Monday, October 04, 2004

dicopy-paste dari berita harian.

Surat Pilihan: Lebih baik institusikan along daripada isytihar perang

CETI haram, along, lintah darat atau apa saja gelaran kontemporari diberikan merujuk kepada kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen secara persendirian atau melalui syarikat sah daftar tetapi tidak mempunyai lesen memberikan perkhidmatan berkenaan.

Gejala ini bukan sesuatu yang baru ataupun fenomena yang hanya berlaku di negara kita malahan wujud sekian lama walaupun dengan nama dan wajah yang pelbagai.

Pada zaman feudal dan pertengahan wujud sistem yang dipanggil tuan tanah. Semuanya bermula sebelum industri kewangan dan perbankan berkembang tersusun sebagaimana wujudnya pada hari ini.

Menyalahkan hanya satu pihak semata-mata dalam kes along ini adalah satu perbuatan yang berat sebelah, sebaliknya untuk membasmi sesuatu malapetaka yang melanda masyarakat, kita perlu membuat penelitian secara menyeluruh.

Mengisytiharkan perang terbuka untuk membasmi kegiatan along hanyalah penyelesaian singkat dan bersifat situasi. Dikhuatiri tindakan berkenaan hanya dapat menyimpan masalah sebenar di bawah tikar, tetapi apabila sampah semakin menimbun ia akan bertebaran keluar dan menjadi bencana.

Kajian menunjukkan kewujudan along berkait rapat dengan permintaan besar terhadap �kewangan segera�. Inilah masalah utama dan pokok di dalam semua permasalahan yang perlu diberikan perhatian supaya dapat diwujudkan formula penyelesaiannya.

Kajian perlu dilakukan dengan teliti siapakah pelanggan kepada along dan fakta yang menyebabkan mereka mendapatkan perkhidmatan itu.

Selanjutnya, rumusan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang perlu dibuat bagi mengatasi masalah berkenaan.

Perbuatan memburu along dan memenjarakan mereka saja tidak akan menyelesaikan permasalahan secara tuntas. Kerana selagi ada permintaan selagi itulah akan wujud peluang melahirkan bibit dan benih along generasi baru yang mungkin melaksanakan strategi yang lebih canggih, bersistem dan semakin sukar untuk dibanteras.

Semua berteraskan konsep asas pasaran iaitu permintaan dan penawaran. Sebab itulah cara yang paling efektif dan dinamik dalam mewujudkan kelahiran golongan along.

Melalui tinjauan khalayak, didapati kebanyakan mangsa along adalah mereka yang tersepit dengan pelbagai kemelut kewangan.

Ikhtiar memperoleh kemudahan kewangan daripada institusi kewangan selalunya terlalu banyak �songeh�. Hingga bukan saja merimas tetapi turut mengecewakan.

Tanpa menafikan institusi kewangan mempunyai prosedur dan polisi yang perlu dipatuhi, tetapi sekiranya kewujudan institusi itu hanya sebagai alat mengaut untung semata-mata dan tidak turut memainkan peranan dalam obligasi sosial dan nasional baiklah kewujudan mereka dihadkan pada bilangan yang konservatif saja.

Cogan kata yang pelbagai dipamerkan oleh institusi kewangan di negara ini tidak pernah menggambarkan hakikat sebenar. Cuba bertanya kepada usahawan kecil dan sederhana di negara ini siapakah yang menghulur bantuan sekiranya bukan along jika keadaan mendesak.

Walhal, sekiranya Bank Negara mewajibkan semua institusi kewangan memaparkan kepada umum jumlah wang tidak dituntut saban tahun yang disimpan sama ada kerana jumlahnya terlalu kecil atau penyimpan tidak dapat dikesan saja sebenarnya telah berupaya menampung keperluan golongan terdesak ini.

Adalah tidak mustahil melakukan pendekatan yang realistik dalam mengatasi gejala itu. Ini dibuktikan sejak lama dulu melalui institusi pajakan berlesen dan yang mutakhir apabila platform pajakan Islam Ar-Rahnu diperkenalkan melalui pengemblengan usaha di antara Yapem dan Bank Rakyat.

Ia memang langkah proaktif yang patut diberikan pujian dan setinggi ucapan tahniah. Langkah berkenaan menjadi serampang multi fungsi di mana selain daripada menyediakan kemudahan kredit bersifat tradisional berupaya juga menyelamatkan akidah, riba dan pada masa sama menjadi penyelamat harta benda golongan terdesak terutamanya masyarakat Melayu luar bandar.

Pada masa sama, Bank Rakyat membuktikan transaksi yang dilakukan untuk perniagaan ini adalah mudah, beretika dan amat menguntungkan. Malahan Bank Rakyat berjaya melonjakkan paradigmanya daripada bank koperasi yang hampir muflis kepada bank yang begitu berdaya maju.

Berfikirlah secara rasional dan berhikmah dalam menangani sesuatu masalah dan pastikan sebarang tindakan yang dilakukan tidak menunjukkan kedangkalan dan kecetekkan daya intelek kita.

Sekiranya melawan api dengan api dan angin dengan angin dikhuatiri kebakaran besar menimbulkan bencana dan yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak berdaya. Kita semua maklum kemampuan dan keupayaan pihak berkuasa menyelesaikan kes seumpamanya tetapi ini bukan kes jenayah biasa malahan ia adalah realiti kehidupan maya.

Peminjam datang daripada pelbagai golongan. Penyedia perkhidmatan juga daripada pelbagai lapisan. Along lama pergi akan datang along baru, polis lama pergi polis baru datang tetapi keperluan material yang mendesak tetap berlaku di mana-mana.

Dalam meneliti permasalahan ini, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan dan perbankan patut bersama-sama dengan kerajaan menyusun strategi yang mampu menjadi alternatif kepada pelanggan along ini untuk mendapatkan perkhidmatan.

Langkah yang paling agresif patut diperkenalkan adalah menginstitusikan golongan along ini sebagaimana yang dilakukan kepada pajak gadai, atau penarik kenderaan. Melaluinya diwujudkan prosedur dan tatacara yang teratur dan sempurna supaya mudah dipatuhi.

Malahan penguatkuasaan kutipan bayaran balik, tindakan mendapat kembali pinjaman, dan seumpamanya patut diwujudkan pelarasan garis panduan.

Ini akan berupaya membantu kerajaan dan pihak berkuasa memantau, menyelia dan menguatkuasakan peraturan dengan lebih mudah dan berkesan. Apabila diinstitusikan along akan mudah dikesan dengan alamat perniagaan yang telus, nombor perhubungan malahan individu yang terbabit dalam industri ini dengan segera dapat disimpan dalam pangkalan data.

Betullah kata pepatah sekiranya kita bijak dan mahu berfikir semua mampu ditangani dengan mudah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tidak berselerak.

Dengan itu, perisytiharan perang bukanlah satu-satunya jalan terbaik dalam menangani masalah ini kerana ia bukannya membabitkan satu pihak pelaku saja.

Along dan peminjam adalah hanya sekelumit daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat yang menghuni negara tercinta ini.

Walau apapun permasalahan yang wujud hasil interaksi dua golongan ingin kelak akan meninggalkan implikasi kepada seluruh masyarakat kerana struktur masyarakat kita yang saling bergantungan antara satu sama lain.

Saya mencadangkan agar Majlis Tindakan Ekonomi Negara memanggil pakar ekonomi, keselamatan, KDN dan NGO daripada pelbagai pertubuhan, individu dan cendekiawan serta ilmuwan untuk duduk semeja merumuskan satu pelan tindakan komprehensif demi mengatasi masalah ini sehingga tuntas ke akar umbinya.

DR AHMAD ZAKI ISMAIL,
Kuala Lumpur

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP