Monday, March 01, 2004

Negara kita Malaysia

Jumlah remaja wanita merokok bertambah
Utusan Malaysia, 1 Mac 2004.

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Jumlah remaja wanita merokok yang semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini memungkinkan nisbah remaja lelaki kepada wanita yang merokok menjadi 1:1 dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, S. Sothinathan berkata, kajian pada 1996 dan 1999 menghasilkan perangkaan yang membimbangkan apabila kadar keseluruhan merokok di kalangan generasi muda mencatat peningkatan dua peratus dalam tempoh tiga tahun.

Menurut beliau, kajian pada 1999 menunjukkan 29 peratus remaja lelaki merokok tetap yang lebih menggerunkan ialah kadar perokok di kalangan remaja wanita melonjak hampir dua kali ganda iaitu dari 4.8 peratus kepada lapan peratus dalam masa tiga tahun.

``Kita menganggarkan kira-kira 50 remaja memulakan tabiat buruk itu setiap hari,'' katanya menjawab soalan Senator Lee Sing Chooi dalam sesi Dewan Negara hari ini.
Beliau memberitahu, pada tahun 1996, nisbah remaja lelaki yang merokok kepada remaja perempuan ialah 6:1 tetapi menjadi semakin rapat tiga tahun berikutnya iaitu 4:1.

Perangkaan itu memberikan petunjuk bahawa semakin ramai remaja di negara ini yang terjerat dengan gejala rokok yang boleh membawa kepada kesan ketagihan serius, termasuk beralih kepada dadah.

*Persoalannya : Di mana suasana kempen yang diwarwarkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini? Teruskan kempen tersebut, biar ianya berjaya membuka mata2 perokok ini.


Antarabangsa
Pelajar berasmara dalam tandas
Berita Harian, 1 Mac 2004

SINGAPURA: Sebuah akhbar Singapura mendedahkan perbuatan segelintir pelajar sekolah menengah di republik itu yang ditangkap kerana melakukan hubungan seks dalam tandas sekolah.

Berita Harian dalam laporannya kelmarin, berkata perbuatan memalukan itu didedahkan sendiri beberapa guru dan pekerja sosial yang dihubungi akhbar berbahasa Melayu itu.

�Jika sebelum ini kami pernah menangkap beberapa pelajar menghisap rokok dalam tandas. Tetapi sekarang, sudah ada yang ditangkap ketika mengadakan hubungan seks dalam tandas,� kata seorang guru yang dirahsiakan identitinya.

Menurut beberapa guru dan pekerja sosial, kejadian itu amat mengejutkan kerana masalah seks di luar nikah lazimnya dikaitkan pelajar institusi pengajian tinggi seperti universiti dan politeknik.

Berita Harian bagaimanapun tidak menyatakan butiran terperinci kejadian termasuk latar belakang seperti bangsa, bilangan pelajar terbabit serta jenis tindakan yang dikenakan ke atas mereka.

Penyelaras Program Kanan, Pusat Khidmat Keluarga Moral (Bedok North), Syed Ahmad Syed Agil, berkata ibu bapa perlu menyedari pengaruh seks dalam kehidupan anak remaja.

�Remaja perlu dididik mengenai pendidikan seks dan ibu bapa perlu memainkan peranan,� katanya.

Katanya, ibu bapa boleh meningkatkan kemahiran dan kesedaran dengan mengikuti kursus seperti Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSI) anjuran Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang-Orang Islam dengan kerjasama Pusat Khidmat Keluarga Moral (Bedok North).

Antara topik yang akan dibincangkan dalam kursus itu ialah Seks dalam Remaja yang turut membabitkan sesi interaksi dengan para pekerja sosial. � Agensi

*Remaja aset penting negara. Runtuh remaja, maka peradaban sesebuah negara itu tidak dapat diteruskan, kerana remaja adalah penyambung kepada peradaban sesuatu bangsa atau negara.


Makluman
Lelaki ditemui mati pada tiang elektrik voltan tinggi

Utusan Malaysia, 1 Mac 2004

KUALA KANGSAR 29 Feb. - Seorang lelaki ditemui mati tersangkut pada tiang elektrik setinggi 12.2 meter setelah terkena kejutan arus voltan tinggi selepas dipercayai cuba memotong salah satu kabelnya di kawasan Perindustrian Kuala Kangsar di sini, awal pagi semalam.

Pendidikan
SPM: Maahaf Tahfiz muncul sekolah agama terbaik seluruh negara
Saturday, February 28 @ 16:23:54 MYT
Harakahdaily.net , 1 Mac 2004

Oleh Salmah Mat Hussain
KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong muncul sebagai sekolah terbaik di negara ini dalam peperiksaan SPM 2003, bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Negeri.

Sekolah berkenaan mendapat keputusan 100 peratus, apabila 27 calon yang menduduki peperiksaan itu lulus dalam semua mata pelajaran.
Mudirnya, Nasir Hasbullah ketika dihubungi di Kuala Lumpur mengesahkan sekolah berkenaan mendapat pencapaian paling cemerlang sejak penubuhannya pada tahun 1992.

Katanya, seorang daripada 27 calon, mendapat keputusan 11A1.
Ekoran dari keputusan yang membanggakan itu, buat julung kalinya Maahad Tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan dijemput Kementerian Pendidikan untuk hadir pada majlis perisytiharan keputusan peperiksaan SPM yang diadakan di kementerian terbabit pagi tadi.

Selain itu, Maahad Muhammadi (Lelaki) turut muncul antara sekolah cemerlang negara apabila tiga pelajarnya mendapat keputusan 11A1.
Mereka ialah, Muhammad Lutfan Ismail, Mohd Adli Abdul Khalim dan Mohd Asyraf. Seramai 304 pelajar menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, di mana 178 pelajar adalah aliran sains.

Pelajar Maahad Lelaki berjaya mencatat keputusan 100 peratus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Islam, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.
Mudirnya, Wan Mohd Roslan Wan Hamat melahirkan rasa syukur di atas pencapaian yang tidak diduga itu, sekaligus mencipta rekod baru sejak sekolah berkenaan ditubuhkan.

Katanya, sebelum ini hanya seorang pelajar sekolah tersebut memperolehi keputusan 11A1.
�Tetapi tahun ini, jumlahnya telah meningkat, kita bersyukur kepada Allah kerana kehendakNya jua sekolah kita telah muncul antara sekolah cemerlang negara dalam peperiksaan ini,� ujarnya.

Beliau juga turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk pelajar, guru dan ibu bapa di atas kecemerlangan tersebut.
Maahad Muhammadi (Perempuan) juga mendapat keputusan 100 peratus dalam peperiksaan itu, di mana seorang calon, Muslihah Rosman mendapat keputusan 11A1, manakala 11A (lima calon). - /mj

*Tahniah kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan juga STPM yang baru sahaja menerima result baru2 ni. Banyakkan panjatkan kesyukuran pada tuhan kepada yang mendapat result yg tinggi dan jgn putus asa kepada yg resultnya kurang memuaskan, teruskan usaha dalam mencapai kecemerlangan.-

Dalam Negeri -
Wanita digesa tunai tanggungjawab mengundi
Berita Harian, 1 Mac 2004

KUALA LUMPUR : Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mengingatkan wanita negara ini agar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bagi memastikan kemenangan berterusan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali ini.

*Jangan lupa sahabat2 semua, tak lama lagi kita akan hadapi musim pilihanraya.
Kepada yang dah cukup syarat, bersedialah untuk membuang undi. Masalahnya, nak undi sape ye? yang itu kita sendiri menilainya, tanya orang berpengalaman...kaji n tengok sejarah yang lepas2...ingatan bersama, pilihanraya negara hanya sekali dalam 5 tahun...so, undilah pemimpin yang kita rasa terbaik dan mampu memimpin rakyat dan negara kita ke arah mencapai mardhatillah...agar kita same 2 mendapat kebahagiaan bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat...insyaallah...



Agama -
Hari As-Syura sebahagian 10 kemuliaan untuk manusia
Berita Harian, 1 Mac 2004.

TARIKH 10 Muharam, yang jatuh esok, mencatatkan banyak peristiwa penting dan kelebihan dalam Islam. Ia juga dikenali sebagai Hari as-Syura, iaitu adalah hari paling mulia dalam bulan Islam ini.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, yang bermaksud: �Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, orang Yahudi di Madinah berpuasa pada 10 Muharam.

�Mereka mengatakan pada hari itulah Nabi Musa diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan Nabi Musa diselamatkan bersama-sama sahabat baginda. Itulah sebabnya mereka berpuasa pada Hari as-Syura.

�Apabila baginda mendengar penjelasan mereka, baginda kemudian berkata dengan bangga �Bahawa kamilah yang paling berhak dan paling dekat kepada Nabi Musa lebih daripada kamu sekalian dalam semua aspek. Lalu Rasulullah menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari as-Syura.� (Hadis riwayat Abu Daud)

Ada juga riwayat yang mengatakan puasa pada hari Asyura mula-mulanya adalah wajib sebelum puasa pada Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam. Tetapi kemudian ia menjadi sebagai puasa sunat (Sunan Abu Daud).

Rasulullah tetap berpuasa pada Hari as-Syura, walaupun selepas puasa pada Ramadan diwajibkan. Riwayat Abdullah ibnu Musa: �Baginda mengutamakan puasa pada hari Hari as-Syura daripada puasa yang lain dan puasa bulan Ramadan itu diutamakan daripada puasa as-Syura.� (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebahagian ulama berpendapat, dinamakan Hari as-Syura kerana ia adalah 10 kemuliaan yang diberikan Allah kepada umat Islam dan bentuk keistimewaan hari dan bulan hijrah. Keistimewaan itu seperti berikut:-
� Rejab: Allah menjadikannya bulan kemuliaan kepada umat Muhamad dan melebihkannya daripada bulan lain seumpama kelebihan umat Muhamad berbanding umat lain.
� Syaaban: Allah melebihkan Syaaban daripada bulan lain bagaikan kelebihan Nabi Muhammad berbanding Nabi lain.
� Ramadan: Allah melebihkan bulan ini bagaikan kelebihan Allah terhadap semua makhluk.
� Lailatul Qadar: Hari yang jika kita beribadah pada malamnya, ganjaran yang diberi ialah lebih baik daripada beribadah seribu bulan.
� Hari Raya Aidilfitri: Hari pembalasan kebaikan.
� 1 - 10 Zulhijjah: Hari berzikir kepada Allah.
� Hari Arafah: Hari yang menghapuskan dua tahun dosa seseorang.
� Hari Raya Aidiladha: Hari melakukan pengorbanan.
� Hari Jumaat: Hari paling mulia.
� Hari as-Syura: Hari menebus dosa satu tahun melalui amalan puasa.

Selain itu, ulama meriwayatkan bahawa berlaku peristiwa dan sejarah penting dalam Islam pada 10 Muharam.

Antaranya ialah kisah Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan Nun selepas berada dalamnya selama 40 hari 40 malam.

Yunus bin Matta, seorang salih, dilantik menjadi rasul ke-21 pada usia 30 tahun. Beliau diutuskan supaya memimpin kaumnya menyembah Allah, sekali gus meninggalkan pemujaan berhala.

Selama 33 tahun beliau berdakwah terhadap kaumnya, namun dua orang saja yang mengikut dan beriman bersamanya, iaitu Rubil dan Tanukh. Disebabkan tidak tahan dengan gelagat kaumnya yang tidak mahu beriman dengan ajarannya, beliau berdoa kepada Allah.

Kemudian beliau diberikan wahyu supaya meneruskan seruan itu selama 40 hari lagi dan jika kaumnya masih ingkar, mereka dijanjikan Allah dengan azab yang pedih.

Masa berlalu pantas. Setelah hari ke-37 pun, umatnya masih enggan mendengar nasihatnya. Akhirnya, apabila genap 40 hari, awan hitam kelihatan di kaki langit. Melihat perubahan cuaca yang membimbangkan itu, Yunus segera keluar dari negerinya.

Umatnya yang menyedari azab Allah semakin hampir menimpa mereka, terus keluar rumah dan menuju ke satu tempat untuk bertaubat. Mereka mencari Yunus untuk mengadu perkara itu, tetapi sia-sia kerana rasulnya sudah berpindah ke tempat lain.

Allah yang Maha Pengampun menerima taubat mereka, lalu dihilangkan awan hitam itu. Selepas itu mereka menjalani kehidupan seperti biasa, namun masih berusaha mencari Yunus, tetapi tidak dijumpai.

Firman Allah bermaksud: �Tatkala mereka (kaum Yunus) beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu." (Surah Yunus, ayat 98)

Nabi Yunus yang menghilangkan diri daripada kaumnya berlayar dengan sebuah kapal, tetapi dalam pelayaran itu berlaku taufan sehingga kapal yang dinaikinya hampir karam.

Memandangkan keadaan kapal tidak stabil, nakhoda bertanya: �Siapakah antara kamu yang menaiki kapal ini orang pelarian? Jika ada lebih baik mengaku saja dan terjun ke laut segera demi menyelamatkan penumpang yang ramai ini.�

Apabila mendengar suruhan nakhoda itu, Nabi Yunus segera terjun ke laut dan terus dilambung ombak. Ketika itu juga datang seekor ikan Nun menelannya, tetapi dengan pertolongan Allah, beliau tidak mati dalam perut ikan itu. Bagaimanapun, ketika berada dalam perut ikan, beliau tidak berhenti memohon keampunan dan berdoa kepada Allah supaya beliau diselamatkan. Ikan itu berenang ke tepi pantai dan mengeluarkannya dalam keadaan selamat.

Firman Allah bermaksud: �Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak mengingati Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pokok daripada jenis labu.�

Selepas peristiwa itu, Yunus menuju balik ke negerinya. Dalam perjalanan, beliau berselisih dengan seorang pengembala, lalu bertanya: �Bagaimanakah keadaan orang yang tinggal di kampung ini?�

Pengembala itu menjawab: �Keadaan orang di sini baik, hidup aman dan tenteram kerana sudah bertaubat kepada Allah, selepas melihat azab yang didatangkan Allah. Mereka menunggu nabinya yang telah lama meninggalkan mereka.�

Mendengar jawapan pengembala itu, Yunus berkata: �Akulah nabi dan rasul mereka, Yunus.�

Selepas itu, pengembala terbabit memaklumkan kepulangan Yunus kepada kaumnya dan mereka ternyata sungguh gembira dengan berita itu.

Firman Allah bermaksud: �Dan Kami utus dia (Yunus) kepada 100,000 orang atau lebih, lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.�

* Selamat menyambut hari 'ASYURA kepada semua drpd Sekretariat RND, Ma'ruf Club. Moga dengan memperbanyakkan amalan kita di hari2 yang mulia ini, Allah akan menambah lagi keberkatan kepada kita, dan moga kita makin mantap dalam menjawab soalan final exam yang seterusnya....insyaallah, moga kita semua berjaya dengan lebih cemerlang dalam semua bidang yang kita ceburi....same2 kita doakan...
Wassalam.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP