Wednesday, January 21, 2004

Menangani kes rogol, bunuh

Monday, January 19 @ 20:40:29 MYT

Oleh MUHTAR SUHAILI

PENINGKATAN jumlah kejadian jenayah yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, yang antaranya termasuk kes rogol, sumbang mahram, seks bebas, liwat, bunuh dan lain-lain telah menimbulkan kebimbangan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

Kini, tiada hari yang berlalu tanpa kejadian jenayah. Kes yang paling zalim ialah jenayah keganasan yang dilakukan terhadap anak kecil dan pelajar yang lemah.
Apa yang telah berlaku kepada masyarakat kita? Di tengah-tengah suasana di mana kes rogol yang kejam, pembunuhan remaja serta anak sendiri berleluasa, bolehkah kita mengaku bahawa hidup kita bertamadun? Wajarkah kita mendabik dada bahawa kita ini adalah sebahagian komuniti masyarakat madani yang penuh dengan adab susila dan etika moral?

Baru-baru ini rakyat seluruh negara melahirkan perasaan teramat marah dengan kes rogol dan bunuh seorang budak perempuan, Nurul Huda Ghani berusia 10 tahun pada 17 Januari 2004 yang lalu.
Kanak-kanak malang ini telah dibunuh selepas dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan di pondok pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tanjung Kupang, Johor. Mayat mangsa yang merupakan murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku dijumpai dalam keadaan bogel setelah dihumban dalam tandas dalam pondok tersebut manakala basikalnya di luar pondok.

Kejadian itu merupakan yang kedua dalam tempoh 2 minggu menimpa murid sekolah. Pada 8 Januari lalu, Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap dan dipercayai diperkosa di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Ekoran tragedi yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan ini, rakyat seluruh negara melahirkan perasaan teramat marah dan mendesak kerajaan mengenakan hukuman paling keras iaitu sebat pelakunya di khalayak ramai, sebelum dihukum mati.
Lebih daripada itu, tokoh-tokoh agama, pemimpin masyarakat dan orang ramai berpandangan bahawa walaupun hukuman mati lazimnya dijatuhkan ke atas pelaku terbabit, namun hukuman yang dilakukan secara tertutup di penjara tidak akan mencetuskan kesedaran kepada orang lain. Bagaimanapun, untuk menyelesaikan segala kemelut yang kian parah ini, hukuman undang-undang bukanlah satu-satunya penyelesaian konklusif dan efektif.

Merujuk kepada kata-kata seorang sarjana, �Mengetahui punca kepada sesuatu masalah telah menyelesaikan sebahagian daripda masalah tersebut�, maka wajarlah kita bermuhasabah dan meneliti dengan sesungguhnya apakah sebab-musabab kepada segala kecelakaan dan kebobrokan yang kian melestari ini.
Setiap rakyat Malaysia yang berfikiran sihat dan rasional tidak boleh memandang ringan kes jenayah yang berlalu ini. Begitu juga, kita tidak boleh menutup mata terhadap kes-kes gejala sosial yang berleluasa di kalangan remaja dan generasi muda kita.
Setiap kali berlakunya pembunuhan yang kejam, masyarakat heboh. Tetapi, persoalannya ialah apa yang kita sedang lakukan untuk mencari sebab dan punca untuk menangani masalah ini?

Saya berpandangan pembangunan spiritual adalah penyelesaian yang paling mampan ke arah mewujudkan maksiat sifar.

Dr. Muhd Said Ramadhan al-Buthi menegaskan bahawa kerapuhan pengetahuan agama dan penghayatan dalam diri setiap individu merupakan faktor terpenting berlakunya kerosakan moral dalam masyarakat hari ini.
Justeru, untuk menyelesaikan segala masalah berkenaan kebiadaban akhlak ini, semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak pembangkang, persatuan-persatuan agama, NGO-NGO, warga pendidik, badan mahasiswa dan seluruh entiti masyarakat wajar memastikan bahawa penyelesaian yang bersifat holistik dan bersepadu dapat dijayakan di semua peringkat.

Fungsi institusi agama dan institusi keluarga perlu diorientasikan semula supaya ahli-ahli agama dan ibubapa turut menjadi aktivis menangani gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat terutama membabitkan remaja di negara ini.
Justeru, saya juga melihat bahawa pelaksanaan secara menyeluruh pendidikan agama di semua peringkat pendidikan, pejabat-pejabat kerajaan, badan-badan swasta dan tempat-tempat awam perlu diperhebatkan.

Yakinlah bahawa pengisian dan percambahan nilai-nilai agama akan secara langsung menurunkan sekaligus merudumkan graf dan carta kebejatan sosial secara drastik.
Tindakan umat Islam negara ini yang terlalu mudah menerima budaya keseronokan panca indera yang sedang berkembang di seluruh dunia menyebabkan gejala sosial di kalangan mereka makin gawat.
Gejala itu jika tidak diatasi dengan langkah yang konkrit akan menyebabkan generasi muda terperangkap dalam kegawatan sosial itu.

Keruntuhan akhlak yang melanda orang Melayu beragama Islam semakin gawat, sama seperti kesan yang mereka alami akibat kegawatan ekonomi kerana mereka terlalu menerima bulat-bulat budaya keseronokan panca indera yang berkembang di dunia.
Keseronokan itu, termasuk yang dipandang, didengar, dirasai dan kelazatan yang dikecap yang semuanya terlalu mengikut hawa nafsu.
Berasaskan kepada itu lahir masyarakat kita yang terbabit dalam gejala negatif, tambahan pula dengan pembukaan lebih banyak pusat hiburan seperti karaoke, konsert, kelab malam dan disko.

Kesinambungan daripada itu, budaya hedonisme yang diimani oleh kebanyakan anggota masyarakat juga merupakan penyumbang utama kepada permasalahan yang terus menemui jalan buntu ini.
Hedonisme adalah budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak dominasi fahaman agama dalam kehidupan manusia. Hedonisme yang berasal daripada istilah Greek Hedone, bermaksud pleasure (keseronokan/kelazatan) atau happiness (kegembiraan).

Menurut Prof. Dr. Sheikh Yusof al-Qardhawi, pengamal budaya menyimpang ini boleh menyesatkan mereka ke dalam gejala-gejala tidak bermoral seperti arak, seks bebas, dadah dan lain-lain sehingga ke peringkat menolak agama.
Dalam mencari erti dan hakikat individu, mereka menganggap agama hanyalah penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya berlandaskan hawa nafsu semata-mata.
Kawalan norma dan undang-undang agama ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang menganggap hawa nafsu adalah tuhan sembahan mereka.

Buat akhirnya, saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPP UIAM) ingin menyampaikan harapan agar konsert-konsert yang tidak mendatangkan nilai-nilai murni dan tidak membawa kepada anjakan paradigma moral wajar disekat dan dihalang.
MPP UIAM berharap dan menyeru agar Konsert "An Intimate Evening With Mariah Carey - Charmbracelet World Tour" pada 22 Februari 2004 ini di Stadium Merdeka dibatalkan.
Semoga cadangan ini mendapat sokongan yang positif dan progresif demi kemaslahatan bersama khususnya dalam menangani dilemma penyakit sosial yang kian meruncing.

---------------
Muhtar Suhaili adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2003/2004, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP