Thursday, October 16, 2003

Sejarah dari kacamata Chin Peng (Bhgn 4)
Oleh: Lee Ban Chen, Malaysiakini.com

Rancangan Briggs paksa PKM berundur ke sempadan Malaysia-Thai.

"Ini tidak bermakna kami menolak perjuangan bersenjata. Kami menganggap ia tidak dapat dielakkan. Justeru itu kami menyelenggarakan tempat-tempat sorokan senjata di dalam hutan. Namun dalam minggu-minggu penghujung tahun 1947, kami membayangkan jangka masa 8 hingga 10 tahun sebelum kami terpaksa melancarkan perang gerila. Rancangan terburu-buru untuk memulai perjuangan bersenjata tidak pernah berada dalam benak kami."(ms 193)

Berlatar-belakangkan senario tersebut, kenapa kejadian pembunuhan tiga orang peladang orang putih di Sungai Siput boleh berlaku? Mengikut Chin Peng, ini ada kena-mengena dengan taktik baru yang dipakaiguna oleh PKM di bawah pengaruh Laurence Sharkey, Setiausaha Agung Parti Komunis Australia (PKA).

Kejayaan PKM dalam barisan perjuangan pekerja untuk menentang tindasan dan pemerasan tuan-tuan peladang orang putih yang kembali menjajah negara kita, tidak dibiarkan oleh penjajah British. Malah secara senyap, mereka telah mengizinkan kekerasan digunakan oleh samseng-samseng upahan untuk mensabotaj dan menggagalkan pemogokan pekerja.

PKM tidak menggunakan taktik samseng lawan samseng, kerana takut terperangkap oleh penjajah British untuk mengharamkan PKM dengan dalih parti itu menggunakan cara tidak halal untuk menentang BMA.

Tetapi lawatan Laurence Sharkey dalam Mac 1948 memberi ilham baru kepada PKM, kerana bila ditanya begaimana PKA menangani anasir-anasir yag mensabotaj pemogokan, jawaban beliau ialah PKA menghapuskan mereka jika di desa.

Maka pada Mac 1948, suatu arahan baru yang diilhamkan Laurence Sharkey pun dikeluarkan PKM. Menurut Chin Peng: "Saya percaya kami telah melakukan kesalahan besar dalam mendraf arahan berkaitan kerana gagal mentakrifkan secara tepat mengenai sasaran-sasaran yang hendak dihapuskan.

Tetapi ada juga kesalahan-kesalahan lain, yang membayangkan kesilapan dalam pemantauan. Bila arahan disampaikan ke bawah, interpretasi peribadi telah dilakukan, dan berasaskan interpretasi peribadi itu, tindakan yang tidak harus berlaku, telah diambil."

Perjuangan bersenjata

Interpretasi radikal mungkin juga dipengaruhi oleh keputusan Jawatankuasa Pusat PKM pada tanggal 5 Mei 1948 untuk menubuhkan pasukan nukleus gerila di setiap negeri sebagai pelaksanaan peringkat permulaan perjuangan bersenjata.

Menurut Chin Peng, beliau dan Jawatkuasa Pusat PKM tidak pernah memberi arahan supaya tiga peladang orang putih di Sungai Siput itu dibunuh. Ia dilakukan atas inisiatif sepasang suami isteri yang ingin membalas dendam terhadap penjajah British.

Tambah beliau: "Peristiwa Sungai Siput merupakan kesalahan serius pihak kami. Pembunuhan terbabit menggagalkan rancangan dan merosakkan usaha kami untuk mengundurkan kader-kader kami ke dalam jaringan bawah tanah yang tersusun baik, dan mengundurkan tentera gerila kami ke pangkalan-pangkalan sulit dalam hutan."

Dengan lain perkataan, penjajah British telah dengan tidak teragak-agak mengambil kesempatan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak PKM untuk mengisytiharkan Darurat pada 18 Jun 1948, dan pada 20 Jun 1948, parti itu dan badan-badan barisan bersatunya terus diharamkan dengan penangkapan beramai-ramai di merata negara.

Chin Peng berjaya melarikan diri 20 saat sebelum ketibaan tentera British untuk menahan beliau di sebuah banglo kawannya di Kampar, dan terpaksa memimpin perang gerila anti-British yang dicetuskan oleh pihak musuh sebelum pihak PKM bersiap sedia untuk melancarkannya.

Jelas sekali, sejak permulaan lagi, PKM sudah berada dalam kedudukan yang amat pasif dan tidak menguntungkan demi mempertahankan kewujudan parti itu dan pasukan gerilanya daripada dihapuskan oleh serangan hendap yang dicetuskan oleh tentera British .

Dalam keadaan yang amat menyukarkan itu, pihak PKM tidak berupaya untuk menubuhkan sebarang pangkalan gerila atau kawasan pembebasan sebagai taktik klasik perang gerila yang dianjurkan oleh Mao Tse Tung.

Perang tercetus

Ura-ura untuk menubuhkan dua kawasan pembebasan - satu di selatan dan satu lagi di utara - juga tidak dapat dilaksanakan. Satu pengecualian mungkin Pekan Gua Musang yang pernah ditawan oleh gerila PKM dan diisytiharkan sebagai kawasan pembebasan pertama, sebelum pekan itu dirampas kembali oleh pihak British lima hari kemudian.

Namun ini tidak bermakna perang yang dicetuskan tanpa diisytiharkan oleh pihak British itu, kurang hebatnya. Episod pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British (High commissioner British) di Malaya pada 5 Oktober 1951 oleh satu pasukan gerila sewaktu dalam perjalanan ke Bukit Fraser, merupakan kejayaan pihak PKM yang tercemerlang sekali, terutamanya dari segi psikologi; sungguhpun sasaran yang amat berharga ini tidak diketahui sebelumnya.

Beberapa kesilapan yang dilakukan oleh gerila PKM telah dikaji semula dan diakui dalam Resolusi tanggal 1 Oktober 1951, yang merupakan "suatu refleksi terhadap pelaksanaan Rancangan Briggs yang tidak dapat dinafikan kejayaannya dan kesukaran yang dikenakan oleh rancangan tersebut terhadap kami.

"Kami akui tentang banyak kesilapan yang menjejaskan hubungan rapat kami dengan rakyat, terutamanya rakyat kelas pertengahan. Kami mengarahkan pasukan kami menghentikan perbuatan menetak pokok-pokok getah, menyita kad-kad pengenalan, membakar bas dan menyerang keretapi awam."

Menurut Chin Peng, Rancangan Briggs yang dikemukakan pada pertengahan tahun kedua tahun 1950 begitu berkesan sekali, pada pertengahan tahun pertama tahun 1951 pembekalan makanan telah dipengaruhi . Tidak lama kemudian, pihak PKM telah merealisasi bahawa "kami (mereka) telah menghadapi suatu krisis hidup".

Untuk �melapar- matikan� pasukan gerila, penjajah British tergamak menghancurkaan rumah halaman dan kebun-kebun yang diteroka oleh ratusan ribu rakyat desa yang dianggap penyokong gerila untuk dikumpulkan ke beberapa ratus "kem pengasingan "(concentration camps) � kampung baru sekarang. Keganasan dan ketidak-perikemanusiaan penjajah British telah terdedah sebulat-bulatnya oleh Rancangan Briggs itu.

Rancangan Briggs itu sebenarnya melanggar hak-hak asasi ratusan ribu rakyat desa untuk tinggal di rumah sendiri, bekerja di kebun sendiri, bergerak secara bebas, dan hidup tanpa disekat dan dirisik setiap masa. Hartabenda kebebasan dan keselamatan mereka juga terancam setiap masa.

Ratusan ribu rakyat dihukum pada masa yang sama hanya kerana mereka disyaki menyokong gerila PKM.Adakah angkara ini secocok dengan apa yang dinamakan semangat perundangan yang diagung-agungkan penjajah British selama ini?

Keganasan British

Keganasan tentera British tidak terhad kepada pelanggaran hak-hak asasi rakyat Malaya saja, mereka sebenarnya telah membunuh secara beramai-ramai penduduk awam yang tidak berdosa.

Apabila berita pembunuhan beramai-ramai My Lai di Vietnam oleh tentera Amerika Syarikat pada 16 Mac 1968, menarik perhatian dunia, akhbar, The People - setelah mendapat maklumat dan menemuduga beberapa bekas anggota yang berkhidmat di tempat yang berkaitan - melapor di muka depannya pada 1 Februari 1970, bahawa pada 12 Disember 1948, 25 pekerja Batang Kali dibunuh beramai-ramai secara kejam oleh pasukan Scots Guards British.

Dua puluh dua tahun kemudian, BBC dalam program "Inside Story", telah mengisah semula pembunuhan kejam tersebut bersama tiga bekas anggota Scots Guards yang dibawa ke Batang Kali, tempat berlakunya tragedi tersebut.

"Kenyataan mereka telah menjelaskan bahawa tiada seorangpun daripada orang Cina yang ditembak mati itu, bersenjata atau cuba hendak melarikan diri."

Pada 28 April 1952, akhbar komunis London The Daily Worker - telah memuat foto yang mengerikan di mana seorang komando Marin Diraja memegang kepala gerila yang telah dikerat. Foto diambil untuk peringatan. Tajuk foto itu berbunyi: "Inilah perang di Malaya".

Serah diri

Dalam satu telegram, Pesuruhraya Tinggi British ke Malaya, Templer kepada Lyttleton, kata beliau: "Perang dalam hutan bukan sesuatu yang menarik, kami perlu mengenalpasti identiti komunis yang sudah mati ."

Beliau tidak menafi kepala gerila perlu dikerat untuk mengenal pastikan identitinya! Perbuatan kejam ini dikutuk oleh media British sendiri.

Menurut Chin Peng, dalam tahun-tahun Darurat, semua pasukan gerila PKM diberi arahan untuk melayan musuh yang ditahan secara berperikemanusiaan, mengikut prinsip perang gerila Mao Tse Tung. Musuh yang cedera pernah diberi rawatan. Mereka yang ditahan, adakalanya dilepaskan setelah dilucutkan senjata.

Bagaimanapun, di bawah tekanan Rancangan Briggs yang memutuskan bekalan makanan pasukan gerila PKM dan tekanan ketenteraan British yang yang bertubi-tubi, beberapa pemimpin PKM telah membawa pasukannya untuk menyerah diri secara beramai-ramai, dan yang lainnya, ramai yang gugur dalam pertempuran.

Hanya mereka yang berundur secara strategis ke sempadan Thai-Malaysia dapat bertapak di sana, dan meneruskan perjuangan mereka sehingga Perjanjian Damai dicapai pada 2 Disember 1989, yang memungkinkan mereka meletakkan senjata dan kembali ke masyarakat secara bermaruah. (bersambung)

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP