Tuesday, March 30, 2004

Roh jihad sudah pudar dalam hati umat Islam
Oleh Muhtar Suhaili
www.bharian.com.my

MARUAH Islam sekali lagi dicabar dan tercabar. Jati diri ummah kian bergoncang dan hak asasi manusia terus diperkosa.

Di pihak lain, keangkuhan Israel melampaui batasan. Pembunuhan ulama dan pemimpin pergerakan Hamas, Syeikh Ahmed Yassin di Gaza menunjukkan betapa kejamnya Zionis terhadap Islam.

Syeikh Ahmed Yassin, 66, yang lumpuh dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda terbunuh dalam serangan udara pada 22 Mac lalu sebaik saja keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh.

Lebih malang lagi, serangan udara itu turut mengorbankan tujuh lagi rakyat Palestin tidak berdosa termasuk pengawal peribadi beliau.

Realitinya inilah yang berlaku kini. Selepas keagungan dan institusi khalifah runtuh, maruah Islam terus tidak diendahkan.

Tokoh pejuang umat Islam dihimpit dan mereka dilabelkan sebagai pengganas, pemberontak, penjenayah dan pelbagai lagi gelaran bagi menghalalkan segala penentangan terhadap mereka.

Selain Syeikh Ahmed Yassin, ramai pejuang tulen yang diuji dan sudah diuji dengan pelbagai cabaran termasuk dipenjara, dikenakan hukuman bunuh, dibuang daerah dan dipulaukan masyarakat.

Antaranya Syamil Basayev dan Jeneral al-Khattab di Chechnya; Dr Ayub Thakur (Kashmir); Dr Abas Madani dan (Algeria); Omar Basyir (Sudan); Dr Najmuddin Erbarcan (Turki); dan Mustafa Masyhur (Mesir).

Sebenarnya umat Islam seluruh dunia seharusnya sedar akan perlunya mereka menilai kembali diri dan membuat perancangan berkesan yang boleh digunakan untuk mengembalikan kecemerlangan ummah pada masa depan.

Tindakan membabi-buta tidak akan menyelesaikan masalah umat Islam. Sebagai renungan bersama, ucapan al-Imam Hasan Al-Banna wajar diteliti secara bersama. Beliau pernah berkata: �Kemenangan itu sedang menanti di hadapan kita. Walaupun tekanan semakin dahsyat dan keras menghimpit kita, tetapi ingatlah bahawa sesungguhnya fajar mentari pastikan terbit walaupun kegelapan masih berpanjangan.�

Selain itu, kata-kata seorang pujangga wajar dijadikan motivasi untuk mengorak langkah membina kegemilangan.

Beliau berkata: �Kebangkitan Islam bukan menanti keredaan orang kafir dan munafik, tetapi Islam bangkit di celah kekafiran dan kemunafikan.�

Islam adalah agama berkasih sayang dan sentiasa memperjuangkan keamanan, keadilan dan kesaksamaan sejagat.

Malah perkataan �Islam� itu sendiri membawa makna salam atau �selamat�. Umat Islam dididik bersikap dan bertindak secara sederhana, bertolak ansur dan mengamalkan toleransi.

Apabila hak seseorang dicabuli, Islam pasti menentangnya tidak kira sama ada yang tertindas itu seorang muslim atau tidak.

Inilah sebenarnya keindahan Islam dan ajarannya yang melangkaui batasan geografi dan merentasi sempadan politik sempit kerana ajaran dan mesejnya adalah bersifat �alamiyyah (global), syumul dan rahmat kepada seluruh manusia.

Bagaimanapun, keadaan dan situasi umat Islam kini berada pada tahap yang menyedihkan. Di seluruh dunia, negara dan umat Islam dijajah, ditindas dan dilabel secara negatif.

Lebih daripada itu, dunia dan sejarah membuktikan bahawa tamadun Islam lama menyaksikan gangsterisme Barat. Malah, Barat sentiasa berusaha merancang, merencana dan melaksanakan agenda jahat bagi memastikan Islam dan umat Islam terus dihina serta dipandang rendah pada setiap ketika.

Sebab itulah, tindakan unilateral, perang berat-sebelah, kekejaman, pembunuhan beramai-ramai atau �genocide�, kebuluran, keruntuhan moral dan pendek kata segala masalah yang berlaku hari ini terus bermaharajalela.

Oleh itu, tidak ada kesangsian lagi untuk orang beriman memejamkan mata dan berpeluk tubuh atas apa yang berlaku.

Selain itu, mustahil bagi muslim terus lena dan dibuai mimpi indah di atas tilam yang empuk, bergoyang kaki membuang masa serta hanya memikirkan terhadap kepentingan dan keuntungan peribadi apabila melihat jenayah ganas ini terus memalit luka dan duka kepada kemanusiaan di seluruh dunia.

Sejarah dan pengetahuan masa silam adalah perkara berharga untuk diteliti bagi memperbaiki keadaan sedia ada.

Oleh itu, langkah pertama perlu dilaksanakan dalam menghadapi semua dilema dan permasalahan ini ialah umat Islam perlu bersatu.

Integrasi adalah jawapan paling baik. Segala perbezaan pandangan, fahaman politik dan sebarang prejudis antara wajar diketepikan.

Setiap Muslim perlu menerima kenyataan bahawa solidariti memainkan fungsi sangat besar dalam menganjak situasi semasa ummah.

Asas kukuh persaudaraan mesti berlandaskan akidah bagi memastikan persaudaraan yang terbina adalah Ukhuwwah Islamiyyah.

Justeru, umat Islam perlu bersatu kerana Islam adalah agama perpaduan. Ajaran Islam yang syumul hendaklah dijadikan sebagai model dan kerangka berseri kepada kesatuan ummah.

Selagi masyarakat Islam terus memaut erat fahaman kuno seperti semangat perkauman, taksub dan fanatik, maka percayalah bahawa muslim akan terus hidup dalam pertelingkahan dan perpecahan.

Justeru, tiba masanya semua berbicara mengenai kesatuan yang sebenar. Ia penting ke arah mencapai impian membentuk masyarakat madani yang berteraskan konsep ummatan wahidah � umat yang satu.

Selain itu, semangat dan roh jihad sudah pudar dalam hati umat Islam. Malah umara� (pemerintah), ulama dan pahlawan agama gagah hanya tinggal kenangan.

Segala-galanya hanya tinggal nama dan kini Islam hilang kekuatannya angkara ketamakan duniawi, kealpaan dan kejahilan umatnya.

Sudah hilang daripada umat ini Salahuddin al-Ayyubi � lelaki waja yang terkenal dengan kegagahan serta warak. Beliau juga panglima perang ketika Peperangan Hittin menentang tentera Salib dan Yahudi.

Begitu juga, sudah hilang daripada umat ini Imaduddin al-Zangki dan anaknya Nuruddin al-Syahid � dua perwira perkasa yang memperjuangkan Islam hingga ke titisan terakhir.

Selain itu, sudah tidak ada daripada umat ini yang mengenali Panglima Saifuddin al-Qutuz � pemuda yang berjasa merebut kembali Baghdad daripada Tentera Tatar Monggol.

Malah, sudah hilang individu yang mahu mencontohi Muhammad Murad � pemuda berhati waja dan bersemangat besi baja.

Pada usia 23 tahun, beliau mampu mengepalai usaha menakluki kota Konstantinopal pada Selasa 20 Jamadil Awal 857 Hijrah bersamaan 29 Mei 1453 dan akhirnya dikenali sebagai Muhammad al-Fatih.

Justeru, marilah bersatu dan menyeru kepada perpaduan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Marilah kita bersatu kerana Allah dan Islam serta ingatlah ukhuwwah berfungsi dalam menghadapi pelbagai cabaran serta dakyah musuh.

Marilah tanamkan keazaman untuk menjadikan diri hidup berjuang dan mempertahankan Islam agar mampu menjadi umat yang mempunyai terbaik.

Masyarakat pula diterangi cahaya dan kalimah Ilahi. Akhirnya, marilah menjadi lelaki dan wanita zaman ini yang bakal mencorak dunia dengan Islam hakiki.


Penulis adalah Presiden, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP