Tuesday, August 12, 2003

Keadaan dalam perkhidmatan awam membimbangkan: Segera hapus rasuah: TPM
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar dan Azrina Ahzan (Berita Harian Online)

KUCHING: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah lebih berkesan perlu dilaksanakan dengan serta merta untuk membendung gejala rasuah, terutama dalam sektor perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dari 1998 hingga akhir tahun lalu, 1,342 orang ditangkap kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan rasuah.

�Lebih separuh daripadanya adalah kakitangan awam dan saya bimbang dengan keadaan ini,� katanya ketika merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) 2003 di Hotel Crowne Plaza Riverside, di sini, semalam.

Katanya, jika gejala itu tidak diatasi segera, ia boleh menjejaskan kewibawaan negara dan mempengaruhi syarikat asing untuk tidak melabur di negara ini. Malah, tanggapan rakyat terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan penjawat awam turut pada tahap serius.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Zulkifli Mat Noor.

JKP 2003 yang bertemakan Pemantapan Integriti Tanggungjawab Bersama itu dihadiri 560 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dalam konvensyen dua hari itu yang dianjurkan oleh Urus Setia Penyelaras JKP dan Kerajaan Sarawak.

Abdullah berkata, adalah penting bagi kakitangan awam untuk mengubah corak pemikiran supaya menjadi lebih amanah, bertanggungjawab, tidak melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan menerima rasuah.

"Kakitangan awam yang mempunyai pemikiran dan mengamalkan nilai yang baik serta berdisiplin tinggi mampu menolak godaan untuk menerima rasuah. Ini kerana usaha untuk mengatasi perbuatan negatif berkenaan tidak akan berjaya melalui penguatkuasaan undang-undang saja," katanya.

Beliau berkata, berlakunya gejala negatif berkenaan adalah tanda kewujudan kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

"Sekiranya sesuatu perkhidmatan mengambil masa terlalu lama, orang ramai mungkin terjebak untuk melakukan rasuah bagi mendapat perkhidmatan yang diperlukan. Jika agensi kerajaan meningkatkan ketelusan dan mesra pelanggan, gejala rasuah dapat dibendung," katanya.

Abdullah yang tiba di sini pagi semalam berkata, usaha kerajaan bagi mengurangkan gejala rasuah turut membuahkan hasil apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Transparency International menyenaraikan Malaysia di tangga ke-33 antara 141 negara dalam indeks persepsi rasuah bagi tahun lalu.

"Ini adalah satu peningkatan tahap tanggapan ahli perniagaan, penganalisis politik dan orang awam dari negara luar terhadap rasuah di Malaysia, berbanding pada 1995 yang mana Malaysia berada pada tangga ke-23 antara 41 negara," katanya.

Beliau juga berkata, tanggapan rakyat terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa turut boleh mempengaruhi pelabur asing dan jika ini berlaku ia akan menyebabkan imej kerajaan akan dipandang rendah dan mungkin mereka tidak mahu berurus niaga di negara ini.

Antara kertas kerja yang dibentangkan di konvensyen itu ialah oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam; Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Pengarang Kumpulan The New Strait Times Press (M) Bhd, Tan Sri Abdullah Ahmad; Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Datuk Mustapa Mohamed dan Yang Di Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Amin Al-Jefri

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP