Monday, February 16, 2004

Hijrah memerlukan
pengorbanan, ketabahan

-dari mimbar, khutbah khas sempena menyambut tahun baru Islam tak lama lagi.

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keselamatan serta berbahagia di dunia dan di akhirat.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurnia-Nya telah melanjutkan usia kita sekali gus memberi peluang kepada kita untuk menemui Tahun Baru Hijrah 1423. Walaupun peristiwa Hijrah telah lama berlalu namun ia masih tetap disambut dengan meriah lagi gembira oleh seluruh umat Islam di dunia setiap kali menjelangnya bulan Muharam.

Ini kerana tahun Hijrah merupakan simbol di sebalik satu kisah sejarah yang agung di mana kita harus sentiasa mengingatinya iaitu peristiwa hijrahnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sesungguhnya hijrah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah untuk mematuhi perintah Allah Subhanahu Wataala dalam usaha untuk menyebarluaskan lagi dakwah Islam. Ia juga adalah bertujuan untuk menyelamatkan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari rancangan jahat orang-orang Quraisy yang hendak membunuh Baginda dan memberhentikan syiar agama Islam. Lalu Rasulullah pun berhijrah ke Madinah dan ditemani oleh sahabat karib Baginda Abu Bakar As-Sidiq inilah antara pengorbanan besar yang Baginda dan sahabat Baginda lakukan dalam memperjuangkan kesucian agama Islam demi Allah Subhanahu Wataala. Sanggup meninggalkan keluarga, harta benda, rumah, kampung halaman dan berjalan merentasi padang pasir. Semuanya dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala dan agama-Nya.

Dan ketabahan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu yang telah menjadi dorongan dan penyuntik semangat kepada umat Islam yang lain untuk turut sama berhijrah ke Madinah. Tanpa rasa kesal mereka pun meninggalkan apa yang dimiliki kerana di hati mereka telah tumbuh perasaan kasih dan cinta yang sangat mendalam kepada Allah Subhanahu Waatala dan Rasul-Nya.

Telah jelas terbukti bahawa hijrah memerlukan pengorbanan dan ketabahan. Dari kisah dan peristiwa hijrah tersebut dapatlah kita mengambil contoh akan bagaimana sikap Baginda Rasulullah dan para sahabat pada ketika itu yang tidak sayangkan harta duniawi.

Bahkan mereka juga mempunyai semangat waja dan kegigihan yang kuat serta memiliki tahap kesabaran yang tinggi terhadap keperitan dari kezaliman dan penyeksaan yang dilakukan ke atas diri mereka. Dan yang paling istimewa ialah sikap kaum Muslimin pada ketika itu yang tidak memandang harta, darjat, pangkat dan keturunan sebagai ukuran sebagai bersaudara. Kaum Muhajirin dan Ansar hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tidak ada permusuhan, dengki-mendengki, buruk sangka dan sebagainya.

Sebenarnya inilah antara rahsia kekuatan umat Islam pada ketika itu. Umat yang kuat sehingga tidak mudah dikalahkan sama ada dari segi rohani, fizikal dan mental. Mereka tidak takut untuk mati, tidak gentar apabila berhadapan dengan musuh dalam peperangan bahkan menginginkan pula jika dirinya gugur sebagai mati syahid.

Inilah ciri-ciri kualiti seorang Muslim sejati yang sukar diperolehi dalam diri manusia pada masa kini. Sesungguhnya insan yang lemah membawa padah kepada negara iaitu apabila rakyat bersikap pengecut, takut untuk berkorban jiwa dan harta, sayang pada kehidupan dunia dan tidak rela untuk hidup dalam keperitan. Akhirnya jadilah mereka manusia yang hanya tahu mementingkan diri dan bersikap tidak pemedulian. Bahkan negara pun akan mudah dijajah iaitu apabila tidak lagi ada orang yang sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara dan selanjutnya kehidupan bernegara pun akan goyah iaitu apabila ideologi Barat atau pemahaman hidup secara se-kular mula berleluasa.
Inikah hakikat yang paling kita takuti berlaku di negara kita.

Oleh kerana itu, kita perlu merenung kembali dan mencontohi bagaimana cara kehidupan beragama dan bermasya-rakat yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabatnya. Jadilah kita masyarakat Islam yang sebenar. Kita teladani bagaimana sikap umat Islam pada zaman Rasulullah, di mana kaum Muhajirin dan Ansar bersatu padu dalam apa pun jua keadaan. Malahan mereka juga mengasihi saudara-saudara mereka sama seperti mengasihi diri sendiri. Perasaan inilah yang ditanamkan oleh Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam di hati orang-orang Islam bagi menwujudkan sebuah masyarakat yang padu dan berkasih sayang antara satu sama lain sehingga akhirnya menjadilah umat Muhammad sebagai sebuah keluarga yang besar di bawah pegangan satu agama yang agung iaitu agama Islam.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Anbiyaa ayat 92 yang tafsirnya :

" Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu , agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Daku."

Dan firman-Nya lagi dalam Surah Al-Hujaraat ayat 10 yang tafsirnya:

"Sebenar orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Dari ayat tersebut telah membuktikan betapa umat Islam harus bersatu padu di bawah satu agama, dengan demikian barulah kita menjadi umat yang kuat, tidak lagi akan mudah ditindas, diporak - perandakan ataupun berpecah-belah. Dan ini bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1422.

"Perpecahan adalah racun bagi pembangunan, apa jua jenis pembangunan sama ada mental ataupun fizikal. Sementara perpaduan pula adalah ubatnya bagi kita umat Islam, kuatkan pegangan kita kepada tali Allah agama-Nya). Jangan sekali-kali berbelah bahagi. Bulatkan fikiran dan satukan langkah insya- Allah kita selamat."

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah ini negara kita turut sama bergembira merayakan kehadirannya dengan sambutan yang bertema 'Akidah Kukuh Bangsa Perkasa'. Dari itu marilah kita sama-sama mencorakkan langkah ke hadapan untuk saling bekerjasama dan berganding bahu dalam usaha untuk merealisasikan harapan negara supaya kita dapat menjadi bangsa yang perkasa melalui akidah yang kukuh lagi mantap dalam beragama. Dengan demikian insya-Allah akhirnya kita akan dapat menjadi umat Islam yang kuat lagi disegani. Firman allah dalam Surah Al-Anfal ayat 75 tafsirnya:

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang-orang yang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia."



*Selamat menyambut tahun baru.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP