Wednesday, October 15, 2003

Politik seniman Hollywood
Oleh: Fathi Aris Omar, Malaysiakini.com

Kami tidak berminat menjadi �kaki demo� sepanjang hayat," kata Jane Fonda, bintang besar Hollywood lewat abad lalu. "Sekarang tiba masanya bagi mereka yang terbabit dalam gerakan protes (antiperang) 1960-an mula menyusun usaha mengambil alih kuasa politik."

"Kita bercakap soal menyediakan calon wakil rakyat. Kita bercakap soal menggubal undang-undang. Kita bercakap soal membikin filem progresif, kerana sangat penting membina budaya yang progresif dan membuka minda orang ramai.

Akhir sekali kita mesti ingat untuk mencabut akar umbi kerosakan yang mengawal budaya kita, niat untung yang mengawal budaya kita. Tetapi kita tidak akan berjaya berbuat demikian kecuali kita mempunyai kuasa dan pengaruh."

Fonda, ketika mengeluarkan kenyataan ini, mula berasa yakin dan faham kekuatan industri hiburan Hollywood. Dia pernah mengalami krisis identiti diri, sebagai penggiat politik dengan bintang filem. Akibatnya, sebelum berkenalan dengan suami Tom Hayden pada 1972, dia mengambil sikap low profile dalam bidang perfileman semata-mata untuk fokus kepada aktivisme politik.

Memang ada debat besar dan kepercayaan kuat di kalangan aktivis politik, khususnya beraliran kiri, untuk meminggirkan diri daripada dunia pop Hollywood. Gerakan politik kiri, termasuk gerakan sulit Parti Komunis di California, sudah bertapak sejak 1930-an lagi.

Golongan kiri waktu itu sangat percaya pada kuasa filem Hollywood untuk perubahan sosial. Abraham Polonsky misalnya melihat filem bukan setakat kempen sosial tetapi juga sebagai sejenis seni (art form).

Sikap intelektual

Tetapi selepas kejayaan mereka bekerjasama dengan kerajaan Amerika Syarikat menentang fasisme Jepun dan Nazi, dengan mengeluarkan filem-filem propaganda perang pro-Amerika, golongan kiri akhirnya terpinggir dan lemah dalam era McCarthyisme sekitar 1950-an � mereka disenaraihitam dan dihadapkan ke muka pengadilan Jawatankuasa Kegiatan Lawan Amerika.

Antara tokoh utama Hollywood bersama Parti Komunis di peringkat awal ialah Albert Maltz dan Polonsky. Kedua-duanya bagaimanapun menentang sikap parti itu yang suka mengongkong dan menuntut kesetiaan mutlak. Maltz pernah dihukum apabila cuba mengekalkan sikap intelektual yang independen daripada parti itu.

Jane Fonda, ketika menentang kuat peperangan di Indochina pada awal 1970-an dan bersimpati dengan golongan kiri, turut menjadi sasaran kempen memburukkan imejnya dan kebencian kerajaan Amerika di bawah pentadbiran Presiden Nixon.

Sebelum kejatuhan presiden itu pada 1974, Fonda sering diawasi agen persekutuan FBI manakala agen perisikan CIA pula membuka surat-suratnya dari luar negara, rumahnya diceroboh dan akaun wangnya diubahsuai kerajaan, tanpa pengetahuannya.

Beberapa negeri menggubal peraturan untuk mengharamkan Fonda dan filem lakonannya. Stesen-stesen TV enggan menyiarkan filemnya. Manakala media pula memberi bermacam-macam gelaran negatif untuk menjatuhkan imej baiknya. Ada usaha untuk mendakwanya sebagai �pengkhianat negara� selepas lawatannya ke Hanoi, Vietnam pada 1972.

"Jika saya berada (dan berbuat begini) pada tahun 1950-an, saya mungkin sudah dikenakan hukuman mati di kerusi elektrik," kata anak pelakon Henry Fonda. "Memang wujud usaha terancang untuk menekan saya, untuk memulau filem-filem lakonan saya, dan untuk menyenaraihitam saya."

Mencipta keuntungan

Namun selepas berkenalan dengan Hayden, setahun selepas itu mereka berkahwin, Fonda menilai semula peranannya sebagai bintang popular Hollywood. "Tom-lah orang pertama dari kumpulan kiri yang benar-benar percaya pada kuasa filem. Mereka kini telah bercerai.

Dia secara sistematik membikin filem dan sangat berminat melihat media ini sebagi saluran komunikasi. Dan saya pun mula berfikir kembali cara saya melihat industri filem," ceritanya kepada dua pengarang Creative Differences: Profiles of Hollywood dissidents.

Fonda mula merumus konsep filem bermesejkan kesedaran masyarakat serta demokrasi dengan meraikan tuntutan industri hiburan Hollywood. Pertentangan dua dunia ini � politik dan Hollywood � sukar dipecahkan sebelum itu.

Industri ini pada asalnya memilih �jalan selamat�, dengan hanya melayan kehendak khalayak, mencipta untung berganda-ganda, menjual angan-angan penonton, pro-syarikat besar dan mempertahankan kuasa politik sedia ada. Bagi aktivis politik, keadaan Hollywood seumpama ini tidak sesuai dengan perjuangan mereka.

Fonda - apabila mencecah usia 40-an dan berfikir matang - mulai sedar batasan idealisme zaman mudanya dan juga arif dengan batasan estetika dan intelektual Hollywood. Dia akhirnya bersedia bekerja dalam kerangka sistem Hollywood.

"Untuk menjadikan peranan mereka lebih berkesan dalam bidang kebudayaan, pembikin-pembikin filem progresif," rumusnya, "mesti belajar bagaimana membina wayang yang benar-benar menarik emosi penonton tetapi membawa mesej demokrasi."

Kurang azam

Selain filem, Fonda dan suaminya juga bergerak melalui pertubuhan politik bagi memberikan kesedaran di peringkat akar umbi dan mempengaruhi proses undang-undang. Antara pertubuhan itu ialah Kempen untuk Demokrasi Ekonomi (CED) yang bertujuan memecahkan pemusatan syarikat besar ke atas kuasa kerajaan dan mengembalikan kuasa rakyat untuk pengurusan ekonomi negara.

Dia dan Hayden (kiri) juga menubuhkan Kempen Keamanan Indochina (IPC) bagi membongkar perang di benua kecil itu yang cuba disembunyikan oleh Nixon daripada mata rakyat Amerika. Dengan kerjasama aktivis kempen ini - Bruce Gilbert - Fonda menubuhkan syarikat perfileman independen IPC Films pada 1973 untuk "mengeluarkan filem yang Hollywood sepatutnya telah terbitkan tetapi tidak berani berbuat demikian."

Seperti juga Gilbert, Fonda yakin, selagi sesuatu filem (atau produk budaya pop) itu mempesona, berjaya menarik perhatian ramai, membawa pulangan wang kepada syarikat pengeluar, mesej yang disampaikan � sama ada politik atau bukan � tidak menjadi soal utama.

"Pembikin filem (serius) yang mempedulikan isu-isu masyarakat dan ada kesedaran sosial, gagal bukanlah kerana ada tapisan tetapi kerana tidak mempunyai azam yang kuat (dan gagal mencari rumusan sesuai)," kata Gilbert lagi kepada pengarang David Talbot dan Barbara Zheutlin.

Gilbert yang berpengalaman luas dalam kegiatan politik antiperang, memang berminat dengan filem dokumentari independen tetapi menyedari pengaruh filem-filem ini sangat terbatas. "Filem-filem Hollywood jauh lebih berpengaruh," tambahnya, "jika pembikin filem yang progresif lebih kuat semangatnya dan mempunyai daya imaginasi."

Memang benar, jelas Fonda, filem-filem Hollywood tidak mendalam, kasar (tidak halus), kurang nuansa dan pembayangan tetapi berpengaruh luas serta berkesan ke atas orang ramai.

"Pembikin-pembikin filem tahu memanipulasi perasaan khalayak. Kita harus lakukan hal yang sama," katanya. "Kita juga harus belajar bagaimana menggerakkan perasaan penonton, tetapi arahnya berbeza (daripada tujuan filem arus perdana yang menjual khayalan dan mencipta wang semata-mata)."

Fonda sedar, di awal pembabitan politiknya, dia agak gelojoh dan kasar. Ada waktu-waktunya dia berasa tidak cukup kiri, tidak terlalu militan, sebab itu ucapannya berapi-api dan dipenuhi retorika.

Politik progresif

Sikapnya waktu itu dianggap tempoh politik sectarian yang sangat melampau, kadang-kadang untuk membuktikan sesuatu kepada teman seperjuangan politiknya. Dia akhirnya menjadi musuh media dan meminggirkan lagi perjuangannya daripada arus perdana rakyat Amerika.

Tetapi selepas 1972, dan khususnya selepas kejatuhan Nixon dua tahun berikutnya, Fonda berjaya menjadikan Hollywood sebagai saluran idea-idea politik yang halal dan boleh diterima ramai.

Dia menganggap dirinya sebagai �pemimpin boleh nampak� atau visible figure walaupun bukan pemimpin politik (dalam maksud tradisi) yang bergerak dalam struktur rasmi pertubuhan politik untuk memobilisasi akar umbi.

Pemimpin jenis ini, dengan sokongan pertubuhan rasmi politik, jauh lebih membantu gerakan politik itu sendiri � berbeza dengan pembabitan awal Fonda dalam era 1960-an atau awal 1970-an.

Namun sebilangan kelompok politik progresif tidak senang dengan caranya ini. Bagi mereka, bintang ini dan suaminya berjuang untuk diri sendiri, bukannya menyedarkan masyarakat akar umbi.

Tetapi pembabitan Fonda, suaminya dan pertubuhan mereka masih dihormati di kalangan teman seperjuangan kerana masih sedia bekerjasama dengan aktivis politik. Ideanya dan pertubuhan CED berjaya membuka mata orang ramai tentang kuasa berlebihan yang dibolot oleh syarikat-syarikat gergasi Amerika.

Jane Fonda meninggalkan wasiat ini untuk seniman dan budayawan kita: "...Semakin lengkap diri anda sebagai seorang manusia...semakin mendalam kefahaman anda mengenai anjakan sosial dan kesannya kepada masyarakat - maka anda merupakan seorang pelakon yang semakin mantap...Apabila anda merasakan ada sebab untuk anda hidup dan anda merasa komited kepada sesuatu di luar diri anda, maka itulah tandanya anda adalah seorang artis yang baik".

--------------------------------------------------------------------------------
Tulisan ini diolah daripada Talbot, David dan Zheutlin, Barbara (1978) Creative Differences: Profiles of Hollywood dissidents, Boston: South End Press, hal 131- 143

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP