Wednesday, December 01, 2004

Aidilfitri di Fallujah,
kejamnya Thaksin,
spekulasi Tok Guru,
Mahathir gigit jari

Tuesday, November 30 @ 14:46:16 MYT


I. Bayangkan kalau kita beraya di Fallujah

ALHAMDULILLAH, umat Islam di Malaysia baru sahaja merayakan sambutan hari raya Aidilfitri 14 November lalu. Teman percaya secara tradisinya sambutan Aidilfitri akan berterusan sehingga habis Syawal 1425.

Teman percaya, ramai rakyat seharusnya bersyukur kerana sambutan Aidilfitri di negara kita, bukan sahaja meriah, tetapi penuh dengan kemewahan dengan nikmat makanan yang melimpah ruah.

Kalau ada pun 'dihighlight' orang-orang miskin dan melarat di sesetengah tempat, bukannya kerana apa, ia adalah berpunca daripada kurangnya prihatin sesetengah golongan berada untuk membuat kebajikan.

Namun, di sebalik kemeriahan umat Islam menikmati kemakmuran perayaan, hati teman tersentuh mengenangkan nasib umat Islam di Fallujah, Samarra, Mosul, Baghdad, Palestin dan kawasan di persekitarannya.

Beberapa hari menjelang hari raya, di kawasan perumahan teman dan apabila balik ke kampung, kedengaran 'berdentam-dentum' bunyi mercun dan meriam yang menandakan kegembiraan kanak-kanak menyambut Aidilfitri.

Ini belum lagi termasuk dengan program-program hiburan televisyen dan dendangan lagu-lagu raya di corong-corong radio berkemundang di pelosok negara, sehingga ramai yang 'menangis syahdu' di sebalik kegembiraan dan kemeriahan.

Orang-orang Melayu di negara kita, mereka 'mendendangkan' takbir raya penuh dengan kelembutan dan kesyahduan di sebalik dentuman bunyi mercun, berbeza dengan umat Islam di timur tengah yang terpaksa 'mengharungi' Aidilfitri dengan penuh penderitaan.

Hati teman begitu tersentuh apabila di saat umat Islam Malaysia gembira membakar lemang, merebus ketupat, memasak rendang, umat Islam di sana tidak mempunyai apa-apa untuk menjamu selera.

Bagi umat Islam di Fallujah, Aidilfitri sungguh tidak bermakna, mereka bukan sahaja dihujani dengan peluru dan bom tentera zalim Amerika, malah mereka yang berlindung di masjid juga diserbu dan dibunuh dengan kejam.

Bayangkan, kita di sini menangis kegembiraan, mereka di sana menangis derita di sebalik pembunuhan kejam, kaum wanita dan kanak-kanak, bukan sekadar dibunuh, malah diberitakan diseksa dan dirogol sebelum ditembak mati.

Sudah tentu umat Islam di sana tidak mahu hidup dengan penuh derita. Mereka juga mahu hidup aman, mereka juga mahu hidup bahagia. Tetapi apa pilihan yang mereka ada?

Mereka dijajah dengan penuh kejam. Mereka bukannya 'terrorist', tetapi mereka terpaksa mempertahankan aqidah, tanahair dan bangsa mereka dari terus diperlakukan sedemikian rupa oleh regim kuffar.

Teman � Terasa malang kalau orang kita tak ada perasaan



II. Aduhai Thaksin, mengapa terlalu kejam?

SEPANJANG bulan puasa dan sambutan raya, hati-hati umat Islam dan Melayu khususnya amat terguris dengan kejadian yang berlaku di Tak Bai, Selatan Thailand, apabila ramai rakan-rakan seagama dan sebangsa dibunuh dengan penuh kejam oleh regim Thai.

Sebelum ini pun, teman percaya ramai di kalangan kita sudah mendengar penderitaan dan tekanan yang dihadapi oleh orang-orang Melayu di selatan Thai. Pembunuhan demi pembunuhan berlaku secara senyap-senyap. Cuma kali ini berlaku secara beramai-ramai.

Kerajaan Thai cuba hendak menutup cerita dan berusaha mengaitkan semua kritikan terhadap kekejaman tentera mereka sebagai 'campur tangan asing' ke atas hal ehwal dalaman negara mereka.

Lagi buruk lagi, media-media di negara tersebut cuba mengaitkan kematian beratus-ratus orang di Selatan Thai dilakukan oleh 'terrorist', iaitu satu nama jolokan kuffar antarabangsa yang mengambarkan bahawa mereka yang terkorban itu sebagai orang jahat.

Teman fikir, mungkin Thaksin tidak mahu dilabelkan dan disamakan dengan pemimpin yang jahat seperti George W Bush, Ariel Sharon, Vladimir Putin, Tony Blair dan sebagainya.

Namun, selepas hakikat yag berlaku di Tak Bai. Itulah persepsi masyarakat antarabangsa, khususnya orang-orang Islam dan Melayu di nusantara ini terhadap beliau.

Pada teman, Thaksin tidak boleh menutup sejarah. Sejarah perjuangan Melayu Pattani sudah lama, bukan sehari dua ini. Semua orang tahu mereka bukan pengganas atau 'terrorist'. Bahkan mereka adalah umat Melayu yang ditindas oleh Siam sekian lama.

Ramai antara mereka yang diburu dan terpaksa berhijrah ke luar negara sampai dua tiga puluh tahun. Ramai di antara mereka yang tidak boleh balik, jika balik mereka akan dibunuh.

Pada teman, sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Mereka tiada jalan keluar. Selepas ditindas sekian lama, dizalimi, dipenjara, diburu dan dibunuh, mereka terpaksa menyuara dan mempertahankan hak mereka sebagai orang-orang Melayu yang juga rakyat Thai, mempunyai hak untuk bebas mengamalkan agama dan hidup dengan aman dan demokrasi.

Teman amat percaya mereka bukan pengganas, mereka tidak pernah menganggu gugat kerajaan Thai, jauh sekali mereka ada hasrat untuk menggulingkan kerajaan Bangkok.

Mereka adalah orang-orang Melayu yang beragama Islam, yang mahu mempertahankan hak, tanahair serta pegangan hidup mereka daripada dihapuskan oleh Siam. Inilah persoalan sebenarnya.

Teman fikir, ada baiknya Thaksin dan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan tindakan ganas tentera Thai, wajar menghentikan segera keganasan mereka, kerana ia boleh menghasilkan natijah yang lebih buruk di wilayah selatan itu.

Diplomasi dan rundingan seharusnya tidak dimatikan. Orang-orang Melayu tidak seharusnya dilayan sebagai 'second class citizen'.

Teman � Kerajaan dan NGO Malaysia mesti terus bersuara



III. Spekulasi jawatan Tok Guru, apa untungnya?

APABILA membaca suatu spekulasi mengenai perletakan jawatan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, oleh sebuah media laman web, hati teman berdetik, siapa pulak yang bawa cerita ini?

Kemudian, berita itu disambung pula oleh beberapa akhbar arus perdana dan disusuli dengan beberapa pandangan pemimpin-pemimpin Umno terhadap spekulasi yang diciptakan itu.

Selepas Presiden PAS dan Tok Guru sendiri menjawabnya daripada Makkah, barulah spekulasi itu senyap.

Bagi teman, teman tidak fikir media-media tersebut 'berniat baik' apabila melaporkan perletakan jawatan MB Kelantan, selain daripada hendak menunjukkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang teruk dan terumbang-ambing. Itu sahaja.

Memang mereka tidak habis-habis dengan 'PAS bashing' dan 'Islam bashing'. Agenda jahat itu tidak akan berakhir. Gelak tawa mereka selepas kekalahan PAS dalam PRU 2004 masih belum berkesudahan dan masih diteruskan.

Wartawan media tersebut mendakwa mereka mendapat maklumat tersebut daripada orang dalam PAS. Teman anggap mungkin mereka berbohong. Tetapi jika betul-betul orang dalam PAS yang menjadi punca, maka teman sangat tidak boleh terima sikap tersebut.

Bukan sahaja teman, pemimpin parti teman juga tidak suka 'ada musuh dalam selimut'. Apa faedahnya memberi maklumat kepada 'orang luar' yang bagaikan 'harimau lapar' menunggu sahaja masa untuk 'membaham' PAS. Hentikanlah sahaja kerja-kerja buruk itu.

Kalau orang Umno yang bawa cerita, memang itulah sikap mereka yang menggambarkan mereka sudah tidak sabar-sabar hendak berkuasa semula.

Pada teman, tiada sesiapapun yang hendak menolak takdir. Sebagai seorang Islam, semua orang tahu bahawa pemimpin tidak kekal, pemimpin akan berubah dari masa ke semasa. Itulah hukum alam, kitaran hidup yang harus ditempuhi samada kita suka atau tidak.

Teman dan rakan-rakan dalam PAS tetap mendoakan kesihatan Tok Guru untuk terus memimpin dan menerajui kerajaan Kelantan. Namun, jika pun sebarang perubahan hendak dilakukan, itu adalah hak parti dan pemimpin yang menentukannya.

Apapun, teman yakin ahli-ahli dan pemimpin PAS berada di tahap kematangan yang tinggi dan mendokong sesiapa sahaja yang memimpin kerajaan Kelantan, sama ada ia Tok Guru atau sesiapapun sahaja.

Teman � Annuar Musa dah tak sabar nak jadi MB


IV. Badan Perhubungan Veteran Umno � Mahathir gigit jari

TIBA-TIBA sahaja Dato' Tajuddin Ali mencadangkan supaya Umno menubuhkan satu lagi sayap perjuangan yang menghimpunkan semua veteran-veteran Umno, kononnya hendak menambahkukuhkan perjuangan parti tersebut.

Mungkin ada baiknya hasrat tersebut. Ia boleh dijadikan platform bagi orang-orang tua ganyut, yang sudah tidak ada jawatan dalam politik dan kerajaan, tetapi masih mahu terus aktif berpolitik yang kononnya boleh menyumbang buah fikiran untuk memajukan negara.

Teman diberitahu oleh kawan-kawan dalam Umno, bahawa idea untuk mewujudkan sayap baru tersebut adalah hanya untuk memberikan platform kepada bekas PM, Tun Dr Mahathir untuk kembali bersuara. Sama ada betul atau tidak teman tidaklah tahu.

Kata mereka, bekas PM itu terkilan kerana Abdullah tidak pernah hendak berunding atau merujuk beliau tentang banyak perkara dalam politik dan kerajaan.

Menurut sumber, sepanjang lebih setahun ini, hanya dua atau tiga kali sahaja Abdullah bertemu Mahathir, tetapi bukan untuk merujuk apa-apa, tetapi hanya membincangkan soal teknikal sahaja.

Kalau teman jadi Mahathir pun, agaknya teman akan rasa terkilan, orang yang teman lantik, teman bagi ruang untuk hidup, sekarang ini seolah-olahnya sudah melupakan jasa teman. Sekarang pun teman, dengar cerita Mahathir sudah menggigit jari.

Kalau teman jadi Abdullah pulak, teman akan berfikiran cara lain. �Hang dah pencen, patutnya hang duduklah diam-diam. Sekarang ini aku dah dapat semua mandat, PM pun aku, Presiden Umno pun aku. Aku punya sukalah apa aku nak buat.�

Oleh sebab itu, malang bagi idea tersebut, apabila sekembalinya PM dari luar negara, beliau dengan tegas menolak cadangan tersebut dan mengatakan struktur organisasi yang sedia ada sudah mencukupi.

Entah berapa banyak sayap nak buat pun teman tak tahu. Tetapi teman pun setuju ada logiknya sayap baru itu ditolak.

Abdullah adalah pengemudi baru dalam kerajaan dan Umno, apa pulak sebabnya dia nak bagi orang yang dah pencen tentukan? Lemahlah dia kalau semua yang dia nak buat kena dapat 'blessing' dari orang lain.

Kalau Abdullah hendak susun balik Umno, hendak susun balik kabinetpun (mungkin tidak lama lagi ada 'minor reshuffle'), itu dia punya suka lah.

Pada teman, apa pun yang Umno hendak buat dalam rumah tangganya sendiri, itu dia punya pasal. Namun teman percaya, rakyat tidak mahu pemimpin-pemimpin Umno membuat sukahati mereka untuk mewujudkan pelbagai peluang dalam kerajaan untuk memberi 'makan' kepada pemimpin dan juak-juak mereka.

Kalau mahukan sesuatu yang ideal, Abdullah tidak seharusnya membuka ruang kepada mana-mana pihak ataupun menyambung agenda kronisme, korupsi dan nepotisme seperti yang diamalkan Mahathir.

Dalam hal ini teman percaya kepada Abdullah kerana yang beliau tidak mencari harta yang bertimbun, tetapi yang beliau cari adalah al-Ghazali dan as-Syafie (bukan Tan Sri Ghazali Shafie).

Teman � Mencari redha Allah

www.harakahdaily.net

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP