Sunday, January 09, 2005

Kucing mengayuh basikal

Hishamuddin Rais

Di Malaysia ini ada dua perkataan/konsep yang amat selalu digunakan oleh para wartawan. Perkataan/konsep ini digunakan khusus dalam media cetak dan media elektronik yang berbahasa Melayu. Saya tidak tahu sama ada perkataan/konsep yang sama digunakan juga di akhbar Tamil atau Mandarin. Saya tidak berkeupayaan untuk membaca akhbar-akhbar tersebut. Dua perkataan/konsep ini ialah: unik dan bersejarah.

Setiap hari ada sahaja laporan berita di akhbar yang menyebutkan tentang satu sejarah telah dibuat. Perdana Menteri membuat �tele-conferencing� dilapor sebagai sejarah. Filem Melayu yang memiliki lamanweb, ini satu sejarah. Menteri membuat tali gasing satu lagi yang bersejarah. Menteri melakukan dua lawatan; ke kandang lembu dan ke kandang kambing, menjadi sejarah yang menggemparkan. Perdana Menteri tersepak tunggul satu lagi sejarah. Sebuah kumpulan rap membuat rakaman di Los Angles, beeb, ini memang sejarah.

Kemudian si malaun yang sama akan melaporkan pula bahawa di Malaysia ini ada orang Melayu, ada orang Cina, ada orang India - ini adalah unik. Di Malaysia ada sambutan Hari Raya, ada sambutan Dewali, ada sambutan Krismas - ini dianggap unik.

Di Malaysia ada tombong kelapa, ini juga satu yang unik. Di Malaysia kita ada radio, ada leterik, ada pokok kelapa - ini juga unik. Di Malaysia ada sasterawan wanita yang menulis buku tebal, ini menjadi unik. Malaysia mengeluarkan kereta dan ada lebuhraya - wow ini laaaaaagi unik.

Di awal tahun 2005 ini, saya ingin mengimbau kembali tentang berita-berita sejarah yang telah dilaporkan oleh media kita. Saya juga ingin mengingatkan kembali orang ramai tentang beberapa perkara-perkara unik yang seharusnya terus terpahat dalam ingatan kolektif kita bersama.

Beberapa tahun kebelakang ini orang ramai selalu terbaca tentang laporan yang telah dibuat kepada pihak polis. Laporan polis telah menjadi satu genre politik yang telah diteroka oleh parti pembangkang.

Kes Sharifah Aini

Laporan-laporan polis ini telah digunakan sebagai agenda politik untuk menekan dan memperlekeh parti yang memerintah. Tetapi akhir-akhir ini, pihak artis juga telah menggunakan laporan polis bukan untuk menentang musuh tetapi untuk memperlihatkan kesucian hati nuraini mereka.

1. Apa telah jadi dengan laporan polis dari biduan tersohor Sharifah Aini terhadap cubaan untuk membunuh Kak Pah. Ini satu laporan polis yang amat serius. Penyanyi montok bersuara merdu ini telah disuntik lengannya di hadapan bangunan Sri Pentas - ibu pejabat stesen TV3. Sebagai peminat setia Sharifah Aini, saya merasa tersentak kerana cara percubaan membunuh ini
mengingatkan saya kepada teknik KGB.

Di zaman perang dingin dahulu, agensi perisik Russia ini telah membunuh beberapa musuh politik USSR melalui teknik suntikan. Dari laporan akhbar, pembaca telah diberitahu bahawa ada seorang Amoi yang telah datang membantu Kak Pah semasa Kah Pah jatuh ke dalam longkang. Siapa Amoi ini ? Apa peranan Amoi ini? Apakah Amoi ini seorang ejen KGB? Apa telah terjadi kepada laporan tuan doktor yang telah dibayar RM10,000 untuk mengkaji selidik 'ubatan' yang telah meresapi kulit licin penyanyi kesayangan saya ini.

Pihak polis telah beberapa kali membuat janji untuk menghebahkan hasil siasatan mereka. Saya dan puluhan peminat setia Kak Pah masih tertunggu-tunggu laporan polis ini. Polis berbohong atau Kak Pah yang semakin subur ini temberang?

2. Jangan terlupa dan sila ingat kembali tentang Enam Kotak Ezam. Apa pula yang terjadi dengan Kotak Ezam yang telah menggelorakan suasana politik negara empat tahun dahulu. Ezam Muhamad Nor, ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah dihadapkan ke mahkamah kerana kes kotak ini. Di mana kotak ini sekarang ?

Adakah ianya tertanam di Kamunting atau tersimpan dalam peti besi di penjara Kajang? Siapa yang sedang menyimpannya? Kenapa pihak polis tidak gian terhadap kotak-kotak ini ? Apa hubungan kotak Ezam ini dengan rambut palsu Sami Veloo? Apa yang masih tersimpan didalam Enam Kotak Ezam ini?

Kebakaran Dewan Tunku Canselor

3. Inchek Keeyvas pemimpin parti Pok Pak Pek (PPP) telah telah membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengetahui rahsia kebakaran Dewan Tunku Canselor pada tahun 2001 lalu. Yang berhormat ini telah bertegang-tegang leher mengatakan dia memiliki maklumat tentang 'orang jahat' yang bertanggungjawab membakar DTC.

Pada hemat saya, maklumat ini wajib disampaikan kepada pihak polis kerana ada unsur-unsur sabotaj terhadap keselamatan negara. Ini kerana turut terbakar sama di DTC ialah semua manuskrip dan tulisan ilmiah Datuk Seri Paduka Profesor Diraja Ungku Aziz yang telah lama terkumpul. Bukankah kebakaran ini sama seperti terbakarnya kapal La Fleur yang telah memusnahkan manuskrip klasik Melayu yang telah dipungut oleh Raffles di Melaka.

Terbakarnya manuskrip klasik Melayu ini telah dilihat oleh para sasterawan Melayu sebagai sebab utama yang telah menumpulkan kreativiti fikrah mereka. Apakah kebakaran DTC ini juga satu sabotaj yang akan menyebabkan fikrah Melayu akan terbantut lagi selama 100 tahun? Siapa pembakar DTC ini? Apa yang ingin disorokkan oleh Keeyvas? Kenapa polis tidak memanggil YB ini untuk mendapatkan maklumat penting ini?

4. Apa pula telah terjadi dengan Dinar Emas yang telah dilaporkan dengan meluas oleh media kita sebagai satu langkah ekonomi yang unik lagi bersejarah. Saya sebagai pengumpul emas dan berlian ingin mengetahui siapa pemegang mohor-mohor Dinar Emas ini. Saya yang semakin tidak bagitu yakin terhadap kertas ringgit Malaysia ingin menukarkan segala ringgit saya kepada Dinar Emas. Hingga ke hari ini saya telah gagal melakukannya. Saya ingin bertanya di bank mana saya dapat mencari emas ini. Dan kenapa Dinar Emas ini tidak dapat saya temui di Jalan Masjid India atau di Jalan Tambi Abdullah?

5. Saya, sebagai pembuat filem merasa amat berbangga apabila Datuk Jin Shamsuddin telah dilantik sebagai senator. Ini satu sejarah yang unik. Penganugerahan ini adalah contoh bahawa filem kita, wajah kita, telah di murtabatkan ke saentero dunia. Tetapi apa terjadi dengan filem Pasir Salak Senator Jin sendiri? Bukankah telah beberapa kali filem Pasir Salak dianggap
bersejarah dan unik? Saya telah membaca satu temuramah bagaimana Datuk Jin telah menempah pakaian dan senjata purba untuk filem ini.

Apakah kapal dan perahu-perahu yang dibuat sebagai prop untuk filem ini masih wujud. Saya bertanya kerana prop-prop ini sedang berlabuh di Sungai Perak semasa kita dilanggar tsunami. Jika perahu-perahu itu terselamat dari tsunami kenapakah ianya tidak kita gunakan untuk menghantar kain baju dan roti bantal kepada mangsa tsunami di Aceh?

Mister Khan!

6. Siapakah dia insan yang bernama Tahir. Akhbar kita telah melaporkan yang Tahir ini adalah satu nama yang unik lagi bersejarah. Tetapi apakah hubungan Tahir dengan Kak Endoon. Benarklah Tahir ini telah juga meminang anak Kak Endoon tetapi ditolak. Dan bagaimana pula hubungan Tahir dengan ahli perniagaan global yang bernama Kameluddin a.k.a Mister Khan?

Apa perniagaan si Tahir di Sri Lanka? Apakah kaum keluarga si Tahir terselamat dari serangan tsunami? Kenapa pula si Tahir ini ditahan dibawah ISA dan ditempatkan di Kamunting? Apakah Tahir telah dihantar ke Kamunting untuk menyiram kebun sayor saya di Blok 2B yang telah saya wakafkan kepada si Al-Maunah?

7. Kalau kita peminat stesen Astro, pasti setiap malam kita akan berpeluang melihat filem-filem Amerika tentang pembunuhan. Naratif filem ini juga akan membongkar teknik dan kerja-kerja penyiasatan polis Amerika yang akhirnya akan membawa si pembunuh ke mahkamah keadilan. Pejahat dan polis di Amerika hebat sekali, tetapi tidak seunik jenayah yang berlaku di Malaysia.

Di Malaysia ada beberapa kes bunuh yang masih belum selesai dan orang ramai masih tertunggu-tunggu. Siapa pembunuh Mustakizah - gadis comel pemilik kedai video di Melaka? Siapa pula yang membunuh Norjan? Dan siapa dia ' mystery-man' yang telah membunuh Norita. Ke mana perginya telefon bimbit Norita? Kenapa pihak polis tidak mencari 'mystery-man' ini. Apakah mystery man ini telah bercucu dan wajib dipanggil datuk? Rakyat Malaysia sedang menunggu pasukan Gerak Khas RTM untuk menyelesaikan kes-kes ini.

8. Ingat 18? Lapan Belas? Apa dia lapan belas ini? Ini adalah angka jumlah perasuah yang akan dihadapkan ke mahkamah keadilan. Antara mereka yang akan ditahan dan akan dibawa ke mahkamah termasuk seorang menteri dan beberapa perasuah ternama. Ini bukan angka dari saya. Saya hanya menyambungkan kenyataan yang telah dibuat oleh Rais Yatim. Rais Yatim ini bukan pendatang haram dari Bukit Tinggi tetapi seorang menteri dalam kabinet kerajaan hari ini: ertinya beliau memiliki maklumat saheh.

Tetapi hingga ke hari ini ke mana hilangnya 18 perasuah ini? Apakah kerana nama Ling Liong Sik, Sami Vellu, Rafidah Aziz, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah dan dan Syed Husin Ali termasuk dalam senarai 18 orang ini, maka kes 18 ini disenyapkan? Saya membuat anggapan ini berdasarkan kenyataan Rais yang cukup jelas - BPR tidak memilih bulu, pangkat atau parti. Tetapi kenapa hingga ke hari ini masih tidak ada apa-apa tangkapan dibuat. Orang ramai masih ternanti-nanti untuk melihat nama dan muka 18 perasuah ini. Apakah akhirnya angka 18 ini akan menjadi angka warisan untuk diturunkan ke anak cucu cicit dari kementerian Rais Yatim?

Di mana kereta antik Bufari

9. Kita ada Kancil. Kita ada Rusa. Kita ada Kelisa. Tetapi apa telah terjadi dengan Bufari? Apa terjadi dengan kereta yang unik lagi bersejarah ini? Ke mana menghilangnya kereta ini. Bukankah semasa kereta Bufari dilancarkan, media kita bukan main heboh terloncat terhambur menerangkan kepada umum betapa uniknya negara Malaysia � bukan sahaja negara ini ada api elektrik tetapi Malaysia berupaya untuk membuat kereta antik.

10. Saya juga sering tertanya-tanya di manakah perginya Aishah. Si Dia ini ialah gadis yang telah bertukar agama - dari pemeluk agama Nabi Muhamad kini menjadi pemeluk agama Nabi Isa. Aishah telah bertukar nabi. Aishah telah memilih nabi yang lebih awal. Sebenarnya, saya pernah terlihat dan terbaca poster-poster yang mengiklankan gambar gadis cun ini. Saya ingin bertanya apa pula terjadi dengan kes 'bergaduh' di antara keluarga Aishah dengan keluarga bakal suami Aishah. Jawapannya masih saya nanti-nantikan.

11. Hingga ke hari in, saya tertanya-tanya - anak Datuk manakah yang 'tersangkut' dalam kes bunuh di Sri Hartamas. Ini kes pembunuhan yang besar. Dari apa yang saya baca anak Datuk ini telah dibawa ke balai polis Brickfields. Saya tinggal tidak berapa jauh dari balai polis ini. Setiap hari saya akan melintas di hadapan balai ini. Sayangnya ketika anak Datuk ini dibawa ke dalam balai, mata saya sedang tertumpu kepada tingkap belakang bilik lokap balai.

Saya lakukan ini setiap hari kerana mungkin ada banduan yang cuba menerbus lari dari tingkap belakang. Saya khuwatir si banduan akan terjatuh ke dalam Sungai Kelang (ini pernah dilaporkan berlaku) dan akhirnya mati dikunyah ikan. Kerana terlalu ralet memandang tingkap, saya gagal untuk mengetahui anak Datuk mana yang terlibat dalam kes bunuh ini.

12. Apa pula yang telah berlaku kepada stesen TV MetroVision. Bukan main gah pelancarannya. Seorang kerabat dari Negeri Sembilan telah sudi mencemar duli untuk melancarkan stesen ini. Tiba-tiba ianya hilang ghaib entah ke mana. Hari pelancarannya dilaporkan sebagai hari yang bersejarah lagi unik kerana media Malaysia telah mara ke hadapan . Bagaimana pula dengan MegaTV? Satu ketika dahulu bukan main heboh sekali.

Bila muncul stesen ini, ianya diberitakan sebagai satu stesen yang unik untuk warga kota Kuala Lumpur. Mega TV ertinya TV besar. Hingga ke hari ini, orang ramai tidak tahu apa yang telah terjadi kepada TV besar kita ini. Mungkin TV yang terlalu mega ini telah digintil begitu halus sekali sehinggakan ianya menjadi debu.

13. Kebelakangan ini kita banyak terbaca cerita dan kisah-kisah terlampau yang dijadikan induk berita terutama di akhbar tabloid. Saya teringat dengan gambar hari lahir Linda Raffar dan Edry Kru. Sebagai seorang graduan dari fakulti fotografi Universiti Westminster London, saya telah dipanggil oleh beberapa peminat gambar untuk menganalisa gambar-gambar ini dari segi semiotik. Saya mengakui bahawa gambar-gambar ini unik, berkualiti dan mungkin setaraf dengan gambar hitam putih Ansel Adams yang telah diambil hampir 100 tahun dahulu.

Kes Linda Raffar

Tiba-tiba saya diterperanjatkan apabila saya terbaca bahawa gambar ini sebenarnya adalah gambar fitnah yang telah menggunakan teknik penindihan imej. Linda Raffar telah menafikan bahawa model dalam gambar itu bukan beliau. Linda Raffar telah membuat laporan polis untuk mencari siapakah sebenarnya model tersebut. Hingga ke hari ini semua peminat Linda Raffar dan Edry Kru masih ternanti-nanti hasil laporan polis ini.

14. Bolehkah kita semua mengingatkan kembali tentang kes di Bukit Jenalik di Sauk. Ini kisah tiga buah kereta Pajero yang telah berjaya melarikan tiga tan senjata dalam masa 15 minit. Hebat. Saya tidak mempertikaikan jumlah senjata yang dicuri tetapi saya masih ingin bertanya apakah yang telah terjadi kepada si Cina penjual durian yang terperangkap dalam kawasan kumpulan Al-Maunah ini.

Akhbar-akhbar telah melaporkan dengan panjang lebar bahawa ada seorang Cina penjual durian yang kelihatan masuk ke dalam kawasan Bukit Jenalik. Ke mana Cina ini menghilang? Apakah dia telah menjadi mangsa ular sawa? Kalau mati mana kuburnya? Siapa wartawan yang melaporkan berita Cina ini?

Empat belas pekara yang saya paparkan di atas semuanya saya pungut dari laporan media cetak dan media eletronik arus perdana. Bukan calang-calang rujukan saya. Ada kenyataan menteri, ada kenyataan Yang Berhormat, ada kenyataan Ketua Polis Negara, ada kenyataan Pak Imam. Jadi, jangan menjadi kurang sopan dan menuduh saya memungut perkara-perkara ini dari Laman
Mahazalim, Laman Reformasi atau Forum Gerak. Berita-berita ini adalah berita saheh, unik dan bersejarah.

Walau apa pun, saya terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa media penyampai maklumat di Malaysia ini memang unik sekali. Maklumat yang sering disampaikan terputus-putus di tengah jalan - ini satu keunikan. Tidak ada siasatan lanjutan. Tiada sumber saheh yang boleh mempertahankan sumber berita. Budaya berita tergantung ini adalah keunikan cara dan acuan kita menyebar berita. Empat belas perkara yang saya paparkan itu semuanya tergantung - tidak diketahui lagi hujung dan pangkalnya. Goyang-goyang tetapi tidak keluar.

Sebenarnya inilah tahap media kita (terutama media Melayu) yang sedang bertungkus lumus untuk membebalkan fikrah bangsa. Untuk tahun 2005 ini, saya menjemput semua warga bersama-sama mencatatkan berita-berita yang dilaporkan bersejarah. Mari kita bersama-sama mengira berapa pula perkara yang akan dianggap unik pada tahun 2005 ini. Tahun hadapan kita sama-sama lihat apakah akan ada si malaun yang membuat berita unik lagi bersejarah seperti kucing di Malaysia Boleh mengayuh basikal.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP