtad, baru-baru ini barulah muncul kembali golongan Melayu ini untuk bersama-sama membantah forum anjuran Bar Council.

Dulu hanya PAS, dan segelintir orang Melayu sahaja yang ambil berat isu murtad ini.

Hantar lah memorandum, kutuk lah, kecam lah tindakan Tan Sri Khalid itu, tetapi kalau Abdullah Badawi atau Najib Razak dan para menteri kabinetnya mencabar Melayu dan Islam, jangan lupa hantar memorandum, berarak dengan berbaju hitam juga.

Melayu itu Islam. Islam itu Melayu. Itu kata Perlembagaan Persekutuan.

Tapi bila Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu, royalti minyak ditarik balik, tiada pula golongan Melayu ini membantah sebegini. Sedangkan Terengganu ini negeri orang Melayu.

Bila ada orang Melayu bernama Zaid Ibrahim mencabar undang-undang Islam di Terengganu dulu, di manakah orang-orang Melayu ini menyorok?

Bukankah Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Read more...

Muktamar PAS 2008

Muktamar kali ini adalah sangat penting buat PAS. Sebab ini adalah kali pertama PAS bermuktamar selepas membentuk kerajaan di 5 negeri. Adakah ahli-ahli PAS bersedia berfikir sebagai government in waiting atau masih berada di takuk lama - pembangkang. Itu lah yang perlu difikirkan bersama.

(Nota untuk kanak-kanak baru mumayyiz: Muktamar = Perhimpunan Agung / Perhimpunan Tahunan)

Semoga ahli-ahli PAS yang menjadi pegawai PAS di negeri-negeri ini tidak bersikap seperti Setiausaha Menteri yang mengarut ni.

P. Ramlee dalam filemnya, Ali Baba Bujang Lapok dan 40 orang Penyamun telah menunjukkan betapa para pengikut selalunya yang merosakkan pemimpin, justeru, pendokong PAS perlu berhati-hati selepas memerintah 5 negeri ini.

Read more...

Puteri PAS?

Wednesday, August 13, 2008

Kenapa PAS pun mahu mengikut tindakan UMNO khususnya untuk menubuhkan Dewan Muslimat Muda atau Puteri PAS?

Dilaporkan dalam HarakahDaily, ini adalah usul Muslimat Melaka.

Setahu saya Puteri UMNO ditubuhkan kerana Wanita UMNO tidak mahu berubah, mendengar suara anak muda seterusnya mengambil golongan professional wanita muda untuk bergerak dalam UMNO.

Wanita UMNO melihat golongan wanita muda yang cantik-cantik, bijak pandai, berpelajaran tinggi ini sebagai cabaran status-quo mereka.

Adakah Dewan Muslimat PAS juga ada sikap begitu sehingga perlu menubuhkan Dewan Muslimat PAS Muda?

Tidak cukup dengan unit Amal Nisa'?

Apa kata Sebol selaku orang PAS Melaka?

Read more...

Debat Pak Lah vs Anwar (?)

Saturday, August 09, 2008

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos.

Pembentangan Belanjawan 2009 pula, 29 Ogos.

Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menang, kita akan lihat Pak Lah vs Anwar di dalam Parlimen secara live!

Barangkali lebih hebat dari debat Anwar dan Shabeery.

Mulut siapa pula bakal berbuih-buih selepas ini?

Read more...

Anwar Dibebaskan Dengan Jaminan

Thursday, August 07, 2008

Anwar dibebaskan dengan jaminan.

Cerita lanjut meh baca di blog seorang peguam yang secara tidak sengaja termasuk dalam kamar mahkamah yang membicarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mahkamah Menyebelahi Anwar

Read more...

Anwar Didakwa Esok

Wednesday, August 06, 2008

1.
Anwar Ibrahim telah disapina oleh pihak polis.
Dia akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Duta.

KUALA LUMPUR, WED (updated: 1:40pm) (source: NST)

Police today served a subpoena on Parti Keadilan Rakyat (PKR) advisor Datuk Seri Anwar Ibrahim to be present at the Kuala Lumpur Magistrate’s Court, Jalan Duta tomorrow.

The subpoena was served by the head of CID, Brickfields District Police Headquarters, DSP Jude Pareira, at Anwar’s residence in Segambut Dalam, here at about 12.05 pm.

Pareira, however, did not explain the contents of the subpoena nor the purpose of Anwar’s presence at the court tomorrow.

When contacted, the PKR headquarters confirmed that Anwar had received the subpoena.

The PKR advisor is expected to hold a press conference at the PKR headquarters at 3 pm today.

Meanwhile the New Straits Times received an official statement from the Deputy Inspector-General of Police Tan Sri Ismail Omar that the police has completed its investigation on the alleged sodomy report involving Anwar and has forwarded the investigation papers to the Attorney-General's office for advice and decision.

The AG's office has decided to charge Anwar in court, the statement said.

2.
Hari ini juga diumumkan tarikh Pilihanraya Kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos. Penamaan calon pada 16 Ogos 2008. Eh, kebetulan ?

Read more...

Liga Super: BN Athletic vs Anwar FC

Tuesday, August 05, 2008

Perlawanan terhebat tahun ini. Bertempat di Stadium Permatang Pauh.

Selepas kita menyaksikan aksi pemain Eropah dari kelab Chelsea mengalahkan pasukan Malaysia 2-0 di Stadium Shah Alam minggu lepas, Malaysia sekali lagi bakal menyaksikan aksi sebuah kelab bolasepak ternama dari Tanah Malaya 1969, BN Athletic dalam siri jelajahnya ke Permatang Pauh pertengahan Ogos ini sebagai persediaan sebelum musim baru Liga Perdana Pakatan Rakyat bermula 16 September depan. BN Athletic bakal melayan tuan rumah, Anwar FC di Permatang Pauh pertengahan bulan ini

Pasukan ini bakal dibarisi pemain-pemain bertenaga hasil gabungan dari pemain berpengalaman dan baru. Menurut pengurusnya, Sir Abdullah Badawi pasukan beliau akan menggunakan formasi yang pelik dan tidak penah digunakan oleh mana-mana kelab di dunia ini. Beliau mempertaruhkan formasi 0-6-4 ketika menentang Anwar FC nanti iaitu tidak menggunakan pertahanan.

Berikut adalah line-up kesebelasan utama BN Athletic :-

Goalkeeper - Ahmad Shabery Cheek

Menjaga benteng pertahanan terakhir pasukan sama ada membenarkan stesen TV menyiarkan keputusan perlawanan atau tidak jika pasukannya tewas di tangan Anwar FC atau menyembunyikan keputusan tersebut. Mampu menangkis rembatan pasukan lawan kerana beliau selalu meludah lebihan air liurnya untuk disapukan ke kedua-dua glove tangannya supaya bola melekat.

Right Midfielder – Syed Hamid Albar

Kemahiran menanduk bola adalah senjata utamanya kerana kilauan pada kepalanya mampu membuatkan pemain lawan silau. Ini membuatkan pihak lawan keliru dan sering tertukar menendang kepala beliau atau bola.

Left Midfielder – Musa Hassan

Selalu menyimpan senjata mainan seperti pistol, water canon, belantan dalam poket seluarnya ketika berada di padang permainan walaupun telah dimarahi penonton sebelum ini. Jerseynya ditempah khas dengan membuat poket ditepi semata-mata mahu menyimpan gari untuk digunakan ketika bermain.

Central Midfielder – Abdul Gani Patail

Pemain ini terkenal kerana sering mempertikaikan keputusan pengadil. Sering mengeluarkan hujah-hujah ketika berbalah dengan pengadil. Pernah mengumpul koleksi kad merah dan tiket kapal terbang MAS ketika beliau sering berulang-alik ke Terengganu menyelesaikan kes lempar batu dari penonton.

Central Midfielder – Pirdaus Ismail

Memiliki tendangan kaki yang padu dan kuat dan sering dibandingkan dengan pemain Eropah lain seperti Francesco Totti. Mampu menendang selaju 124.2 m/s ke gawang lawan. Apabila ditanya rahsia memiliki tendangan kuat itu, beliau memberitahu wartawan beliau berlatih menendang tong sampah ketika pilihan raya.

Defensive Midfielder – Najib Razak ( C4 )

Ketua pasukan yang digeruni pihak lawan kerana sering mengugut pemain lawan dengan ancaman bom dan bunga api. Latihan ala ketenteraan beliau banyak membantu mempertingkatkan skill mengelecek bola. Diarahkan pengurus pasukan supaya menjaga pergerakan kapten Anwar FC nanti.

Attacking Midfielder – Abdul Rashid Abd Rahman

Pelik tapi benar. Beliau merupakan pemain BN Athletic utama tetapi dalam masa yang sama dilantik menjadi pengadil prlawanan. Banyak mempengaruhi kemenangan BN Athletic
musim lepas sehingga turun divisyen dan kerap membatalkan gol yang dijaringkan pihak lawan kerana penjaga golnya tidak bersedia.

Central Forward – Noh Omar

Pemain yang berani tapi takut. Macam mana tu? Beliau memiliki mulut yang lantang bercakap di sidang media sahaja. Tapi apabila beraksi di padang, BN Athletic seolah-olah bermain 10 orang. Kelibatnya jarang kelihatan di padang. Pernah melabelkan kapten Anwar FC bukan anak jantan disebabkan bermain di Stadium Permatang Pauh bukan di Stadium Tertutup Tanjung Karang.

Central Forwad – Shahril Samad

Bakal turun sebagai penggempur utama kerana kelebihan memiliki simpanan minyak yang lebih. BN Athletic betul-betul memerlukan pemain sepertinya kerana pandai mencurahkan lebihan minyak subsidi rakyat di tengah-tengah padang permainan dengan tujuan supaya
pemain pihak lawan licin dan terjatuh. Rambut putih ala-ala Beckham beliau banyak membantu menaikkan populariti beliau musim ini.

Striker – Ezam Md. Noor

Perpindahan penyerang prolifik ini dari kelab lamanya Anwar FC banyak menimbulkan tanda tanya berikutan perjanjian harga perpindahan yang dirahsiakan. Bagaimanapun penyerang ini yang mampu menyumbat gol dari sudut sukar mempunyai kelebihan mengawal bola di dalam kotak-kotak penalti. Berapa banyak kotak daaaa…

Striker – Saiful Bukhari

Terbaru. Penyerang muda ini sekarang menjadi rebutan kelab-kelab ternama eropah berikutan penyebaran gambarnya dengan ejen-ejen kuasa besar bolasepak eropah. Bakal menggempur pertahanan Anwar FC nanti dengan trademark tendangan menggunakan punggungnya yang dipanggil ‘reverse ass kick’.

* Terima kasih Eda atas emel yang diforwardkan diatas.

Read more...

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

Monday, August 04, 2008

Siapa calon pilihan UMNO & Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil nanti?

Gaya Ezam ketika mengutuk UMNO

Adakah calonnya adalah manusia tak tau malu yang mengaku dirinya adalah pendekar sejati, iaitu saudara Mat Ezam, atau

Lelaki Yang Disangka Gagah Tetapi ...

Atau calonnya adalah lelaki lembik dan tak pandai tendang anu Anwar Ibrahim masa nak kena liwat, iaitu Mohd Saiful Bukhari,


dengan Ketua Umum Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita nantikan.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP