Tuesday, August 12, 2003

Pelik melihat keriangan Amrozi
Peguam Menulis
Oleh Salleh Buang (Utusan Online)
Apakah imej terakhir mengenai prosiding jenayah kes Amrozi di Indonesia yang ada pada minda anda ketika mengikuti liputan berita televisyen minggu lalu?

Bagi kebanyakan media Barat, imej yang ditonjolkan mereka mengenai Amrozi ialah tentang senyumannya. Lalu penjenayah ini diberi gelaran the smiling bomber, yang saya kira tak perlu saya terjemahkan lagi.

Bagi kita yang bukan ahli psikologi, sukar kita membuat rumusan. Apabila seorang itu baru sahaja disabitkan kesalahannya lalu dikenakan hukuman mati tetapi ia masih lagi gelak ketawa seolah-olahnya apa yang berlaku pada dirinya itu sesuatu yang melucukan atau menghiburkan, ada dua kemungkinan

(a) Pertama, orang itu sebenarnya tidak siuman;

(b) Kedua, orang itu percaya bahawa jenayah yang dilakukan olehnya itu (pengemboman dan pembunuhan) sebenarnya adalah bukan satu jenayah, bahkan satu khidmat cemerlang yang telah disumbangkan olehnya, lalu dia berhak merasa bangga diri.

Dalam bahasa mudah, bergantung kepada persepsi kita terhadapnya, Amrozi adalah gila atau wira. Hanya dua andaian ini sahaja yang kita boleh buat bila kita lihat Amrozi menunjukkan penumbuknya, dan kemudian kedua-dua ibu jarinya (menandakan bagus) dengan tersenyum lebar sebaik sahaja hukuman mati diumumkan ke atasnya.

Malangnya bagi umat Islam di rantau ini, hanya Amrozi yang ada di Indonesia yang telah ditangkap dan diheret ke mahkamah kerana jenayah menyebabkan kematian 202 warga asing pada 12 Oktober 2002 lalu. Ada banyak lagi Amrozi lain, yang namanya bukan Amrozi, yang menginap bukan di Bali atau di Jakarta, tetapi di Washington dan di London, yang telah melakukan jenayah yang lebih teruk lagi, menyebabkan kematian ratusan ribu orang lain yang juga tidak berdosa, di Iraq, di Afghanistan dan di banyak tempat lagi di muka dunia ini.

Atas prinsip yang sama, tidakkah juga orang lain (yang namanya bukan Amrozi, tetapi jenayahnya lebih teruk dari jenayah Amrozi) juga wajar diheret ke mahkamah, dibicarakan, disabitkan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal bagi segala dosa mereka?

Dan jika kita katakan Amrozi yang ada di Indonesia itu seorang yang gila kerana terus gelak ketawa sekalipun setelah dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahannya mengebom kelab malam di Bali lalu, tidakkah mereka yang terus gelak ketawa di pantas dunia dengan kesombongan kuasa mereka mengebom Baghdad dan bandar-bandar lain di Iraq itu juga gila?

Pastinya anda sudah biasa dengar istilah WMD (weapons of mass destruction - senjata pemusnah besar-besaran) yang sering digunakan oleh Bush dan Blair, dua petualang dunia terbesar di alaf baru ini, bagi menjustifikasikan pengeboman dan pembunuhan ribuan rakyat Iraq.

Pada saya, WMD sebenarnya bererti words of mass deceit (perkataan-perkataan pembohongan terbesar). Jika Amrozi Nurhasyim dapat diheret oleh pihak berkuasa Indonesia ke mahkamah atas tuduhan membunuh warga asing, apakah George W. Bush dan konconya Blair serta Howard juga akan satu hari dapat diseret oleh masyarakat dunia ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusian?

Mengikut satu laporan yang sempat saya baca di Internet hujung minggu lalu, khabarnya Amrozi ada berkata kepada seorang wartawan Australia (semasa dia ditemu bual di bilik tahanannya beberapa hari sebelum mahkamah mengumumkan keputusannya) bahawa dia tak takut mati. Sekalipun dia akan mati tidak lama lagi, katanya kepada wartawan itu, perjuangannya akan diteruskan oleh orang lain termasuklah oleh anak-anak dan cucu-cucu kita.

Perjuangan ini tidak akan berhenti. Akan ada jutaan lagi orang seperti saya. Nama mereka tidak akan sama seperti nama saya, tetapi mereka akan melakukan perkara yang sama seperti yang telah saya lakukan, tambah Amrozi.

Ditanya lagi oleh wartawan itu jika dia ingin memperkatakan sesuatu kepada waris-waris mangsanya yang terdiri dari warga Australia, Amrozi khabarnya menjawab: ``Mereka sudahpun mati. Apa lagi yang boleh saya katakan kepada waris-waris mereka?''

Dalam pengeboman di Bali itu, 88 daripada 202 orang yang terkorban terdiri daripada warga Australia.

Ditanya pula jika ada apa yang hendak dikatakan olehnya sebagai pesanan terakhir kepada isterinya, Amrozi khabarnya menjawab ``Katakan kepadanya supaya terus bersabar. Minta dia doakan agar saya mati syahid. Saya mahu mati sebagai mati syahid.

Sejak dia ditangkap kira-kira sebulan selepas peristiwa pengeboman itu berlaku Amrozi tidak pernah menafikan penglibatannya dalam jenayah itu. Dia mengaku bahawa dialah yang membeli van mini dan bahan letupan yang digunakan dalam kejadian ngeri itu. Sejak ditangkap, setiap kali dia dikemukakan di khalayak ramai di hadapan wakil media, dia sentiasa kelihatan senyum dan riang ria, berborak dan berjenaka dengan pegawai-pegawai polis yang menjaganya. Apakah tabiat luar biasa ini manifestasi seorang gila atau wira? Bila ditanya kenapa dia terlibat sama dalam perancangan mengembom pusat hiburan di Bali itu, dia sering menjawab niatnya ialah membunuh sebanyak mana warga Amerika. Dia kecewa yang banyak mati adalah bukan warganegara itu.

Dilahirkan pada 1962 di suatu kampung terpencil, Tenggulun, dan mempunyai 12 adik-beradik lain, Amrozi dikatakan pernah datang ke Malaysia bersama abangnya Mukhlas pada tahun 80-an lalu kerana mencari kerja. Tidak tahulah kita sama ada berita ini (yang saya temui di laman web CNN) adalah benar ataupun tidak.

Mengikut BBC pula, Amrozi dikatakan ada bekerja di Malaysia sejak pertengahan tahuun 80-an sehingga 1991, bila dia dikatakan telah pulang ke Indonesia. Andainya laporan CNN dan BBC ini benar, dan Amrozi pernah tinggal dan bekerja di negara kita ini, tidak mustahil ada di antara rakyat Malaysia yang telah mengenalinya dari dekat dan mengetahui watak dan jati dirinya yang sebenar.

Mereka ini mungkin lebih mampu memahami apakah yang menyebabkan seorang belia dari satu perkampungan kecil di Jawa Timur sanggup melakukan apa yang telah berlaku pada Oktober 2002 lalu itu.

Baca: PKPM gara-gara politik pincang

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP