Friday, February 27, 2004

Wanita & Keluarga -

Tiga kaum bincang hak, maruah wanita
Oleh Halina Mohd Noor


PENYATUAN pendapat mengenai isu wanita oleh wanita pelbagai kaum di negara ini amat diperlukan bagi memastikan hak dan maruah mereka terus dilindungi. Memahami masalah masing-masing, wanita negara ini perlu saling membantu, menggalak untuk memperbaiki kelemahan diri bagi memperjuangkan hak kepentingan dan kebajikan mereka.

Justeru, bagi kali pertama tiga kumpulan wanita pelbagai kaum ? Melayu, Cina dan India ? berkumpul untuk berkongsi pandangan dan berbincang mengenai hak dan maruah wanita dalam program Wanita Cemerlang, Gemilang dan Terbilang: Ketahui Hak Anda! Program sehari itu anjuran Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) dengan kerjasama Kaukus (Jawatankuasa) Pemimpin Wanita Cina Malaysia, Kaukus Pemimpin Wanita India Malaysia dan Perkumpulan Wanita (WI) Bandar Tun Razak di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menteri KPWK, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ketika merasmikan program berkenaan menyeru wanita Cina dan India lebih giat menyertai rancangan wanita agar dapat berinteraksi serta berkongsi pendapat mengenai pelbagai isu. Ini kerana kerajaan sentiasa ingin memberikan perhatian terhadap semua kaum negara ini.

?Masalah bahasa sering kali menjadi alasan mengapa wanita Cina dan India kurang menyertai program wanita anjuran kementerian. Oleh itu, kita tampil dengan idea menganjurkan program yang menggabungkan kumpulan wanita Cina dan India agar mereka dapat bersama-sama tampil menyuarakan hasrat masing-masing. Wanita Malaysia perlu bersatu kerana perpaduan pelbagai kaum penting bagi menjamin masa depan lebih cerah negara,? katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan merangkap Penaung Kaukus Pemimpin Wanita Cina, Datuk Ng Yen Yen, Setiausaha Parlimen KPWK, Datuk Mastika Junaidah Husin, Timbalan Pengerusi Kaukus Pemimpin Wanita India Malaysia, Senator Jaya Partiban dan Pemimpin Kaukus Wanita Cina, Chew Mei

Fun.

?Program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan wanita pelbagai kaum. Selain memberikan peluang berinteraksi di samping mengeratkan perasaan muhibah, ia juga memberi ruang kepada peserta untuk berkomunikasi secara berkesan dan berterusan, berkongsi pandangan dan pengalaman demi kebaikan bersama,? katanya.

Melalui program itu peserta juga berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai hak mereka di sisi undang-undang sama ada sebagai individu, isteri, ibu, wanita yang diceraikan, balu atau sebagai mangsa keganasan rumah tangga. Pembabitan 1,600 peserta itu mencerminkan bahawa seluruh masyarakat tanpa mengenal bangsa dan agama memandang serius isu keganasan terhadap wanita termasuk gejala jenayah seksual yang semakin berleluasa.

Jaya Partiban pada sesi perkongsian pengalaman bersama pemimpin wanita berkata, wanita India lebih ketinggalan dalam membicarakan hak perundangan, pembangunan sosial dan ekonomi walaupun hakikatnya mereka tahu mengenai hak masing-masing. Ini disebabkan oleh ketiadaan wakil yang boleh memperjuangkan hak wanita dalam parti termasuk ketiadaan pembuat dasar, iaitu wanita untuk memastikan hak wanita India dilindungi.

?Kita tidak ada pembuat dasar dalam kerajaan mahupun agensi pertubuhan wanita lain. Ini antara sebab mengapa kita (wanita India) mundur dalam kemajuan yang dikecapi negara. Oleh itu saya rayu menteri (KPWK) supaya buat forum yang boleh menyedarkan lelaki India mengenai sensitiviti kami agar diberikan lebih kebebasan ekonomi dan sosial seperti keluar bekerja untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Budaya dan mentaliti lama yang menekan wanita perlu ditukar. Kita minta pihak kerajaan kesan apa kekurangan wanita India,? katanya.

Memetik kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman pada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu 1969, Partiban berkata, wanita ketinggalan bukan kerana keputusan yang dibuat oleh mereka tetapi kerana keputusan yang tidak dibuat oleh mereka. Pada 2004, wanita India masih berada dalam peringkat menerima keputusan yang dibuat untuk mereka.

?Dulu ketika MIC ke ladang untuk buat ceramah, hanya golongan lelaki saja yang datang manakala wanita hanya duduk di rumah. Mereka tidak kisah apa yang ingin diperkatakan pada ceramah tetapi sekarang mereka sedar hak mereka. Kita harap melalui perpaduan kaum, wanita India dapat bersatu bersama wanita Cina dan Melayu untuk memajukan negara dan masa depan mereka,? katanya.

Sementara itu, Chew Mei Fun berkata, rancangan berkenaan adalah satu permulaan baik untuk mempereratkan kerjasama dan mempertingkatkan persefahaman di antara golongan wanita pelbagai kaum di negara ini. Melalui penubuhan kaukus itu, wanita dapat membina jaringan rapat di antara pertubuhan masyarakat dan kerajaan.

?Melalui bantuan dan pimpinan kaukus wanita, keadaan wanita bukan Bumiputera kurang giat dalam menyertai aktiviti kerajaan telah berubah. Peruntukan yang diberikan oleh KPWK kepada pertubuhan wanita pelbagai kaum dan membantu mereka menganjurkan pelbagai aktiviti bukan saja menyelesaikan masalah pertubuhan wanita akibat kekurangan wang tetapi menyemarakkan lagi semangat kaum wanita,? katanya.

Katanya lagi, cara paling pantas mengubah nasib golongan wanita ialah melalui penggubalan undang-undang, pindaan akta yang tidak adil atau menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap keganasan wanita.

Bagaimanapun, pendidikan adalah langkah permulaan baik untuk mengubah nasib wanita.

?Pendidikan mampu membentuk pemikiran yang betul terhadap konsep gender. Oleh itu, isi kandungan pendidikan yang menghormati hubungan jantina yang seimbang perlu untuk memupuk persepsi gender yang betul kepada generasi akan datang,? katanya.

Selain sesi berkongsi pengalaman bersama pemimpin, program itu turut terbahagi kepada forum mengenai Wanita dan Undang-Undang Keluarga dan Keganasan Dalam Rumah Tangga yang disampaikan oleh peguam daripada Tengku Naufal & Co, Tengku Naufal Tengku Mansor, Peguam Jabatan Siasatan Suru

hanjaya Hak Asasi Manusia Kamala Pillai, Peguam Jabatan Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Peguam Lee Sook Wah & Co, Alice Lee Sok Wah, Penasihat Undang-Undang KPWK, Ahmad Razif Mohd Sidek dan Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DSP Halimah Kawaluddin sesi perkongsian pengalaman bersama pemimpin wanita.
www.bharian.com.my

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP