Monday, March 01, 2004


Pendapat
Kecemerlangan YIK buktikan kemampuan pengurusan sekolah agama
Sunday, February 29 @ 11:37:20 MYT

Oleh ABDUL HADI MUHAMAD
Universiti Al-Azhar cawangan Tanta, Mesir

Keputusan peperiksaan SPM 2003 yang diumumkan beberapa hari lepas, membuktikan sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan mampu menyaingi sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan.

Ia sekali gus melenyapkan tohmahan dan sampah-sarap fitnah yang diterajangkan ke pangkuan penuntut-penuntut agama.

Buktinya, Maahad Tahfiz Pulai Chondong mencipta rekod dengan menduduki tangga teratas keputusan peperiksaan seluruh negara bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Negeri.

Syabas dan tahniah di atas kejayaan itu.

Kedengaran kata-kata yang amat kurang enak di telinga dan mata kepala sejak beberapa waktu sebelum ini terhadap sekolah-sekolah agama khususnya dan institusi-institusi agama amnya.

Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap pendidikan agama dengan menyempitkan sumber maklumat dan putar-belit serta seribu satu macam keadaan, yang mana jika seseorang itu rapuh sendi imannya, nescaya akan termakan daging-daging pembohongan dan tersedut racun-racun kepalsuan yang sengaja direka-rekakan.

Hasilnya, mereka akan mengiakan dan meneguk selahap-lahapnya maklumat yang terpesong itu tanpa menoleh ke belakang lagi.

Namun keadaan kesempitan itu sebenarnya akan menatijahkan kemanisan dan kejayaan buat mereka yang berusaha. Bukankah memakan makanan dengan tangan sendiri itu sebenarnya akan menjadikan kita lebih kenyang dan memuaskan berbanding jika disuap oleh orang lain?

Di samping persoalan kecemerlangan dalam bidang akademik, lagi tohmahan terhadap golongan yang berpendidikan agama ialah ketidakcekapan dalam soal pengurusan dan aktiviti sosial dalam kehidupan bermasyarakat.

Apalah yang ada sangat dengan soal pengurusan sekiranya pihak yang menuduh itu hanyalah lebih kurang sahaja, malah lebih teruk jika dibandingkan dengan yang dituduh?

Cubalah anda ke majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan. Lihatlah betapa tunggang-langgangnya majlis itu di waktu kemuncak sidang.

Saya telah beberapa kali menyertai majlis seumpama itu di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Pengalaman bekerja sambilan di tempat-tempat eksklusif telah mendedahkan kepada saya bahawa golongan yang tidak berpendidikan agama jauh lebih tidak berdisiplin dalam soal pengurusan.

Ingat, sekiranya hendak diungkitkan soal pengurusan, dengan membawa contoh jika anda bekerja di kaunter, tiba-tiba datang seorang pelanggan dalam keadaan tergesa-gesa datang untuk berurusan, seandainya ketika itu dia yang terlebih dahulu bertanya kepada anda, maka anda telah dikira kurang cekap dalam soal menguruskan kepentingan pelanggan. Sepatutnya anda yang memulakan. Bukannya pelanggan.

Sesiapapun mampu untuk mencari kelemahan pihak yang lain. Namun ia tidak harus dijadikan aset untuk memburuk-burukkan, sekali gus mencacatkan arah dan hala tuju ke arah mencapai kejayaan dan kemakmuran yang sama.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengetahui dengan Ilmu-Nya yang manusia akan melakukan pertumpahan darah, melakukan kezaliman dan kerosakan di muka bumi sebelum Dia menjadikan Sayyidina Adam AS.

Namun dengan gabungan kurniaan aqal dan nafsu disertai iman yang berlandaskan syariat, maka makhluk yang bernama manusia adalah yang paling layak untuk menjadi khalifah-Nya di muka bumi, sekali gus menjadikannya sebagai mata rantai bagi memikul amanah membawa kemakmuran di bumi selaras dengan tuntutan dan keredhaan-Nya.

Bagi yang berjaya, teruskanlah dan kekalkan kejayaan tersebut serta berusaha ke arah peningkatan yang lebih baik pada masa-masa akan datang, sama ada dalam bidang akademik dan pengurusan bersosial.

Bagi yang mengkritik dan menegur, ketepikan sikap berlebih-lebihan dalam kritikan dan teguran. Sama-samalah kita jernihkan yang keruh dan tapiskan sisa-sisa kelodak kotoran yang melampau.

Sama-samalah kita memajukan diri, masyarakat dan negara dengan menjadikan tuntutan amanah ilmu duniawi dan ukhrawi dalam kehidupan seharian.

Yakinlah bahawa hanya Islam jualah yang akan menyinari alam ini dengan kekuasaanNya. Sesungguhnya. kejayaan sebenar itu adalah seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah mencapai kemenanganlah oleh orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyu' dalam solatnya."

*Alangkah betapa agung dan adilnya Allah s.w.t.
Sama2lah kita muhasabah diri kita, adakah diri kita semakin berubah ke arah kebaikan ataupun sebaliknya....sama2 kita manfaatkan peluang sepanjang berada di HADIIQATUL 'ILMI WAL FADHILAH INI (taman ilmu dan budi).


0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP