Wednesday, February 11, 2004

www.bharian.com.my-wednesday 11/2/2004
- Rencana dan Pendapat -
Surat Pilihan: Foto artis berkemban antara penyumbang jenayah seksual


SAYA bukanlah pembaca setia majalah hiburan, tetapi apa dipaparkan pada muka depan dan bahagian dalam sebuah majalah baru-baru ini amat memalukan.

Dalam ruangan mengenai tips kecantikan dalam majalah itu, disiarkan dua muka penuh rahsia kecantikan seorang artis wanita, tetapi dia beraksi separuh bogel. Beliau berkemban dengan hanya mengenakan tuala putih saja.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang bermain di fikiran artis ketika mereka bersetuju gambar mereka dirakam dalam keadaan sedemikian rupa?

Malangnya, ada artis yang dengan berani membiarkan tubuh montok mereka dijadikan tontonan untuk membuat orang lain geram.

Nampaknya, artis seperti ini tidak langsung berusaha mempertahankan maruah mereka sebagai wanita Islam. Malah, tepatlah peringatan Rasulullah bahawa pada akhir zaman, manusia akan berpakaian tetapi sebenarnya bertelanjang.

Saya sangat sedih dengan perkembangan ini, kerana pada waktu kita dikejutkan dengan jenayah rogol yang dahsyat, ada di kalangan wanita yang tidak berusaha mempertahankan diri wanita lain secara fizikal mahupun mental.

Adakah artis wanita tidak memahami tuntutan seksual lelaki? Tahukah mereka bahawa antara penyumbang kes rogol adalah kerana gagalnya lelaki menahan tuntutan hawa nafsu melihat gambar lucah yang tersiar?

Akibatnya mereka yang tidak dapat melepaskan geram dan keghairahan kepada wanita yang bergambar bogel, budak perempuan dan orang tua dijadikan mangsa.

Mengapa budaya Timur dan agama Islam khususnya mengharamkan wanita mendedahkan tubuh? Kerana walaupun dianggap remeh, faktor inilah yang menyumbang kepada jenayah seksual kejam.

Sekiranya bergambar separuh bogel itu adalah satu kebiasaan, masihkah tugas seorang artis dianggap halal? Ya, hanya Tuhan saja yang mengetahui. Tetapi tolong jangan permainkan hukum Tuhan dengan mengatakan bahawa �Allah tahu apa yang kami buat�.

Bukalah kembali al-Quran dan semaklah kembali tuntutan berpakaian wanita, barulah anda tahu apa yang diharamkan dan apa yang dibolehkan.

Untuk kita menegur pada zaman ini sangat sukar kerana semua manusia suka berselindung di sebalik nama Allah. Apa saja perlakuan yang jelas haram, �dihalalkan� atas prinsip �Allah memandang hati dan bukan luaran�.

Kalau demikian saya ingin bertanya kembali apakah fungsi al-Quran dan hadis yang diwasiatkan oleh Rasulullah kepada manusia?

Kepada Kementerian Dalam Negeri yang menjaga bahagian penerbitan, kajilah perkara ini secara serius.

Ketahuilah ada ramai lelaki menampal gambar perempuan bogel atau sekurang-kurangnya seksi di dalam bilik mereka dan anda tahu apa yang mereka lakukan!

Bukan semua lelaki ini waras otaknya, ada yang sakit jiwa dan mental.

Fahamilah kenyataan bahawa akal lelaki sembilan, manakala nafsunya satu � nafsu lelaki hanya pada wanita, tiada yang lain.

Kepada semua wanita, bantulah wanita lain dengan apa cara sekalipun supaya tidak menjadi mangsa jenayah seksual.

WANITA MELAYU-ISLAM, Jalan Haji Yaakob, Kampung Baru, Kuala Lumpur.


Minda Pengarang: Isu konsert Mariah Carey satu teladan

PERTEMBUNGAN tarikh antara Awal Muharam dan Konsert An Intimate Evening with Mariah Carey Charmbracelet World Tour 2004 di Stadium Merdeka pada 22 Februari sudah dapat diselesaikan dengan baik. Keputusan sudah dibuat Konsert Mariah Carey itu diadakan dua hari lebih awal bagi menghormati sambutan Awal Muharam yang jatuh pada hari yang sama. Rasanya, tidak perlulah mana-mana pihak menghebuhkan lagi mengenai isu itu.

Pihak penganjur, Galaxy Production Sdn Bhd akur terhadap teguran pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin yang mempertikaikan tarikh konsert itu.

Peminat yang sudah membeli tiket konsert itu tentunya berasa lega kerana mereka dapat menyaksikan persembahan Mariah Carey tanpa perlu berasa bersalah akibat pertembungan tarikh itu. Mungkin pemilihan tarikh itu secara kebetulan tetapi ia boleh dijadikan ingatan pada masa depan. Apa juga majlis yang akan diadakan di negara ini perlu mengambil kira aspek sensitiviti rakyat. Sekiranya semua pihak membuat perancangan rapi, perkara sebegini boleh dielakkan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP