Monday, December 13, 2004


Banjir makin buruk:Terengganu terputus hubungan, 12 lemas
Wartawan Berita Harian

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Pantai Timur bertambah buruk semalam apabila Terengganu terputus hubungan dengan Kelantan dan Pahang manakala angka korban banjir terus meningkat kepada 12 orang.

Terbaru, enam lagi kematian dilaporkan di Kelantan termasuk dua yang masih hilang, masing-masing dua kematian di Terengganu dan satu di Pahang. Sehingga lewat petang semalam, jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di ketiga-tiga juga meningkat kepada 9,874 orang, iaitu 5,078 di Kelantan, Terengganu (4,346) dan Pahang (450), berbanding kira-kira 4,000 orang kelmarin.

Sebahagian besar penduduk di Terengganu terperangkap selepas Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Bharu terpaksa ditutup selepas dinaiki air antara 0.5 hingga 0.9 meter di empat tempat, semalam.Sehingga jam 6 petang semalam, jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Kilometer 30 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu apabila Kampung Belara di Sungai Tong dinaiki air sedalam lebih 0.8 meter sepanjang 200 meter.Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I Hussin Ismail, berkata jalan lain yang ditutup ialah Kilometer 64, Jalan Jerangau-Jabor, Km 11.2 Jalan Dungun-Kuantan, Km 91 dan 92 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Nyior.

Dalam perkembangan berkaitan, pergerakan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) keluar masuk ke Terengganu dan Pahang yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan sehingga Ahad ini berikutan negeri itu dilanda banjir.Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kamarudin Mohd Baria, berkata penangguhan itu membabitkan pergerakan peserta dari Terengganu ke Pahang, dari Pahang ke Terengganu dan dalam kawasan Pahang sendiri, dari Kuala Lumpur ke Pahang dan dari daerah lain di Terengganu ke Pahang.Ini adalah kali kedua pergerakan peserta PLKN ditangguhkan berikutan banjir yang melanda negeri di pantai timur.

Kelmarin, JLKN menangguhkan pergerakan pelatih keluar masuk ke Kelantan hingga Ahad ini.Katanya, peserta PLKN juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi bilik gerakan JLKN di talian 03-26873513/3514/3515/3516.Di KOTA BHARU, angka korban banjir di Kelantan meningkat kepada lapan orang termasuk dua yang dipercayai masih hilang sejak kelmarin sehingga jam 4 petang semalam.Empat mangsa yang ditemui lemas semalam ialah Che Mohd Zani Che Abdullah, 30, dari Kampung Apit, Dabong; Ibrahim Isa, 30, (Kampung Sungai Rek, Lak Loh, Kuala Krai); seorang warga Thai, 30-an, (Kampung Banggol Chekok, Gual Sitok, Rantau Panjang); dan seorang lelaki warga Indonesia dikenali Iskandar, 24, (Kampung Paloh, Gua Musang).

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Superintendan Alias Mohamad, berkata usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas masih diteruskan.Beliau berkata, mereka ialah Che Husin Junuh, 42, dari Kampung Dasar, Sabak, di sini dan seorang lelaki yang dikenali sebagai Baharuddin dari Kampung Sungai Rek, Lak Loh, Kuala Krai.

Kelmarin, seorang kanak-kanak, Nik Muhamad Ameer Nik Anuar, tiga tahun, ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang ketika bermain bersama rakannya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).Che Husin dikhuatiri lemas, manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri apabila dua bot gentian yang mereka naik terbalik dibawa arus dan dipukul ombak besar di perairan Kampung Dasar, Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi, ketika Che Hussin bersama Shamsuddin Jaafar, 53; Nik Hassan Ahmad, 37 dan Mat Daud Mat Amir, 39, masing-masing menaiki dua bot.Pada masa sama, 5,078 mangsa dari seluruh Kelantan yang dilanda banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sehingga jam 4 petang semalam, berbanding hanya 1,863 kelmarin.Pemindahan membabitkan jajahan Tanah Merah seramai 1,745 orang, Gua Musang (1,374), Kuala Krai (871), Jeli (746) dan jajahan lain (342). Mereka ditempatkan di 628 pusat pemindahan di seluruh negeri.Di KUALA TERENGGANU, banjir di negeri ini meragut dua lagi mangsa apabila seorang pelajar tingkatan tiga lemas dan seorang wanita masih hilang dalam dua kejadian berasingan di Marang dan Hulu Terengganu, dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, Mohd Faiz Mohd Nor, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Tun Telanai, Bukit Payong, Marang dekat sini, lemas ketika mandi bersama rakannya di kawasan padang bola sepak yang ditenggelami air.Mangsa yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dipercayai tidak tahu berenang, hanyut dibawa arus dan tenggelam beberapa minit selepas mandi di padang yang ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter itu.Rakan-rakan Mohd Faid cuba untuk menyelamatkannya tetapi gagal disebabkan arus deras yang menghanyutkan mangsa ke parit di tepi padang berkenaan.Mayat Mohd Faid ditemui di kawasan parit di tepi padang berkenaan oleh penduduk kampung kira-kira tujuh jam selepas hilang.

Dalam kejadian kelmarin, seorang kanak-kanak berusia enam tahun menjadi korban pertama banjir apabila terjatuh ke dalam Sungai Temala selepas motosikal yang ditunggang bersama abangnya tergelincir ketika menyeberangi jambatan di Kampung Tanjung Belur, Pengkalan Berangan, Marang dekat sini.Mayat Muhamad Irfan Rani ditemui tidak jauh dari tempat dia dihanyutkan air kira-kira jam 6 petang semalam.Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang suri rumah, Nor Hayati Saat, 30, dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaikinya hanyut dibawa arus deras di Jalan Kampung Jak, Hulu Terengganu.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, Nor Hayati bersama suami, Zuzuki Mat Sari, 36, serta dua anak mereka, Zulhairi, 9, dan Abdul Hadi, 3, dikatakan sedang dalam perjalanan ke klinik di pekan Kuala Berang bagi mendapatkan rawatan.Zuzuki berkata, ketika kejadian, beliau tidak menyedari jalan berkenaan dinaiki air kerana tempat kejadian gelap."Sebaik menuruni bukit di jalan berkenaan, secara tiba-tiba kereta saya dihanyutkan arus deras. Saya hanya sempat menyelamatkan dua anak saya yang duduk di belakang."Selepas keluar dari kereta, saya bersama anak berpaut pada sebatang pokok di tepi jalan manakala isteri dan kereta saya terus dihanyutkan arus. Ketika itu saya tidak lagi dapat melihat kereta saya kerana sudah ditenggelami air," katanya.

Zuzuki berkata, ketika berpaut pada pokok berkenaan, beliau hanya mampu berdoa semoga isterinya sempat keluar dan menyelamatkan diri.Beliau bersama dua anaknya itu terpaksa menahan kesejukan selama kira-kira satu jam setengah sebelum diselamatkan seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan berkenaan yang menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.Keretanya hanya ditemui kira-kira jam 10 pagi semalam, hampir 25 meter daripada tempat kejadian.

Bagaimanapun, Nor Hayati masih belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan sehingga lewat petang semalam.Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh Terengganu ke pusat pemindahan di empat daerah di negeri ini meningkat kepada 4,346 berbanding 2,470 orang kelmarin.Di KUANTAN, seorang buruh binaan rakyat asing menjadi mangsa pertama banjir di negeri ini selepas dihanyutkan air Sungai Belat, Taman Perumahan Mahkota Jaya dekat sini, semalam.Mustafa Shukri, 19, dari Jawa Timur, Indonesia, dipercayai tergelincir dari atas jambatan ketika melihat banjir bersama tiga rakannya kira-kira jam 9.30 pagi.Seorang rakannya, Arwani Marhod, 24, cuba menyelamatkannya tetapi gagal kerana keadaan air sungai yang deras.

Bagaimanapun, sehingga jam 4.25 petang semalam, mayat mangsa masih belum ditemui dan gerakan masih dijalankan.Jumlah penduduk yang dipindahkan di seluruh negeri ini meningkat kepada 450 orang dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir.Pusat pertama yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Cenderawasih yang menempatkan 24 mangsa. Yang lain ialah Dewan Mat Kilau Hall (106), Sekolah Menengah Sungai Isap (33), Kampung Koleh Seberang, Sungai Lembing (50), Dewan Serba guna Kampung Kolek (32), Sekolah Kebangsaan Pandan (114), Dewan Orang Ramai Jaya Gading (36), Taman Kasturi (12), Kampung Sungai Charu (11) dan Kampung Ah Tong, Panching (32).

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP