Pertembungan di antara Konflik Tanahair dan Antarabangsa

Wednesday, October 15, 2003

Pertembungan di antara Konflik Tanahair dan Antarabangsa
Oleh: Amin bin Idris
Setiausaha Akhbar, Presiden MPPUIAM 2003 / 2004


Dasawarsa ini, dunia telah digemparkan dengan isu yang perlbagai dan kebanyakan fokusnya adalah ke atas Islam. Isu terkini yang telah mencatat sejarah besar di dalam diari ketamadunan Islam masakini ialah masyarakat Islam sedunia mula dikaitkan dengan keganasan. Bertitik tolak dari peristiwa hitam 11 September 2001 yang melanda World Trade Centre di New York dan juga pusat pertahanan Amerika Syarikat di Pentagon, kerajaan AS pimpinan Bush tanpa sebarang siasatan rapi dan bukti yang kukuh telah menuduh Osama ben Laden dan juga Kerajaan Taliban Afghanistan yang menjadi tali barut jutawan Arab tersebut sebagai perancang utama serangan berani mati. Maka bermulalah peperangan besar di atas nama 'Anti-Keganasan' dan juga 'Perang Salib kedua' terhadap Afghanistan dan akhirnya kerajaan sementara telah terbentuk menggantikan Kerajaan Taliban setelah beribu-ribu insan yang tidak berdosa terbunuh. Walaupun isu Afghanistan telah pun tamat (pada pandangan AS), Bush masih mahu meneruskan kempen 'Anti-Keganasan' yang telah dimulakan sendiri oleh beliau iaitu serangan yang ingin dilancarkan ke atas Iraq.

Beralih pula kita kepada isu krisis yang melanda bumi Palestin. Bumi di mana terletaknya masjid yang pernah Nabi Muhammad SAW diisra'kan iaitu Masjidil Aqsa. Isu ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Sejak tahun 1948, Israel terus-menerus dengan kekejaman mereka untuk menakluki bumi Palestin. Tatkala pemerintahan Israel beralih daripada Benjamin Netanyahu kepada Ariel Sharon, penganilisis politik khususnya pemikir Islam dari seluruh negara telah menjangkakan bahawa rakyat Palestin akan lebih menderita apabila Israel dipimpin oleh Ariel Sharon. Ia adalah berdasarkan sejarah beliau sendiri yang menjadi punca kepada penyembelihan umat Islam Palestin di sana-sini. Antaranya ialah penyembelihan manusia beramai-ramai yang berlaku di Shabra dan Shatilla. Ada yang mengatakan 800 orang telah terkorban dan ada yang mengatakan 2000 orang. Yang pasti, Ariel Sharon ketika itu menjawat sebagai Menteri Pertahanan menjadi dalang utama kepada pembunuhan tersebut. Amerika Syarikat yang sering berbangga dengan amalan prinsip demokrasi dan juga hak asasi manusia nampaknya seakan-akan mula goyah dari prinsip mereka. Walaupun AS dikenali sebagai sebuah kuasa besar dunia atau 'Polis Dunia', mereka kini dilihat umpama lebih mempertahankan tindakan Israel berbanding cuba untuk menyelamatkan umat Islam Palestin di atas dasar Hak Asasi Manusia. Sekiranya rakyat Palestin yang terdesak telah bertindak berani mati mengebom kawasan awam dan mengakibatkan ramai rakyat Israel terkorban sebagai pengganas, mengapa Ariel Sharon yang menjadi ketua kepada tentera-tentera Israel bertindak membunuh masyarakat awam, wanita, kanak-kanak, orang tua, merobohkan rumah-rumah kediaman, memusnahkan masjid tidak dilabelkan sebagai pengganas? Mereka mempunyai senjata lengkap dan kelengkapan itu telah disalahgunakan. Apakah makna istilah pengganas pada pandangan AS? Inilah realiti yang telah diertikan oleh Bush sendiri sebagai 'Perang Salib kedua'.

Kezaliman, kekejaman dan kejahatan Israel telah dibantah dan tidak dipersetujui oleh kebanyakan negara termasuk sebilangan dari negara Eropah. Malah, Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Berhormat Dato' Seri Doktor Mahathir Mohammad juga turut membantah tindakan rejim haram Israel. Kita dapat melihat peranan yang dimainkan oleh Malaysia apabila menjadi tuan rumah kepada Persidangan Menteri-Menteri Luar Anggota Negara OIC pada 2 April 2002. Malah, kedapatan beberapa kenyataan pemimpin negara yang sering mengutuk tindakan ganas regim haram Israel. Pada pandangan penulis, sebenarnya apa yang berlaku di luar negara sering menjadi bahan utama untuk dibicara tanpa melihat kepada keadaan atau waqi� negara sendiri. Penulis tidak menafikan tindakan bijak Malaysia mengutuk kekejaman Israel dan menyokong Palestin. Tetapi persoalan yang ingin ditimbulkan ialah apa bezanya sokongan dari sebuah negara yang majoriti rakyatnya dalah daripada orang Islam berbanding sebaliknya? Republik China, Thailand, Russia dan lain-lain beberapa negara minoriti umat Islam telah dengan beraninya membantah tindakan tidak berperikemanusiaan rejim haram Israel.

Di dalam artikel ini, penulis mengemukakan beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama oleh rakyat Malaysia umumnya dan kerajaan Malaysia pimpinan YAB Berhormat Dato' Seri Doktor Mahathir Mohammad khususnya sebagai muhasabah Malaysia sebuah Negara Islam.

Pertama, pendirian negara kita ialah menentang kekejaman Israel tetapi berdasarkan asas apakah penentangan tersebut? Adakah di atas asas bersama menyokong kempen �Anti-Keganasan� anjuran Amerika Syarikat? Atau atas dasar pencabulan hak asasi manusia oleh Israel ke atas rakyat Palestin? Atau di atas dasar Ukhuwwah Islamiah sesama mukmin yang bersaudara di atas ikatan keimanan? Atau pun mungkin sememangnya stand negara kita adalah tidak berkompromi dengan Yahudi?

Kedua, rentetan daripada sokongan padu kita kepada rakyat Palestin, apakah sumbangan moral yang telah diberikan selain dari bantuan kebendaan dan ketenteraan yang telah dijanjikan? Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Malaysia dan juga rakyatnya yang telah menghulurkan bantuan semikian. Tetapi sebagai umat Islam, kita mempunyai perhubungan yang unik sesama muslim iaitu melalui �roh persaudaraan�. Adakah akhlak Mazmumah hasil daripada pengaruh Yahudi telah kita usaha untuk ditinggalkan? Fikrah Yahudi di sana-sini masih berleluasa dan menguasai minda masyarakat Islam. Di manakah usaha-usaha kerajaan dan mana-mana institusi di negara kita ke arah meleburkan pusat-pusat maksiat yang telah menghancurkan kebanyakan pemuda-pemudi Negara? Apa yang ada ialah Malaysia menjadi pusat judi kedua terbesar di Asia Tenggara (Genting Highland dan akan mungkin akan disusuli Bukit Tinggi, Bentong), gejala murtad yang tiada berkesudahan, budaya yang bias merobohkan Aqidah seperti Punk, Hippies, Black Metal, tidak ketinggalan juga amalan penyelewengan kuasa di dalam institusi kerajaan, fitnah media massa di sana-sini dan pelbagai lagi senjata yang mampu untuk merapuhkan Aqidah Muslimin. Tanpa kita sedar, sebenarnya ia juga merupakan di antara kekuatan Yahudi ke arah matlamat meruntuhkan empayar umat Islam dan membangunkan pemerintahan Yahudi. Fikirkanlah wahai umat Islam Malaysia!!!

Ketiga, apakah yang telah kita lakukan di dalam masyarakat ke arah membina sebuah empayar Islam? Hala tujunya adalah agar sebarang urusan yang melibatkan politik, ekonomi, pembinaan insan dan budaya dapat dijalankan berdasarkan acuan tersendiri. Acuan yang bersandarkan Tauhid, acuan yang tidak terpaksa bergantung kepada mana-mana kuasa kuffar atau mana-mana kuasa Barat yang berselindung di sebalik nama �Bantuan� demi menghancurkan Islam di muka bumi. Perdana Menteri telah mengumumkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam di dalam Perhimpunan Agung Parti Gerakan (walaupun tindakan tersebut masih terdapat keraguan di dalam aspek undang-undang dan juga proses demokrasi negara), apakah di sana cirri-ciri sebagai sebuah Negara Islam yang begitu tegas pendirian terhadap Yahudi dan sekutunya dilaksana? Setakat ini, penulis menyedari bahawa Malaysia terlalu ingin menjaga kepentingan ekonomi antarabangsa sehingga sanggup tunduk kepada Amerika Syarikat. Merujuk kepada laporan akhbar New Straits Time bertarikh 4 Mei 2002, Kerajaan Malaysia nampaknya cukup berbangga dengan pujian Amerika yang berpuas hati dengan tindakan Malaysia di dalam membanteras pengganas. Kenyataan Setiausaha Pertahananan Amerika Syarikat iaitu Donald Rumsfeld yang kagum dengan tindakan Malaysia telah memberi satu impak kepada PM sebelum lawatannya bertemu Presiden Bush. Pertikaian yang ingin ditimbulkan di sini ialah adakah kita patut berbangga dengan pujian AS? Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Dato Seri Dr. Mahathir nampaknya terlalu hanyut dengan istilah pengganas berdasarkan perspektif AS. Oleh yang demikian, tidak mustahil apabila PM di dalam ucapan perasmiannya semasa Persidangan Khas Menteri-Menteri Luar Anggota Negara-Negara OIC pada April lalu telah mengutuk serangan berani mati rakyat Palestin. Kenyataan beliau telah dikritik dan tidak dipersetujui oleh keseluruh pemimpin Negara-negara OIC termasuk bercanggah dengan fatwa ulama�-ulama� terkemuka seperti Dr. Yusof al-Qaradawi, Dr. Wahbah Zuhaili, Dr. Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Syed Tantawi. Malah, Kementerian Dalam Negeri lebih gigih berusaha untuk menangkap golongan yang didakwa terlibat dengan gerakan al-Qaeda dan juga KMM daripada golongan yang mampu untuk merobek Aqidah umat Islam di dalam penulisan mereka.

Keempat, mengapa apabila wujudnya penulis-penulis yang berhujah di atas paksi kebebasan bersuara telah dengan sewenang-wenangnya menghina kemuliaan dan taraf kenabian Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW, memperikaikan kewibawaan dan kekuatan ilmu para ulama� serta secara terang-terangan cuba untuk mempertikai hokum Islam yang Qat�ie (tetap)? Mengapa mereka tidak diambil tindakan yang tegas? Apakah kerajaan tidak bisa bimbang apabila Aqidah rakyat meraka tergugat? Realitinya, �mereka� lebih bimbang apabila kedudukan �mereka� tergugat berbanding keyakinan umat Islam yang mempunyai komposisi lebih 55% di Malaysia. Inilah dia pemimpian kepada sebuah Negara yang didakwa sebagai sebuah Daulah Islamiah.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP