Sunday, February 15, 2004

Kasi boleh hilangkan keghairahan seks lelaki
Bersama Datuk Dr Mahmood Awang Kechik
(Dipetik dari bharian online)

SOALAN: BARU-BARU ini kita digemparkan dengan beberapa kejadian rogol dan sebagai hukuman kepada jenayah ini ada pihak yang mencadangkan bahawa pelakunya dikasi. Bolehkah doktor jelaskan mengenai kasi dan apakah tujuannya. Begitu juga apakah kesannya tindakan mengkasi ini terhadap seseorang lelaki. Adakah dengan mengkasi menjadikan seseorang lelaki itu manusia yang tidak lelaki lagi. Satu lagi soalan saya ialah adakah dengan mengkasi masalah ini akan dapat diselesaikan?

Khairul Irfan
Lembah Keramat,
Kuala Lumpur


JAWAPAN: KASI secara kasarnya adalah satu perbuatan yang mana buah zakar seseorang lelaki itu dibuang.

Kaedah ini telah dilakukan sejak berabad lalu terutama di negara seperti di Asia Barat dan China. Tindakan ini dilakukan ke atas penjaga Harem atau penjaga gundik Raja.

Tujuannya adalah supaya lelaki yang dikasi itu tidak mempunyai keinginan seksual sehingga sanggup melakukan tindakan seks terhadap gundik-gundik raja.

Dari segi kaedah perubatan, pengkasian adalah proses membabitkan pengeluaran buah zakar yang pada dasarnya adalah kilang yang mengeluarkan hormon testesteron bagi golongan lelaki.

Sembilan puluh peratus daripada testestron dikeluarkan oleh buah zakar dan hormon inilah yang menyebabkan seseorang itu mempunyai sifat kelelakian dan seandainya testesteron ini tidak lagi dikeluarkan oleh buah zakar, maka seseorang itu akan kehilangan sifat kelelakian terutama sifat ghairah melakukan kegiatan seks.

Jadi tindakan pengkasian pada hakikatnya bukan untuk membuang buah zakar, tetapi sumber testesteron berkenaan.

Proses pengkasian juga tidak membabitkan zakar dan hanya buah zakar semata-mata dan ini bermakna zakar boleh lagi digunakan.

Seperti diketahui, ereksi tidak semata-mata disebabkan oleh hormon testesteron dan kaedah pengkasian juga memungkinkan keinginan untuk seks tidak dapat dihapuskan sama sekali.

Ini kerana, lima peratus daripada testesteron juga dikeluarkan oleh kalenjar supra renal dan ini bermakna walaupun kita sudah membuang buah zakar tetapi kita tidak membuang 100 peratus sumber testesteron dalam badan.

Zakar masih boleh berfungsi, tambahan pula pada zaman ini yang mana kita boleh menyuntik ubat tertentu sehingga menyebabkan zakar boleh mengeras.

Berdasarkan proses ini, tidak bererti dengan membuang buah zakar kita boleh berhentikan 100 peratus jenayah rogol, cuma kita boleh meredakan keinginan dan keghairahan seks seseorang itu.

Perlu juga diingat bahawa orang yang suka merogol ialah mereka yang mempunyai masalah psikologi dan juga kelainan jiwa. Jadi perbuatan membuang buah zakar dan membuang sumber testesteron belum menjamin pelaku jenayah ini akan baik. Sebab itu juga membabitkan faktor psikologi.

Adalah tidak betul jika kita mengatakan mengkasi penjenayah seks akan mengatasi masalah ini 100 peratus.

Perintah mahkamah biasanya diperlukan untuk membolehkan tindakan ini dilakukan terhadap penjenayah seks dan pengalaman saya ketika di Eropah mendapati, sering kali perintah mahkamah diperoleh sebelum proses ini dilaksanakan.

Apa pun, sekiranya perkara ini dilaksanakan bukan bermakna kita potong dan biarkan penjenayah ini bebas begitu saja dan walaupun sudah dipotong dia mesti diawasi.

Penjenayah ini perlu diawasi dan diberikan bimbingan psikologi, kerana jika tidak apa yang dilakukan terhadapnya tidak akan mencapai matlamat.

Pada pandangan saya, dari segi perubatan, perogol sedikit sebanyak mengalami kelainan jiwa yang perlu ditangani oleh doktor atau pakar psikologi dan dalam menangani masalah ini pendekatan yang menyeluruh diperlukan.

Definisi merogol pada masa ini juga belum begitu tepat. Pada pengalaman saya, di satu pihak ada yang menuduh dia dirogol, tetapi dalam banyak kes ada yang berlaku kerana suka sama suka.

Saya bagi contoh terutama yang terjadi pada gadis di bawah umur. Sering kali kita dengar seorang bapa membuat laporan polis anaknya dirogol, tetapi apa yang berlaku mungkin anaknya ditipu, yang juga disebabkan sikapnya seperti lari dari rumah, dan dia ditipu sehingga mengadakan hubungan seks.

Pada dasarnya, dalam kejadian sebegini mungkin gadis ini mahu, tetapi apa yang menjadi kesalahan ialah lelaki berkenaan mengadakan hubungan dengan mereka yang di bawah umur dan bukan isterinya yang sah.

Pada pandangan saya, lelaki sebegini kalau didapati salah bukan kerana dia menghadapi kelainan psikologi tetapi disebabkan kenikmatan seks semata-mata.

Di satu pihak pula, kita ada penjenayah yang betul-betul merogol dan dia mendapat kepuasan daripada perbuatan merogol, dia mencari mangsa rogol, dia merogol dengan disertai membunuh mangsa.

Orang ini memang mempunyai masalah psikologi seksual yang perlu dilihat daripada pelbagai sudut.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP