Wednesday, October 15, 2003

Sejarah dari kacamata Chin Peng (Bhgn 2)
Oleh: Lee Ban Chen
Siapa pengganas - PKM atau penjajah British?

"Bila Darurat dicetuskan, kami mulai dilabel British sebagai �penjahat�. Selanjutnya, kerana penjajah berasa mereka memerlukan istilah yang lebih beremosi, maka diarahkan pula supaya kami digelar pengganas komunis.

"Bila kami bekerjasama dengan British ketika zaman pendudukan Jepun - pada asasnya untuk kepentingan British - kami bukan lagi penjahat atau pengganas. Malah kami dipuji dan diberi anugerah." (ms 105)

Gerangan siapakah yang lebih layak digelar pengganas - Parti Komunis Malaya (PKM) atau penjajah British - memang merupakan masalah utama yang patut ditangani oleh Chin Peng .

Justeru itu, dalam memoirnya, digariskan bagaimana PKM telah disabotaj dan ditindas oleh cawangan khas penjajah British selepas ia ditubuhkan; bagaimana parti itu telah bekerjasama dengan penjajah British melalui SOE (Special Operations Executive) dan SEAC (South East Asia Command) sewaktu pendudukan Jepun, atas inisiatif pihak British.

Dan bagaimana pula parti itu mula dianggap oleh penjajah British sebagai penjahat dan pengganas setelah Darurat diisytiharkan untuk mengharam dan membasmikan pergerakan parti itu. Biar kita imbas kembali secara ringkas peristiwa-peristiwa tersebut mengikut pendedahan memoir Chin Peng.

Mengikut Chin Peng, PKM ditubuhkan pada 30 April 1930 di sebuah ladang getah berhampiran bandar Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kongres penubuhan PKM itu telah dihadiri wakil Komunis Antarabangsa (Comintern), Nyuyen Ai Quoc (lebih dikenali sebagai Ho Chi Minh, pemimpin Viet Minh dari Vietnam), dan pemimpin-pemimpin Jawatankuasa Sementara Nanyang, Parti Komunis China.

Diusir British

Tidak hairanlah PKM dianggap musuh ketat penjajah British, kerana anti-kolonialisme dan anti-imperialisme memang menjadi sifat semulajadi parti komunis, tidak kira di mana sekalipun ia berada.

Justeru, British telah menubuhkan cawangan khas pada tahun 1933. Statistik rasmi menunjukkan, di Singapura saja - antara tahun 1931-1935 - polis British telah melancarkan 432 serbuan ke atas PKM dan menahan 226 orang yang disyaki anggotanya. Kebanyakan mereka yang ditahan ini kemudiannya diusir ke negeri China.

Dengan bantuan ejennya, Lai Te (cerita Lai Te, ejen tiga lapis, akan dikisahkan dalam bahagian yang lain) yang berjaya menyelulup ke dalam PKM pada penghujung tahun 1932, polis British berjaya menahan kelima-lima pemimpin PKM yang merupakan ahli Jawatankuasa Bandar Singapura, badan pimpinan tertinggi di Singapura pada tahun 1934.

Kekosongan kepimpinan di Singapura itu, telah memberi peluang kepada Lai Te untuk menyandang jawatan penting dalam Jawatankuasa Bandar Singapura, sebelum dilantik menganggotai Jawatankuasa Pusat PKM.

Akhirnya beliau berjaya merampas tampuk pimpinan PKM selepas dilantik menjadi setiausaha agungnya pada tahun 1938 hinga dia menghilangkan diri pada penghujung Januari 1947.

Menerusi sabotaj berterusan Lai Te (kanan), kewujudan PKM menghadapi ancaman serius, sungguhpun pada awal 1941, jumlah ahli tegarnya masih melebihi 3,000 orang.

Perang gerila

Namun, perkembangan politik dunia telah mengubah senario politik Malaya dengan drastik sekali. Pada 22 Jun 1941, Jerman yang telah mewujudkan pakatan dengan Jepun melalui Perjanjian Berlin pada 27 Septermber 1940, telah menyerang Rusia melalui Operasi Barbarossa

Perkembangan terbaru ini memungkinkan PKM bekerjasama dengan British dalam perjuangan anti-fasis. Justeru, Lai Te mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan kepada pihak British supaya menawar untuk memberi latihan ketenteraan kepada ahli-ahli PKM.

Cadangan ini ditolak dengan angkuh sekali oleh Governor British di Singapura, Sir Shenton Thomas. Tetapi, enam bulan kemudian, beliau terpaksa menjilat balik penolakannya itu apabila tercetusnya perang Pasifik.

Pada 8 Dis 1941, Angkatan Tentera Darat ke-25 Jepun pimpinan Lt-Jen Tomoyuki Yamashita, mendarat di Singora dan Pattani di selatan Siam dan di Kota Bahru. Sembilan minggu kemudian, tanpa penentangan dan pertempuran sengit, tentera British telah menyerah diri secara memalukan pada 15 Feb 1942.

Pada masa yang sama, PKM telah membuktikan sifat patriotiknya kerana bersedia untuk memainkan peranan utama dalam melancarkan perang gerila anti-Jepun dalam keadaan serba kurang untuk menghadapi krisis nasional akibat pencerobohan tentera Jepun.

Setelah menyedari tentera British tidak berupaya untuk menentang kemaraan tentara Jepun, British pun bersetuju untuk melatih 15 sukarelawan yang disediakan oleh Lai Te di pusat latihan ketenteraan Markas Besar Tanjong Balai mulai 22 Dis 1941.

Latihan ketenteraan

Selanjutnya, pegawai SOE British telah mencapai persetujuan dengan PKM Kuala Lumpur untuk melatih 15 unit gerila. Pusat Latihan itu ditubuhkan di Sekolah Cina Chunji di mana lebih 100 sukarelawan menjalani latihan ketenteraan di situ.

Pada 10 Jan 1942, ketumpukan pertama Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya telah ditubuhkan di Serendah, dan dalam masa yang singkat, gerakan gerila itu telah merebak ke seluruh negara.

Yang ironisnya ialah sebahagian besar senjata Tentera Anti-Jepun rakyat Malaya dipungut daripada senjata-senjata yang ditinggalkan oleh tentera British ketika melarikan diri!

Namun, mengikut Chin Peng, ahli sejarah barat, termasuk F Spencer Chapman, penulis The Jungle is Neutral yang dianggap sebagai tulisan terbaik mengenai kehidupan gerila di Malaya sewaktu pendudukan Jepun, juga turut mengandungi prasangka terhadap orang Asia .

Umpamanya, bagi Chapman dan penulis barat yang lain, orang Asia - baik Melayu, Cina atau India � sewaktu pendudukan Jepun, adalah pengkhianat belaka . Mereka dianggap tidak berpengetahuan, terutamanya dalam aspek peperangan.

Namun, ketika itu hanya orang Asia pimpinan PKM sahaja yang merupakan satu-satunya tenaga ketenteraan yang melancarkan perang gerila, menentang tentera Jepun.

Menyeludup tentera British

Malah, Major John LH Davis, yang dihantar oleh Markas Besar SEAC yang berpangkalan di Ceylon (Sri Lanka), dan dua dua lagi pegawai penting British - Captain Richard Broome dan Major Frederick Spencer Chapman yang beroperasi di Malaya - setelah pendudukan Jepun, juga terpaksa mencari bantuan PKM setelah beliau dan pasukannya dibawa oleh kapal selam ke Segari yang terletak berhampiran Tanjong Hantu dan Pulau Pangkor.

PKM Perak pimpinan Chin Penglah yang berikhtiar dan mengambil risiko untuk menyeludupkan mereka - "orang putih"yang begitu berbeza sekali daripada penduduk tempatan - melalui jalan laut dan juga darat ke Khemah Belantan, Perak yang telah dibina oleh gerila PKM, khas untuk digunakan oleh Davis dan pasukannya.

Pada Disember 1943, satu pertemuan bersejarah di antara pihak SEAC yang diwakili Davis, Broome, Chapman (dari SOE) dan Tan Choon Lim (Lim Bo Seng) (gambar) dan pihak PKM yang diwakili Chang Hong (Lai Te) dan Chin Peng, telah diadakan di Khemah Belantan di mana syarat-syarat kerjasama di antara PKM dan SEAC telah dicapai. Dokumen asal yang tertulis di atas kertas buku latihan itu masih disimpan di Jabatan Rekod Awam, Kew, Britain.

Davis dan pasukannya turut membawa sebuah radio pemancar yang agak besar dan berat , tetapi mereka tidak berupaya untuk membawanya ke Khemah Belantan.

Pasukan Chin Peng pula membantu untuk menyimpan dan mengangkut komponen radio pemancar itu yang telah dipisahkan, ke Belantan, lalu memasangkannya semula. Gerila Chin Peng menggunakan satu tahun berdepan dengan pelbagai risiko untuk menjalankan tugas tersebut!

Sumbangan besar

Namun, radio pemancar yang dipasang semula itu masih tidak berfungsi kerana terkena air dan kerosakan dinamonya. Tetapi tanpa radio pemancar itu, pasukan 136 sudah pasti tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan markas besarnya di Colombo.

Ini bermakna mereka terpaksa menjalankan operasi tanpa maklumat, tanpa bekalan senjata, tanpa perubatan, tanpa wang bantuan dan tanpa segala-galanya.

Memandangkan pentingnya radio itu berfungsi, Chin Peng terpaksa berikhtiar sekali lagi untuk memperbaikinya. Bayangkan, dalam keadaan perang, di manakah hendak dicari dinamo?

Bagaimanapun, selepas 14 bulan radio pemancar B.MK 11 itu dipungah di Jenderatta, ianya didapati berfungsi semula secara "kebetulan" pada 1 Feb 1945!

Ini merupakan suatu "break-through" yang amat merangsangkan, yang memberi sumbangan besar kepada pasukan 136 dan juga gerila PKM, sehingga tentera Jepun menyerah diri pada 16 Ogos, 1945. (bersambung)

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP