Wednesday, January 21, 2004

Sebat di khalayak ramai: Hukuman baru ke atas perogol kanak-kanak
Oleh Mohd Azlan Jaafar dan Salina Abdullah (dipetik dari berita harian online)
PUTRAJAYA: Hukuman sebat di khalayak ramai ke atas perogol kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian mangsa, akan diperkenalkan berikutan meningkatnya kes rogol dan bunuh sejak akhir-akhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar), berkata beliau sendiri akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan supaya undang-undang baru itu dapat menangani jenayah berkenaan.

Katanya, cadangan baru itu selaras dengan keprihatinan dan perasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah terbabit.

�Saya mengambil kira amaran dan perasaan Perdana Menteri yang khusus menjurus dalam hal ini dan kita akan memberi sepenuh kerjasama untuk meningkatkan aspek perundangan.

�Pihak saya akan mencadangkan hukuman yang berat dan benar-benar boleh diambil kira, misalnya merotan pesalah di khalayak ramai,� katanya diminta mengulas bentuk hukuman serta sentimen masyarakat yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap perogol kanak-kanak.

Kemarahan masyarakat terhadap pesalah rogol kanak-kanak memuncak apabila Nurul Huda Abdul Ghani, murid Tahun Empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku, Tanjung Kupang, Johor mati selepas dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal stesen janakuasa elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabtu lalu.

Nurul Huda ditemui dalam keadaan bogel dan tidak sedarkan diri di pondok pengawal yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya dan meninggal dunia di klinik berhampiran sejurus kemudian.

Polis menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang berasal dari Kelantan dan siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan kes samun di sekitar Johor dan Selangor.

Awal bulan ini, di Kota Kinabalu, seorang lagi kanak-kanak, Hasirawati Saridi, 10, dirogol dan dibunuh awal pagi ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Peningkatan kes rogol membabitkan mangsa berusia bawah 16 tahun membimbangkan ibu bapa dan masyarakat yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah terbabit.

Rais berkata, beliau dan Jabatan Peguam Negara, bahagian undang-undang dan polis serta pihak lain akan memberikan pandangan masing-masing dalam merangka undang-undang lebih berat itu.

"Ini perlu kerana 60 hingga 67 peratus dari kes-kes baru (rogol) membabitkan anak berumur 16 tahun ke bawah," katanya

Beliau berkata, cadangan mengenakan hukuman sebatan di khalayak ramai pernah disuarakannya awal tahun lalu tetapi bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyebabkan cadangan itu terbengkalai.

"InsyAllah saya akan cuba kemukakan kembali cadangan tersebut supaya kali ini masyarakat dan juga kerajaan bersama-sama mewujudkan situasi undang-undang yang diperlukan," katanya.

Rais juga akan cuba meminta Kabinet menimbang dilema undang-undang sedia ada dan pelaksanaan penguatkuasaan selain tugas pendidikan dan media massa dalam menangani isu rogol.

Undang-undang terhadap jenayah rogol yang terkandung dalam Seksyen 367 Kanun Keseksaan dipinda tahun lalu tetapi khusus untuk jenayah sumbang mahram yang mana pesalah boleh dihukum penjara minimum 15 tahun dan maksimum 30 tahun selain 10 sebatan.

Mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi, Rais berkata ketika ini pesalah boleh dirotan dan dipenjara sehingga 30 tahun dan jika mangsa mati, mereka boleh dijatuhkan hukuman mati.

"Cuma tinggal merotan di khalayak ramai atau menambah bilangan sebat... sekarang 10 kali... mungkin kita timbang untuk tingkatkan bilangannya kepada 20 dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada hukuman sebatan di khalayak ramai itu akan dibantah NGO atau negara tertentu, beliau berkata, sekiranya sentimen kebencian kepada jenayah ini diterima, semua pihak harus menerima hukuman yang bakal dilaksanakan.

"Walaupun pihak Barat atau mana-mana pemerhati akan mengatakan Malaysia "Draconian" atau "barbaric", kita akan membuat perhitungan untuk masyarakat kita sendiri," katanya.

Di KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewajibkan semua calon pengawal keselamatan menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Menerusi langkah itu, syarikat kawalan keselamatan perlu memastikan bakal pekerja mereka sihat dari segi mental di samping tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum mengambil mereka bekerja.

Ketika ini, syarikat keselamatan hanya diwajibkan memeriksa rekod jenayah pekerja dengan polis.

Chua berkata, pemeriksaan mental itu perlu kerana ada kemungkinan mereka boleh melakukan perbuatan tidak sihat, seperti mencabul dan merogol walaupun tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

�Apa yang berlaku baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku,� katanya mengulas kejadian rogol dan bunuh Nurul Huda Abdul Ghani, 10, di Tanjung Kupang, Johor.

Beliau juga berkata, kementeriannya menubuhkan pusat sehenti bagi kes rogol dan keganasan di semua hospital di seluruh negara sejak 1996.

Menerusi pusat sehenti itu, mangsa rogol akan diberi rawatan awal sebelum dimasukkan ke wad manakala doktor dan jururawat akan mengumpul, menyimpan dan merekod semua bukti berkaitan.

�Apa yang lebih penting, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menemubual mangsa di pusat sehenti ini. Mangsa tidak perlu ke balai polis dan menunggu lama untuk diambil keterangan.

�Ini lebih baik kerana ia memberi suasana yang lebih selesa dan selamat kepada mangsa,� katanya.

Read too: Weblog pakdi

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP