Tuesday, January 13, 2004

dipetik dari utusanonline.com
Etika pakaian diheret ke mahkamah?
Peguam Menulis Oleh Salleh Buang
Akhbar tempatan minggu lalu melaporkan bahawa parti pembangkang DAP tidak akan teragak-agak mengheret isu etika atau kod pakaian yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) ke mahkamah sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkeras mahu meneruskan niatnya untuk melaksanakan peraturan itu kepada wanita bukan Islam.

Karpal Singh, selaku timbalan pengerusi parti itu, dipetik sebagai berkata bahawa partinya tidak akan membiarkan kerajaan negeri pimpinan Pas bertindak sewenang-wenangnya ke atas hak asasi penduduk bukan Islam di negara ini.

Setakat mana yang kita tahu (berasaskan laporan media sehingga kini), MPKT melarang wanita bukan Islam di negeri itu daripada memakai baju lengan pendek, seluar jeans, skirt labuh berbelah dan skirt pendek sewaktu bekerja. Mana-mana syarikat (majikan) yang enggan atau gagal mematuhi peraturan baru ini akan dikenakan denda RM250, selain lesen perniagaan mereka ditarik balik (dibatalkan).

Soalan berbangkit sama ada larangan ini merupakan satu tindakan awalan kepada larangan yang lebih luas, dikenakan kepada semua wanita bukan Islam dalam semua keadaan di kemudian hari, baik yang sedang bekerja atau bersantai atau membeli-belah, hanya masa akan menentukan.

Berita inilah barangkali yang mendorong seorang pembaca ruangan ini bertanya (menerusi e-melnya kepada saya hujung minggu lalu) apakah negara kita pada masa ini mempunyai suatu undang-undang khusus yang secara jelas melindungi hak individu bukan Islam berhubung kebebasan berpakaian mengikut kehendaknya, budayanya atau fahaman agamanya sendiri?

Pembaca itu seterusnya bertanya apakah istilah pernyataan (expression) (yang terdapat dalam rangkai kata kebebasan bercakap dan mengluarkan pendapat di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan) itu merangkumi kebebasan berpakaian ataupun tidak?

Peraturan baru MPKT ini bukan saja diberi perhatian oleh media tempatan, bahkan juga mendapat ulasan media di luar negara.

Dalam lawatan singkat saya ke ruang siber Ahad lalu, saya menemui beberapa laman web yang turut memperkatakan isu ini. Antaranya, laman web japantoday melaporkan sebuah negeri di Malaysia bercadang mengenakan kod pakaian bagi bukan Muslim.

Laman web agensi berita AFP pula menyatakan, di bawah tajuk berita bahawa MPKT akan mengedarkan pekeliling mengenai kod pakaian ini tidak lama lagi kepada semua premis perniagaan, disusuli dengan tindakan menghantar pegawai-pegawainya (disebut dalam laman web itu sebagai Islamic preachers) untuk menasihati pekerja-pekerja wanita Muslim supaya berpakaian secara Islam.

Kembali kepada niat DAP mahu mengheret MPKT ke mahkamah bila peraturan baru kod pakaian ini dilaksanakan, soalan pokok yang perlu kita jawab ialah apakah sebuah parti politik ada locus standi memfailkan tindakan undang-undang sedemikian itu di mahkamah?

Sekalipun peraturan itu dilaksanakan nanti, pastinya bidang kuasa MPKT terhad kepada kawasan yang terletak di bawah jagaannya sendiri. MPKT tidak ada kuasa mengenakan peraturan itu kepada mereka yang tinggal dan bekerja di luar kawasan bandar Kuala Terengganu.

Jadi bagaimana pula dengan tempat lain di negeri itu pada masa ini belum lagi menggubal dan menguatkuasakan peraturan yang serupa?

Apakah PBT di kawasan-kawasan lain itu (seperti Dungun atau Kemaman) akan mewujudkan peraturan yang serupa?

Saya jangka beberapa perkara perlu berlaku terlebih dahulu sebelum kes mencabar peraturan ini boleh sampai ke mahkamah.

Pertama, peraturan baru ini perlu dikuatkuasakan terlebih dahulu (diwartakan). Kedua, selepas itu ada pihak-pihak tertentu yang sengaja enggan atau ingkar mematuhinya lalu tindakan undang-undang diambil oleh MPKT ke atas majikan yang terlibat.

Ketiga, majikan yang dikenakan tindakan ini (didenda atau lesen perniagaannya ditarik balik) merasa terkilan dengan tindakan MPKT itu lalu memutuskan untuk melawan tindakan itu.

Di peringkat inilah nanti baru majikan berkenaan mendapatkan khidmat guaman (daripada sesiapa sahaja yang sanggup mewakilinya, tidak semestinya peguam veteran DAP itu) untuk mencabar peraturan ini di mahkamah.

Selepas kes itu difailkan, kita akan lihat pula apa alasan atau asas perundangan yang akan dikemukakan oleh peguam MPKT untuk berhujah kepada mahkamah bahawa peraturan yang mengandungi kod pakaian itu sah di sisi undang-undang dan sama sekali tidak bertentangan dengan apa-apa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ya, perjalanannya masih jauh. Tidak semudah yang diperkatakan oleh Timbalan Pengerusi DAP itu.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP