Wednesday, December 29, 2004

Selamat Menyambut Tahun Baru, 1 Januari 2005.

Tapi bagaimana ye nak menyambut tahun baru????

Adakah sesuai bagi seorang yang menggelarkan dirinya Muslim menyambut tahun baru dengan pesta, hiburan, parti dan hedonisme? Tiada salahnya menyambut ketibaan tahun baru jika niat yang disertakan adalah untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik. Malah adalah lebih baik kiranya sambutan ini diadakan dengan tahlil, tadarus al-Quran atau dengan apa cara sekalipun asalkan syariat islam terjaga, supaya keberkatan diperolehi. Apa yang penting di sini adalah niat dan cara menyambut malam tersebut. Sudah tentulah berpesta dan bersuka-ria tanpa mengikut lunas-lunas syariat Islam adalah dilarang dan ditegah. Umat Islam harus berpegang kepada hakikat ini.

Menurut pandangan Islam, peredaran masa adalah satu perkara yang biasa yang telah ditetapkan Allah s.w.t. sedemikian rupa. Dari satu saat ke saat yang lain, dari satu minit ke satu minit yang lain sehinggalah dari satu alaf ke satu alaf yang lain, ianya merupakan satu proses alam yang telah Allah s.w.t. tetapkan bagi dunia ini. Malah di dalam al-Quran al-Karim sendiri, banyak ayat yang diturunkan yang menegaskan peripentingnya masa di dalam kehidupan manusia. Jika ditinjau secara logik, 1 Januari, 2005 hanyalah satu hari di dalam setahun yang tidak mempunyai apa-apa signifikan yang besar kepada kehidupan manusia melainkan ianya menjadi tanda bermulanya �tahun� baru berasaskan pengiraan takwim solar yang mempunyai asal-usulnya kepada agama Kristian.

Islam mempunyai kiraan takwimnya sendiri. Sayyidina �Umar al-Khattab telah menetapkan bermulanya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. sebagai tahun bermulanya pengiraan takwim Islam. Pengiraan takwim Islam adalah berlandaskan pergerakan dan kedudukan bulan. Ini berbeza dengan pengiraan sistem A.D. dan C.E. yang melihat kepada kedudukan dan pergetakan matahari. Orang Kristian menggunakan pengiraan berdasarkan solar kerana hari-hari kebesarannya banyak melibatkan kedudukan matahari dan pergerakan musim seperti Hari Easter dan seumpamanya.

Satu perkara yang mungkin wajar ditanya adalah mengapakan orang Islam begitu beria-ia meraikan 1 Januari dan pada waktu yang sama seperti tidak mempedulikan 1 Muharram? Sepatutnya konsep hijrah yang dibawa oleh perayaan Maal Hijrah perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Adakah Maal Hijrah setiap tahun hanyalah merupakan satu cuti umum di dalam kalendar tahunan kita semata-mata?
Golongan muda terutamanya nampak begitu ghairah dengan sambutan tahun baru, apa lagi alaf baru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa naluri golongan muda adalah ke arah keseronokan dan kegembiraan. Namun sayangnya cara berseronok itu tidak selari dengan kehendak agama kita yang suci ini. Sekiranya perlu disambut tahun baru ini, ianya perlulah dilakukan dengan hasrat untuk berubah ke satu keadaan yang lebih baik. Namun apa yang kita lihat ialah seolah-olah budaya hedonisme yang menerap masuk membawa bersamanya keruntuhan moral dan akhlak, dan ini bukanlah satu perkembangan ke arah yang lebih baik.

Memang diakui bahawa adalah mudah untuk bercakap tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial. Pada waktu yang sama agak sukar untuk mengenengahkan cara yang praktikal dan realistik untuk mengatasi masalah ini. Persoalan ini juga bukan suatu perkara yang baru dan seolah-olah tiada penyelesaiannya.
Kita bangga dengan kejayaan Malaysia menangani krisis ekonomi dengan cara kita sendiri. Kita menggunakan pendekatan ala Malaysia yang dianggap tidak konvensional. Namun kita telah membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia boleh melakukannya. Hakikat ini sudah tidak dapat kita nafikan lagi. Menjelangnya tahun baru ini juga membawa makna bahawa kita hanya mempunyai 15 tahun sahaja lagi sebelum tibanya tahun 2020 yang telah ditetapkan sebagai tahun bagi negara mencapai tahap negara maju mengikut acuan sendiri.

Dari sudut ekonomi memang kita telah berjaya mengikut acuan kita sendiri. Namun dalam aspek yang lain masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Aspek sosiobudaya khususnya perlu diberikan perhatian. Kita dapati bahawa perkembangan sosiobudaya bukanlah mengikut acuan kita sebaliknya mengikut preskripsi barat. Inilah yang terjadi dengan sambutan alaf baru ini yang mana rata-rata cara sambutan adalah bukan dengan acuan kita. Perkara ini wajar direnungkan bersama. Jika kita ingin maju ke hadapan menuju alaf baru, eloklah kita fikirkan cara untuk memajukan aspek sosiobudaya menggunakan acuan kita sendiri. Ini hanya boleh dilakukan oleh diri kita sendiri. Semolek-moleknya acuan yang digunakan ini adalah berlandaskan ajaran Islam yang sebenarnya.

So, sama-samalah kita fikir dan renungkan�pilihlah cara yang terbaik dan sesuai dengan kita sebagai umat islam untuk menyambut tahun baru 2005 nanti.

SeLaMaT TaHuN BaRu,
MoGa Di TaHuN YaNg BaRu InI KiTa AkAn MeNcApAi KeHiDuPaN YaNg LeBiH BaIk LaGi BeRbAnDiNg DeNgAn TaHuN-TaHuN LePaS.





Read more...

Monday, December 13, 2004


Banjir makin buruk:Terengganu terputus hubungan, 12 lemas
Wartawan Berita Harian

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Pantai Timur bertambah buruk semalam apabila Terengganu terputus hubungan dengan Kelantan dan Pahang manakala angka korban banjir terus meningkat kepada 12 orang.

Terbaru, enam lagi kematian dilaporkan di Kelantan termasuk dua yang masih hilang, masing-masing dua kematian di Terengganu dan satu di Pahang. Sehingga lewat petang semalam, jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di ketiga-tiga juga meningkat kepada 9,874 orang, iaitu 5,078 di Kelantan, Terengganu (4,346) dan Pahang (450), berbanding kira-kira 4,000 orang kelmarin.

Sebahagian besar penduduk di Terengganu terperangkap selepas Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Bharu terpaksa ditutup selepas dinaiki air antara 0.5 hingga 0.9 meter di empat tempat, semalam.Sehingga jam 6 petang semalam, jalan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah Kilometer 30 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu apabila Kampung Belara di Sungai Tong dinaiki air sedalam lebih 0.8 meter sepanjang 200 meter.Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I Hussin Ismail, berkata jalan lain yang ditutup ialah Kilometer 64, Jalan Jerangau-Jabor, Km 11.2 Jalan Dungun-Kuantan, Km 91 dan 92 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Nyior.

Dalam perkembangan berkaitan, pergerakan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) keluar masuk ke Terengganu dan Pahang yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan sehingga Ahad ini berikutan negeri itu dilanda banjir.Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kamarudin Mohd Baria, berkata penangguhan itu membabitkan pergerakan peserta dari Terengganu ke Pahang, dari Pahang ke Terengganu dan dalam kawasan Pahang sendiri, dari Kuala Lumpur ke Pahang dan dari daerah lain di Terengganu ke Pahang.Ini adalah kali kedua pergerakan peserta PLKN ditangguhkan berikutan banjir yang melanda negeri di pantai timur.

Kelmarin, JLKN menangguhkan pergerakan pelatih keluar masuk ke Kelantan hingga Ahad ini.Katanya, peserta PLKN juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi bilik gerakan JLKN di talian 03-26873513/3514/3515/3516.Di KOTA BHARU, angka korban banjir di Kelantan meningkat kepada lapan orang termasuk dua yang dipercayai masih hilang sejak kelmarin sehingga jam 4 petang semalam.Empat mangsa yang ditemui lemas semalam ialah Che Mohd Zani Che Abdullah, 30, dari Kampung Apit, Dabong; Ibrahim Isa, 30, (Kampung Sungai Rek, Lak Loh, Kuala Krai); seorang warga Thai, 30-an, (Kampung Banggol Chekok, Gual Sitok, Rantau Panjang); dan seorang lelaki warga Indonesia dikenali Iskandar, 24, (Kampung Paloh, Gua Musang).

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Superintendan Alias Mohamad, berkata usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas masih diteruskan.Beliau berkata, mereka ialah Che Husin Junuh, 42, dari Kampung Dasar, Sabak, di sini dan seorang lelaki yang dikenali sebagai Baharuddin dari Kampung Sungai Rek, Lak Loh, Kuala Krai.

Kelmarin, seorang kanak-kanak, Nik Muhamad Ameer Nik Anuar, tiga tahun, ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang ketika bermain bersama rakannya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).Che Husin dikhuatiri lemas, manakala tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri apabila dua bot gentian yang mereka naik terbalik dibawa arus dan dipukul ombak besar di perairan Kampung Dasar, Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi, ketika Che Hussin bersama Shamsuddin Jaafar, 53; Nik Hassan Ahmad, 37 dan Mat Daud Mat Amir, 39, masing-masing menaiki dua bot.Pada masa sama, 5,078 mangsa dari seluruh Kelantan yang dilanda banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sehingga jam 4 petang semalam, berbanding hanya 1,863 kelmarin.Pemindahan membabitkan jajahan Tanah Merah seramai 1,745 orang, Gua Musang (1,374), Kuala Krai (871), Jeli (746) dan jajahan lain (342). Mereka ditempatkan di 628 pusat pemindahan di seluruh negeri.Di KUALA TERENGGANU, banjir di negeri ini meragut dua lagi mangsa apabila seorang pelajar tingkatan tiga lemas dan seorang wanita masih hilang dalam dua kejadian berasingan di Marang dan Hulu Terengganu, dalam tempoh 24 jam lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, Mohd Faiz Mohd Nor, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Tun Telanai, Bukit Payong, Marang dekat sini, lemas ketika mandi bersama rakannya di kawasan padang bola sepak yang ditenggelami air.Mangsa yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dipercayai tidak tahu berenang, hanyut dibawa arus dan tenggelam beberapa minit selepas mandi di padang yang ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter itu.Rakan-rakan Mohd Faid cuba untuk menyelamatkannya tetapi gagal disebabkan arus deras yang menghanyutkan mangsa ke parit di tepi padang berkenaan.Mayat Mohd Faid ditemui di kawasan parit di tepi padang berkenaan oleh penduduk kampung kira-kira tujuh jam selepas hilang.

Dalam kejadian kelmarin, seorang kanak-kanak berusia enam tahun menjadi korban pertama banjir apabila terjatuh ke dalam Sungai Temala selepas motosikal yang ditunggang bersama abangnya tergelincir ketika menyeberangi jambatan di Kampung Tanjung Belur, Pengkalan Berangan, Marang dekat sini.Mayat Muhamad Irfan Rani ditemui tidak jauh dari tempat dia dihanyutkan air kira-kira jam 6 petang semalam.Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang suri rumah, Nor Hayati Saat, 30, dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaikinya hanyut dibawa arus deras di Jalan Kampung Jak, Hulu Terengganu.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, Nor Hayati bersama suami, Zuzuki Mat Sari, 36, serta dua anak mereka, Zulhairi, 9, dan Abdul Hadi, 3, dikatakan sedang dalam perjalanan ke klinik di pekan Kuala Berang bagi mendapatkan rawatan.Zuzuki berkata, ketika kejadian, beliau tidak menyedari jalan berkenaan dinaiki air kerana tempat kejadian gelap."Sebaik menuruni bukit di jalan berkenaan, secara tiba-tiba kereta saya dihanyutkan arus deras. Saya hanya sempat menyelamatkan dua anak saya yang duduk di belakang."Selepas keluar dari kereta, saya bersama anak berpaut pada sebatang pokok di tepi jalan manakala isteri dan kereta saya terus dihanyutkan arus. Ketika itu saya tidak lagi dapat melihat kereta saya kerana sudah ditenggelami air," katanya.

Zuzuki berkata, ketika berpaut pada pokok berkenaan, beliau hanya mampu berdoa semoga isterinya sempat keluar dan menyelamatkan diri.Beliau bersama dua anaknya itu terpaksa menahan kesejukan selama kira-kira satu jam setengah sebelum diselamatkan seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan berkenaan yang menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.Keretanya hanya ditemui kira-kira jam 10 pagi semalam, hampir 25 meter daripada tempat kejadian.

Bagaimanapun, Nor Hayati masih belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan sehingga lewat petang semalam.Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh Terengganu ke pusat pemindahan di empat daerah di negeri ini meningkat kepada 4,346 berbanding 2,470 orang kelmarin.Di KUANTAN, seorang buruh binaan rakyat asing menjadi mangsa pertama banjir di negeri ini selepas dihanyutkan air Sungai Belat, Taman Perumahan Mahkota Jaya dekat sini, semalam.Mustafa Shukri, 19, dari Jawa Timur, Indonesia, dipercayai tergelincir dari atas jambatan ketika melihat banjir bersama tiga rakannya kira-kira jam 9.30 pagi.Seorang rakannya, Arwani Marhod, 24, cuba menyelamatkannya tetapi gagal kerana keadaan air sungai yang deras.

Bagaimanapun, sehingga jam 4.25 petang semalam, mayat mangsa masih belum ditemui dan gerakan masih dijalankan.Jumlah penduduk yang dipindahkan di seluruh negeri ini meningkat kepada 450 orang dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir.Pusat pertama yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Cenderawasih yang menempatkan 24 mangsa. Yang lain ialah Dewan Mat Kilau Hall (106), Sekolah Menengah Sungai Isap (33), Kampung Koleh Seberang, Sungai Lembing (50), Dewan Serba guna Kampung Kolek (32), Sekolah Kebangsaan Pandan (114), Dewan Orang Ramai Jaya Gading (36), Taman Kasturi (12), Kampung Sungai Charu (11) dan Kampung Ah Tong, Panching (32).

Read more...

Friday, December 03, 2004

Perkataan, tanda dan makna
Hishamuddin Rais
Dec 3, 04 3:36pm

Bila sahaja saya berhadapan dengan media, maka mata dan telinga saya akan akan disumbat dengan perkataan seperti pengganas, terroris, militan, fundumentalis, sunni, shia, mujahideen, jahadis, Thai muslim atau Isreal Arab. Perkataan-perkataan ini sedang bertaburan untuk dijadikan label dan tanda yang bunting dengan pelbagai makna.

Perkataan hanyalah bunyi-bunyi yang dikeluarkan dari mulut. Apabila ditulis, muncul bunyi-bunyi ini yang disusun dengan abjad, agar dapat diingati bersama. Bunyi-bunyi ini tidak pula ada sangkut paut dengan bentuk/rupa benda yang di panggil itu.

Contohnya, bunyi 'p-e-t-a-i'' tidak ada kena mengena dengan buah panjang hijau yang berjuntai hidup di dalam hutan. Makna yang ditimbulkan oleh bunyi perkataan itu adalah hasil persetujuan kita sesama sendiri. Orang Melayu, secara kolektif, bersetuju menerima bunyi 'p-e-t-a-i' untuk sejenis tumbuhan dalam hutan tropikal. Manusia Melayu memanggil buah ini petai tanpa kita mengetahui bagaimana bunyi ini muncul. Atau Orang Asli yang mana memulakannya.

Hingga ke hari ini, saya belum pernah mendengar ada orang Melayu yang mempertikaikan makna yang dibawa oleh bunyi perkataan ini. Secara kolektif, kita telah bersetuju untuk menerima bunyi 'p-e-t-a-i' untuk mewakili buah panjang berbiji-biji berwarna hijau. Kerana persetujuan telah diterima secara kolektif, maka tidak ada apa-apa permasaalahan timbul dari makna ini.

Perkataan yang ingin saya timbulkan di sini bukan perkataan petai. Perkataan-perkataan yang ingin saya paparkan di sini sedang dibuntingi dengan makna politik kuasa imperial Anglo-Amerika. Sekali imbas, bunyi-bunyi perkataan ini amat senang untuk difahami maknanya. Tetapi bunyi, tanda dan makna yang dimunculkan oleh perkataan-perkataan ini, masih belum dipersetujui lagi secara kolektif. Perkataan-perkataan ini kebanyakannya baru menyusup ke dalam budaya bahasa kita.

Contoh terbaik untuk kita memahami bagaimana makna perkataan dikonstruk ialah dengan melihat perkataan mujahidin. Perkataan ini berasal dari negara Arab. Saya berkenalan dengan perkataan ini pada akhir tahun 1970-an apabila saya membaca majalah mahasiswa Iran yang sedang menentang Shah Reza Pahlevi.

Perkataan mujahidin ini mula tersebar luas di seluruh media dunia apabila wujud kumpulan gerila yang dibiayai oleh CIA. Gerila-gerila � mujahidin � ini telah mengangkat senjata melawan tentera Soviet Union di Afghanistan pada tahun 80-an. Peperangan gerila ini berlaku di zaman Perang Dingin antara Amerika Syarikat dengan arwah Soviet Union.

Angkat senjata

Perkataan mujahidin dibentuk, disusun dan diberi tanda sebagai satu kumpulan orang yang sedang berjuang melakukan kebaikan dan menentang kezaliman Media antarabangsa telah memainkan peranan utama dalam mengkonstruk makna dari bunyi perkataan mujahidin ini. Di tahun-tahun 80-an, perkataan mujahidin juga telah diketengahkan oleh media arus perdana kita sendiri.

Seperti biasa, di kalangan orang Melayu, apa sahaja perkataan yang berasal dari Arab, maka ianya amat senang diasosiasikan dengan Islam. Ini bermakna perkataan mujahidin telah bersunat, masuk Melayu dan disucikan.

Nanti sebentar. Mari kita lihat sekali lagi pensejarahan makna dan tanda perkataan mujahidin ini. Apabila ISA ingin dipergunakan oleh Barisan Nasional pada tahun 2000/1, satu kumpulan bekas pelajar Pakistan telah ditangkap. Pada mulanya, alumni pelajar Pakistan ini telah diberi nama Kumpulan Mujahidin Malaysia a.k.a KMM.

Perkataan 'mujahidin' ini sendiri, dari apa yang saya difahamkan, telah membingungkan ahli-ahli alumni ini sendiri. Mereka tidak tahu menahu tentang wujudnya akronim KMM.

Tetapi pemerintah telah menggunakan perkataan mujahidin ini untuk memberikan makna � satu kumpulan bersenjata � seperti kumpulan yang mengangkat senjata di Afghanistan.

Perkataan mujahidin ini dipilih kerana ianya telah dikonstruk oleh media antarabangsa dan diterima maknanya oleh masyarakat Malaysia. Tiba-tiba ada 'orang-orang' jahat yang sedar bahawa perkataan mujahidin ini telah bersunat dan telah disucikan oleh mata hati orang Melayu.

Memanggil ahli-ahli alumni Pakistan dengan nama mujahidin ini akan memberikan tanda bersih/suci kepada orang yang ditahan di bawah ISA ini. Ini satu kesilapan strateji politik. Maka M untuk mujahidin itu dengan pantas dialih untuk menjadi M untuk militan.

Percangahan ini amat jelas pada awal-awal penangkapan bermula. Ada politikus yang memanggil KMM sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia, ada pula pihak polis yang memanggil Kumpulan Militan Malaysia , walhal semua yang ditahan adalah anggota alumni pelajar dari Pakistan. Amat jelas bagaimana perkataan 'suci/bersih' mujahidin ini cuba dilupuskan dari diasosiasikan dengan mereka yang ditahan itu.

Penjajahan British

Ini bukan analisa fitnah dari saya atau hujah afidavit Nik Adli. Ini adalah fakta yang telah sama-sama kita dibaca dari laporan media arus perdana kita.

Mujahidin adalah contoh bagaimana satu perkataan baru yang diperkenalkan dalam budaya Melayu, tetapi mengalami permasalahan tanda dan makna.

Perkataan mujahidin ini pada hakikatnya masih belum mengenap sebati dalam budaya Melayu. Makna dan tandanya belum dikongsi secara kolektif. Satu, dikonstruk tanda dan maknanya oleh CIA, dan satu lagi yang telah disucikan oleh Melayu/Islam.

Satu lagi contoh perkataan yang sering dipergunakan hari ini ialah perkataan - pengganas/terrorist. Perkataan ini juga bunting dengan pelbagai makna. Perkataan ini diperkenalkan ke dalam budaya Melayu oleh penjajah British. British sengaja menuduh para nasionalis, kaum komunis dan kumpulan agamawan yang bangun mengangkat senjata menentang mereka, sebagai pengganas.

Sebenarnya 'pengganas-pengganas' ini adalah pejuang yang mahukan Tanah Melayu termasuk Singapura bebas dari menjadi tanah jajahan British.

Ganas ertinya tidak sopan. Ganas bererti berkemungkinan untuk melakukan kerosakan. Harimau adalah binatang yang ganas dan tidak sopan, justeru ianya merbahaya. Kemerbahayaan ini mewajibkan kita untuk menjauhkan diri dari harimau. Perkataan 'pengganas' yang berasosiasi dengan binatang buas ini dikonstruk untuk dilabelkan kepada para patriot di Tanah Melayu agar
rakyat menjauhkan diri dari mereka.

Tetapi jika dilihat dari fakta sejarah yang semakin banyak terkumpul, maka kita akan sedar bagaimana pihak British pada satu ketika, telah bekerjasama dengan 'kumpulan pengganas' ini. Para 'pengganas' ini pernah menjadi kawan baik penjajah British apabila kuasa British dirampas oleh tentera fasis Jepun. Semasa tentera Jepun memerintah Tanah Melayu 'kumpulan pengganas' ini dikonstruk pula sebagai nasionalis dan pejuang anti-fasis.

Mereka menjadi Malayan Peoples Anti Japanese Army � tentera rakyat Tanah Melayu yang melawan tentera Jepun. Malah, ada pemimpin dari kumpulan 'pengganas' ini pernah mendapat bintang kehormat dari ayahanda Elizabeth - Ratu ini masih hidup dan menginap di Istana Buckingham, London. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa ini bukan fitnah dari saya. Jika kurang percaya sila beli/baca/kaji buku tulisan Chin Peng, tulisan Shamsiah Fakeh dan tulisan Ibrahim Chik.

Perkataan 'pengganas' ini juga pernah dan masih dilabelkan kepada gerakan pembebasan Palestin. Yasser Arafat a.k.a Abu Ammar pernah satu ketika dahulu, dituduh sebagai 'pengganas/terrorist' kerana mengangkat senjata melawan Zionis Isreal yang menjajah tanah air mereka � Palestin.

Apabila Yasser Arafat berkompromi dengan Isreal dan Amerika Syarikat, maka dia tidak lagi dilabel 'pengganas/terrorist', malah diberi hadiah Nobel Keamanan oleh Raja Sweden.

Islam Hadhari

Tetapi, yang menghairankan � apabila sahaja Yasser Arafat enggan menjadi barua Israel, dengan tiba-tiba sahaja dia menjadi pengganas sekali lagi.

Orang Melayu/Islam pasti menghayati makna dan tanda perkataan jihad. Perkataan jihad ini sama seperti perkataan mujahideen dan pengganas, masih lagi cair dan belum mengenap maknanya. Pemahaman orang Melayu/Islam tentang makna bunyi perkataan jihad, juga tidak kompak, rata dan sama. Dalam masa yang sama, perkataan jihad sedang cuba dirampas untuk dikonstruk oleh kuasa Anglo-Amerika, oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi, oleh keluarga Raja Saud atau oleh Zarkawi.

Bala tentera Anglo-Amerika yang sedang menjajah Iraq telah menambah dua abdjad � I dan S � diakhir perkataan jihad. Dari kata sifat, kini perkataan jihad telah menjadi kata nama. Kerana ini apabila kita membaca New York Times, Washington Post atau The New Yorker, kita akan berjumpa dengan perkataan jihadis. Ini adalah satu percubaan yang rapi untuk melarikan dari pengunaan perkataan mujahidin � perkataan yang telah dinobatkan oleh media Anglo-Amerika ketika menentang Soviet Union dahulu.

Perkataan mujahidin kini tidak boleh dipergunakan lagi kerana ianya membawa tanda dan makna 'kumpulan yang disokong oleh Amerika'. Jihadis kini cuba dipersamakan tanda dan maknanya dengan perkataan pengganas yang dahulunya telah digunakan oleh Zionis Israel dan penjajah British ke atas Yasser Arafat, Chin Peng, Rashid Mydin atau Ibrahim Chik.

Tujuan perampasan perkataan jihad dari istilah agama ini dan dijadikan jihadis adalah usaha kuasa imperial Anglo-Amerika untuk melabelkan para nasionalis Iraqi yang kini sedang bangun mengangkat senjata menentang mereka. Pemesongan makna perkataan ini samalah seperti pengunaan kata sifat ganas (untuk harimau) tetapi digunakan untuk melabel Shamsiah Fakeh atau Yasser Arafat.

Untuk para apparachik agama dalam kerajaan pentabiran Abdullah Ahmad Badawi, perkataan jihad ini sedang menimbulkan banyak permasalahan. Lihat sahaja bagaimana kelam kabutnya apparatus-apparatus agama Umno apabila berhadapan dengan perkataan j-i-h-a-d. Ini kerana berjihad adalah salah satu tuntutan agama Islam.

Menentang kezaliman adalah juga tuntuntan agama. Untuk membuktikan yang Hadhari itu amat Islam maka apparachik agama Umno dengan sedaya upaya telah menambah tanda dan makna jihad. Jihad ini menurut Islam Hadhari lebih dari apa yang kita semua fahami. Berniaga juga berjihad. Belajar hingga mendapat PhD juga berjihad. Merebus ubi juga berjihad. Membaca Quran itu juga berjihad.

Orang Melayu

Semua ini adalah tanda dan makna yang betul. Tetapi dalam mengembang dan menambah tanda dan makna jihad itu, Islam Hadhari telah cuba menenggelamkan jihad untuk menentang kezaliman. Cuba ditenggelamkan berjihad untuk menghapuskan penindasan. Cuba ditenggelamkan berjihad untuk melahirkan kebajikan dan hak asasi untuk rakyat. Secara licik dan tersusun perkataan jihad ini cuba dirampas untuk dimiliki oleh Islam Hadhari.

Jika perampasan ini berjaya, maka Islam Hadhari sahajalah yang bermonopoli untuk memberi makna dan tanda perkataan jihad ini. Kebelakangan ini timbul pula satu perkataan baru � Thai Muslim. Perkataan ini telah mula menyebar masuk ke dalam budaya Melayu melalui media tempatan dan luar negara.

Mari kita perhatikan secara terperinci sejarah, punca, tanda dan makna perkataan ini. Perkataan Thai Muslim ini muncul kerana adanya pembantaian terhadap orang kampung oleh soldadu Siam. Sebenarnya pembantaian soldadu Siam terhadap penduduk di selatan Siam bukan satu perkara yang baru. Ini telah berlaku semenjak perjanjian Anglo-Siam pada tahun 1902. Thai Muslim ini adalah perkataan yang diperkenalkan oleh penjajah British.

Untuk saya Thai Muslim wujud di Chiengmai, di Bangkok atau di Korat. Manusia di Yala , Patani, Naratiwat dan Benara, bukan Thai Muslim. Mereka adalah manusia Melayu. Mengikut Perlembagaan Kerajaan Persekutuan, mereka adalah Melayu - menggunakan bahasa, Melayu, adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Khalas. Terbukti kemelayuan mereka. Ini bukan saya gatal-gatal menuduh mereka Melayu. Ini berdasarkan perlembagaan yang didukung oleh kerajaan Malaysia. Tetapi secara licik kuasa imperial Anglo-Amerika telah cuba memberi tanda dan makna bahawa manusia Melayu ini adalah Thai Muslim.

Bila pembantaian di Tak Bai meletup, bukan Islam Hadhari yang kelam kabut tetapi Umno Hadhari yang menjadi gempar. Umno, sebagai parti politik yang berslogankan 'Hidup Melayu', kini terkoyak seluar dalam kemelayuannya. Tiba-tiba apa yang berlaku di empat wilayah Selatan Siam itu membuktikan bagaimana ceretnya slogan 'Hidup Melayu' Umno.

Apabila saya melihat gambar anak-anak muda Melayu mati bergelempangan di Tak Bai, saya tertunggu-tunggu untuk mendengar slogan 'Hidup Melayu' dari Umno. Saya menunggu dengan harapan, jika dilaung-laungkan slogan ini, mungkin dengan hikmatnya boleh meghidupkan kembali anak-anak muda Melayu ini.

Minah dan Mat Tom Yam

Pastilah ini satu pekara yang mustahil. Apa yang terus saya temui dari media dalam dan luar negara hanyalah kita diperkenalkan kepada satu perkataan � Thai Muslim. Saya hairan bila pula orang Melayu ini menjadi Thai Muslim?

Awas! Beri perhatian. Thai Muslim ini bukan tanda dan makna yang khusus untuk Siam. Ada sebuah lagi negara yang menggunakan perkataan yang bunting dengan makna dan tanda ini. Negara ini ialah Israel. Di Tebing Barat, di Gaza, di seluruh negara Arab dan diseluruh dunia ada manusia yang dipanggil Palestinian. Tetapi apabila sahaja si Mamat Palestin ini masuk ke Israel, tiba-tiba dia menjadi Israeli Arab.

Dan apabila si Mamat Isaeli Arab ini pergi ke Jordan atau naik haji ke Mekah, dia menjadi Palestinian sekali lagi. Ini bukan magik David Copperfeild. Perancangan penggunaan perkataan ini samalah seperti Minah dan Mat Tom Yam yang membuka warong di Kampung Baru. Mereka menjadi orang Melayu semasa menjual nasi kerabu di Kampung Baru tetapi apabila dia melintasi Sungai Golok, tiba-tiba sahaja Minah dan Mat Tom Yam ini terus menjadi Thai Muslim. Ke manakah melayunya menghilang?

Hari ini, semakin banyak perkataan baru dimunculkan oleh media kuasa imperial Anglo-Amerika. Perkataan-perkataan baru ini wajib diteliti dan diselidiki puncanya. Hari ini kita sama-sama berpeluang untuk melihat kelahiran perkataan-perkataan baru. Kita juga berpeluang untuk menerima, menolak atau memberinya tanda dan makna yang kita sendiri selesa.

Apa yang ingin saya buktikan di sini ialah bagaimana perkataan-perkataan baru yang dikonstruk ini masih lagi cair. Tanda dan maknanya, tidak dan masih belum dikongsi secara kolektif oleh budaya bangsa-bangsa sedunia. Perkataan ini dikonstruk bukan seperti datuk nenek moyang kita menjumpai buah hijau bergantung dalam hutan, lalu dipanggil petai. Konstruksi perkataan diera empayar Anglo-Amerika ini bunting dengan agenda tipu muslihat.

Memberikan tanda dan makna perkataan tidak boleh dirampas untuk dimonopoli oleh satu-satu kuasa. Amerika Syarikat mungkin satu empayar yang kuat bala tenteranya tetapi bukan senang untuk melabelkan tanda dan makna bahawa manusia yang bernama Zakarwi itu ialah pengganas-militan-fundumentalis-jihadis-sunni-anti shia.

Zaman telah berubah. Kalau dahulu apabila si Tok Batin menjerit-jeritkan 'p-e-t-a-i' maka semua anak buahnya menerima pakai perkatan itu. Zaman memberi label kepada petai telah berakhir. Tanda dan makna yang bunting itu sedang pecah. Hanya wiski sahaja yang masih sanggup diberi label.

Read more...

Wednesday, December 01, 2004

Aidilfitri di Fallujah,
kejamnya Thaksin,
spekulasi Tok Guru,
Mahathir gigit jari

Tuesday, November 30 @ 14:46:16 MYT


I. Bayangkan kalau kita beraya di Fallujah

ALHAMDULILLAH, umat Islam di Malaysia baru sahaja merayakan sambutan hari raya Aidilfitri 14 November lalu. Teman percaya secara tradisinya sambutan Aidilfitri akan berterusan sehingga habis Syawal 1425.

Teman percaya, ramai rakyat seharusnya bersyukur kerana sambutan Aidilfitri di negara kita, bukan sahaja meriah, tetapi penuh dengan kemewahan dengan nikmat makanan yang melimpah ruah.

Kalau ada pun 'dihighlight' orang-orang miskin dan melarat di sesetengah tempat, bukannya kerana apa, ia adalah berpunca daripada kurangnya prihatin sesetengah golongan berada untuk membuat kebajikan.

Namun, di sebalik kemeriahan umat Islam menikmati kemakmuran perayaan, hati teman tersentuh mengenangkan nasib umat Islam di Fallujah, Samarra, Mosul, Baghdad, Palestin dan kawasan di persekitarannya.

Beberapa hari menjelang hari raya, di kawasan perumahan teman dan apabila balik ke kampung, kedengaran 'berdentam-dentum' bunyi mercun dan meriam yang menandakan kegembiraan kanak-kanak menyambut Aidilfitri.

Ini belum lagi termasuk dengan program-program hiburan televisyen dan dendangan lagu-lagu raya di corong-corong radio berkemundang di pelosok negara, sehingga ramai yang 'menangis syahdu' di sebalik kegembiraan dan kemeriahan.

Orang-orang Melayu di negara kita, mereka 'mendendangkan' takbir raya penuh dengan kelembutan dan kesyahduan di sebalik dentuman bunyi mercun, berbeza dengan umat Islam di timur tengah yang terpaksa 'mengharungi' Aidilfitri dengan penuh penderitaan.

Hati teman begitu tersentuh apabila di saat umat Islam Malaysia gembira membakar lemang, merebus ketupat, memasak rendang, umat Islam di sana tidak mempunyai apa-apa untuk menjamu selera.

Bagi umat Islam di Fallujah, Aidilfitri sungguh tidak bermakna, mereka bukan sahaja dihujani dengan peluru dan bom tentera zalim Amerika, malah mereka yang berlindung di masjid juga diserbu dan dibunuh dengan kejam.

Bayangkan, kita di sini menangis kegembiraan, mereka di sana menangis derita di sebalik pembunuhan kejam, kaum wanita dan kanak-kanak, bukan sekadar dibunuh, malah diberitakan diseksa dan dirogol sebelum ditembak mati.

Sudah tentu umat Islam di sana tidak mahu hidup dengan penuh derita. Mereka juga mahu hidup aman, mereka juga mahu hidup bahagia. Tetapi apa pilihan yang mereka ada?

Mereka dijajah dengan penuh kejam. Mereka bukannya 'terrorist', tetapi mereka terpaksa mempertahankan aqidah, tanahair dan bangsa mereka dari terus diperlakukan sedemikian rupa oleh regim kuffar.

Teman � Terasa malang kalau orang kita tak ada perasaan



II. Aduhai Thaksin, mengapa terlalu kejam?

SEPANJANG bulan puasa dan sambutan raya, hati-hati umat Islam dan Melayu khususnya amat terguris dengan kejadian yang berlaku di Tak Bai, Selatan Thailand, apabila ramai rakan-rakan seagama dan sebangsa dibunuh dengan penuh kejam oleh regim Thai.

Sebelum ini pun, teman percaya ramai di kalangan kita sudah mendengar penderitaan dan tekanan yang dihadapi oleh orang-orang Melayu di selatan Thai. Pembunuhan demi pembunuhan berlaku secara senyap-senyap. Cuma kali ini berlaku secara beramai-ramai.

Kerajaan Thai cuba hendak menutup cerita dan berusaha mengaitkan semua kritikan terhadap kekejaman tentera mereka sebagai 'campur tangan asing' ke atas hal ehwal dalaman negara mereka.

Lagi buruk lagi, media-media di negara tersebut cuba mengaitkan kematian beratus-ratus orang di Selatan Thai dilakukan oleh 'terrorist', iaitu satu nama jolokan kuffar antarabangsa yang mengambarkan bahawa mereka yang terkorban itu sebagai orang jahat.

Teman fikir, mungkin Thaksin tidak mahu dilabelkan dan disamakan dengan pemimpin yang jahat seperti George W Bush, Ariel Sharon, Vladimir Putin, Tony Blair dan sebagainya.

Namun, selepas hakikat yag berlaku di Tak Bai. Itulah persepsi masyarakat antarabangsa, khususnya orang-orang Islam dan Melayu di nusantara ini terhadap beliau.

Pada teman, Thaksin tidak boleh menutup sejarah. Sejarah perjuangan Melayu Pattani sudah lama, bukan sehari dua ini. Semua orang tahu mereka bukan pengganas atau 'terrorist'. Bahkan mereka adalah umat Melayu yang ditindas oleh Siam sekian lama.

Ramai antara mereka yang diburu dan terpaksa berhijrah ke luar negara sampai dua tiga puluh tahun. Ramai di antara mereka yang tidak boleh balik, jika balik mereka akan dibunuh.

Pada teman, sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Mereka tiada jalan keluar. Selepas ditindas sekian lama, dizalimi, dipenjara, diburu dan dibunuh, mereka terpaksa menyuara dan mempertahankan hak mereka sebagai orang-orang Melayu yang juga rakyat Thai, mempunyai hak untuk bebas mengamalkan agama dan hidup dengan aman dan demokrasi.

Teman amat percaya mereka bukan pengganas, mereka tidak pernah menganggu gugat kerajaan Thai, jauh sekali mereka ada hasrat untuk menggulingkan kerajaan Bangkok.

Mereka adalah orang-orang Melayu yang beragama Islam, yang mahu mempertahankan hak, tanahair serta pegangan hidup mereka daripada dihapuskan oleh Siam. Inilah persoalan sebenarnya.

Teman fikir, ada baiknya Thaksin dan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan tindakan ganas tentera Thai, wajar menghentikan segera keganasan mereka, kerana ia boleh menghasilkan natijah yang lebih buruk di wilayah selatan itu.

Diplomasi dan rundingan seharusnya tidak dimatikan. Orang-orang Melayu tidak seharusnya dilayan sebagai 'second class citizen'.

Teman � Kerajaan dan NGO Malaysia mesti terus bersuara



III. Spekulasi jawatan Tok Guru, apa untungnya?

APABILA membaca suatu spekulasi mengenai perletakan jawatan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, oleh sebuah media laman web, hati teman berdetik, siapa pulak yang bawa cerita ini?

Kemudian, berita itu disambung pula oleh beberapa akhbar arus perdana dan disusuli dengan beberapa pandangan pemimpin-pemimpin Umno terhadap spekulasi yang diciptakan itu.

Selepas Presiden PAS dan Tok Guru sendiri menjawabnya daripada Makkah, barulah spekulasi itu senyap.

Bagi teman, teman tidak fikir media-media tersebut 'berniat baik' apabila melaporkan perletakan jawatan MB Kelantan, selain daripada hendak menunjukkan bahawa PAS adalah sebuah parti yang teruk dan terumbang-ambing. Itu sahaja.

Memang mereka tidak habis-habis dengan 'PAS bashing' dan 'Islam bashing'. Agenda jahat itu tidak akan berakhir. Gelak tawa mereka selepas kekalahan PAS dalam PRU 2004 masih belum berkesudahan dan masih diteruskan.

Wartawan media tersebut mendakwa mereka mendapat maklumat tersebut daripada orang dalam PAS. Teman anggap mungkin mereka berbohong. Tetapi jika betul-betul orang dalam PAS yang menjadi punca, maka teman sangat tidak boleh terima sikap tersebut.

Bukan sahaja teman, pemimpin parti teman juga tidak suka 'ada musuh dalam selimut'. Apa faedahnya memberi maklumat kepada 'orang luar' yang bagaikan 'harimau lapar' menunggu sahaja masa untuk 'membaham' PAS. Hentikanlah sahaja kerja-kerja buruk itu.

Kalau orang Umno yang bawa cerita, memang itulah sikap mereka yang menggambarkan mereka sudah tidak sabar-sabar hendak berkuasa semula.

Pada teman, tiada sesiapapun yang hendak menolak takdir. Sebagai seorang Islam, semua orang tahu bahawa pemimpin tidak kekal, pemimpin akan berubah dari masa ke semasa. Itulah hukum alam, kitaran hidup yang harus ditempuhi samada kita suka atau tidak.

Teman dan rakan-rakan dalam PAS tetap mendoakan kesihatan Tok Guru untuk terus memimpin dan menerajui kerajaan Kelantan. Namun, jika pun sebarang perubahan hendak dilakukan, itu adalah hak parti dan pemimpin yang menentukannya.

Apapun, teman yakin ahli-ahli dan pemimpin PAS berada di tahap kematangan yang tinggi dan mendokong sesiapa sahaja yang memimpin kerajaan Kelantan, sama ada ia Tok Guru atau sesiapapun sahaja.

Teman � Annuar Musa dah tak sabar nak jadi MB


IV. Badan Perhubungan Veteran Umno � Mahathir gigit jari

TIBA-TIBA sahaja Dato' Tajuddin Ali mencadangkan supaya Umno menubuhkan satu lagi sayap perjuangan yang menghimpunkan semua veteran-veteran Umno, kononnya hendak menambahkukuhkan perjuangan parti tersebut.

Mungkin ada baiknya hasrat tersebut. Ia boleh dijadikan platform bagi orang-orang tua ganyut, yang sudah tidak ada jawatan dalam politik dan kerajaan, tetapi masih mahu terus aktif berpolitik yang kononnya boleh menyumbang buah fikiran untuk memajukan negara.

Teman diberitahu oleh kawan-kawan dalam Umno, bahawa idea untuk mewujudkan sayap baru tersebut adalah hanya untuk memberikan platform kepada bekas PM, Tun Dr Mahathir untuk kembali bersuara. Sama ada betul atau tidak teman tidaklah tahu.

Kata mereka, bekas PM itu terkilan kerana Abdullah tidak pernah hendak berunding atau merujuk beliau tentang banyak perkara dalam politik dan kerajaan.

Menurut sumber, sepanjang lebih setahun ini, hanya dua atau tiga kali sahaja Abdullah bertemu Mahathir, tetapi bukan untuk merujuk apa-apa, tetapi hanya membincangkan soal teknikal sahaja.

Kalau teman jadi Mahathir pun, agaknya teman akan rasa terkilan, orang yang teman lantik, teman bagi ruang untuk hidup, sekarang ini seolah-olahnya sudah melupakan jasa teman. Sekarang pun teman, dengar cerita Mahathir sudah menggigit jari.

Kalau teman jadi Abdullah pulak, teman akan berfikiran cara lain. �Hang dah pencen, patutnya hang duduklah diam-diam. Sekarang ini aku dah dapat semua mandat, PM pun aku, Presiden Umno pun aku. Aku punya sukalah apa aku nak buat.�

Oleh sebab itu, malang bagi idea tersebut, apabila sekembalinya PM dari luar negara, beliau dengan tegas menolak cadangan tersebut dan mengatakan struktur organisasi yang sedia ada sudah mencukupi.

Entah berapa banyak sayap nak buat pun teman tak tahu. Tetapi teman pun setuju ada logiknya sayap baru itu ditolak.

Abdullah adalah pengemudi baru dalam kerajaan dan Umno, apa pulak sebabnya dia nak bagi orang yang dah pencen tentukan? Lemahlah dia kalau semua yang dia nak buat kena dapat 'blessing' dari orang lain.

Kalau Abdullah hendak susun balik Umno, hendak susun balik kabinetpun (mungkin tidak lama lagi ada 'minor reshuffle'), itu dia punya suka lah.

Pada teman, apa pun yang Umno hendak buat dalam rumah tangganya sendiri, itu dia punya pasal. Namun teman percaya, rakyat tidak mahu pemimpin-pemimpin Umno membuat sukahati mereka untuk mewujudkan pelbagai peluang dalam kerajaan untuk memberi 'makan' kepada pemimpin dan juak-juak mereka.

Kalau mahukan sesuatu yang ideal, Abdullah tidak seharusnya membuka ruang kepada mana-mana pihak ataupun menyambung agenda kronisme, korupsi dan nepotisme seperti yang diamalkan Mahathir.

Dalam hal ini teman percaya kepada Abdullah kerana yang beliau tidak mencari harta yang bertimbun, tetapi yang beliau cari adalah al-Ghazali dan as-Syafie (bukan Tan Sri Ghazali Shafie).

Teman � Mencari redha Allah

www.harakahdaily.net

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP