Friday, February 13, 2004

Hiburan

Wan Kamarudin - Disuruh 'jaga mulut'
Oleh ABD. AZIZ ITAR


WALAUPUN program Edisi Siasat yang disiarkan di ntv7 setiap Sabtu dan Ahad pukul 8 malam hanya mengambil masa setengah jam sahaja, namun ia hangat dengan isu-isu semasa.

Lebih menghangatkan keadaan ialah pengacaranya, Wan Kamarudin Wan Ibrahim, 32, yang tampil dengan gaya penyampaiannya yang 'panas'.

Program yang berslogankan Perintis Isu Dan Waktu itu telah menjadikan jejaka pemegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, kini cukup terkenal dengan gaya bahasanya yang kasar dan celupar.

Utusan Malaysia sempat mengadakan pertemuan dengan Wan Kamarudin bagi menyelami sikap keceluparannya.

Apa komen anda jika ada penonton yang mengatakan gaya bahasa anda agak kasar ketika mengendalikan Edisi Siasat?

WAN KAMARUDIN: Itu saya tidak nafikan. Ini kerana, skrip untuk Edisi Siasat memang 'berat'. Gaya bahasa yang tegas dan kasar sesuai digunakan untuk mengupas sesuatu isu supaya ia lebih cepat sampai kepada penonton. Walau bagaimanapun, saya bukan cakap ikut sedap mulut. Setiap perkataan yang saya ucapkan adalah mengikut skrip yang telah disediakan oleh penerbit Edisi Siasat, Zainal Rashid.

Secara umumnya, bagaimana dengan reaksi para penonton dengan cara penyampaian anda itu?

WAN KAMARUDIN: Saya banyak mendapat maklum balas daripada para penonton melalui panggilan telefon dan e-mel. Ada yang suka dengan pendekatan itu, tetapi ada juga yang suruh supaya saya 'jaga mulut'.

Secara peribadi apakah anda memang seorang yang serius dan kasar ketika berbicara?

WAN KAMARUDIN: Sebenarnya, saya seorang yang pendiam dan suka menyendiri. Saya juga seorang yang selalu merasa rendah diri dan tidak suka menonjolkan diri. Saya tampil begitu kerana mahu menyesuaikan diri dengan program yang saya kendalikan agar penyampaiannya lebih berkesan.

Pernahkah anda menerima ugutan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak puas hati dengan isu yang dipaparkan?

WAN KAMARUDIN: Setakat ini saya belum pernah menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak. Ini kerana, kami mengetengahkan tentang isu-isu kemasyarakatan. Kami paparkan apa yang berlaku dan ia hanya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Adakah Edisi Siasat mempunyai fokus tertentu dalam mengetengahkan sesuatu isu kepada para penonton?

WAN KAMARUDIN: Biasanya pada hari Sabtu, kami lebih memfokuskan kepada isu-isu gejala sosial yang melanda dalam masyarakat terutamanya golongan remaja. Manakala, pada hari Ahad pula sasaran kami adalah isu-isu global misalnya yang melibatkan kisah-kisah masyarakat. Selain Edisi Siasat, saya juga menjadi pembaca berita di ntv7 pada pukul 8 hingga 8.30 malam setiap Isnin hingga Jumaat dan penyampai Edisi Siasat Ekstra pula setiap Isnin pukul 9.40 malam.

Apakah paparan isu dalam Edisi Siasat yang meninggalkan kesan paling mendalam di hati anda?

WAN KAMARUDIN: Episod Mak Munah yang tinggal di Melaka adalah antara episod yang tidak dapat saya lupakan. Saya hampir menitiskan air mata apabila memaparkan kemiskinan Mak Munah yang tinggal di sebuah rumah berlantaikan pasir selama 35 tahun. Dia tidak mempunyai kemudahan air paip dan terpaksa bergantung kepada air perigi yang dalamnya beberapa meter dan dipenuhi dengan jentik-jentik.

Apa yang anda akan lakukan untuk mempertingkatkan lagi Edisi Siasat di masa akan datang?

WAN KAMARUDIN: Pada pendapat saya, kerja secara berkumpulan seperti yang kami amalkan ketika ini amat penting untuk menentukan kemantapan program ini. Ia termasuklah kerjasama antara jurukamera, wartawan, penyampai dan penerbit. Kami juga akan mendengar dan mempertimbangkan segala cadangan dan kritikan yang dilemparkan kepada kami. Tanpa respond daripada penonton, saya rasa rating Edisi Siasat tidak akan mencecah hampir sejuta penonton sejak ia mula diperkenalkan pada September 2003.

Apakah harapan anda pada Edisi Siasat?

WAN KAMARUDIN: Saya harap para penonton boleh terima gaya penyampaian saya dalam program ini. Mereka (penonton) harus bersikap terbuka kerana soal bahasa yang mungkin kasar, bukanlah satu masalah. Bagi saya, Edisi Siasat adalah cermin masyarakat. Malah, saya anggap para penonton juga adalah sebahagian daripada krew penerbitan program ini.


0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP