Wednesday, February 25, 2004

Dua lelaki iringi adik mati tercampak dari ambulans

Utusan Malaysia 25/2/2004

KUCHING 24 Feb. - Dua beradik maut selepas tercampak keluar dari ambulans di Jalan Lanang, Sibu, semalam, ketika dalam perjalanan menghantar adik mereka yang cedera akibat satu kemalangan ke hospital.

Rumanda Ikom, 63 dan adiknya Pangau, 56, mati di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari pintu belakang ambulans yang tiba-tiba terbuka akibat kemalangan pada pukul 2.15 petang.

Adik mereka, Chnidi, 44, yang hendak dihantar ke hospital, dan turut tercampak keluar, terselamat.

Timbalan Ketua Polis Sibu, Supritendan Han Hapeni berkata, kedua-dua mangsa tercampak keluar selepas ambulans yang membawa mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, Rumanda terperosok di bawah ambulans manakala adiknya tercampak kira-kira tiga meter dari kenderaan berkenaan.

``Bas itu dipercayai tidak memberi laluan kepada ambulans yang sedang melalui kawasan berkenaan.

``Kemungkinan siren ambulans tidak kedengaran menyebabkan bas itu meneruskan perjalanan sebelum kemalangan berlaku,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Han berkata, selain Rumanda dan adiknya, empat lagi yang menaiki ambulans itu turut cedera iaitu dua jururawat, seorang pembantu perubatan selaku pemandu dan seorang lagi adik mangsa, Chnidi, 44.

Katanya, Chnidi, tercampak di atas tubuh Rumanda.

Tambahnya, pemandu bas berkenaan di tahan di Balai Polis Sibu untuk siasatan lanjut.

``Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat,'' ujarnya.

Sebelum kejadian, katanya, Chnidi terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sungai Assan kira-kira pukul 1.30 petang.

Menurutnya, mendengar tentang adiknya kemalangan, Rumanda dan Pangau segera ke tempat kejadian dan bersama-sama menaiki ambulans untuk menghantar Chnidi ke hospital.

Sehubungan itu, Han mengingatkan pengguna lalu lintas supaya peka dengan bunyi siren kecemasan dan seterusnya memberi laluan kepada kenderaan bomba, polis dan ambulans.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP