Wednesday, October 15, 2003

Sejarah dari kacamata Chin Peng (Bhgn 1)
Oleh: Lee Ban Chen , Malaysiakini.com

Puluhan naskah memoir Chin Peng: (My Side of History /Sejarah Dari Kacamata Saya) dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari kedai buku MPH di Mid-Valley Megamall pada hari Rabu minggu lalu. Secara tiba-tiba, ramai yang cuba mencari memoir tersebut.

Khabarnya, memoir itu boleh diperolehi di sebuah pekan buku, lalu saya tergegas ke sana dan diberitahu ianya sudah habis dijual bagai pisang goreng. Justeru, ada kawan yang bergurau bahawa tindakan KDN itu bertukar menjadi iklan terbaik bagi memoir Chin Peng!

Ramai salah sangka yang buku itu telah diharamkan oleh KDN. Sebenarnya, tindakan itu diambil kerana buku yang diimport dari Singapura itu belum memperolehi kebenaran daripada KDN.

Besar kemungkinan memoir itu akan dipasarkan semula sedikit masa lagi, setelah kebenaran KDN diperolehi mengikuti prosedur yang diperlukan, kerana menurut penerbitnya, draf buku tersebut telahpun diserahkan kepada pegawai tinggi KDN dan ulasannya ialah buku itu sangat "interesting".

Lebih penting lagi, selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani pada 2 Disember 1989, Parti Komunis Malaya (PKM) yang sudah menghentikan perjuangan bersenjatanya, sudah tidak lagi dianggap sebagai "ancaman" kepada kerajaan Barisan Nasional.

Menurut kata pengantar Chin Peng dalam memoir itu, permintaan peribadi beliau ialah cuba mendapat gambaran yang lebih luas terhadap satu perang yang telah mengorbankan empat hingga lima ribu kawan seperjuangannya.

Hidup dalam buangan

Justeru, selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani, beliau tidak mahu secara tergesa-gesa untuk berkongsi ceritanya, walaupun diminta oleh banyak pihak untuk berbuat demikian, atas dua sebab:

Pertama, beliau hanya sedia untuk mengisahkan apa yang terang dan jelas kepada beliau pada masa itu dan beliau memerlukan masa untuk membuat kajian dan siasatan lanjut. Sesudah sekian lama hidup dalam hutan (dan buangan), beliau ingin memastikan konsep baru mengenai perdamaian yang sudah dipersetujui oleh Thailand dan Malaysia, dipatuhi setiap orang yang terlibat.

Kedua, sungguhpun beliau bersetuju cerita Darurat pihaknya perlu dikisahkan, beliau memerlukan bukti berdokumen untuk mendukung pemeriksaan semula terhadap perang yang sudah menjadi sejarah.

Tanpa bukti yang kukuh, analisa beliau akan dengan mudah dianggap sebagai ringkasan tidak berasas yang direka-rekakan kerana rasa geram, atau seperti ejekan Gerald Templer:"tipikal untuk semua sampah komunis" (typical of all communist muck)!

Lantaran itu, beliau melawat United Kingdom pada 1998, untuk mengkaji dokumen-dokumen yang telah dideklasifikasikan mengenai Darurat Malaya di Jabatan Rekod Awam Kew, serta Perpustakaan Rhodes di Universiti Oxford. Beliau juga melawat Imperial War Museum di London dan Australian War Memorial di Canberra untuk tujuan yang sama.

Yang lebih unik dan sukar dipercayai ialah beliau telah bekerjasama dengan Ian Ward dan isterinya Norma Miraflor, yang berpendirian politik konservatif, dalam penulisan memoirnya.

Ian Ward adalah wartawan Asia Tenggara bagi The Daily Telegraph, London dari tahun 1962 hingga 1987. Beliau pernah membuat liputan mengenai "Darurat Kedua" Malaysia dan masih berminat dalam bidang penulisan walaupun selepas bersara.

Bukan khabar angin

Manakala Norma Miraflor pula menyandang jawatan ketua editor bagi majalah-majalah MPH Singapura dari tahun 1974 hingga 1985, dan menjadi penasihat kumpulan tersebut hingga tahun 1990. Pasangan suami-isteri ini kini tinggal di Singapura.

Kata Chin Peng, Ian Ward dan Norma Miraflor telah menjelaskan bahawa mereka tidak berminat dengan sejarah Parti Komunis Malaya. Mereka lebih prihatin terhadap elemen kemanusiaan dalam cerita Darurat, serta bagaimana besarnya aspek-aspek kebenaran sanggup dikorbankan oleh propaganda kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik dahsyat itu.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa tiada gunanya untuk mencatatkan apa-apa perkara yang berasaskan khabar angin atau desas-desus semata-mata. Persefahaman ini patut dialu-alukan oleh pembaca yang ingin mengetahui sejarah dari satu pihak lagi secara objektif dan adil.

Harapan Chin Peng mungkin lebih daripada itu, bila beliau mengakhiri kata pengantarnya dengan menegaskan:

"Saya bertempur dalam dua perang, dan bertahun-tahun menjadikan hutan sebagai rumah saya. Buku ini tidak bertujuan untuk bercakap besar atau meminta maaf. Ia merupakan pelawaan untuk memahami bagaimana kepercayaan dapat dibentuk, dan bagaimana pula konflik sanggup bermula dan diperluas sehingga tidak dapat dikawal. Pada masa yang sama, ia juga merupakan pengertian mendalam bagaimana perdamaian dapat dicapai."

Pendekatan sabar, tenang, seimbang dan sudi berkompromi dan bekerjasama dengan mereka yang berbeza pendirian politik, demi kebaikan konsep baru perdamaian bagi semua pihak yang terlibat, tidak begitu secocok dengan imej Chin Peng sebagai seorang wira gerila legenda yang berfahaman komunisme.

Tetapi ia lebih mirip dengan realiti Chin Peng sebagai seorang insan tua yang matang, bijak dan berpengalaman, setelah melalui segala ujian dan cubaan dalam riwayat perjuangannya.

Moga-moga kematangan dan kebijaksanaan insan tua ini akan membantu beliau menggambarkan proses sejarah PKM secara lebih objektif, adil dan bertanggungjawab. Melalui siri rencana ini, marilah kita mengikuti kisah sejarah pihak Chin Peng secara kritis.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP