Sunday, May 09, 2004

PLKN: Program yang patut dibatalkan (Bhgn II)

Lee Ban Chen (Malaysiakini.com)

Dalam bahagian pertama minggu lalu, kita telah meninjau kembali latarbelakang bagaimana Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dicetuskan dan dilaksanakan secara tergesa-tergesa tanpa kajian yang lebih teliti dan persediaan yang mencukupi.

Ia lebih merupakan hasrat politik Tun Dr Mahathir Mohamad yang mungkin pada masa itu merasa terpencil setelah mengambil sikap yang terlalu keras dalam hubungan Malaysia-Singapura dan juga dalam hubungan Malaysia-Barat.

Beliau memerlukan manifestasi-manifestasi semangat nasionalisme dan partriotisme remaja yang berkobar-kobar untuk menyokong beliau. Ini hanya dapat dicapai melalui Khidmat Negara ala kerahan ketenteraan sepertimana yang tersebut di atas, bukan Khidmat Negara ala Summer Camp seperti yang dilaksanakan sekarang.

Namun selepas persaraan Dr Mahathir, suasana politik negara, di rantau ini dan di peringkat antarabangsa tidak menjustifikasikan Khidmat Negara ala kerahan ketenteraan seperti yang dihasratkan beliau pada mulanya.

Maka ia pun diubahsuai menjadi PLKN yang hanya mengandungi 10 peratus elemen ketenteraan di mana matlamatnya dititikberatkan kepada retorik memupuk semangat patriotisme dan menyalin perpaduan kaum yang lebih erat.

Nilai-nilai patriotisme dan perpaduan kaum adalah nilai-nilai yang terasas sekali yang sepatutnya sudah diterapkan dalam kurikulum dan ko-kurikulum sistem pendidikan kita sekarang.

Sikap terbuka

Jika nilai-nilai tersebut gagal diintegrasikan sebagai jati diri remaja lepasan sistem pendidikan kita selama 11 tahun, ini bermakna sistem tersebut gagal mencapai matlamatnya, dan ianya patut direformasikan secara menyeluruh, bukan ditambah lagi dengan apa-apa program yang bersifat indah khabar daripada rupa.

Patriotisme yang tulen juga harus dibezakan daripada nasionalisme sempit, emosi keagamaan dan taat setia yang membabi buta. Ia juga tidak menyanggah sikap terbuka, dasar mesra-jiran, semangat serantau dan kerjasama antarabangsa yang juga amat penting dalam zaman globalisasi ini.

Perpaduan kaum juga bukan sesuatu yang dapat dicapai secara automatik melalui pergaulan pelajar atau pelatih yang berlainan kaum. Ia mesti diasaskan kepada prinsip kesamarataan kaum, multi-kulturalisme dan penghormatan kepada segala perbezaan dan hak-hak asasi semua kaum, terutamanya kebebasan beragama dan kebebasan untuk memelihara dan mengembangkan bahasa, pendidikan dan budaya masing-masing.

Jika persekitaran di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang sudah wujud ruang dan peluang untuk pergaulan bebas pelbagai kaum, masih tidak dapat memupuk semangat perpaduan kaum, malah polarisasi kaum semakin menjadi-jadi, maka andaian bahawa PLKN atau Sekolah Wawasan dapat mengatasi polarisasi kaum, hanyalah merupakan harapan subjektif yang terbukti salah.

Sebaliknya, salahguna dadah, pemerasan, samseng/gangster, kecurian, pergaduhan beramai-ramai, gangguan/cabulan seksual, malah berlakunya kes rogol dan culik, kesemuanya merupakan lanjutan dan ulangan apa yang sering berlaku di sekolah menengah kita.

Masalah-masalah yang merunsingkan ini mungkin lebih mendesak dan memerlukan penyelesaian segera berbanding dengan patriotisme yang abstrak umpamanya.

Yang berlainan ialah PLKN sudah menjadi tumpuan media sekarang, dan ibu bapa pelatih begitu runsing sekali tentang keselamatan anak-anak mereka (khasnya anak gadis mereka), sehingga setiap kejadian dalam kem diheboh-hebohkan dan dilaporkan secara besar-besaran.

Pelatih dibelasah

Padahal, bukan pelatih saja yang bermasalah, bayangkan jurulatih yang menggunakan cota untuk menggertak pelatih, memaksa pelatih melompat "katak"atau "tupai", memaksa mereka "menjilat"piring seperti anjing, menyaksikan sekumpulan pelatih membelasah kumpulan pelatih yang lain, dan berdiam diri selepas mendapat aduan rogol dan sebagainya.

Dapatkah jurulatih-jurulatih seteruk ini menjadi teladan kepada para pelatih? Atau mereka sebaliknya patut dijadikan sempadan? Siapa pula yang akan menyaring, memantau atau melatih semula jurulatih-jurulatih yang menghampakan ini?

Pelatih yang bermasalah, jika bertemu dengan jurulatih yang tidak profesional, sudah barang tentu akan tercetus konflik, protes malah pergaduhan yang tidak dapat dikawalkan, dan pihak polis atau tentera terpaksa dipanggil untuk bercampurtangan (atau menindas?).

Dan keadaan menjadi lebih tegang lagi, apabila sistem pesanan ringkas (SMS) digunakan untuk menyebar maklumat kepada ibu bapa, yang segera meminta bantuan pemimpin politik pembangkang yang terus kejar ke kem PLKN terbabit untuk menyiasat atau mengadakan sidang akhbar mengenainya.

Dalam kes-kes yang telah berlaku, pihak pelatih sering dituduh sebagai "tidak berdisiplin"dalam erti kata "tidak mematuh" arahan jurulatih, tak kira arahan itu munasabah atau sebaliknya.

Lagi aneh ialah "disiplin" itu sering pula dikaitkan dengan disiplin tentera, seolah-olah melalui latihan ala tentera saja yang dapat mendisiplinkan pelatih, sepertimana pelatih yang bergaduh memerlukan pihak polis atau tentera untuk mendisiplinkan mereka, barangkali dengan cara dan hukuman yang keras dan tegas.

Disiplin ketenteraan

Kenapa bukan kaunselor yang membuat kaunseling untuk mendisiplinkan mereka yang terlibat dalam pelbagai salahlaku? Kenapa fungsi pendidikan diambilalih oleh cara ketenteraan? Adakah pelatih terbabit sudah dianggap sebagai penjenayah yang tidak dapat dididikkan lagi?

Justeru itu, fungsi dan tanggungjawab Kementerian Pelajaran untuk memupuk semangat cintakan negara dan perpaduan kaum, perlu dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertahanan. Manakala aspek jati diri remaja sebagai insan yang menyeluruh dan seimbang, ditumpukan secara berat sebelah terhadap "disiplin", terutamanya "disiplin ketenteraan" yang menuntut "kepatuhan"mutlak.

Kesemua ini adalah bukti bahawa pihak berkuasa terbabit telah kehilangan pedoman. Maklumlah kini setiap hari berlaku 10 kes jenayah remaja di negara kita, yang tentunya turut melibat tugas polis.

Namun, polis juga ditugaskan untuk menahan pelajar yang ponteng sekolah! Kenapa polis? Kenapa bukan pihak sekolah yang patut mencegah dan menangani kejadian ponteng yang membabitkan pelajar-pelajarnya?

Atau pihak sekolah sudah tidak berdaya lagi hendak mengawal pelajarnya yang ponteng sekolah, dan terpaksa menyerahkan tugas tersebut kepada pihak polis? Jika demikian halnya, mengapa Kementerian Pendidikan tidak diambil alih saja oleh Kementerian Hal-ehwal Dalam Negeri?

Batalkan PLKN

Kesimpulannya, nilai-nilai disiplin, patriotisme dan perpaduan kaum adalah nilai-nilai asas yang perlu diterapkan dalam kurikulum atau ko-kurikulum sistem persekolahan kita, dan sewajarnya sudah dihayati oleh setiap remaja lepasan sekolah menengah kita.

Jika nilai-nilai terbabit masih gagal dihayati oleh remaja lepasan sekolah menengah kita, ia bermakna sistem persekolahan kita gagal membina jati diri mereka.

Oleh itu sistem ini patut direformasikan keseluruhannya, dan bukannya dengan melaksanakan apa-apa program tambahan, termasuk PLKN.

Adalah mustahil untuk mencapai apa yang gagal dicapai sepanjang 11 tahun sistem persekolahan kita, hanya dengan mengikuti PLKN selama tiga bulan.

Jika program tiga bulan dapat mencapai matlamat membina nilai-nilai disiplin, patriotisme dan perpaduan kaum, maka tentu tiada masalah untuk mencapai matlamat yang sama menerusi sistem persekolahan kita yang memakan masa selama 11 tahun. Ini juga bermakna PLKN patut dibatalkan!

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP