Tuesday, January 13, 2004

Dipetik dari utusanonline.com
10 novel terlaris di dunia tahun 2003
Oleh Shahrom TM Sulaiman

Tahun 2003, seperti yang dilaporkan dalam Publishers Weekly, novel termasuk karya adalah bahan bacaan yang paling banyak terbit dan dibaca. Di Amerika Syarikat (AS) saja, American Publishers Association mencatat, setiap bulan ada 10 novel baru yang terbit dan ia belum termasuk dari belahan Eropah dan negara-negara Asia seperti India dan Hong Kong. Jumlah penerbitan ini mengalahkan buku-buku bertemakan politik yang hanya terbit sekitar 4-5 judul dalam sebulan di AS.

Di samping itu di AS sendiri, banyak hadiah penghargaan diberikan kepada para penulis sama ada yang muda atau veteran. Setiap tahun sekurang-kurangnya lima hadiah penghargaan berprestij bagi karya sastera dan fiksyen yang disediakan. Antaranya adalah Pulitzer dan National Book's Award.

Dengan jumlah ganjaran yang sangat besar (ada yang mencapai AS$70 ribu) penghargaan yang diperoleh penulis AS mungkin hanya berbeza sedikit dengan juara tenis Grand Slam. Ini belum diambil kira wang yang masuk ke kocek penulis jika novel atau karyanya laris di pasaran.

Tidak hairanlah, jika Christopher Paolini, seorang remaja AS yang baru saja meraih untung daripada novelnya, Eragon memutuskan tidak menerima tawaran biasiswa untuk kuliah dan memilih untuk melanjutkan sekuel novelnya.

Pada tahun 2003, sejumlah laman mencatatkan novel-novel terbitan AS yang terlaris di pasaran dunia. Meskipun kebanyakan berasal dari AS, bukan sedikit penulis yang berasal dari Britain, Kanada dan Afrika Selatan, yang bukunya diterbit ulang di AS berjaya menerima hadiah penghargaan.

Daftar novel terlaris dunia disusun oleh laman buku terkemuka Amazon.Com berdasarkan bancian dari 10 media besar dengan segmen buku yang paling banyak dibaca, antaranya Boston Globe, New York Times, Wall Street Journal, Los Angeles Times, Publishers Weekly dan Christian Science Monitor.

Bancian ini digabungkan dengan catatan dari laman Booklist yang mencatat peringkat penjualan buku di beberapa benua termasuk Asia. Berikut diperturunkan daftar 10 buah novel terlaris dunia.

1. Namesake
Novel ini yang dihasilkan oleh penulis muda berasal dari India, Jhumpa Lahiri yang dianggap oleh New York Times sebagai Buku tahun ini yang laris di pasaran dalam masa sebulan selepas pelancarannya. Novel ini menerima penghargaan Pulitzer Prize dan Hemingway Award. Ia bercerita tentang Gogol Ganguli, seorang pelajar yang terperangkap dalam identiti budaya - separuh India dan separuh AS.

New York Times bersama Publishers Weekly dan Booklist menyifatkan buku ini sangat kuat dari segi penceritaan, menyatukan dengan baik unsur komedi dengan tragedi.

2. The Secret Life Bee
Novel karya Sue Monk Kidd ini mengisahkan seorang gadis Lily Owen yang menderita tekanan psikologi kerana ditinggalkan ayah ketika dia masih bayi. Lily diasuh oleh ibunya, Deborah. Sedikit sekali bayangan tentang ibu yang diingatinya kecuali gambaran tentang `Black Madonna'. Malangnya ibunya mati tertembak kerana Lily bermain dengan senjata api. Lily kemudian menyesal dan menyusuli identiti ibunya yang ternyata seorang perempuan kulit hitam. Novel dengan latar wilayah South Carolina pada era 60-an dianggap oleh kritikus sastera sebagai karya epik yang menyajikan gambaran konflik ras.

3. The Da Vinci Code
Novel karya Brown ini bercerita tentang terbunuhnya Pengarah Muzium Lovre, Perancis di balkoni muzium. Tertuduhnya adalah seorang profesor Harvard dan pembaca kod rahsia. Kedua-dua tertuduh harus membuktikan mereka tidak bersalah. Penyelidikan menyeret mereka pada penemuan 2000 kod rahsia yang disembunyikan di sebalik lukisan `Jamuan terakhir'.

4. To The Nines
Ini merupakan buku kesembilan daripada siri Stephanie Blum. Penulisnya Janet Evanovich menulis ceritanya dengan bahasa ringan dan mengalir, serta tema roman yang sangat biasa. Siri ini terbukti disukai dan selalu memancing rasa ingin tahu pembaca. Entertainment Weekly dan Wall Street Journal menempatkan novel ini sebagai ``Buku yang paling banyak dibaca di AS.''

5. The Five People You Meet in Heaven
Novel ini tulisan Mitch Albom bertemakan kehidupan setelah mati yang terus mengundang rasa ingin tahu. Albom yang terkenal melalui kolum dan siaran radionya Tuesday with Morie, menceritakan Eddie yang bekerja di tempat `Hiburan Ruby Point' yang meninggal dunia setelah menyelamatkan seorang gadis dari kemalangan. Dalam kehidupan setelah mati, Eddie bertemu dengan lima orang yang sudah menunggunya. Albom memang pakar bercerita dan membuat pembaca menemui keasyikan tersendiri ketika membaca novel ini.

6. Life of Pi
Novel ini dicalonkan dalam kategori penghargaan `Booker Prize' 2003. Karya Yan Matel yang mengajak pembaca ke dunia `magis', perjuangan, dan keteguhan hati anak seorang kedai haiwan, Pi Patel yang dibesarkan di Pondicherry, India. Keluarga Pi bersama haiwan peliharaan mereka kemudian berpindah ke Kanada. Dalam perjalanan, kapal kargo mereka mengalami kemalangan di Lautan Pasifik. Pi terperangkap di kapal bersama seekor zebra, orang utan yang mabuk laut, dan harimau benggal bernama Richard Parker. Setelah puas berjuang, hanya Pi dan Richard Parker yang berjaya menyelamatkan diri dan meneruskan perjalanan yang mengambil masa 227 hari. Publishers Weekly menyebut novel ini sebagai `berkarakter dan membuat pembaca merenung akan keberadaan Tuhan.''

7. The Devil Wears Prada
Novel karya Lauren Weisberger menggambarkan kehidupan Andrea Sachs, seorang perempuan egois yang bekerja di sebuah majalah fesyen. Sachs digambarkan sangat pintar tetapi sukar bekerjasama dan keras kepala.

8. Ten Little Indians
Ia sebuah novel yang unik kerana mengisahkan tentang 10 cerita berasingan daripada 10 orang India. Mereka bekerja sebagai guru, peguam dan pegawai perhutanan yang harus berjuang untuk tampil seperti kebanyakan orang berkulit putih. Penulisnya, Sherman Alexie menggambarkan kejanggalan, ironi dan pedihnya menjadi orang India di tengah upaya mereka agar diterima dalam kehidupan orang kulit putih.

9. The Lake House
Novel fiksyen ilmiah ini ditulis oleh James Patterson yang bercerita tentang doktor yang memburu enam anak ajaib untuk projek ilmiahnya. Keenam-enam anak itu adalah hasil eksperimen para ahli biologi yang menggabungkan DNA manusia dan burung sebelum kembali ditanamkan di rahim ibu mereka. Akibatnya, mereka memiliki sayap dan mampu terbang. Suasana makmal yang `suspen' dan jalan cerita yang padat membuat novel ini seperti sebuah cerita nyata.

10. The Passion of Reverend Nash
Pengarang, Rachel Basch menceritakan tentang pendeta Nash yang menjadi anggota Hutchinson Congregational Church di Connecticut, yang berbeza daripada pendeta yang lain. Pendeta perempuan ini bertubuh tinggi, mengenakan pakaian yang `salah' dan bersikap berani. Novel ini disebut oleh Christian Science Monitor sebagai `berani dan mencabar' kerana mengupas hal-hal sensitif dengan cara yang menyenangkan.

- Shahrom TM Sulaiman ialah pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM)

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP