Friday, July 02, 2004

19 pelajar cedera paip gas makmal sekolah meletup

IPOH 1 Julai - Sebanyak 19 pelajar Sekolah Menengah Gunung Rapat dekat sini, cedera selepas satu paip gas di makmal sains sekolah itu meletup, hari ini.

Dua daripada mereka dirujuk kepada pakar mata Hospital Ipoh dipercayai terkena serpihan letupan berkenaan manakala yang lainnya mengalami pedih mata dan hidung serta gatal tekak di samping terkejut dengan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, semua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tidak lama kemudian selepas menjalani pemeriksaan.

Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Adnan Ibrahim ketika ditemui pemberita di sekolah itu petang ini berkata, letupan berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika 44 orang pelajar Tingkatan 1 sedang menjalankan satu uji kaji menggunakan penunu bunsen di makmal berkenaan.

Katanya, kejadian itu berpunca daripada kebocoran paip yang menyalurkan gas di salah sebuah meja makmal yang ketika itu dikelilingi tujuh pelajar.

Jelasnya, ketika kejadian, pelajar terbabit sedang mengikuti subjek sains dan diawasi oleh seorang guru sains, Khairol Azmi Ariffin.

``Letupan berlaku di bahagian bawah meja makmal tidak lama selepas penunu bunsen dinyalakan dan letupan itu menyebabkan meja yang diperbuat daripada kayu pecah dan roboh,'' katanya yang melakukan lawatan ke makmal sekolah itu.

Adnan berkata, letupan itu tiada kaitan dengan bahan kimia yang sedang digunakan sewaktu kejadian tetapi disebabkan kebocoran paip gas di bawah meja makmal yang didapati telah berkarat.

Katanya, pihak bomba yang dipanggil ke tempat kejadian mengesahkan paip gas berkenaan telah bocor akibat dimakan usia.

``Paip gas ini pecah dan meletup tanpa mengeluarkan sebarang api dan letupan ini agak kuat sehingga dapat didengari oleh penghuni di bangunan bersebelahan makmal,'' jelas Adnan.



0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP