Thursday, February 19, 2004

Antarabangsa: bagaimana keadaan umat Islam di sana...

Polis Yahudi halang belia Islam memasuki Masjid al-Aqsa
harakahdaily.net
Thursday, February 19 @ 10:54:24 MYT

BAITULMAQDIS,19 Feb - Sepasukan anggota polis Yahudi, dilaporkan baru-baru ini telah menghalang golongan belia Islam yang kurang daripada umur 40 tahun, dari memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa, yang pernah menjadi kiblat pertama di zaman Rasulullah.

Mereka yang dihalang itu bertujuan untuk menunaikan solat fardu Jumaat, malah mereka didakwa akan mencetuskan keadaan huru-hara, demikian menurut jurucakap polis yang enggan namanya disiarkan.

Menurut jurucakap itu, mereka yang dibenarkan memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat adalah mereka yang berumur lebih 45 tahun, ataupun yang menetap di situ atau golongan wanita dari segenap lapisan umur.

Polis Yahudi meletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kejadian tembak-menembak antara rejim Zionis dan para pejuang Palestin yang berkesudahan dengan kematian lima belas pejuang Islam Palestin yang gugur syahid, untuk mengelak dari sebarang tindakan balas dendam pejuang Islam, maka para belia tidak dibenarkan memasuki Masjid al-Aqsa walau pun hanya untuk bersolat.

Sehubungan itu, Hamas bertekad untuk membalas dendam terhadap tindakan polis yahudi yang menghalang orang Islam menunaikan solat Jumaat.
Anggotanya juga berjanji akan melakukan operasi berani mati sebagai menyatakan rasa marah mereka terhadap kekejaman polis Yahudi itu, pelancaran operasi berani itu bukan sekadar di Baitulmaqdis semata-mata, malah di seluruh bumi Palestin dan Israel.


'Ulamak dan mahasiswa Universiti al-Azhar anjur perhimpunan bantah Tantawi
harakahdaily.net
Thursday, February 19 @ 10:50:58 MYT


Oleh Dr Mohd Zaree'
KAHERAH, 19 Feb - Satu perrhimpunan raksasa telah diadakan di sebuah dewan kuliah di Universiti al-Azhar baru-baru ini, ia telah dihadiri oleh para 'ulamak, pensyarah serta seluruh tenaga pengajar dan mahasiswa di semua peringkat.

Perhimpunan itu diadakan adalah untuk menyatakan bantahan terhadap Imam Besar Universiti berkenaan, Dr Muhammad Saiyid Tantawi yang sejak akhir-akhir ini banyak menimbulkan kontroversi dalam mengeluarkan fatwa termasuk isu hijab yang mendapat simpati umat Islam di seluruh dunia.

Mereka juga mengisytiharkan bantahan secara terbuka dan berpendapat bahawa segala pandangan Tantawi yang menimbulkan kontroversi itu adalah pandangan peribadi beliau yang tidak sedikitpun mencerminkan pandangan seluruh warga al-Azhar, sama ada di kalangan pensyarah mahupun mahasiswa.

Matlamat utama perhimpunan itu diadakan adalah untuk memaklumkan kepada umat Islam seluruh dunia bahawa pandangan Tantawi bukanlah pandangan al-Azhar, tetapi lebih kepada pendapatnya sendiri.
Rasa marah meluap-luap telah dinyatakan di kalangan peserta perhimpunan, berhubung pandangan Tantawi mengenai pemakaian hijab di Perancis, di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan Perancis berhak melarang pakai tudung di sekolah-sekolah seluruh Perancis, memandangkan negara itu bukanlah sebuah negara Islam.

Menurut seorang pensyarah di universiti berkenaan yang enggan disebut namanya, pandangan Tantawi itu telah mencemarkan kewibawaan dan nama baik universiti tertua itu yang telah banyak melahirkan para 'ulamak muktabar di seluruh dunia.

Terdahulu katanya, Tantawi telah mengeluarkan pandangannya berhubung isu riba dalam institusi kewangan yang dikira halal, sedangkan pandangannya itu namat nyata sekali bertentangan dengan nas al-Quran, sekali gus ia telah dibantah dengan keras dari kalangan 'ulamak di Timur Tengah termasuklah pendakwah terkenal Prof Dr Yusuf al-Qaradawi.

Pandangannya berhubung isu pengebom berani mati di Palestin juga menimbulkan tanda tanya, sebelum ini kata mati syahid, kemudian tarik balik dan sekarang ini pula memang sah mati syahid, begitulah seorang yang tidak mempunyai pendirian yang jelas dan konsisten.

Menurut laporan, setiap pendapatnya yang bertentangan dengan kesucian agama Islam disokong penuh oleh Presiden Hosni Mubarak, ini menggambarkan seolah-olah beliau bersengkokol dengan aliran fahaman Sekularisme, Zionisme, Athisme, Gerakan Kristian dan lain-lain yang dibela oleh Mubarak malah meruntuhkan al-Azhar itu sendiri.

Pendapat seumpama ini tidak pernah wujud di zaman imam-imam besar al-Azhar yang dilantik di kalangan para 'ulamak sendiri, tetapi pelantikan imam besar al-Azhar pada hari ini dilantik oleh Presiden negara, justeru kualitinya juga boleh dipertikai oleh semua pihak.
"Kita tidak mahu muncul Syeikh Muhammad Ali Abdel Raziq lulusan al-Azhar yang pernah menulis buku yang menafikan hukum Islam, akan tetapi tulisan beliau itu mendapat bantahan para 'ulamak termasuk para pensyarah di Universiti Kaherah dan yang lain", jelas wakil peserta yang hadir.

Menurut sumber, perhimpunan yang dianjurkan itu bukan sekadar untuk membantah, malah untuk mengingatkan beliau (Tantawi) akan peranan asalnya sebagai seorang graduan Islam, malah lebih daripada itu sebagai tokoh yang sepatutnya berkhidmat untuk Islam bukannya untuk menekan Islam.
Di akhir perhimpunan itu, para peserta telah diingatkan oleh wakil di kalangan 'ulamak dengan sepotong ayat al-Quran menerusi surah al-Haj ayat 40 yang bermaksud : Sesungguhnya Allah akan menolong orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Alshaab/zh


Rencana dan Pendapat
www.bharian.com.my


Rencana: Kekuatan ilmu, iman benteng hadapi cabaran globalisasi
Oleh Mohd Yusof Sulaiman

JUMLAH umat Islam sekarang mencecah 1.6 bilion, angka yang cukup besar dan secara logiknya mampu menggegarkan dunia. Bagaimanapun, angka itu seolah-olah tidak memberikan apa-apa makna kerana kini umat Islam dibelenggu pelbagai musibah, bencana dan malapetaka.

Saban hari, pelbagai berita mengenai kesengsaraan dan penindasan terhadap umat Islam dilaporkan. Lebih menyedihkan, umat Islam sendiri tidak dapat berbuat apa-apa melihat saudara seagamanya ditindas oleh musuh Islam.

Kini, cabaran melanda kian bertambah. Ia tidak hanya terhenti di hujung senapang, sebaliknya umat Islam berdepan dengan ancaman dan cabaran bentuk baru, iaitu globalisasi.

Ia lebih menakutkan kerana bentuk globalisasi yang Barat lakukan terhadap dunia Islam agak berlainan. Barat memperkenalkan penjajahan bentuk baru yang menawarkan kemajuan dan perubahan bercorak satu pihak dan melampaui batasan budaya, agama, gaya hidup, ekonomi dan sosial.

Malah, Barat menjadikan Konsep �Unilateral� sebagai tunjang globalisasi tanpa menghargai wujudnya kepelbagaian, sekali gus menjadikan konsep �unipola� sebagai agenda pemerasan terhadap orang lain.

Persoalannya, adakah umat Islam sudah bersedia untuk menghadapi proses dan kesan globalisasi?

Satu justifikasi jelas mengenai perkara ini perlu diketengahkan agar sebarang hambatan globalisasi tidak sesekali meminggirkan umat Islam.

Pensyarah Fakulti Syariah Universiti of Jordan, Prof Dr Syaraf Mahmud al-Qadah berkata, umat Islam perlu bersedia untuk menempuh era globalisasi.

Untuk itu katanya, umat Islam seharusnya terlebih dulu memahami Islam bukan saja dalam konteks kelompok orang Islam, malah dalam konteks cabaran, persepsi dan keadaan masyarakat global sekarang.


Maknanya, Islam tidak sesekali boleh berada dalam dunia sempit, tetapi meluas merangkumi pelbagai bidang, menjangkaui peristiwa tempat dan zaman.

Beliau berkata, Islam juga perlu diberi penjelasan yang tepat dan masyarakat dunia pula perlu disedarkan bahawa Islam sememangnya agama yang benar, selain agama yang menyeru kepada kebaikan, keamanan dan keadilan dunia sejagat.

�Hal ini perlu difahami dan didukung semua generasi Islam supaya ia menjadi suatu agenda berterusan. Jika Islam dapat difahami dengan tepat dan diamalkan dengan penuh tanggungjawab, umat Islam akan berada di hadapan dalam pelbagai bidang.


�Ia juga akan menyumbang ke arah melahirkan masyarakat harmoni dan tatacara dunia yang aman, adil dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

�Kefahaman dan penghayatan Islam yang betul boleh menyumbang ke arah keamanan sejagat,� katanya pada forum Perdana �Muslim dan Globalisasi� anjuran Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Islam, Universiti Malaya, baru-baru ini.

Forum itu diadakan sempena Seminar Antarabangsa Al-Quran dan Hadis disertai pensyarah pengajian Islam, pelajar dan orang ramai.

Dr Syaraf yang memiliki pengkhususan dalam pengajian ulum hadis menggesa umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap kesan globalisasi kerana mereka mungkin dipaksa menerima budaya Barat yang sama sekali bertentangan dengan nilai Islam.

Ketika ini, budaya Barat, hedonisme, kapitalisme dan sosialisme mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dunia dan akibatnya amat jelas terhadap kehidupan manusia pada hari ini dalam pelbagai bidang.

Budaya yang mahu diterapkan Barat sama ada secara langsung atau tidak dalam dunia tanpa sempadan itu akan memberi kesan kepada kehidupan manusia keseluruhannya, tidak terkecuali umat Islam.

Justeru, cabaran besar dalam proses globalisasi ialah bagaimana umat Islam mahu menangani keburukannya. Ini kerana kedatangan globalisasi bakal menyuntik kemajuan (maddiyyah) dalam pelbagai cabang ilmu termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, namun ini tidak bermakna umat Islam boleh leka.

Setidak-tidaknya, satu dimensi baru globalisasi berasaskan konsep Islam sebagai ad-din, hendaklah ditafsirkan dalam kehidupan masyarakat global.

Selain kekuatan ilmu, kekuatan iman juga adalah benteng memperkasakan diri daripada keburukan globalisasi.

Kekuatan iman amat mustahak kerana keimanan yang utuh bakal menjadikan Muslim sebagai insan muttaqin, terhindar daripada sebarang agenda songsang Barat.


Pensyarah Universiti of Bahrain, Prof Dr Ibrahim Fadhil Yusoff al-Dabbu, berkata kekuatan keimanan perlu digembleng seluruh umat Islam bagi memastikan mereka bebas daripada keburukan globalisasi.

Beliau berkata, tanpa keimanan, umat Islam mudah dirobek, dihumban ke dalam kancah kemudaratan, kemunduran dan kesempitan.


Seterusnya kata Dr Ibrahim, umat Islam akan berada dalam kedudukan yang paling rendah, walaupun pada hakikatnya globalisasi mampu dimanfaatkan untuk kebaikan Islam itu sendiri.

�Keimanan yang dijelmakan secara praktikal dalam kehidupan mampu membebaskan umat Islam daripada penjajahan bentuk baru dunia Barat,� katanya.

Dalam hal ini, katanya, kisah perjuangan golongan salaf as-soleh, tabein-tabein dan Aimatul Mujtahidin sudah memberikan satu qudwah hasanah (teladan baik) kepada umat mutakhir ini mengenai kepentingan keimanan.

Beliau mengambil contoh keberanian ditonjolkan panglima Islam, Salahuddin al-Ayubi yang berjaya membebaskan Baitulmaqdis pada 1187 daripada penjajahan tentera Salib selama 88 tahun.

Malah, katanya, kejayaan Salahuddin membebaskan Palestin mengejutkan kuasa besar Barat.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan Salahuddin menawan hampir 50 kubu tentera Salib di antara Antiochi di utara dan Baitulmaqdis di selatan hampir melumpuhkan pertahanan musuh di rantau Asia Barat.

Beliau berkata, Salahuddin pernah berkata �untuk menjadi umat yang berjaya, kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan tidak memadai. Benteng yang paling kental adalah perpaduan dan kekuatan akidah, yakni iman�.

Justeru, kata Dr Ibrahim yang juga warga Iraq, untuk menyediakan diri menghadapi cabaran akan datang, umat Islam harus terlebih dulu menilai keadaan masa kini dan mengkaji masa lalu, termasuk mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan umat terdahulu.

Dengan berbuat demikian, katanya, umat Islam akan berupaya mengelak kesilapan masa kini dan masa lalu serta berupaya menangani masa depan dengan lebih cekap lagi.

Sementara itu, Prof Dr Abdul Latif Aali Mahmud berkata, perubahan terbesar dibawa teknologi maklumat ialah internet yang secara tidak langsung memperlihatkan kepesatan dalam penerokaan ilmu.

Bagaimanapun, pensyarah Universiti Of Bahrain itu berkata maklumat tidak selalunya mengenai pengetahuan, sebaliknya mengenai fitnah dan pembohongan yang disebarkan musuh Islam bertujuan melemahkan umat Islam.

Dalam hal ini, kata Dr Abdul Latif umat Islam tidak sesekali boleh terkeliru atau berada dalam keadaan terpinga-pinga untuk menentukan kebenaran dan kebatilan.

Beliau berkata, dalam situasi sebegini, ulama selaku menjadi pewaris nabi patut berperanan untuk memandu umat islam ke jalan kebenaran dan mencegah daripada jalan kebinasaan dan kesesatan.

Kini, umat Islam harus sedar, semua musuh Islam sentiasa bekerja keras untuk menakluki dunia. Apakah sebenarnya hakikat agenda tersirat mereka? Mungkin masyarakat Islam pada hari ini berbangga kerana berada pada era globalisasi. Namun, dari satu sudut, kita mungkin sebenarnya sudah terperangkap dengan agenda yang dirangka Barat.

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesahihan terhadap sesuatu berita dan maklumat yang dipaparkan dalam era globalisasi ini, dan tahukah kita siapa yang menyediakannya?

Umpamanya, apakah kita sedar, ada ayat suci al-Quran diubah, atau maksud ayat itu dibuat mengikut tafsiran mereka sendiri yang sememangnya dilatih khusus untuk tujuan ini?

Bagi mereka yang mempunyai asas agama mencukupi, mungkin dapat membezakan kebenaran dengan kebatilan, tetapi apa akan berlaku pada masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai peringkat yang dahagakan maklumat ini?




0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP