Saturday, November 27, 2004

Siapa selepas Arafat?
Maszlee Malik
Nov 24, 04 12:18pm


(Malaysiakini.com)

Dunia bagaikan tergamam menyaksikan hakikat yang amat sukar diterima oleh ramai orang tetapi telah berlaku pada akhir-akhir Ramadhan 1425. Yasser Arafat atau yang lebih dikenali dengan jolokan Abu Ammar di kalangan umat Arab telah meninggal dunia pada usia 75 tahun pada 11 November 2004. Beliau merupakan pengasas gerakan Fatah (Palestinian National Liberation Movement) dan telah menjadi pengerusinya semenjak tahun 1957.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan pengerusi PLO semenjak tahun 1968 dan telah dilantik menjadi presiden pihak berkuasa tempatan Palestin (PA) semenjak tahun 1994 sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Selama lebih 40 tahun beliau dikenali oleh dunia sebagai ikon perjuangan Palestin. Tidak pelik jika ada yang mengatakan Palestin adalah Arafat, Arafat adalah Palestin.

Selama bertahun-tahun, sehinggalah hari kematiannya, dunia sibuk memperkatakan tentang kehebatan, jasa dan kegigihan perjuangan insan bernama Yassir Arafat ini. Sayangnya menjelang saat-saat akhir nyawanya, Suha al-Tawil, isteri beliau telah mendedahkan keaibannya. Keaiban yang telah membuka topeng "wira" yang selama ini beliau gunakan untuk mempamerkan imej perjuangannya.

Pendedahan sejumlah berjuta-juta (ada yang mengatakan bilion) USD di dalam akaun-akaun rahsianya di Eropah dan Israel (yang sebenarnya milik rakyat Palestin) telah menjadi rebutan di antara Suha dan juga konco-konco Arafat di dalam PA.

Agak dramatik mengenangkan peristiwa tarik menarik tali antara Suha dan juga para wakil PA untuk mengisytiharkan "kematian" Arafat secara rasmi. Fenomena ini telah menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat dunia. Apakah yang sebenarnya berlaku? Semuanya tertanya-tanya. Lagi menambahkan tanda tanya apabila Suha dengan berani mengecam konco-konco PA secara "live" di stesen televisyen al-Jazeera dengan mengatakan bahawa mereka ingin menanam Arafat hidup-hidup dengan perisytiharan tersebut.

Akhirnya, aksi tarik menarik tali itu berkesudahan secara drastik dan tiba-tiba. Apabila diumumkan kematian Arafat secara rasmi, Suha pun terus membisu, seolah-olah redha dengan takdir Ilahi. Adakah senyapnya beliau adalah kerana keredhaannya terhadap takdir? Sudah tentu tidak!

Misteri terbongkar

Laman web internet yang memakai nama Filistin Press akhirnya menjawab misteri yang menyelubungi atmosfera isu perisytiharan kematian Arafat. Mereka telah mendedahkan persepakatan yang telah dicapai di antara konco-konco PA dengan Suha untuk mem"faraid"kan harta Arafat (baca: milik rakyat Palestin) yang berjumlah berjuta-juta (ada yang mengatakan bilion) dollar di antara mereka.

Hasilnya, Suha mendapat habuan sebanyak US$20 juta ditambah dengan 11 juta yang telah diambilnya semenjak awal-awal lagi. Jumlah tersebut tidak termasuk perbelanjaan bulanan yang diterima oleh beliau dan anaknya berjumlah US$15 ribu sebulan dari PA. Dengan habuan tersebut, akhirnya Suha bersetuju untuk menghebahkan secara rasmi kematian Arafat.

Ternyata perlengahan mengisytiharkan kematian Arafat adalah kerana persoalan duit dan harta yang ditinggalkan oleh beliau. Harta yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat Palestin semasa beliau masih hidup rupanya menjadi "bala" selepas kematiannya. Harta yang akhirnya menjadi rebutan di antara Suha dan konco-konco PA. Harta yang membuatkan jasadnya yang telah disahkan "mati" secara klinikal terpaksa menantikan persetujuan mereka yang berbalah untuk mendapatkan gelaran "kematian" secara rasmi untuk dihebohkan kepada masyarakat dunia.

Suha telah mendapat habuannya. Bagaimana dengan konco-konco Arafat di PA? Adakah mereka telah berpuas hati seterusnya membahagi-bahagikan harta-harta tersebut secara adil dan saksama sesama mereka seperti penyamun "Badan" dan "Nyawa" dalam cerita nujum Pak Belalang?

Sudah tentu tidak! Sifat ketamakan dan inginkan yang lebih akan menguasai jiwa setiap seorang daripada mereka. Yang pastinya jawatan presiden PA akan menjadi rebutan penyamun-penyamun tersebut. Sudah tentu rekod Arafat mengumpulkan harta sebanyak itu di kala hidupnya ingin dipecahkan oleh sesiapa sahaja yang bercita-cita mengisikan kekosongan jawatan tersebut. Usaha untuk mendapatkan jawatan tersebut juga bukanlah sesuatu yang mudah.

Bakal pengganti

Perebutan kuasa, pertumpahan darah dan perpecahan pasti akan berlaku di kalangan pimpinan, anggota dan juga mereka-mereka yang berkepentingan di dalam Fatah dan PA. Peristiwa percubaan membunuh Abu Mazen di Gaza beberapa hari selepas kematian "rasmi" Arafat ketika menghadiri upacara "takbin" (meratap) adalah petanda awal kepada keretakan dan seterusnya perpecahan yang bakal berlaku.

Siapakah yang bakal menggantikan Arafat sebagai Presiden PA selepas ini? Sudah tentu bukan al-Rauhi yang sekarang ini memangku jawatan tersebut secara sementara, kerana beliau bukanlah seorang yang berambisi politik yang besar. Sudah tentu juga bukan mereka-mereka dari gerakan pembebasan Hamas seperti Mahmoud Zahar mahupun Khalid Masy'al, walaupun mereka merupakan pemimpin rakyat Palestin secara de facto.

Tidak syak lagi, pastilah konco-konco di dalam PA sendiri yang akan menyertai perlumbaan dan perebutan kuasa tersebut. Banyak pihak yang ternanti-nantikan siapakah pengganti Arafat, kerana lanskap politik di timur tengah bakal dicorakkan oleh sesiapa sahaja yang menggantikan beliau.

Menurut akhbar Haarezt Israel (baca: Palestin yang dijajah), Jordan merupakan negara yang paling cemas menantikan pengganti Arafat. Ini kerana kemunculan mereka-mereka yang pro penentangan terhadap Israel dan anti kompromi akan menjejaskan keadaan politik dan ekonomi negara tersebut secara tidak langsung.

Senarai calon

Di sini disenaraikan beberapa nama yang dikenal pasti oleh media-media antarabangsa dan juga pengamat isu Palestin sebagai calon-calon yang akan berebut dan berlumba untuk menduduki takhta Presiden PA dan seterusnya mengumpulkan kekayaan dari duit rakyat Palestin. Apa pun yang berlaku dan siapa pun yang terpilih, rejim Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat akan tetap memainkan peranan penting dalam menentukan siapakah pemenangnya.

Ahmed Qureia:

Antara yang dilihat oleh pengamat politik dunia bersaing untuk menggantikan Arafat ialah Ahmed Qureia (baca: Quray'). Menjawat jawatan sebagai perdana menteri PA dan juga rakan seperjuangan Arafat semenjak awal lagi. Umurnya yang baru mencapai 66 tahun dilihat sebagai orang yang masih berpeluang untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden PA. Dikenali oleh dunia sebagai salah seorang dari jurutera perjanjian damai (baca: menggadai Palestin) di antara Palestin dan juga rejim Zionis Israel. Dikenali sebagai Abu 'Ala, telah beberapa kali menggugut untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana keengganan Arafat memberikan kuasa yang lebih kepada beliau tetapi sering dipujuk oleh Arafat.

Beliau, walau bagaimanapun kurang berkarisma berbanding dengan Arafat dan pesaing-pesaingnya yang lain. Populariti beliau di kalangan rakyat Palestin juga amat kurang memuaskan dan bukan merupakan pilihan nombor wahid untuk dijadikan sebagai pemimpin de jure mereka, mahupun de facto. Di pihak rejim Zionis dan Amerika Syarikat pula, Qureia juga bukanlah seorang yang menepati kehendak politik mereka walaupun jasanya menjayakan Oslo (baca: menggadaikan Palestin) 1993, sesuatu yang tidak ternilai di mata masyarakat dunia.

Mahmoud Abbas:

Mantan perdana menteri PA sebelum Qureia yang telah meletakkan jawatan pada September tahun 2003 selepas empat bulan menjawatnya keana perselisihan faham dengan Arafat. Dikenali sebagai Abu Mazen, telah dipilih sebagai pengerusi PLO sejurus selepas kematian Arafat. Abbas, 69, seperti Qureia, beliau juga terlibat secara aktif dalam Oslo dan perjanjian-perjanjian damai (baca: penggadaian Palestin) yang lain di antara Palestin dengan rejim Zionis. Dilihat oleh pihak Zionis sebagai rakan yang boleh dibawa berunding.

Beliau juga terkenal sebagai musuh utama gerakan Intifada dan juga fraksi-fraksi perlawanan Palestin yang agresif seperti Hamas dan Jihad Islamiyy. Beliau juga dikenali dengan sikap agresifnya dalam mengekang serangan-serangan pejuang Palestin ke atas rejim Zionis. Seperti Qureia juga, dia tidak popular di kalangan rakyat Palestin.

Marwan al-Barghouti:

Seorang yang bertubuh rendah, orator dan juga mantan pemimpin sayap pemuda gerakan Fatah. Sekarang ini beliau sedang menghadapi lima hukuman penjara seumur hidup kerana dituduh terlibat di dalam usaha subversif yang merancang pembunuhan para pemimpin Israel. Beliau dilihat oleh ramai penganalisis politik timur tengah sebagai Arafat "in the making". Berbanding dengan pemimpin-pemimpin Fatah yang lain, beliau lebih dilihat sebagai seorang yang agresif, bersuara lantang dan juga pro-penentangan terhadap rejim Zionis. Pernah bersama-sama menyertai Intifadah yang pertama, tetapi berakhir dengan perjanjian damai Oslopada tahun 1993.

Beliau kemudiannya bangkit sekali lagi bersama rakyat Palestin pada intifadah kedua tahun 2000 yang menyebabkan beliau terpaksa meringkuk di dalam penjara sekarang ini. Selain mendapat sokongan daripada majoriti rakyat Palestin, beliau juga dilihat sebagai seorang yang boleh bekerjasama dengan fraksi-fraksi penentangan yang lain seperti Hamas dan Jihad Islamiyy. Sikapnya ini tampak bertambah jelas terutamanya ketika beliau menyertai mogok lapar bersama banduan-banduan (baca: tahanan-tahanan perang) Palestin Hamas yang lain di penjara-penjara Israel sekitar Ogos dan September 2004.

Walau bagaimanapun beliau amat dikenali sebagai orang yang mengecam dan tidak bersetuju dengan tindakan aksi bom syahid yang menjadi pilihan pihak penentangan yang lain. Beliau juga menyokong solusi dua negara untuk menyelesaikan konflik Zionis-Palestin. Untuk mengisi kekosongan jawatan presiden di waktu ini agak mustahil kerana situasi yang dihadapinya, tetapi terdapat rumor yang mengatakan beliau akan diberikan jawatan tersebut jika bersetuju untuk bersengkongkol dengan rejim Zionis Israel.

Jibril Rajoub:

Mantan ketua pihak keselamatan PA di Tebing Barat, Rajoub, 51 dilihat oleh ramai pengamat politik Palestin sebagai seorang yang pragmatis. Seperti Barghouti, beliau menerima sokongan rakyat Palestin kerana sikapnya yang menyokong Intifada. Yang menariknya dalam waktu yang sama beliau juga menentang serangan-serangan yang dilakukan oleh Hamas ke atas rejim Zionis di dalam kawasan yang dijajah oleh rejim Zionis semenjak 1948 (aka Israel).

Beliau juga merupakan angkatan muda yang telah dibina oleh Arafat dan merupakan pesaing utama kepada Barghouti dari segi kepopularitiannya di kalangan rakyat Palestin.

Nabil Sha'ath:

Nama yang tidak begitu popular di kalangan masyarakat dunia dan tidak disenaraikan sebagai orang yang berpotensi untuk menggantikan Arafat. Walau bagaimanapun bagi pihak Fatah dan juga rakyat Palestin, namanya mempunyai aura yang tersendiri. Sekarang ini beliau menjawat jawatan sebagai menteri hubungan luar PA. Beliau juga amat rapat dengan Arafat kedua-dua penasihat Arafat, Saib Uraiqat dan juga Yasir Abdu Rabbih yang dilihat sebagai "spin doctors" di dalam Fatah.

Sayangnya beliau kurang dipercayai oleh rakan-rakannya dan kurang mendapat sokongan dari rakyat Palestin. Walau bagaimanapun dengan kedudukannya sebagai menteri hubungan luar telah memberikannya tempat di hati pemimpin-pemimpin rejim Zionis dan juga pihak pentadbiran Amerika Syarikat yang melihatnya sebagai pihak yang boleh bekerjasama dengan mereka selepas Arafat.

Mohammed Dahlan:

Seorang pemuda yang belum pun mencapai umur 50 tahun. Dipuji oleh Sharon sebagai "Inilah orangnya!" . Pernah menjawat jawatan menteri keselamatan dalam negeri di wilayah Gaza sewaktu berumur 33 tahun dan kini tidak memegang apa-apa jawatan di dalam PA. Pernah hidup di dalam buangan di Libya dan menjadi antara pemimpin angkatan muda Fatah yang sangat berpengaruh.

Beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai hubungan yang amat intim dengan pihak rejim Zionis. Amat dimusuhi oleh fraksi-fraksi penentangan palestin kerana tindakan agresifnya sewaktu menjawat jawatan menteri keselamatan dalam negeri dengan menangkap dan memenjarakan para pejuang Palestin. Jasanya itu amat dihargai oleh pihak rejim. Beliau juga amat dikenali oleh rakyat Palestin sebagai seorang yang korupsi, terutamanya selepas skandalnya memasukkan hasil cukai Gaza dan ke dalam akaun peribadinya. Terkenal sebagai seorang yang kaya raya di Gaza, walaupun berasal dari keluarga yang miskin dan bermula sebagai seorang samseng dan ketinggalan di dalam pelajaran sewaktu di Universiti.

Pada awal 2004, beliau telah memeranjatkan dunia apabila mencabar Arafat untuk meletakkan jawatan jika tidak melakukan perubahan di dalam pentadbirannya yang lemah, dan cuba mempromosikan dirinya sebagai pejuang refomasi di dalam gerakan Fatah. Bagi pihak Hamas dan Jihad Islamiyy, beliau merupakan agen rejim Zionis yang ditanam di dalam gerakan Fatah dan berkemungkinan besar akan menggantikan Arafat di atas restu rejim Zionis dan Amerika Syarikat. Beliau juga telah dilihat oleh akhbar The Guardian, United Kingdom sebagai orang yang akan diamanahkan oleh rejim Zionis untuk menjaga Gaza selepas pengunduran tentera rejim tersebut.

Siapakah di antara mereka ini yang akan memenangi perebutan kuasa tersebut? Adakah pemilihan presiden PA pada 6 Januari 2005 nanti merupakan keputusan pemutus bagi persoalan tersebut? Atau akan berlaku perpecahan lagi di kalangan anggota Fatah dan rakyat Palestin selepas keputusan rasmi tersebut diumumkan? Adakah rejim Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat akan redha dengan pemilihan rakyat? Adakah Hamas dan juga fraksi penentangan yang lain akan redha dengan keputusan tersebut?

Sama-sama kita nanti dan lihat...waktu adalah saksi kepada apa yang akan berlaku.

Maszlee Malik adalah ahli jawatan kuasa Jamaah Islah Malaysia (JIM).

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP