Wednesday, December 29, 2004

Selamat Menyambut Tahun Baru, 1 Januari 2005.

Tapi bagaimana ye nak menyambut tahun baru????

Adakah sesuai bagi seorang yang menggelarkan dirinya Muslim menyambut tahun baru dengan pesta, hiburan, parti dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik. Malah adalah lebih baik kiranya sambutan ini diadakan dengan tahlil, tadarus al-Quran atau dengan apa cara sekalipun asalkan syariat islam terjaga, supaya keberkatan diperolehi. Apa yang penting di sini adalah niat dan cara menyambut malam tersebut. Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas-lunas syariat Islam adalah dilarang dan ditegah. Umat Islam harus berpegang kepada hakikat ini.

Menurut pandangan Islam, peredaran masa adalah satu perkara yang biasa yang telah ditetapkan Allah s.w.t. sedemikian rupa. Dari satu saat ke saat yang lain, dari satu minit ke satu minit yang lain sehinggalah dari satu alaf ke satu alaf yang lain, ianya merupakan satu proses alam yang telah Allah s.w.t. tetapkan bagi dunia ini. Malah di dalam al-Quran al-Karim sendiri, banyak ayat yang diturunkan yang menegaskan peripentingnya masa di dalam kehidupan manusia. Jika ditinjau secara logik, 1 Januari, 2005 hanyalah satu hari di dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan yang besar kepada kehidupan manusia melainkan ianya menjadi tanda bermulanya �tahun� baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwimnya sendiri. Sayyidina �Umar al-Khattab telah menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam. Pengiraan takwim Islam adalah berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan. Ini berbeza dengan pengiraan sistem A.D. dan C.E. yang melihat kepada kedudukan dan pergetakan matahari. Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari-hari kebesarannya banyak melibatkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.

Satu perkara yang mungkin wajar ditanya adalah mengapakan orang Islam begitu beria-ia meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharram? Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah merupakan satu cuti umum di dalam kalendar tahunan kita semata-mata?
Golongan muda terutamanya nampak begitu ghairah dengan sambutan tahun baru, apa lagi alaf baru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa naluri golongan muda adalah ke arah keseronokan dan kegembiraan. Namun sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama kita yang suci ini. Sekiranya perlu disambut tahun baru ini, ianya perlulah dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik. Namun apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak, dan ini bukanlah satu perkembangan ke arah yang lebih baik.

Memang diakui bahawa adalah mudah untuk bercakap tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial. Pada waktu yang sama agak sukar untuk mengenengahkan cara yang praktikal dan realistik untuk mengatasi masalah ini. Persoalan ini juga bukan suatu perkara yang baru dan seolah-olah tiada penyelesaiannya.
Kita bangga dengan kejayaan Malaysia menangani krisis ekonomi dengan cara kita sendiri. Kita menggunakan pendekatan ala Malaysia yang dianggap tidak konvensional. Namun kita telah membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia boleh melakukannya. Hakikat ini sudah tidak dapat kita nafikan lagi. Menjelangnya tahun baru ini juga membawa makna bahawa kita hanya mempunyai 15 tahun sahaja lagi sebelum tibanya tahun 2020 yang telah ditetapkan sebagai tahun bagi negara mencapai tahap negara maju mengikut acuan sendiri.

Dari sudut ekonomi memang kita telah berjaya mengikut acuan kita sendiri. Namun dalam aspek yang lain masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Aspek sosiobudaya khususnya perlu diberikan perhatian. Kita dapati bahawa perkembangan sosiobudaya bukanlah mengikut acuan kita sebaliknya mengikut preskripsi barat. Inilah yang terjadi dengan sambutan alaf baru ini yang mana rata-rata cara sambutan adalah bukan dengan acuan kita. Perkara ini wajar direnungkan bersama. Jika kita ingin maju ke hadapan menuju alaf baru, eloklah kita fikirkan cara untuk memajukan aspek sosiobudaya menggunakan acuan kita sendiri. Ini hanya boleh dilakukan oleh diri kita sendiri. Semolek-moleknya acuan yang digunakan ini adalah berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.

So, sama-samalah kita fikir dan renungkan�pilihlah cara yang terbaik dan sesuai dengan kita sebagai umat islam untuk menyambut tahun baru 2005 nanti.

SeLaMaT TaHuN BaRu,
MoGa Di TaHuN YaNg BaRu InI KiTa AkAn MeNcApAi KeHiDuPaN YaNg LeBiH BaIk LaGi BeRbAnDiNg DeNgAn TaHuN-TaHuN LePaS.





0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP