Monday, November 15, 2004

Pejuang yang bernama Yasser Arafat a.k.a Abu Ammar
Hishamuddin Rais
Nov 10, 04 1:00pm


Bila saya memasuki Universiti Malaya pada tahun 1971, Al-Fatah telah menjadi salah satu daripada puluhan gerakan pembebasan rakyat dunia ketiga yang sedang mengangkat senjata menentang kuasa imperialis Anglo-Amerika. Perang dingin antara blok imperialis Amerika dengan rakyat dunia ketiga sedang dalam satu arus yang paling menjanjikan.

Pada bulan Julai 1971, bulan kedua di UM, saya telah melamar untuk menjadi ahli Kelab Sosialis. Melalui bahan bacaan Kelab Sosialis inilah saya telah dapat membaca isi kandungan Deklarasi Balfour 1917 dan sejarah konspirasi kuasa imperial Anglo-Amerika hingga terwujudnya apa yang kini dipanggil Israel. Saya juga mula memahami tentang peranan gerakan Zionis antarabangsa.

Seperti di Iraq hari ini, Zionisma antarabangsa dan kuasa Anglo-Amerika tidak dapat dipisah-pisahkan. Saya juga mula membaca fakta sejarah tentang bagaimana pegawai tentera dan pentabir British akan bertugas terlebih dahulu di Palestin sebelum dihantar bertugas untuk menjajah Tanah Melayu.

Justeru, saya dapat memahami bagaimana kuasa imperialis British yang telah menobatkan Umno pada tahun 1957, telah memastikan parti politik ini akan terus bersahabat baik dengan Israel. Barulah saya sedar betapa reaksionarinya parti Umno di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Barulah saya tahu kenapa semasa saya di sekolah menengah, saya telah terbaca tentang pasukan bola sepak Israel turut sama bertanding untuk merebut Piala Merdeka di Stadium Merdeka.

Maka terjawablah soalan-soalan yang berpusing-pusing di kepala saya tentang kenapa limau Jaffa dapat dibeli dikedai-kedai buah di merata tempat di Tanah Melayu pada satu ketika dahulu.

Dari Universiti Malaya juga, saya telah dapat berkenalan dengan Abu Yacob dari gerakan Al-Fatah yang tinggal di Kuala Lumpur.

Al-Fatah adalah salah satu dari beberapa buah gerakan pembebasan rakyat Palestin yang bergabung di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Pada tahun 1971, gerakan Al-Fatah dan PLO masih tidak diiktiraf dan terima untuk bergerak secara rasmi oleh kerajaan Malaysia. Wakil Al-Fatah ini bergerak di Malaysia secara 'haram'. Dari wakil Al-Fatah inilah saya mula dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang ertiperjuangan pembebasan Palestin.

Perjuangan adil

Semasa saya menulis ini Yasser Arafat a.k.a Abu Ammar, Presiden Palestin sedang dalam keadaan nazak di sebuah hospital tentera di kota Paris. Mungkin ada pembaca yang akan menganggap saya kurang sopan kerana menulis sebuah �obituari� kerana Yasser belum wafat. Tetapi saya wajib bersikap jujur. Apa yang saya sokong semenjak saya disedarkan oleh Kelab Sosialis pada tahun 1971 dahulu, bukan tentang Yasser Arafat atau Al-Fatah, tetapi tentang perjuangan adil rakyat Palestin.

Saya tidak akan berlaku jujur kepada diri saya sendiri jika saya tidak menulis apa yang saya tahu dan fahami tentang Yasser Arafat atau Abu Ammar � nama gerilanya. Dalam masa yang sama, saya merasa berhutang politik kepada gerakan pembebasan rakyat Palestin. Perjuangan rakyat Palestin inilah yang telah membuka mata hati saya untuk memahami gerakan-gerakan anti imperialis sedunia.

Apabila terpaksa meninggalkan Malaysia dalam tahun 1974, saya telah pergi ke Beirut Lebanon. George Orwell dan Ernest Hemingway telah pergi ke Sepanyol bersama International Brigade untuk mempertahankan perjuangan Republikan Sepanyol sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua. Saya pula, dengan kemudaan yang romantis, telah ke Beirut untuk mencari Brigade International saya.

Di Kota Beirut, saya telah bekerja di Jabatan Penerangan PLO yang terletak di daerah Kola. Kawasan ini tidak berapa jauh dari Universiti Arab. Daerah Kola adalah salah satu daripada beberapa kawasan padat yang dikelilingi oleh penduduk miskin kota. Ada pelarian dari Palestin, ada setinggan dari Selatan Lebanon dan ada juga setinggan dari Armenia.

Jabatan Penerangan PLO di bawah Faroukh Khadoumi ini bergerak seperti Kementerian Luar Negara Palestin. Yang memimpin kerja-kerja kami ialah Mahmoud Labadi. Tugas kami ialah mengeluarkan buletin bulanan dalam bahasa Inggeris dan Peranchis. Bersama saya ketika itu ada seorang anak muda dari Australia dan sepasang suami-isteri dari Jerman. Kami juga dibantu oleh
tenaga kerja tempatan.

Pejabat Yasser tidaklah berapa jauh dari tempat saya bekerja. Pernah satu petang, Abu Ammar datang secara 'menyorok' ke jabatan kami. Lawatan mengejut ini dilakukan secara rahsia kerana perang saudara di Lebanon masih belum selesai. Yasser Arafat ketika ini belum memenangi hadiah nobel dan masih dianggap seorang pengganas.

Gerakan pembebasan

Yasser datang bukan untuk memberi garis politik tetapi untuk memberikan kekuatan moral dalam suasana perang yang berterusan di Beirut. Pada satu petang yang lain, saya telah dijemput hadir ke satu rapat umum di dewan kampus Universiti Arab untuk merayakan Land Day � satu tarikh bersejarah dalam perjuangan rakyat Palestin.

Bila saya sampai, dewan kampus ini telah kelihatan penuh. Kerana tidak ramai tamu luar yang datang, maka saya telah diberi tempat duduk yang agak selesa untuk mendengar ucapan-ucapan di rapat umum itu. Saya ternampak semua wakil gerakan pembebasan Palestin duduk di atas pentas. Mereka juga diiringi pemimpin kumpulan-kumpulan nasionalis Lebanon yang telah menjadi kawan seperjuangan PLO di Lebanon.

Sebenarnya saya langsung tidak mengetahui apa isi kandungan ucapan-ucapan pemimpin Palestin ini di petang itu. Saya hanya ingin mendengar bunyi ucapan dari dua orang pemimpin Palestin � Dr George Haabash dan Abu Ammar.

Dr George Haabash berucap sebelum Abu Ammar. Daripada susunan ucapan itu, saya mengagakkan gerakan Popular Front (PFLP) yang dipimpin oleh Haabash ini pastilah memiliki pengaruh dan kekuataan yang kedua sesudah Al-Fatah. Saya tidak pula teringat sama ada Ahmad Jibril dari DPFLP (Democratic Popular Front) hadir atau tidak pada petang itu atau tidak. Ingatan saya hanya tertumpu kepada George Haabash dan Abu Ammar.

Bila Yasser bangun untuk berucap, dewan menjadi gegak gempita dengan laungan slogan � hatta nash hatta nash � berevolusi hingga menang berrevolusi hingga menang. Saya hanya mendengar bunyi bahasa Arab dan tidak mengetahui isi kandungannya. Hamburan-hamburan retorik dari Yasser saya dengari seperti bunyi ayat-ayat suci.

Mungkin Yasser telah menggunakan bahasa Arab klasik � hal ini tidak pula saya ketahui. Memang Yasser Arafat cukup pandai berpidato. Sorakan dan sambutan laungan dari dewan pastilah menyatakan sokongan mereka terhadap apa yang sedang diucapakan oleh Yasser. Ucapan hangat dari Yasser pada petang ini, walaupun saya buta Arab, telah menaikan semangat juang saya.

Semakin lama saya di Beirut, semakin jelas pemahaman saya terhadap Al-Fatah dan Yasser Arafat. Dari anak-anak mahasiswa yang bergerak dalam General Union of Palestine Students (GUPS) dan dari kenalan-kenalan baru di Beirut, saya semakin menyedari bahawa Yasser ini bukanlah seperti apa yang saya bayangkan. Retorikanya cukup hebat tapi�

Tiada kefahaman

Satu hari saya telah bersua dengan kawan lama saya, seorang bekas pelajar dari Pakistan. Mahasiswa ini adalah salah seorang pemimpin GUPS dari Lahore. Dengan bagitu bangga dia menunjukka kepada saya sepucuk surat permintaan dana dari GUPS cawangan Lahore kepada PLO. Semuanya ditulis dalam bahasa Arab. Pelajar ini terus menunjukkan kepada saya ke akhir perenggan di kawasan terbawah yang kosong. Saya dapat membaca tulisan Jawi dan angka rumi � Abu Ammar/ 1500 Lira.

Saya hairan kenapa pelajar dari Lahore ini menjadi bagitu bangga. Kalau saya seorang aktivis pelajar, saya akan merasa gerun dan risau kerana kenapa dana sebanyak 1500 lira ini juga wajib memerlukan tandatangan Pegerusi PLO. Terlintas dalam kepala saya apakah PLO ini tidak memiliki satu struktur luas yang dapat membebaskan pengerusinya dari membaca surat-surat remeh seperti permintaan 1500 Lira.

Atau Yasser sendiri tidak memiliki daya kefahaman politik untuk mendemokrasikan kuasa. Atau Abu Ammar ini tidak mahu kuasa 1500 Lira ini terkeluar dari tangan beliau. Ini hanyalah soalan-soalan awal yang mula saya fikirkan semakin lama saya di Beirut.

Kemudian saya mula terdengar kisah tindak-tanduk seorang pemimpin gerila Al-Fatah yang dipayongi oleh Yasser Arafat. Gerila ini telah memusnahkan semua talian cawangan telefon dan teleks kecuali di hotel Commandore. Ini berlaku semasa perang saudara semakin hangat.

Pemberita, wartawan dan sesiapa sahaja yang ingin menggunakan talian telefon wajib ke hotel ini. Jangan terperanjat � saham hotel ini pula dimiliki oleh kroni-kroni Yasser Arafat.

Bayangkan berapa banyak harta karun yang telah dikumpulkan oleh pemimpin gerila Al-Fatah ini. Saya sendiri, pada kali pertama datang ke Beirut pada tahun 1975, telah wajib pergi ke hotel ini untuk menggunakan teleks semasa saya perlu berurusan dengan Asian Students Association di Hong Kong.

Semua wartawan dan pemberita dari luar negara yang mengumpul berita perang saudara di Lebanon mengetahui pekara ini berlaku tetapi Abu Ammar memejamkan mata. Al-Fateh, salah sebuah daripada beberapa gerakan pembebasan Palestin, ditubuhkan pada awal 60-an. Sesudah perang Arab-Isreal 1967, regime Zionis telah berjaya menakluk Tebing Barat, Gaza dan Selatan Syria.

Kekalahan tentera Jordan, Mesir dan Syria ini cukup memalukan rakyat Arab. Al-Fatah telah menyambut kekalahan ini dengan melancarkan serangan Al-Karameh terhadap tentera Isreal pada bulan March 1968. Fedayeen � gerila Palestin dari kumpulan Al-Fateh � telah berjaya menumpaskan tentera Isreal dan membawa ke Jordan beberapa kereta kebal Israel yang dirampas.

Kumpulan gerila

Pertempuran Al-Karameh ini menjadi batu tanda perjuangan gerila bersenjata jenis baru dari generasi Palestin yang baru. Semangat Al-Karameh inilah yang melonjakkan nama Al-Fatah dan Yasser Arafat.

Kejayaan Al-Fateh ini telah menaikkan semangat kumpulan-kumpulan gerila yang lain untuk menyerang Isreal dari Jordan. Negara Jordan yang bermajoritikan rakyat yang berasal dari Palestin telah merasa kurang selesa. Kehadiran kumpulan-kumpulan gerila ini menjadikan Al Malik Hussein serba salah. Raja Jordan ini mendapat tekanan politik dari Isreal dan Amerika.

Akhirnya, berlakulah pertempuaran antara tentera Raja Jordan dengan gerila Palestin pada September 1969. Kelicikan politik dan konspirasi Zionis antarabangsa telah berjaya mengadu dumba rakyat Arab. Pergerakan kumpulan politik Palestin telah diharamkam di Jordan. Dengan kerjasama Liga Arab, pergerakan pembebasan Palestin telah diminta berpindah ke Lebanon.

Semasa saya sampai ke Lebanon pada tahun 1975, kedudukan PLO dan gerakan pembebasan Palestin di Lebanon bukanlah secara haram tetapi di atas mandat Liga Arab. PLO di bawah pimpinan Yasser Arafat era awal di Lebanon telah menjadi satu gerakan pembebasan yang dihormati. Pada tahun 1974 Yasser Arafat telah dijemput ke New York untuk memberikan ucapan rasminya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Prestij PLO dan Yasser Arafat mendadak naik. PLO kini bukan hanya diiktiraf oleh negara Arab dan negara- negara Islam sahaja, malah banyak negara Eropah dan dari dunia ketiga menyokong dan mengiktiraf pejuangan adil rakyat Palestin.

Di era kegemilangan PLO ini, regim Zionis Israel semakin terpencil dan terdesak. Tetapi konspirasi dan kelicikan politik Zionis antarabangsa tidak pernah luntur. Gerakan Zionis sedar tentang sifat hodoh pemimpin negara-negara Arab � dari Raja, Sheikh, Presiden dan Perdana Menteri � kesemua mereka buta demokrasi. Regim-regim Arab ini tidak pernah mendapat sokongan kuat rakyat mereka sendiri.

Kekosongan demokrasi ini telah menjayakan jarum Zionisma untuk melaga-lagakan negara Arab antara satu dengan yang lain. Inilah puncanya pecah perang saudara di Labanon pada tahun 1974. Di akhir dekad 70-an - semasa perang saudara semakin memuncak � kuasa dan pimpinan Yasser dalam PLO semakin tercabar. Dalam masa yang sama Al-Fatah terus mendapat dokongan dana yang lumayan dari regim Saudi. Sedikit demi sedikit, Yasser telah mengambil garis politik kanan yang disenangi oleh para Wahabi dari Saudi Arabia.

Pasukan tentera


Kritikan-kritikan terhadap regim-regim Arab yang bersekongkol dengan Israel cuba dipadamkan oleh Yasser. Kritikan terhadap cara Yasser memimpin PLO akhirnya membawa perpecahan dalam Al-Fatah sendiri.

Untuk memastikan dirinya terus memiliki kuasa dan menjadi pemimpin Al-Fatah dan PLO, Yasser Arafat telah memagari dirinya dengan tukang ampu dan tukang bodek. Dollar petrol yang mencurah masuk ke dana PLO telah memastikan yang pimpinan Yasser tidak mungkin tercabar. Sama seperti pemimpin di dunia Arab yang lain, Yasser juga telah mendirikan pasukan risikkan mukhabaratnya yang mengintip sesiapa sahaja yang mungkin boleh mencabar kuasanya.

Ketibaan kali kedua saya ke Lebanon pada tahun 1978 cukup memeranjatkan. Pemimpin-pemimpin gerila, yang saya kenali dua tahun dahulu, kini telah memiliki kereta Fiat. Bayangkan di saban petang, ketua-ketua gerila ini akan mengarahkan anak-anak buahnya untuk membasuh kereta barunya. Konsep gerila kini berubah. PLO telah mula mendirikan pasukan tentera walaupun masih belum memiliki tanah air sendiri.

Saya pernah terlihat satu keadaan yang lucu - pada satu ketika Yasser Arafat sebagai pemimpin PLO telah memberi tabik hormat kepada satu pasukan tentera laut dan pasukan kapal selam Palestin. Entah laut mana yang ingin diselam oleh pasukan tentera laut Yasser ini, tidalah pula saya selidiki.

Perang saudara di Lebanon berakhir dengan kemasukan tentera Israel ke Beirut. PLO dan kumpulan-kumpulan gerila di bawah pimpinan Yasser telah berundur ke Tunisia. Penduduk miskin kota di Lebanon dan rakyat pelarian Palestin yang selama ini menjadi tembok sokongan gerila PLO, telah ditinggalkan tanpa sokongan ketenteraan. Keadaan ini membolehkan General Ariel Sharon melakukan pembantaian di Sabra dan Shatilla.

Semasa pembantaian penduduk miskin di Sabra dan Shatilla, saya telah berada di Eropah. Riak-riak kiritikan terhadap Yasser Arafat masih dapat saya dengari hingga ke Brussels. Dari majalah Newsweek, saya membaca berita perbalahan antara Mahmoud Labadi dengan Yasser Arafat. Kini bukan sahaja Al-Fatah yang telah pecah tetapi tindak tanduk Yasser telah membawa keretakan besar dalam PLO sendiri.

Cita-cita dan asas perjuangan Yasser Arafat untuk membebaskan Palestin dari regim Zionis semakin pudar. Politik Yasser semakin terpencil dan akhirnya beliau bersetuju untuk melupuskan politik mengangkat senjata dari piagam Al-Fatah dan PLO. Kesediaan Yasser untuk melupuskan fasal penting dalam piagam ini telah disambut baik oleh Bill Clinton dan Yithak Rabin.

Apabila Intifada meletus, Yasser telah menggunakan gerakan ini untuk melakukan rundingan damai di Oslo. Sebenarnya di Oslo dan di Camp David, Yasser Arafat telah dijual lambak oleh Bill Clinton kepada gerakan Zionist antarabangsa.

Mengikut tulisan-tulisan Edward Said, salah seorang Ahli Majlis PLO, Yasser bukan sahaja tidak mengetahui apa tujuan dia melakukan perjanjian dengan Rabin, malah Yasser sendiri tidak membaca secara terperinci isi kandungan perjanjian yang telah ditandatanganinya. Apa yang digembar-gemburkan oleh Yasser sebagai rundingan damai itu sebenarnya ialah penjualan perjuangan adil rakyat Palestin kepada regim Zionis Israel.

Nazak

Melalui perjanjian Oslo, Yasser dan PLO telah dibenarkan kebenaran untuk mendirikan negara Palestin. Inilah tanah sekangkang kera di Tebing Barat dan Gaza yang akan dinamakan Palestin. Dari Ramallah Yasser telah menobatkan dirinya sebagai Presiden Palestin. Berbillion dollar dari negara-negara Eropah telah masuk untuk membantu Yasser mendirikan lembaga-lembaga kenegaraan Palestin.

Sama seperti cara dan gaya Yasser mengendalikan PLO di Beirut; di Ramallah juga kroni-kroni dan tukang bodek terus mengelilingi Yasser. Rasuah semakin berleluasa. Kritikan terhadap Yasser dan PLO kadangkala menjadi pertempuran sengit. Sama seperti pemimpin negara Arab yang lain, akhirnya Yasser Arafat menjadi semakin autokratik. Dasar hanya bertelur dari mulut Yasser. Apa yang dikehendaki Yasser menjadi dasar PLO.

Parlimen Palestin digunakan sebagai cop mohor Yasser Arafat. Gerila-gerila yang dahulu penuh semangat untuk berjuang mendapatkan tanahair kini telah menjadi perkakas Isreal untuk melumpuhkan kumpulan dan gerakan gerila Palestin yang masih ingin terus mengangkat senjata untuk menumpaskan regime Zionis Isreal.

Yasser Arafat bukan Che Geuvera, bukan Uncle Ho dan bukan juga Fidel Castro. Bagi saya, Abu Ammar pejuang gerila dari Al-Fatah itu telah lama mati. Abu Ammar mati sebaik sahaja Yasser Arafat menerima permintaan Isreal dan Amerika untuk memansuhkan fasal �berjuang dengan mengangkat senjata� yang termaktub didalam piagam Al-Fatah dan PLO.

Apabila awal minggu ini saya terbaca dan terdengar heboh-heboh 'perebutan kuasa' di antara Suha, isteri Yasser Arafat dengan beberapa pimpinan PLO di kota Paris, maka saya tidak terperanjat dan hairan. Inilah contoh berakhirnya seorang ditaktor yang tidak pernah mengetahui dan mengamalkan perbicangan secara demokratik.

Yasser dalam keadaan nazak tetapi masih ingin memiliki kuasa. Atau heboh-heboh yang ditimbulkan oleh Suha ini mungkin kerana Yasser Arafat masih belum menandatangani surat yang memohon 1500 lira dari PLO.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP