Monday, February 09, 2004

- Rencana & Pendapat -
Surat & emel: Memilih awal Muharram atau Mariah Carey

www.bharian.com.my
9/2/2004

ANTARA sambutan Maal Hijrah dan Konsert An Intimate Evening with Mariah Carey Charmbracelet World Tour 2004, mana satu pilihan kita?

Tanggal 22 Februari depan, kita akan menyaksikan pertembungan dua program yang sememangnya berlainan, malah berlawanan sama ada dari segi moral, objektif, sasaran dan perjalanannya.

Saya amat terkejut membaca laporan 4 Februari lalu �Konsert Mariah Carey tetap ikut jadual�, walaupun sudah ada bantahan daripada pihak tertentu.

Alasan penganjur adalah tarikh berkenaan diberikan oleh pengurusan Mariah Carey sendiri sejak setahun lalu dan sebarang perubahan tidak boleh dilakukan kerana ia membabitkan keseluruhan jadual penyanyi itu.

Penganjur juga menyatakan konsert ini akan diadakan secara �bersih� dan mengambil berat mengenai sensitiviti masyarakat Timur selain memastikan pakaian yang bakal digunakan nanti tidak menjolok mata.

Alasan mengenai tarikh itu tidak boleh diubah memang kolot. Sedangkan kita sedia maklum kalendar tahunan boleh diketahui beberapa tahun sebelum tahun yang berkenaan, malah upacara atau sambutan tahunan telah memang sedia termaktub, berbanding tarikh yang diberikan oleh pengurusan Mariah Carey yang hanya diberikan sejak setahun lalu.

Jangan pula disebabkan ketagihan kepada hiburan, keuntungan dan kejelitaan, sensitiviti orang Islam diketepikan.

Selain itu, setakat mana penganjur dapat menjamin konsert itu akan berjalan secara �bersih� (kononnya) dan tidak menjolok mata memandangkan tarikh yang dipilih pun tidak �membersihkan� sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Di samping itu, adakah ia bertepatan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang ketiga iaitu, Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Persoalannya, bagaimana hendak menjadikan Islam sebagai unsur penting dalam pembentukan kebudayaan negara dalam keadaan sambutan Tahun Baru Islam dicemari.

Oleh itu, saya menyeru semua terbabit yang bertanggungjawab dalam penganjuran dan perjalanan konsert itu agar membatalkan konsert berkenaan.

Saya juga berharap supaya pihak yang berwajib sama ada individu, institusi atau pertubuhan berkaitan dapat mengemukakan bantahan secara rasmi kepada penganjur.

Sewajarnya, sensitiviti semua lapisan rakyat dijadikan landasan keamanan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.

IBN NORDIN,
Taman Bukit Angkasa,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP