Wednesday, February 25, 2004

Luar Negara

300 mati gempa bumi gegarkan Maghribi

Utusan Malaysia 25/2/2004

RABAT 24 Feb. - Hampir 300 orang dikhuatiri mati apabila satu gempa bumi yang kuat menggegarkan kawasan sekitar bandar pelabuhan Al Hoceima diutara Maghribi pada awal pagi ini, kata seorang pegawai tempatan.

``Jumlah kematian rasmi pada masa ini ialah 42 orang tetapi angka kematian boleh meningkat kepada 300 orang,'' kata seorang anggota Parlimen yang enggan namanya disiarkan.

Kampung Ait Kamara, 14 kilometer dari bandar itu, musnah sama sekali dan ramai penduduk terkorban, kata seorang jurucakap jabatan pertahanan awam di Al Hoceima.

``Setakat ini pekerja penyelamat telah menemui 20 mayat di kampung itu sahaja,'' katanya menerusi telefon.

Kebanyakan rumah di kampung itu dibina daripada bata lumpur.

Kampung Im-Zouren yang berhampiran turut mengalami kemusnahan teruk.

Di Al Hoceima, penduduk berlari keluar ke jalan raya apabila gempa bumi melanda tetapi bandar itu tidak mengalami kerosakan besar, kata jurucakap itu.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa bumi itu berukuran 6.5 pada skala Richter.

Gegaran berukuran 6 ke atas boleh menyebabkan kerosakan besar.

Gempa bumi itu melanda pada sekitar 2.30 pagi (10.30 pagi waktu Malaysia) dan gegarannya dapat dirasakan di sekitar kawasan Al Hoceima, bandar pelancongan Fez di kawasan pedalaman dan Taza, lapor agensi berita rasmi MAP.

``Kebanyakan mangsa mendiami kampung-kampung dekat Al Hoceima,'' katanya.

Jurucakap USGS, Butch Kinerney berkata, pusat gempa itu terletak di Selat Gibraltar yang memisahkan Maghribi dari Sepanyol dan kira-kira 300 kilometer ke timur laut ibu kota Rabat.

Kata beliau, ratusan gegaran kecil berlaku di kawasan Afrika Utara sejak1990 tetapi gempa bumi hari ini adalah yang paling kuat sejak 1994 apabila dua orang terkorban dan puluhan lagi cedera dalam kejadian dekat Al Hoceima.

Gempa bumi paling dahsyat pernah dirakamkan di Maghribi berlaku pada 1960 dengan menyebabkan 12,000 orang terbunuh di bandar Agadir, selatan negara ini. - Reuters


0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP