Saturday, May 15, 2004

Salo - 120 hari di Abu Ghraib



Pada tahun 1975, Piere Paolo Passolini (1) telah membuat sebuah filem bernama Salo - 120 Days Of Sodom. Bila Salo keluar ianya telah mendapat pelbagai reaksi. Reaksi utama datangnya dari persongkonglan puak gereja dengan puak kanan. Padri-padri gereja, guru-guru moral dan pendakwah nilai-nilai murni telah mula bersuara menentang filem ini dari dilihat oleh orang awam.

Salo memiliki banyak pensejarahan. Di kota London filem Passolini ini pada awalnya dilarang tayang. Kemudian diluluskan dengan kelulusan 18 keatas. Di Australia pula sejarahnya paling hebat. Pernah diluluskan untuk tayangan bertanda X kemudian ditarik kembali pada tahun 1998. Di Finland filem ini langsung tidak dibenarkan ditayang untuk umum hingga ke hari ini. Cuma di Sweden, negara Eropah yang paling demokratik dan terbuka, filem ini tidak diganggu.

Sebenarnya, saya telah berkali-kali menonton filem ini. Saya menontonnya di Scala , satu-satunya panggung wayang alternatif yang terus menerus memutarkan filem-filem yang bukan dari gelombang perdana. Dalam seni filem dan bayang bergerak saya cuba memahami mazhab ajaran Passolini. Kerana itu saya telah berulang-ulang kali menonton semua kerja-kerja seni Passolini.

Salo yang saya tonton di Scala ini pun bukan Salo yang lengkap. Ianya telah 'disunatkan' oleh badan penapis. Enam minit 'panjangnya' telah dipotong. Tetapi impak filem ini masih mendebar dan menggangu. Filem yang dipadankan secara longgar dari buku Marquis de Sade (2) ini telah lihat memudarat/ mengancam/menggangu kestabilan sensibiliti borjuis Eropah. Ketenangan dan hipokrasi para borjuis ini telah digelodak oleh Salo.

Filem ini berlatarkan kerajaan fascist Massoluni yang berkuasa di Itali semasa Perang Dunia Kedua. Naratif filem ini membawa penonton ke Salo sebuah desakota di Utara Itali dimana pemerintahan kerajaan fascist telah dikuatkuasakan.

Penduduk-penduduk yang anti-fascist telah dibunuh beramai-ramai. Mayat-mayat bergelempangan di sepanjang jalan. Anak-anak gadis dan teruna belasan tahun telah diculik dan dibawa ke sebuah Pusat Pentabiran Kerajaan Tentera. Apa yang terjadi di dalam bangunan inilah yang membuka naratif Salo.

Apa yang dilakukan oleh pemerintahan fascist terhadap orang-orang tahanan mereka cukup memualkan. Satu kesah demi satu kesah dipaparkan oleh Passolini. Dalam satu babak, Orang Yang Ditahan telah di bogelkan. Kepala mereka di tutupi dengan kain buntil. Kemudian, secara beramai-ramai telah dipaksa menongeng dan lubang jubur mereka di periksa oleh tentera fascist.

Diliwat dan dirogol

Anak-anak muda yang jambu dan kiut telah diliwat. Anak-anak gadis dan perempuan telah dirogol beramai-ramai. Dalam satu babak diperlihatkan bagaimana Yang Berkuasa telah memaksa Yang Ditahan untuk memakan najisnya sendiri. Di dalam bilik tahanan seksaan berterusan. Batang tubuh Yang Ditahan dituris dengan pisau, lidah mereka dilukai, mereka diganasi, dilukai dan di belasah.

Imej-imej ini memeranjat dan menggangu para penonton. Passolini tanpa berlapik/berselindung telah memaparkan kepada masyarakat dunia bahawa inilah yang berlaku apabila kerajaan fascist Masssoluni berkuasa di Salo. Tetapi sayangnya imej-imej yang dibuat pada tahun 1975 ini telah cuba dijauhkan dari mata hati orang ramai. Orang ramai telah ditapis fikrah mereka dari dapat melihat dan memahami apakah makna Kuasa Fascist.

Dalam Salo, secara teoritikal Passolini telah cuba mencari hubungan diantara Yang Berkuasaa dengan Yang Dikuasai. Seperti dalam buku Marquis de Sade, Salo memperlihatkan bagaimana seksualiti dan berahi adalah sebahagian dari Kuasa. Berahi, seksualiti dan kuasa hanya dipisahkan oleh satu tabir yang amat nipis.

Manakala didalam idealogy falsafah fascist tabir pemisah ini tidak wujud lagi. Haluan kanan gulungan fascist telah menyatukan Kuasa, Seksualiti dan Berahi. Hasilnya ialah apa yang telah dan sedang kita lihat berlaku di Abu Ghraib.

Dari segi teorinya, apabila Yang Ditahan dibogelkan, ini memberi makna bahawa Yang Menahan memiliki kuasa mutlak. Pembogelan ini adalah tanda kuasa. Dalam masa yang sama pembogelan ini bertujuan untuk melupuskan identiti Yang Ditahan. Mereka yang dibogelkan kini tidak lagi memiliki apa-apa 'bahan perlindung' untuk mempertahankan diri. Semuanya terbuka luas. Punai-punai mereka yang amat sulit kini telah dapat dilihat umum. Anu-anu mereka yang biasanya hanya dilihat dan dinikmati oleh isteri/suami/kekasih kini telah dipaparkan untuk tontonan orang ramai.

Individu yang dibogelkan ini telah dirampas kemanusiaannya. Roh kemanusian telah lupus. Taraf kemanusianya telah diturunkan ke taraf binatang. Yang wujud hanya jasad kosong yang bertopengkan manusia. Jasad yang tidak memiliki roh dan jatidiri amat senang untuk diperkutak katikan. Inilah ilmu bantu yang digunakan oleh polis rashia, polis tentera dan special branch semasa melakukan soalsiasat.

Teknik soalsiasat ini dilakukan dengan tujuan untuk mencari maklumat. Yang Ditahan wajib dipatahkan 'individuality' nya. Bila harga diri telah diruntuhkan. Nilai kemanusiaan telah dilupuskan. Maka dari segi teorinya semua maklumat akan terhampur dari mulut Yang Ditahan.

�Orang lain�

Justeru apabila terbocor gambar-gambar dan klip video tentang Abu Gharib, saya tidak ambil 'pot'. Saya tidak ambil pusing kerana 30 tahun dahulu agenda dan isu yang sama telah ditimbulkan oleh Passolini. Hanya ada satu perbezaan diantara Salo dengan Abu Gharib. Salo berlaku dalam budaya Itali. Di Salo fasisma Eropah telah menggudam orang Eropah. Budaya politik kanan 'occidental' telah menunjukkan taring aslinya terhadap bangsa mereka sendiri.

Manakala di Iraq yang digudam ialah 'the other- orang lain'. Konsep 'orang lain' adalah satu lagi jalur dari falsafah rasisma. Ini jelas dapat kita lihat dan baca dari media. Perhatikan bagaimana elemen/unsur rasisma ini sedang disusun, diolah dan bergerak ke dalam kesedaran awam. Rakyat Iraq kini telah diolah untuk dicap sebagai 'orang lain'. Orang Lain ini memiliki budaya, agama, makanan atau cara pakai yang amat berbeza dari mereka Yang Berkuasa.

Media Barat telah mengolah 'orang lain' dengan bagitu terancang dan licik. Jika seorang soldadu Amerika terbunuh maka ianya akan menjadi induk berita. Soldadu ini akan 'diberitakan' sebagai telah dibunuh oleh pengganas. Manakala 100 penduduk Fallujah mati dibunuh, hanya diolah sebagai statistik dalam mangsa perang.

Kes empat orang 'contractor civilian' yang memulakan pertempuran di Fallujah adalah contoh klasik. Kontraktor ini sebenarnya adalah 'tentera upahan' - fakta ini tidak ditimbulkan langsung oleh media Amerika. Apabila mereka dibunuh maka si pembunuh terus dicap sebagai 'pengganas' dan wajib dicari untuk dihadapankan ke pengadilan. Dalam proses pencarian ini hampir 2000 rakyat Iraq mati terbunuh. Sudut berita ini langsung tidak ditimbulkan/persoalkan oleh semua media.

Konsep 'orang lain' ini diperkukuhkan lagi apabila Yang Berkuasa menganggap/melihat orang lain ini tidak setaraf dengan mereka. Yang dijajah adalah budaya orang lain yang lebih 'mundur, miskin dan ulu'. Konsep 'melihat orang lain' ini memang ditanamkan ke dalam ajaran ketenteraan. Semua askar dan soldalu dididik dengan konsep ini untuk tujuan memperkasa semangat juang mereka.

Jangan terperanjat jika saya katakan bahawa ada nikmat yang wujud didalam proses penyeksaan. Apabila Yang Diseksa mengalami kesakitan maka orang Yang Menyeksa mendapat nikmat. Jeritan dan laungan kesakitan ini melahirkan berahi seksual. Malah erotisma juga muncul dari lelehan darah yang keluar dari badan yang di belasah. Dalam Salo sama seperti dalam buku Marquis de Sade, naratif jalur nikmat inilah yang cuba ditimbulkan. Jalur 'nikmat hitam' ini dari segi teorinya telah sedia wujud dalam naluri setiap individu.

Nikmat sadis

Nikmat inilah yang dicari oleh para penyeksa. Passolini menyamakan nikmat ini sebagai nikmat berahi seksual fasis. Apa yang dilakukan oleh Tukang Seksa dianggap sadis. Perkataan dan konsep sadis ini, muncul dari nama Marquis de Sade sendiri. Nikmat berahi seksual berjenis sadis wujud terpendam dan hanya menunggu masa untuk muncul. Nikmat sadis ini akan menjelma bila hukum-hukum dan syarat-syarat sosialnya wujud.

Penjara , lokap polis, kem tahanan perang dan kem tahanan politik adalah istana indah untuk nikmat berahi seksual jenis sadis ini berkembang subur dan boleh dipraktikan secara berleluasa..

Bila saya menonton Salo: 120 Days of Sodom hati dan jiwa saya terggangu apabila melihat imej-imej ganas yang disalut dengan tubuh bogel anak-anak muda yang jambu-kiut lagi mengkiutkan itu. Ini bukan kerana erotisma yang muncul dari imej-imej ini. Kejantanan saya tidak dirasuk oleh imej-imej ini. Dan 'barang' saya tidak 'ngang' kerana yang saya tonton bukan lagi homoerotik mazhab Passolini tetapi keaslian sifat dan tindak laku fasisma. Bila mata penonton bertembung dengan imej-imej ini maka pasti penonton akan terggangu dan fikrah akan terangsang untuk befikir tentang konsekuen fasisma yang amat jijik lagi memualkan.

Pada hemat saya pekara yang sama juga terjadi apabila imej dari Abu Gharib tersebar di media. Walau pun ada selitan unsur-unsur 'porno' dan homoerotik didalam imej-imej ini tetapi tidak mungkin gambar-gambar ini akan digunakan untuk melayan berahi seks. Tetapi saya juga tidak hairan jika ramai soldadu Amerika yang sakit jiwa dan menyimpan imej-imej ini sebagai teman berahi.

Sakit jiwa inilah yang sedang berlaku ke atas Tukang Seksa di Abu Gharib. Dalam proses mendapat nikmat melalui kelakuan sadis, mereka juga kini telah kehilangan kemanusiaan. Dalam memporak perandakan indenti dan jati diri Yang Ditahan, mereka juga kini telah kehilangan roh dan jatidiri sebagai manusia.

Wajib tonton

Akhirnya mereka tidak lagi dapat kembali pulih sebagai manusia yang berkemungkinan dapat memisahkan diantara tiga wujudiah manusia - Kuasa, Berahi dan Seksualiti -. Justeru ramai dari soldadu yang telah memasuki kancah perang seperti di Vietnam dahulu akan pulang dengan masaalah sakit jiwa.

Pier Paolo Passolini, pengarah Salo adalah seorang homoseksual dan seorang komunis. Passolini telah dibunuh beberapa bulan setelah filem ini disiapkan. Beliau telah diserang oleh beberapa orang fascist di pinggir kota Rom. Kepala beliau telah di pukul pecah hingga membawa maut. Hingga ke hari ini masih belum ditemui siapa yang bertanggungjawab diatas pembunuhan ini.

Kita sebagai warga di bumi manusia ini, kita wajib menunjukkan tanda hormat kepada sesiapa sahaja yang cuba membawa kebaikkan kepada tamadun manusia. Untuk ini saya memberikan tanda hormat kepada Institute of Contemperory Art kota London yang telah memasukkan kembali enam minit babak Salo yang telah 'disunatkan' pada tahun 1975 dahulu. Ini telah dilakukan pada tahun 2001 yang lalu sebagai penilaian kembali kepada kerja seni Passolini.

Secara pribadi saya mencadangkan kepada umum agar filem Salo - 120 Days of Sodom sebagai filem wajib tonton walaupun hanya sekali dalam hidup ini. Anggapan pendakwah moral dan para padri pada tahun 1975 dahulu terhadap Salo terbukti salah. Dalam suasana politik hari ini Salo sebagai satu kerja seni akan memberi pengertian yang lebih mendalam. Apakah bentuk seni mengikut realiti atau realti meniru bentuk seni. Saya tidak memiliki jawapan. Apa yang saya tahu 'nikmat hitam' masih terpendam dalam sanubari kita semua dan menunggu suasana yang subur untuk muncul.



--------------------------------------------------------------------------------
Nota:
1 - Marquis de Sade (1740-1814 ) menulis novel 120 Days of Sodom semasa dalam penjara Bastille di Paris.

2 - Pier Paolo Passilini ( 1922-1975) lahir di Bologna Italy. Ayahnya seorang fascist.

Source: Malaysiakini.com

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP