Sunday, May 09, 2004

PLKN: Program yang patut dibatalkan (Bhgn I)

Lee Ban Chen (Malaysiakini.com)

Jarang ditemui perlaksanaan dasar Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak dipertikaikan. Dan jarang juga ia dipertikaikan sehebat perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bermula pada 16 Februari lalu. Ia terus didebat dan dipertikai sungguhpun program yang memakan belanja RM500 juta itu akan tamat pada hujung bulan ini.

Program perintis ini menjadi tumpuan semua pihak, bukan sahaja kerana ia membabitkan 85,000 pelatih yang dipilih secara rawak dari kalangan mereka yang lahir pada 1986, tetapi ia juga satu suatu ujian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara mereka menangani isu-isu kontroversi.

Seperti yang dijelaskan oleh Najib (New Sunday Times, 25 April), PLKN bukan cadangan beliau. Konsep itu adalah hasil seminar yang direstui Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beliau bersara, dan selaku Menteri Pertahanan, Najib dipertanggungjawabkan melaksanakan program tersebut.

Maklumlah pada masa itu, bukan sahaja program PLKN, malah dasar pendidikan yang lebih pokok dan serius akibatnya � seperti penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik � juga diputuskan oleh Dr Mahathir dan tanggungjawab melaksanakannya diletak di bahu Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad.

Sebagai seorang autokrat yang begitu berkuasa, jarang ada orang yang berani mengatakan "tidak" apabila beliau (Dr Mahathir) mengatakan "iya" mengenai sesuatu dasar atau program yang beliau minati . Dasar dan program terbabit, lalu diluluskan oleh Kabinet dan terus dilaksanakan dengan tergesa-gesa tanpa kajian yang teliti dan persediaan yang mencukupi.

Lantaran itu, perlaksanaan PLKN menghadapi pelbagai masalah. Hampir 10,000 remaja tidak melaporkan diri, termasuk 2,700 yang telah dihubungi, dan selebihnya gagal dikesan.

Peluang kedua

Mengikut Akta Khidmat Negara 2003, mereka yang sengaja tidak melaporkan diri bagi mengikuti PLKN boleh didenda RM3,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Basri telah menggertak hendak mendakwa mereka di mahkamah, dan ada pula pihak yang berpendapat ibu bapa merekalah yang patut dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, perdana menteri memutuskan supaya 10,000 remaja berkenaan diberi peluang kedua untuk menyertai Program Spesial Peluang Kedua (Prospek).

Jika matlamat PLKN ialah untuk menyemai semangat cintakan negara dan mengeratkan perpaduan antara kaum seperti yang ditekankan oleh pihak penganjur, kenapa ibu bapa remaja terbabit tidak yakin program itu mampu memberi kebaikan dan mendisiplinkan anak mereka? Dan kenapa pula remaja yang terpilih enggan melaporkan diri?

Yang penting bukan retorik pihak penganjur, tetapi persepsi remaja dan ibu bapa mereka yang terbabit. Kepada orang ramai, konsep Khidmat Negara sering berkaitan dengan kewajipan seseorang yang dikerah untuk menyertai pasukan bersenjata dan bersedia untuk mempertahankan negara.

Misalnya, di zaman pemerintahan British sebelum negara mencapai kemerdekaan, remaja kita pernah dikerah berkhidmat dalam pasukan bersenjata untuk memerangi komunis. Pada masa itu, ramai remaja melarikan diri ke negeri China untuk mengelak menyabung nyawa mereka hanya untuk kepentingan penjajah British.

Mengelirukan

Walhal, hanya 10 peratus program PLKN mengandungi elemen ketenteraan. Ia bukan bertujuan untuk mengerah remaja menyertai pasukan bersenjata. Matlamatnya ialah untuk mengasuh remaja kita menjadi generasi yang berdisiplin dan cintakan negara, serta memecahkan tembok pemisah, ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Lantaran itu, penggunaan istilah "khidmat negara" mungkin menggelirukan, malah menakutkan remaja dan ibu bapa mereka. Dan ini merupakan salah satu punca kenapa begitu ramai remaja enggan melaporkan diri.

Jika PLKN benar-benar mahu melatih remaja menjadi rakyat yang berdisiplin dan cintakan negara serta mengeratkan hubungan kaum, maka pihak penganjur wajib terlebih dahulu meyakinkan mereka yang mahu tahu: Apakah yang gagal dicapai dalam proses 11 tahun sistem pendidikan kita dan di manakah logiknya yang ia akan dapat dicapai hanya dalam tempoh tiga bulan PLKN?

Apa yang berlaku sehingga ini rasanya mencerminkan kelemahan dalam diri remaja lepasan sistem pendidikan kita yang telah membawa masalah kepada PLKN, sebelumpun sebarang jati diri baru dapat dibentuk menurut modul-modul yang digunakan

Pendek kata, remaja lepasan sistem pendidikan kita yang "bermasalah", akan terus "bermasalah" semasa dan mungkin juga selepas mengikuti PLKN, kerana modul-modul terbabit bukan "ubat mujarab"yang dapat mengubati sebarang "penyakit"sosial dalam jangka masa sesingkat tiga bulan!

Apatah lagi keberkesanan modul-modul terbabit juga dipertikaikan (ada yang mengibaratkan mirip kepada modul Summer Camp di Amerika Syarikat), serta tahap profesionalisme dan tingkahlalu setengah pelatih juga turut menjadi masalah. Malah, struktur PLKN yang melibatkan penswastaan, juga dipersoalkan ketelusannya dan fungsinya dalam memainkan peranan pendidik.

Dalam bahagian (II), saya akan menghuraikan kenapa PLKN harus dibatalkan, dan matlamatnya untuk memupuk semangat patriotisme, jatidiri, disiplin dan perpaduan kaum, lebih wajar diterapkan dalam kurikulum atau ko-kurikulum sistem pendidikan sedia ada.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP