Thursday, October 16, 2003

Sejarah dari kacamata Chin Peng (Bhgn 3)
Oleh: Lee Ban Chen, Malaysiakini.com

Siapa mulakan keganasan - PKM atau British? "Tulisan ahli sejarah barat mengenai Darurat selalunya memulai kisahnya dengan pembunuhan tiga peladang British di Sungai Siput pada Jun 1948, seolah-olah keganasan bermula di situ. Memang mudah ia dijadikan sebagai permulaan, tetapi ianya tidak tepat dari segi sejarah."(ms. 142)

Berikutan itu, persoalan siapakah yang terlebih dahulu memulakan keganasan, memang patut dikaji dengan tepat mengikut apa yang sebenarnya berlaku. Mengikut Chin Peng, lama sebelum berlakunya peristiwa di Sungai Siput, tentera British telahpun mula melakukan pembunuhannya, antaranya:

Seawal 21 Oktober 1945 lagi, berpuluh-puluh ribu rakyat yang mengadakan tunjuk perasaan di Sungaii Siput, Ipoh dan Batu Gajah, telah ditembak oleh tentera British, yang mengorban 10 orang di Sungai Siput dan tiga lagi di Ipoh.

Dua hari sebelum mogok kerja umum diadakan di bawah arahan PKM pada 15 Februari 1946, BMA (British Military Administration) telah menahan 24 ahli PKM di Singapura kerana dituduh terlibat dalam komplot menganjurkan mogok kerja.

Kejadian ini menyebabkan berlakunya bantahan besar-besaran di Singapura. Dan dalam suatu tunjuk perasaan, tentera British telah menembak mati dua orang, dan mencederakan 19 orang lagi.

Pada 15 Februari, tentera British telah menembak mati 15 orang yang menghadiri perhimpunan menyokong mogok kerja terbabit di Labis, Johor.

Ditembak mati

Di Mersing, beberapa hari kemudiannya, lima orang lagi ditembak mati oleh tentera British ketika menyertai perhimpunan yang diadakan dengan tujuan yang sama.

Semua kejadian tersebut sudah memadai untuk membuktikan bahawa keganasan pembunuhan sebenarnya dimulai oleh tentera British, jauh lebih awal daripada apa yang berlaku di Sungai Siput pada bulan Jun 1948.

Padahal, garis politik PKM bekerjasama dengan penjajah British yang kembali ke tanahair kita selepas Jepun menyerah diri pada 16 Ogos 1945, telah ditetapkan melalui suatu dokumen yang dikeluarkan oleh Lai Te pada 25 Ogos 1945, yang dikenali sebagai Program 8 Perkara.

Apabila Chin Peng membaca draf dokumen tersebut sebelum ia dikeluarkan, hatinya "tenggelam" kerana "saya (beliau) menyedari program tersebut tidak lain tidak bukan, suatu tindakan mengecewakan bertujuan untuk memuaskan pihak British yang kembali". Ia merupakan "perubahan haluan 180 darjah " daripada arahan Lai Te 10 bulan sebelumnya, yang dikenali sebagai Manifesto 9 Perkara.

Antara lain perkara 1, 5 dan 9 dalam Manifesto 9 Perkara itu, merupakan garis politik PKM yang terpenting sekali, masing-masingnya berbunyi:

Perkara 1: (Memperjuangkan) kekalahan fasis Jepun dan penubuhan Republik Malaya;

Perkara 5 : Mengorganisasi semula gerila Anti-Jepun Malaya ke dalam Pasukan Tentera Nasional untuk pembelaan Malaya.

Perkara 9: Usaha bersepadu dengan Rusia dan China untuk menyokong perjuangan pembebasan di Timur Jauh.

Gerila Anti-Jepun

Perkara 1 dalam Program 8 Perkara pula berbunyi: "Menyokong Rusia, China, Britain dan Amerika Syarikat dalam satu organisasi baru untuk keselamatan dunia.". Nyata sekali, dasar sokongan kepada perjuangan pembebasan di Timur Jauh telah dikhianati.

Perkara 2 dalam Program tersebut pula berbunyi: "Menubuhkan sebuah kerajaan demokratik di Malaya melalui seluruh pengundi yang terdiri daripada semua kaum". Dasar penubuhan Republik Malaya telah ditinggalkan, dan diganti dengan perjuangan berperlembagaan untuk menubuhkan sebuah kerajaan demokratik.

Perkara 9 dalam Program tersebut juga meninggalkan dasar mengorganisasi semula gerila Anti-Jepun ke dalam Pasukan Tentera Nasional untuk pembelaan Malaya. Dengan lain perkataan, Lai Te (kanan) telah mengkhianati perjuangan rakyat Malaya dengan bekerjasama dengan penjajah British supaya gerila Anti-Jepun dibubarkan secara terbuka dan unit pasukan bersenjata PKM, juga dibubarkan secara sulit.

Justeru itu, PKM telah kehilangan suatu peluang emas untuk mengusir penjajah British demi kemerdekaan nusa dan rakyat Malaya selepas Jepun menyerah diri. PKM yang telah melucutkan senjata itu, sebaliknya memberi peluang kepada penjajah British untuk kembali dan bertapak, dan seterusnya mengisytiharkan Darurat, memaksa PKM kembali ke hutan untuk memulakan perjuangan bersenjata anti-British .

Meninjau kembali, jika PKM tidak dikhianati Lai Te, besar kemungkinan, dengan semangat revolusi yang berkobar-kobar ketika itu, parti itu telah bergabung dengan tentera Jepun di Malaya yang enggan menyerah diri kepada tentera British, sebaliknya menawar untuk bergabung dengan gerila PKM demi menentang pasukan British.

Panglima Jepun

Padahal, pembantu kanan Chin Peng, Ai Ker di Perak telah secara langsung berunding dengan panglima Jepun daripada Markas Besar Jepun di Taiping ketika itu, yang sebenarnya mengawal seluruh pasukan Jepun di Malaya dan Singapura.

Ai Ker, pada prinsipnya, tanpa ragu-ragu lagi memberi jaminan bahawa PKM akan meneruskan perjuangannya, kali ini terhadap tentera penjajah British. Beliau memberi tahu panglima Jepun itu, pihaknya memerlukan beberapa hari untuk memperincikan kerjasama itu.

Menurut Chin Peng: "Maka, bila saya balik dan memberitahu Ai Ker bahawa segala-galanya telah berubah, beliau amat terkejut."

Tambahnya: "Penyerahan diri Jepun secara tiba-tiba telah memberi kami suatu peluang keemasan untuk memanipulasi peristiwa demi faedah kami. Namun kami tidak mengambil peluang itu, sebaliknya kami membuangkan peluang itu!"

Perlu diketahui juga pada masa itu, nasionalis Melayu yang bekerjasama dengan pihak Jepun telah menubuhkan tiga pasukan para militer - pertama Heiho yang ditubuhkan pada bulan Jun 1943, untuk membekali perkhidmatan buruh kepada unit Jepun.

Kedua - Giyu Gun atau pasukan sukarelawan yang merupakan pasukan pertahanan diri dan pasukan simpanan. Ketiga, Giyu Tai yang merupakan pasukan sukarelawan simpanan. Tatkala Jepun menyerah diri, ketiga-tiga pasukan itu mempunyai 2,000 anggota.

Nasionalis anti-British

Jika mereka dapat digabungkan dalam perjuangan kemerdekaan anti-British, ia tentu akan mengimbangi komposisi tentera anti-British dari segi kaum, dan ciri/imej nasionalis anti-British sudah barang tentu akan lebih ditonjolkan. Sayang sekali kesemua ini hanya boleh diandaikan, dan sejarah tentu tidak mengambil kira semua itu!

Selepas itu, PKM pun bertumpu dalam gerakan buruh untuk memperjuangkan kebajikan kaum pekerja. Dalam tahun 1947 saja, 300 mogok kerja telah disusun oleh PKM di merata tempat, dengan anggaran kehilangan 700,000 hari kerja. Angka ini sudah dapat menjelaskan bagaimana hebatnya PKM dalam memimpin kaum pekerja dalam perjuangan mereka.

Namun, justeru seperti apa yang disimpulkan oleh Ah Dian, ahli politburo PKM masa itu, ketika berucap kepada kawan-kawan seperjuangannya setelah Persekutuan Malaya ditubuhkan pada 1 Februari 1948:

"Saya rasa kita sudah cuba dengan sedaya upaya. Kita sudah menggunakan sebarang cara aman untuk memajukan matlamat massa. Kita sudah menubuhkan organisasi-organisasi barisan bersatu. Kita sudah mengawal tenaga seluruh ladang, begitu juga halnya di bidang lombong, pelabuhan, pengangkutan awam dan di semua bidang perkhidmatan yang penting.

"Namun, kita tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap walau satu fasal pun dalam Perlembagaan yang akan dikuatkuasakan pada saat ini. Sekiranya kita terus seperti demikian, di manakah masa hadapan untuk gerakan kita?"

Dalam kebuntuan seperti yang tersebut di atas, barulah PKM mulai memikirkan persediaan untuk melancarkan perjuangan bersenjata pada masa yang dianggap sesuai. (bersambung)

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP