Wednesday, February 25, 2004

''Cukuplah sekian lama kita terpenjara di kampus''

Monday, February 23 @ 12:04:02 MYT
Oleh MOHD FADLY MOHD RAMLY

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa ayat 92, yang bermaksud: " Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Daku."

Puji dan syukur kepada yang Maha Kuasa, selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW, para sahabatnya, tabi� dan tabi�in serta salam sejahtera buat seluruh umat Islam, mahasiswa dan mahasiswi Islam tidak kira di mana sahaja anda berada.

Pada kesempatan bersempena umat Islam dari seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah, sama-samalah kita mengimbau kembali sirah perjuangan nabi junjungan besar kita, Muhammad SAW.

Dalam perjuangan baginda mendaulatkan kalimah-Nya di muka bumi, satu peristiwa yang memberi satu signifikan yang begitu besar di dalam sirah perjuangannya ialah peristiwa hijrah.

Bermula dari peristiwa tersebut, maka Islam mula digeruni dan dihormati serta dilihat sebagai satu kuasa besar yang berpotensi untuk mentadbir dunia.

Hijrah telah diterjemahkan dalam erti kata kegelapan kepada cahaya, kegagalan kepada kejayaan, lemah kepada kuat, dijajah kepada berkuasa, ditindas kepada memerintah.

Tahun 2004 merupakan tahun yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jika tahun 1999 menyaksikan mahasiswa dilihat sebagai satu �political force� yang mampu untuk membangkitkan kesedaran rakyat dan gelombang reformasi di dalam pilihanraya umum Malaysia kali ke-10, maka 2004 merupakan masa yang paling relevan untuk dibuktikan bahawa mahasiswa masih bertaring.

Mahasiswa bukanlah boneka yang boleh diperalat dan dipenjara pemikiran mereka. Mahasiswa berhak untuk menyokong sesiapa sahaja yang diyakini mereka sebagai benar dan mampu untuk meneraju kepimpinan negara.

Justeru, bersempena dengan semangat hijrah, ayuh kita semarakkan cita-cita ke arah menjana perubahan. Cukuplah mahasiswa selama ini berada di penjara kampus.

Walaupun mahasiswa tidak terpaksa merengkok di penjara, akan tetapi mereka digari dan dipenjara dengan jaringan besi AUKU, ISA, Aku Janji, OSA dan sebagainya.

Mahasiswa mesti dibebaskan dari belenggu cengkaman yang tidak lain tidak bukan hanya bertujuan untuk mengongkong dan menjadikan mahasiswa seumpama manusia yang tidak berprinsip.

Sudah tiba masanya mahasiswa bangkit meneraju pemuda pemudi negara untuk berhijrah daripada minda dan pemikiran kita dijajah kepada pemikiran yang berasaskan kebenaran, keadilan dan keikhlasan.

Buat akhirnya, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) ingin memperingatkan parti yang diamanahkan rakyat untuk memerintah Malaysia sekarang iaitu Barisan Nasional yang diterajui Umno, janganlah memperkecilkan peranan dan suara mahasiswa, peliharalah harta negara dengan sepenuh amanah, lindungilah Islam yang kian terancam dan pastikan demokrasi negara tidak dicabul.

Janganlah sesekali lupa bahawa mahasiswa punyai kuasa untuk menentukan siapakah yang layak untuk menerajui Malaysia.

----------

Mohd Fadly adalah Pengerusi Barisan Bertindak Mahasiswa Negara

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP