Tuesday, October 19, 2004

Dipetik dari http://www.utusan.com.my

Senario masa depan undang-undang Malaysia
Peguam Menulis Oleh Salleh Buang

Apakah tahun 2005 dan tahun-tahun yang mendatang menjanjikan satu senario baru sistem undang-undang negara? Apakah kita akan meninggalkan sistem common law (warisan Inggeris) yang menjadi amalan kita selama ini dan sebagai gantinya mengamalkan sistem lain?

Apakah kita akan mencuba mengamalkan sistem sivil (yang dipakai di Eropah)? Apakah kita juga akan berhenti mengamalkan sistem adversarial di mahkamah dan menggantikannya dengan sistem inquisitorial?

Persoalan-persoalan begini timbul dalam minda kita setelah membaca beberapa kenyataan pihak-pihak tertentu sejak kebelakangan ini. Pun begitu, disebabkan kenyataan-kenyataan awal ini kebanyakan hanya merupakan satu cadangan awal sahaja, dan belum lagi merupakan satu dasar baru yang definitif dan konkrit, sukar bagi kita membuat apa-apa kesimpulan yang muktamad mengenainya.

Yang mendukacitakan, kecuali satu kenyataan ringkas oleh Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini, nampaknya pihak-pihak lain di negara kita ini (misalnya pakar undang-undang, tokoh akademik, ahli politik, warga korporat dan pentadbir) tidak begitu berminat menumpukan perhatian mereka mengenai isu ini.

Lantaran itu, sehingga kini kita langsung tidak mendengar apa-apa pandangan daripada mereka mengenai isu ini, yang boleh membantu kita membuat kesimpulan awal, apakah saranan-saranan pihak tertentu ini wajar ataupun tidak dipertimbangkan lebih lanjut lagi.

Akhbar tempatan memetik Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, sebagai berkata baru-baru ini bahawa sistem kehakiman negara pada masa ini terlalu bertunjangkan kepada undang-undang yang sedia ada dan secara tidak langsung menimbulkan implikasi kurang baik terhadap badan kehakiman.

Bagi beliau sudah tiba masanya sistem itu mengalami perubahan bagi memastikan badan kehakiman dan sistem perundangan negara kekal berada di tahap terbaik tanpa dipertikaikan mana-mana pihak.

Fairuz menyatakan bahawa Perdana Menteri telah pun memberi lampu hijau bagi rombongan badan kehakiman negara ini membuat lawatan ke beberapa negara Barat seperti Sweden, Denmark dan Switzerland untuk meneliti sistem inquisitorial di sana. Malaysia kini menjadi salah satu 20 peratus negara di dunia ini yang mengamalkan sistem adversarial, iaitu prosedur perbicaraan yang diasaskan kepada sistem perundangan common law Inggeris.

Hasil lawatan dan kajian itu nanti, kata Fairuz, badan kehakiman akan mengemukakan cadangan selanjutnya yang lebih terperinci kepada kerajaan. Ditanya wartawan tentang pandangan peribadinya antara sistem adversarial dan inquisitorial ini, beliau berkata; ``Bagi saya, sudah tiba masanya kita tidak berkiblat kepada common law sahaja.''

Fairuz juga dipetik sebagai berkata bahawa di bawah sistem adversarial yang diamalkan sekarang, undang-undang tidak mengizinkan seseorang hakim bicara bertindak begitu aktif menyoal saksi atau pihak-pihak (apa yang kita sebut sebagai `hakim turun ke gelanggang') berbanding sistem inquisitorial.

Yang penting, kita tidak menutup pintu kepada satu sistem perundangan saja. Mungkin ada yang lebih baik untuk menegakkan keadilan. ``Dalam kajian ini, tidak bermakna kita mengambil semua, tapi mana yang berfaedah kepada kita saja,'' katanya lagi.

Dalam reaksi awalnya terhadap cadangan Ketua Hakim Negara itu, Majlis Peguam nampaknya tidak begitu setuju. Menolak cadangan untuk merombak semula sistem common law negara, Kuthubul Zaman Bukhari dipetik sebagai berkata bahawa langkah sedemikian itu adalah sama sekali tidak perlu, memandangkan sistem common law yang ada sekarang jelas terbukti suatu sistem yang baik dan anjal.

Sambil menyatakan bahawa Majlis Peguam menyokong semua langkah yang diambil kerajaan untuk memperbaiki pentadbiran keadilan negara (dan telah pun mengemukakan beberapa memorandum berhubung dengannya). Badan itu berpendapat sistem common law tak perlu diubah atau diusik. Yang perlu diperbaiki bukan sistem, tetapi orang yang menganggotai dan mentadbir sistem itu, katanya lagi.

Fakta bahawa ada sesuatu yang tidak betul dan tidak kena pada badan kehakiman negara pada masa ini terdedah minggu lalu apabila akhbar tempatan memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheik Ahmad, sebagai berkata bahawa pihaknya memandang serius campur tangan Mahkamah Sivil dalam beberapa perkara yang sudah pun disenaraikan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tindakan Mahkamah Sivil itu jelas bertentangan dengan kehendak Perkara 121 Fasal (1A) Perlembagaan Persekutuan, tegasnya lagi.

Mengikut Radzi, campur tangan Mahkamah Sivil ini terus berlaku dalam kes-kes tertentu, misalnya yang melibatkan kes-kes wasiat dan harta pusaka, hadanah atau hak penjagaan anak serta jenayah syariah. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah keadaan ini serta menaikkan taraf Mahkamah Syariah, tambah beliau.

Radzi juga telah menyentuh tentang tahap hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah pada masa ini. Menurut beliau, hukuman sedia ada (terhad kepada formula 3-5-6, iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebat) sudah tidak realistik lagi. Hukuman maksimum yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah perlu dipinda demi memastikan sesiapa yang dibicarakan di mahkamah itu dikenakan hukuman setimpal, sekurang-kurangnya seperti yang akan diperoleh jika dibicarakan di Mahkamah Sivil, katanya lagi.

Saranan untuk meningkatkan martabat Mahkamah Syariah negeri ke paras yang lebih tinggi telah banyak kali diberi oleh pelbagai pihak di masa lampau, tetapi malangnya jarang sekali mendapat sambutan. Inilah kali pertama saranan sedemikian itu muncul dari mulut seorang menteri Kabinet.

Ditinjau dari perspektif yang lebih besar, saranan yang datang serentak dari kedua-dua tokoh besar ini (Fairuz dan Radzi) pastinya menjadi petanda baik kepada masa depan sistem kehakiman dan perundangan negara. Semoga kata-kata awal dua tokoh besar ini akan membuahkan hasil yang lebih bermakna lagi.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP